Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 3 Januari 2006
Tahun 2006 bermula dengan krisis gas antara Ukraine dan Rusia. Ia kelihatan seperti satu masalah hubungan dua hala negara jiran yang pernah bergabung dalam Kesatuan Soviet semasa kedua-duanya diperintah oleh komunis.
Tetapi hakikatnya, krisis ini mempunyai implikasi luas kerana ia melibatkan tiga isu yang memberi kesan kepada seluruh dunia iaitu Eropah, tenaga dan Rusia sendiri.
Sememangnya ia bermula tentang pertikaian mengenai harga gas yang dibekalkan oleh Rusia kepada Ukraine. Tetapi kegagalan rundingan antara kedua-duanya pihak membawa kepada penghentian bekalan gas oleh syarikat tunggal Rusia, Gazprom pada hari tahun baru hingga boleh menjejaskan bekalan tenaga itu ke Eropah Barat.
Gazprom membekalkan satu perempat gas Eropah melalui paip merentas Ukraine.
Kiev menuduh Moscow mahu menjejaskan ekonomi Ukraine dengan menaikkan harga gas tetapi Moscow pula mendakwa negara itu mencuri gas yang sepatutnya dibekalkan kepada Eropah.
Amerika Syarikat (AS) sudah tentu campur tangan dan memberi sokongan kepada Ukraine. Selanjutnya tindakan Moscow itu menjejaskan keyakinan negara-negara Barat terhadap Rusia dalam konteks bahawa Moscow adalah pengerusi kumpulan negara-negara maju, G8 mulai Ahad lalu.
Sememangnya apa saja tentang tenaga termasuk gas menjadi isu sensitif walaupun bekalan Rusia ke Eropah hanya satu perempat. Tetapi apa yang menjadi isu ini bertambah bermakna ialah kedudukan Moscow sebagai pengerusi G8 bagi tahun 2006.
Maka terdapat tanda-tanda bahawa Rusia mahu menggunakan peluang ini untuk meningkatkan kedudukannya dalam pentas antarabangsa, seperti mana pernah ia peroleh pada zaman Soviet dahulu.
Sejak kejatuhan Soviet, kedudukan inilah merupakan pencapaian tertinggi Moscow untuk menunjukkan kekuatan pengaruh politiknya dalam hal ehwal sejagat.
Bulan lalu sudah dapat dilihat betapa Moscow cuba meningkatkan kedudukannya dengan usaha bersungguh-sungguh untuk diterima sebagai anggota Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) bersama dengan negara-negara baru yang cepat berkembang seperti China dan India.
Kejayaannya ialah apabila Rusia menerima sambutan baik dari Malaysia dan dalam sidang EAS tahun ini di Filipina dijangka Moscow akan diterima sebagai anggotanya melalui sokongan ASEAN.
Negara-negara besar seperti Jepun dan India juga mahukan penyertaan Rusia ke dalam EAS sebagai pengimbang kepada China. Tetapi China juga menerima penyertaan Rusia kerana ia pula dianggap boleh menjadi pengimbang kepada Jepun dan Australia, yang merupakan negara-negara maju dan menjadi sekutu AS. Washington sudah tentu tidak gemar kehadiran Moscow dalam EAS.
Tetapi tahun-tahun sebelum itu, Rusia sudah berusaha untuk meningkatkan profil diplomatiknya. Usaha Rusia ke dalam EAS dilakukan dalam sidang kemuncak Asia Timur pertama yang diusahakan oleh Malaysia. Kuala Lumpur pula adalah pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Sebelum Presiden Rusia, Vladimir Putin datang untuk menghadiri Sidang kemuncak Asia Timur itu, media Rusia melaporkan beliau mengunjungi Chechnya yang sedang bermasalah dengan Moscow, dan ia merupakan isu bagi OIC.
Namun begitu, pada tahun 2004, Moscow berjaya mendapat keyakinan anggota-anggota OIC untuk menerimanya hadir ke dalam sidang kemuncak negara-negara Islam yang diadakan di Putrajaya.
Aktiviti-aktiviti diplomatik ini menunjukkan bahawa walaupun Moscow tidak sekuat pengaruhnya seperti ketika ia menjadi Soviet, tetapi negara paling luas dunia itu terus mencuba untuk menjadi pengimbang kepada AS.
Setelah kejatuhan Soviet, Moscow mampu menganggap bahawa penerimaan kumpulan negara-negara maju, G8 menerimanya sebagai anggota pada tahun 1991 memberi nafas diplomatik yang penting kepadanya. Justeru, bekas negara komunis itu merupakan satu-satunya negara tidak maju yang menjadi anggota G8.
Terdapat pihak yang tidak menyetujui keputusan G8 membenarkan Moscow menjadi pengerusi kumpulan itu yang dibuat secara giliran atas dasar negara besar itu mempunyai rekod demokratik yang boleh dipertikaikan.
Tidak seperti pemimpin sebelumnya, Boris Yeltsin, Putin tidak begitu menekankan soal demokrasi kerana baginya pertumbuhan ekonomi adalah lebih penting. Beliau juga telah mencadangkan bahawa sidang G8 tahun ini, yang akan diadakan di St. Petersburg harus memberi fokus kepada keselamatan tenaga.
Rusia mempunyai simpanan tenaga yang besar dalam bentuk minyak dan gas. Potensinya masih jauh lebih besar dan Putin dilihat cenderung untuk menjadikan Rusia sebagai kuasa baru tenaga yang pada masa depan akan memulihkan kedudukannya sebagai kuasa besar.
Ketika kumpulan negara-negara maju mengundang Moscow untuk menjadi anggota, ia berlaku dalam konteks lain. Ketika itu, kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Kumpulan Tujuh, G7 mengundang Soviet yang masih diketuai oleh Mikhail Gorbachev sebagai usaha menggalakkan polisi keterbukaan (perestroika) yang berupa pembaharuan kepada sistem komunis.
Soviet tumbang pada tahun 1992 dan Rusia di bawah Yeltsin mewarisi keanggotaan G8 kerana negara-negara maju dalam sidang itu mahu Moscow meneruskan reformasi pasaran dan melindungi simpanan senjata nuklear, kimia dan biologi.
Apabila dilihat latar belakang ini, undangan negara-negara maju kepada Moscow untuk menyertai kumpulan itu bukanlah didorong kepada kedudukan Rusia, tetapi lebih merupakan kepada kepentingan mereka dalam isu-isu tertentu.
Maka sungguhpun Moscow menjadi anggota G8, negara itu tidak pernah diundang dalam diskusi ekonomi dan kewangan. Ini kerana walaupun Rusia mengalami pertumbuhan ekonomi pesat yang digerakkan melalui kehadiran minyaknya, Rusia berada pada kedudukan 16 dari segi ekonomi, lebih jauh daripada negara-negara G8 yang lain.
Anggota G8 yang lain ialah AS, Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Jepun dan Itali.
Masalah Rusia pada kaca mata negara-negara anggota G8 ialah amalan demokrasi dan ekonomi pasaran yang masih dianggap belum sempurna.
Putin dianggap telah melakukan pelbagai tindakan yang tidak mencerminkan amalan demokrasi dan pasaran bebas. Polisi-polisi berhubung dengan syarikat-syarikat besar milik kerajaan adalah berbentuk monopoli dan tidak menggalakkan persaingan secara sihat.
Sebaliknya polisi digubal itu lebih kepada memberi keuntungan pada golongan tertentu di atas kepentingan dana milik orang ramai.
Dari sini dapat dilihat G8 bukan saja berupa kumpulan negara-negara maju dari segi ekonomi tetapi ia juga bersifat ideologikal. G8 mahu kemajuan dikecapi di atas fahaman demokrasi dan ekonomi liberal. Bagi mereka, hanya cara itu, negara-negara dapat menikmati kemakmuran.
Bagi Putin, apa yang dikehendaki ialah pengembalian kekuatan Rusia, baik dari segi ekonomi mahupun politik.
Potensi besar yang dimiliki baginya sudah cukup untuk menjadikannya duduk semeja dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain.