Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Februari 2005
Minggu lalu Menteri Penerangan Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir dengan sinikal menjelaskan bahawa beliau bukan Menteri RTM. Kadir adalah Menteri Penerangan yang menaungi RTM (Jabatan Penyiaran) sebagai salah satu jabatan di Kementerian Penerangan.
Direktorat RTM yang paling tinggi ialah Ketua Pengarah Penyiaran. Maknanya RTM sama dengan jabatan lain di kementerian ini yang ditadbirkan oleh seorang bertaraf Ketua Pengarah. Ketua Pengarah Penyiaran adalah orang yang memastikan segala dasar kementerian mengenai penyiaran dilaksanakan.
Kadir memberikan penjelasan itu ekoran ketidakhadiran wakil TV3 dan ntv7 ke sidang media beliau mengenai Debat Perdana yang akan disiarkan di RTM. Hujah Kadir debat itu mengenai dadah dan ini adalah isu nasional, bukan RTM.
Kata Kadir stesen televisyen swasta jangan terlalu sempit melihat semuanya sebagai persaingan. Bagi Kadir, stesen televisyen harus ketepikan sentimen persaingan demi isu yang ada kepentingan umum.
Kerana ketidakhadiran itu, stesen televisyen swasta dilabelkan sebagai "tidak mengambil kira kepentingan negara''. Dalam kata lain, antara stesen televisyen di negara ini mesti saling membuat liputan antara satu dengan lain kerana "hal-hal kepentingan negara'' bukan saja di RTM.
Sebenarnya ada dua perkara utama yang ditimbulkan di sini. Pertama - stesen televisyen swasta seolah-olah menganggap Menteri Penerangan adalah Menteri RTM. Kedua - stesen televisyen swasta didakwa tidak mengambil kira kepentingan negara. Salah satunya kerana tidak membuat liputan debat fasal dadah yang merupakan isu negara.
Memang sukar sebenarnya untuk mengasingkan RTM dan Kementerian Penerangan. Malah dalam keadaan tertentu RTM kelihatan sangat dominan. Ini kerana RTM sebuah organisasi media yang mempunyai pengaruh dan populariti berbanding Kementerian Penerangan.
Usaha untuk mengasingkan yang mana satu RTM dan Kementerian Penerangan wajar datang daripada pihak kementerian sendiri. Kementerian misalnya tidak wajar terlalu terlibat dalam banyak hal di RTM.
Untuk mengasingkan RTM dengan Kementerian Penerangan, RTM harus diberikan autonomi seperti Finas (kini di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan). Tetapi agak malang bagi RTM kerana terlalu banyak penglibatan peringkat kementerian.
Sidang media mengenai satu program di RTM sebenarnya boleh diberikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdul Rahman Hamid. Hal ini bukan luar biasa kerana era Allahyarham Zain Mahmod atau Datuk Jaafar Kamin menjadi Ketua Pengarah, hal ehwal RTM di bawah kawal selia mereka. Kedua-dua tokoh ini menonjol dalam arena industri penyiaran negara ini.
Kadir sendiri memberikan sidang media mengenai program RTM, ada kawajarannya untuk stesen swasta menganggap itu projek RTM dan bukan Kementerian Penerangan. RTM mempunyai pesaing dalam industri penyiaran. Kita jangan terlalu ideal untuk tidak bersaing kepada "hal-hal nasional''.
Apabila Menteri Penerangan kelihatan dominan dengan RTM, stesen swasta wajar membuat persepsi bahawa Kadir bercakap untuk RTM bukan kementerian.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta ketua-ketua jabatan supaya menurunkan kuasa kepada orang di bawahnya supaya perjalanan operasi di jabatan kerajaan lancar. Dalam konteks RTM, hal-hal berkaitan program elok diberi kuasa kepada pegawai-pegawai yang berkenaan saja.
Ini termasuklah untuk mencari pengacara bagi penjenamaan baru RTM atau mencari pelakon bagi drama bersiri Mahligai Gading. Kadir tidak wajar kelihatan "terlalu dominan'' sekalipun sesetengah pihak menganggap sikap ini memperlihatkan keseriusan Kadir. Ini baik kerana sekurang-kurangnya memastikan operasi berjalan lancar dengan penglibatan menteri. Tetapi yang kurang baiknya Menteri Penerangan mempunyai tugas yang lebih besar dalam bidang penerangan dan bukan saja RTM.
Perkara kedua, tanggapan bahawa stesen televisyen swasta tidak mengambil kita kepentingan negara. Sebenarnya ini satu justifikasi yang sangat umum. Ini kerana hakikatnya semua stesen televisyen negara ini tidak kira kerajaan atau swasta memperlihatkan komitmen terhadap aspirasi negara.
Di sini kita tidak membahaskan stesen satelit Astro yang dilanggan bukan dipancarkan secara percuma. Kehadiran Astro tentunya tidak boleh dilihat daripada jurus yang sama dengan stesen terrestrial yang lain.
Tetapi stesen televisyen swasta yang membuat siaran terrestrial memikul tanggungjawab kepada negara. Cuma bezanya ialah pendekatan antara satu stesen dengan stesen yang lain. Penyiaran kini sebuah industri dan industri adalah perniagaan yang menuntut persaingan. Dalam budaya kepenggunaan, pendekatan adalah elemen penting yang membezakan antara satu dengan yang lain.
Tanggungjawab terhadap negara boleh dilakukan dalam pelbagai cara. Stesen televisyen bebas memilih cara atau pendekatan yang dirasakan berkesan. Tidak semestinya pendekatan yang didaktik terbaik untuk mendukung aspirasi negara.
Banyak juga program oleh TV3 dan ntv7 yang membina negara dan persepsi bahawa stesen swasta bernilai dagang semata-mata tentunya tidak benar. Cuma yang menjadi masalah RTM tidak percaya kepada persaingan dan tidak mahu bersaing.
Program Edisi Siasat di ntv7 sekarang dikenali dengan nama My Siasat, sebenarnya membuatkan khalayak mempunyai persepsi serong terhadap RTM. RTM yang jauh lebih berusia berbanding ntv7 kelihatan sangat retorik apabila sampai kepada bab-bab kepentingan rakyat.
Apabila My Siasat melanggar hukum-hakam lama yang dipegang oleh RTM, ntv7 kelihatan relevan berbanding RTM yang tidak turun berjumpa khalayak di gelandangan.
Hal yang sama juga dengan program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 kalau dibandingkan dengan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di RTM. Campur tangan "orang luar RTM'' menjadikan Selamat Pagi Malaysia sangat ketinggalan berbanding sebelum ini. Konsep bual bicara (talk show) yang menjadi tonggak kekuatan Selamat Pagi Malaysia sudah tidak ada. Sedangkan itulah yang menguatkan MHI hingga kini.
Tetapi RTM pula mempunyai kekuatan misalnya dengan Debat Perdana yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana Angkasapuri. Debat Perdana mendedahkan siapa yang terkebil-kebil, siapa yang retorik dan siapa yang emosional apabila berada di tengah gelanggang.
Kita wajar mengucapkan tahniah kepada RTM kerana memulakan ciri-ciri ketelusan apabila Debat Perdana disiarkan secara langsung. Apa yang disaksikan oleh penonton di auditorium, itulah yang disaksikan oleh penonton seluruh negara.
Daripada Debat Perdana kita boleh menyenaraikan yang mana satu tokoh yang bijak, kurang bijak dan langsung tidak bijak. Penonton juga boleh membilang berapa banyak yang hanya retorik dan berhujah basi apabila digasak di tengah gelanggang.