Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Utusan Malaysia 23 Ogos 2004
Apabila 6,000 orang berebut-rebut menyertai sesi uji bakat Malaysian Idol di Kuala Lumpur tidak lama dulu, adakah ini petanda masyarakat kita sudah tinggi cita rasa seni mereka? Apabila penonton program Akademi Fantasia bermurah hati menyumbang RM7.5 juta melalui 15 juta SMS, adakah mereka ini peminat seni?
Di Barat, hiburan begini mendapat sambutan yang luar biasa. Gila mereka juga memang luar biasa. Tetapi pada masa yang sama persembahan yang berteraskan seni juga mendapat sambutan yang hebat. Teater dan muzik klasik misalnya adalah sebahagian menu untuk hidup selain makanan, pakaian dan tempat tinggal.
Maka apabila konsert Akademi Fantasia mencetuskan kegilaan yang maha hebat di kalangan kita, definisi seni dan hiburan wajar dibaca semula. Ini kerana yang menjadi tumpuan khalayak bukannya seni tetapi cara berhiburnya.
Cara mendapat hiburan yang melampau dan menjurus kepada hedonisme perlu dirawat segera. Hiburan jenis ini bukan saja berselera rendah dan tidak ada keindahan seninya malah menjadi pemangkin minda yang malas dan hanyut dalam fantasi. Ini kerana, berkembangnya industri hiburan tidak semestinya turut menjulang kualiti manusia kecuali ia dibina dengan penuh tanggungjawab.
Seni dan hiburan terbahagi dua. Sewajarnya kedua-dua ini digaul menjadi satu; ada nilai seni dan ada pula elemen yang menghiburkan. Tetapi kerana budaya menghayati seni tidak ada, hiburan itulah yang difaham sebagai seni. Ini songsang namanya.
Sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah penyusupan masuk budaya hedonisme yang dieksport Barat kepada negara di sebelah sini. Hiburan kosong menjadi tumpuan utama, khalayak menjadi leka, malas dan tidak bermaya.
Tanyalah apa matlamat semua peserta yang berpusu-pusu menyertai Malaysian Idol dan Akademi Fantasia? Semuanya mahu menjadi penyanyi. Sebab penyanyi itu berada dalam lingkungan hiburan, hiburan pula jadi tumpuan.
Tidak ada profesion yang paling mudah disertai kecuali hiburan. Apabila terlalu mudah, yang menjadi masalah bukan saja kualiti malah bahan yang hendak diisi. Semua orang boleh mencuba jadi penyanyi, kalau nasib baik popular dan khalayak yang buta seni menganggap mereka berjaya.
Kepincangan ini ditambah lagi dengan sekian banyak pertandingan mencari penyanyi yang mengabaikan kualiti, mengukur populariti. Lihatlah bagaimana Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Who Will Win mencari juara. Malah Bintang RTM yang dulu dikagumi juga berjangkit sama.
Untuk menjadi penyanyi misalnya, perkara utama yang tidak dapat dinafikan ialah kualiti seseorang itu. Kalau penyanyi tentulah kualiti nyanyiannya. Kalau pelakon kualiti lakonannya. Mengukur kualiti bukan semua orang boleh lakukan. Lalu dipilih kalangan yang arif untuk menjadi pemilih. Tetapi kerana dunia hiburan lebih banyak caca marbanya, terbius dengan istilah televisyen realiti maka pemilih adalah orang ramai yang tidak ada rasa seni yang khusus.
Ini menjadikan seni dan hiburan kita berpisah jauh. Cuma yang jelas ialah hambatan yang melampau untuk berhibur. Entahlah kalau ini tandanya kita telah maju.