Ceritera duka berajakan Mswati III

Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Februari 2005


KETIKA negaranya diancam kebuluran, kemiskinan dan penyakit AIDS yang sangat serius, rajanya terus dengan kegemaran yang diwarisi daripada ayahnya; kahwin baru setiap tahun. Kini raja itu berkahwin dengan isteri ke-13 berusia 16 tahun.

Ketika rakyat hidup melarat dan papa kedana, rajanya hidup mewah. Wang negara digunakan untuk membina 12 istana untuk isteri-isterinya sebelum ini.

Ironiknya tahun lalu Bank Dunia meluluskan pinjaman AS$113 juta untuk 19 projek dalam sektor-sektor utama. Tetapi gaya hidup si raja ini seolah-olah dia yang memberi pinjaman, bukan menerima pinjaman untuk rakyatnya hidup.

Barangkali ini disebabkan oleh sistem monarki yang raja bukan dipilih tetapi raja memilih dirinya sendiri. Lalu dia peduli apa dengan protes atau malah tidak ada ruang "untuk undi tidak percaya'' bagi menurunkan dia dari kayangannya.

Raja yang mendapat pendidikan British dan rakyatnya yang buta huruf memudahkan hasil negara diguna untuk tujuan peribadi. Padahal di persada dunia, negara ini macam tidak wujud di atas peta, ia hanya diingati sebagai sebuah negara yang mempunyai raja yang paling boros.

Demikianlah ceritera duka sebuah negara di Afrika bernama Swaziland. Negara ini kini diperintah oleh Raja Mswati III yang berusia 36 tahun. Tetapi gaya hidupnya seolah-olah dia memerintah Switzerland. Cerita malang rakyat Swaziland bukan rekaan.

Tetapi mereka tidak mempunyai suara dalam sistem monarki total ini. Negara yang mengamalkan sistem monarki terakhir di Afrika ini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang paling serius.

Statistik mengenai Swaziland tidak ada suatu pun yang menggembirakan. Jauh sekali untuk dibanggakan. Ia membuktikan monarki total adalah sistem yang korup dan muflis. Monarki yang menolak pendemokrasian kuasa dan suara ternyata hanya akan melahirkan negara seperti Swaziland ini.

Rakyat kehilangan suara. Apabila kebencian dan kemarahan memuncak mereka hanya mampu keluar beramai-ramai ke jalan-jalan raya sambil memekik supaya raja yang korup itu sedar masalah mereka. Tetapi raja ini tidak peduli protes begitu.

Cuba lihat statistik tentang Swaziland; 37 peratus daripada 1.1 juta rakyatnya menghidap AIDS, 40 peratus rakyat menganggur, 70 peratus daripada rakyat pula berpendapatan RM3.80 sehari.

Sementara itu menurut Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) krisis kesihatan yang teruk mencatatkan 60 peratus daripada kanak-kanak di Swaziland mengalami masalah kerosakan otak yang disebabkan oleh kekurangan vitamin. Kematian kanak-kanak disebabkan penyakit ini mencatatkan 600 orang setiap tahun.

Melihat statistik ini agak sukar juga untuk mempercayai bahawa raja yang memerintah negara miskin ini hidup ultramewah selain gemar mengumpul isteri. Tetapi inilah yang berlaku di suatu sudut dunia yang agak terlindung daripada pandangan mata.

Sikap buruk

Negara ini tersorok kerana kemiskinan, diskriminasi warna kulit oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) serta suara pemimpinnya yang tidak didengar di pentas antarabangsa. Apabila suara pemimpin tidak didengar di pentas dunia ditambah dengan sikap buruk yang melampau, kesannya adalah seperti di Swaziland sekarang.

Dalam sebahagian besar media Barat, Swaziland hanya sinonim dengan hal-hal buruk yang sekali gus membuatkan masyarakat dunia membenci mereka. Sebenarnya semua ini bukan saja kerana kemiskinan tetapi sistem yang menutup pendemokrasian dalam banyak hal.

Raja Mswati III diibaratkan badut kepada orang luar. Dia menjadi bahan ketawa kerana mempunyai minat aneh mengumpul isteri. Khabarnya memang itulah tradisi monarki Swaziland. Kerana AIDS merupakan sesuatu yang biasa di Swaziland, maka bakal isteri ke-13 Raja Mswati III juga dikenakan ujian kesihatan.

Pada dekad 90-an, golongan pelajar dan buruh pernah melancarkan demonstrasi menuntut diadakan reformasi; menukar daripada monarki total kepada demokrasi. Tetapi usaha reformasi ini gagal. Dalam perlembagaan Swaziland, semua parti politik diharamkan dan yang ada cuma persatuan politik seperti Ngwane National Liberatory Congress (NNLC), Imbokodvo National Movement (INM) dan People's United Democratic Movement (PUDEMO).

Gerakan ke arah memperjuangkan sistem raja berperlembagaan telah lama tetapi selalu menemui jalan buntu. Ini kerana raja yang ada tidak memberi laluan kepada sistem demokrasi mengambil alih sistem monarki yang ada sekarang.

Boros dan pembaziran Raja Mswati III sangat luar biasa. Lihat saja bagaimana rancangannya untuk membeli sebuah jet peribadi berharga lebih 28 juta pound. Tetapi akhirnya dia akur kepada desakan rakyat dan membatalkan pembelian itu. Tetapi bayaran muka 2.8 juta pound hangus begitu saja. Bayangkan nilai 28 juta pound bagi sebuah negara yang 70 peratus rakyatnya berpendapatan RM3.80 sehari?

Tetapi rancangan membina 12 istana yang menelan belanja 5.6 juta pound diteruskan ketika negara dibayangi kebuluran dan kemiskinan yang paling serius.

Di sebalik kemiskinan rakyat, pembaziran Raja Mswati III di luar hukum akal yang logik. Untuk apalah kereta mewah berharga AS$630,000, mengundang 10,000 tetamu untuk meraikan hari lahirnya ke-36 yang menelan belanja AS$800,000? Ini belum lagi membeli 10 kereta mewah BMW lima siri kepada isteri-isterinya.

Pencabulan hak asasi manusia berlaku sewenang-wenang di Swaziland. Untuk acara memilih isteri Raja Mswati III misalnya, pada setiap tahun dianjurkan acara ritual Tarian Reed yang disertai oleh gadis-gadis belasan tahun yang berpakaian separuh bogel. Mereka dipaksa menarikan tarian erotik di depan Raja Mswati III dan pengawal peribadi raja akan mengambil gadis itu tanpa persetujuan keluarga untuk dihidangkan kepada raja.

Untuk memilih isteri ke-13, sebanyak 12 gadis yang bertaraf ratu cantik Swaziland membuat persembahan catwalk di depan Raja Mswati III. Raja yang bergelar singa itu memilih Ratu Remaja Swaziland berusia 16 tahun, Nothamdo Dube.

Kerana bimbang gadis ini dijangkiti HIV, calon isteri ini juga dibuat ujian dan didapati negatif HIV. Kegilaan berkahwin si raja ini semacam mahu mengatasi ayahnya yang meninggal dunia tahun lalu yang mempunyai 70 isteri.

Pihak pejuang hak asasi manusia meminta Raja Mswati puas dengan 13 isterinya sekarang sekalipun tradisi kaum Swazi tidak mengehadkan jumlah isteri bagi raja mereka.

Moral kisahnya, kemiskinan dan kemunduran selalunya menutup ruang rakyat berfikir jauh tentang hari esok. Maka akan wujud oportunis yang mengambil kesempatan untuk hidup mewah memperkudakan rakyat yang sudah malas berfikir tentang hidup dan kehidupan. Salah satunya Raja Mswati III.