Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 1 Januari 2006
Ketika memasuki tahun 2006 hari ini, Malaysia boleh dianggap berada pada kedudukan paling aktif di pentas antarabangsa dalam sejarahnya.
Ini kerana waktu ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri adalah pengerusi kepada empat pertubuhan dunia yang penting iaitu Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
Bagaimanapun, kecuali OIC, semua kedudukan Malaysia sebagai pengerusi pertubuhan-pertubuhan itu akan berakhir pada tahun 2006 apabila tempohnya tamat dan akan diambil alih oleh negara lain.
Kedudukan pengerusi OIC juga pada awalnya dijadualkan berakhir pada tahun 2006 apabila Senegal sepatutnya menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak pertubuhan negara-negara Islam itu.
Bagaimanapun, oleh kerana Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC baru saja diadakan pada awal Disember lalu di Jeddah, Arab Saudi, maka diputuskan bahawa Dakar hanya akan menjadi tuan rumah pada tahun 2007. Ini bermakna Malaysia akan menjadi pengerusi OIC setahun lagi.
Terhadap NAM, Malaysia akan menyerahkan jawatan pengerusi kepada Cuba apabila Havana menjadi tuan rumah sidang kemuncak NAM ke-14 September ini.
Ini adalah kali kedua Cuba menjadi pengerusi NAM dan ketua kerajaan yang menerajui negara itu pada kedua-dua sidang kemuncak ini ialah Fidel Castro, pemimpin paling lama memerintah di dunia.
Kali pertama Castro menjadi pengerusi NAM ialah pada sidang kemuncak pertubuhan itu kali ke-6 pada tahun 1979. Ketika itu, pemerintahan komunis dunia berada di puncaknya dan Kesatuan Soviet menjadi kuasa besar yang bersaing dengan Amerika Syarikat (AS).
Vietnam Selatan, Kemboja, Laos dan Afghanistan baru saja jatuh ke tangan komunisme.
NAM yang walaupun berupa gerakan negara-negara berkecuali daripada menjadi sekutu sama ada Washington atau Moscow tetapi ia turut dianggotai oleh negara-negara komunis.
Maknanya, negara-negara seperti Yugoslavia dan Cuba walaupun mengamalkan sistem komunis tidak mahu menyifatkan diri mereka sebagai sekutu Moscow.
Dunia ketika itu terbahagi kepada tiga. Dunia pertama merujuk kepada negara-negara maju yang demokratik dan mengamalkan sistem pasaran bebas. Dunia kedua adalah negara-negara komunis yang menjadi sekutu Moscow. Sementara dunia ketiga adalah negara-negara membangun dan mundur yang tidak mengamalkan sistem komunisme.
Bagaimanapun, bagi Washington, NAM hanyalah satu pertubuhan barisan depan untuk kepentingan Moscow. Lebih-lebih lagi apabila Cuba menjadi pengerusi NAM. maka pertubuhan itu dianggap sebagai pembangkang kepada AS.
Kini Cuba masih bersikap anti-AS. Walaupun hakikat ini benar, sudut lain yang boleh diperhatikan ialah bahawa AS yang bersikap anti-Cuba.
Sememangnya satu ironi bahawa Cuba masih mengamalkan sistem komunis dalam dunia yang sudah menganggap ideologi itu sebagai tidak praktikal dan ketinggalan zaman. Cuba adalah salah satu daripada empat negara komunis dunia yang tinggal. Negara-negara lain ialah China, Korea Utara, Vietnam dan Laos. Tetapi hanya Korea Utara dan Cuba yang masih belum membuka ekonomi mereka. China, Vietnam dan Laos walaupun diperintah oleh parti komunis telah pun membuka pasaran mereka dengan mendatangkan kesan memberangsangkan bagi masa depan rakyatnya.
Fahaman
Sementara Korea Utara dan Cuba telah kaku dalam muzium ideologinya. Ketika mana Korea Utara telah bertukar pemimpin daripada pengasasnya, iaitu Kim Il-Sung kepada anaknya, Kim Jong-Il; Cuba terus diperintah oleh Castro yang berusia 79 tahun. Pada 13 Ogos akan datang ini, Castro akan menyambut hari jadinya ke-80.
Suatu yang ironi bahawa pada tahun 2006 iaitu jauh daripada era komunisme, suatu pertubuhan dunia sebesar NAM dipengerusikan oleh sebuah negara kecil, Cuba yang masih diperintah oleh komunis dan dipimpin oleh era-60-an.
Kecuali China, semua negara komunis yang ada pada hari ini adalah anggota NAM.
Sememangnya Castro, sistem kerajaan Cuba dan NAM sendiri berasal daripada sistem tahun 60-an. NAM mempunyai asal usul daripada Konferensi Bandung tahun 1955 ketika banyak negara baru mencapai kemerdekaan dan terpengaruh dengan fahaman kiri.
Ternyata ketika komunisme tumbang di Moscow dan berakhirnya Perang Dingin hingga hilang makna dunia pertama, kedua dan ketiga; maka terdapat suara yang mempersoalkan kerelevanan NAM.
Tetapi ketika Malaysia menjadi pengerusi, NAM menunjukkan kerelevanannya apabila ia menjadi pengimbang penting kepada sikap unipolar AS. Negara-negara NAM komited untuk menggalakkan polisi multilateralisme yang dirasakan perlu sejak AS melancarkan perang ke atas Iraq.
Dibandingkan OIC dan ASEAN, NAM merupakan pertubuhan tertua kerana ia diwujudkan pada tahun 1961 apabila Yugoslavia di bawah pimpinan Broz Tito menjadi pengerusi. Kini negara Yugoslavia pun sudah tidak wujud. Negara pewarisnya, Serbia dan Montenegro hanya mampu diterima sebagai pemerhati.
OIC ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai reaksi negara-negara Islam terhadap pembakaran Masjid Al-Aqsa. Ia menjadi platform antarabangsa utama yang memperjuangkan pembebasan Palestin selepas Liga Arab. Kebanyakan anggota OIC adalah juga ahli NAM. Sikap OIC dan NAM terhadap Palestin adalah selari.
Badan dunia Islam menjadi bertambah relevan bukan saja kerana masalah Palestin dan Baitulmaqdis belum dapat diselesaikan. Tetapi kini isu-isu berhubung keganasan antarabangsa dan pembangunan menjadikan pertubuhan ini lebih relevan. Sepanjang Malaysia menjadi pengerusi OIC, soal memperkemaskan jentera pentadbiran dan penekanan terhadap kerjasama ekonomi adalah ditekankan.
Dalam dasar luar Malaysia, pertubuhan-pertubuhan multilateral seperti OIC, NAM, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan lingkaran luar kepada polisi negara yang menitikberatkan kepada usaha mewujudkan keamanan, kerjasama dan kemakmuran ekonomi.
Lingkaran dalam, atau teras bagi dasar luar Malaysia ialah ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967. Malaysia yang menjadi pengerusi ASEAN pada waktu ini akan melepaskannya di penghujung 2006 apabila Filipina menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-12 di Cebu.
Tempoh Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, walaupun pendek adalah penting kerana ia juga merupakan pengerusi pertama Sidang Kemuncak Asia Timur yang dianggotai oleh 10 negara ASEAN, China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand. Rusia telah pun diterima menjadi ahli pemerhati.
Pada Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-2 di Cebu pada November 2006 itu kelak, keputusan akan dibuat untuk menjadikan Rusia sebagai negara anggota. Matlamat sidang ini adalah pewujudan Komuniti Asia Timur (EAC).
ASEAN dan EAC ini merupakan lingkaran utama perhatian dasar luar Malaysia kerana ia membabitkan kesan besar baik dari segi politik dan ekonomi.
Sepatutnya, pengerusi ASEAN selepas Malaysia adalah Myanmar. Tetapi negara itu mempunyai masalah politik dalaman yang menyebabkan ia tidak dapat berfungsi selaku anggota ASEAN efektif.
Adalah menjadi ironi bahawa masalah utama politik ASEAN bukannya berkaitan dengan ideologi komunis tetapi layanan buruk pemerintah Myanmar terhadap pembangkangnya yang menang pilihan raya secara sah.
Dinamik
Myanmar bukan sebuah negara komunis tetapi pasarannya masih tertutup. Sedangkan negara-negara komunis ASEAN iaitu Vietnam dan Laos dengan ghairah membuka ekonomi mereka. Malah Vietnam dijangka menjadi ekonomi paling dinamik.
Apa yang menjadi masalah bagi ASEAN tentang Myanmar bukannya soal demokrasi tetapi lebih kepada hak asasi dan layanan mereka terhadap pembangkang, yang terus dipertikaikan oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam dunia yang berkaitan seperti hari ini, pertikaian mereka tidak boleh diketepikan begitu saja. lebih-lebih lagi hubungan politik dan ekonomi ASEAN dengan kedua-dua kuasa itu amat penting.
Pada awal-awal penubuhan ASEAN sendiri, negara-negara anggota asal seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak mengamalkan sistem demokrasi. Suharto dan Ferdinand Marcos juga tidak melayan baik pihak pembangkang. Tetapi mereka adalah sekutu AS dan pihak Barat tidak mempertikaikan tindak-tanduk mereka. Maka ia tidak menjadi masalah.
Dalam tahun 2006, ASEAN akan berusaha sekali lagi untuk mencari penyelesaian terhadap Myanmar.
ASEAN pada awalnya ditubuhkan dalam kerangka negara-negara bukan komunis dengan sokongan Washington untuk melawan kemaraan komunisme di Vietnam yang juga berkaitan dengan teori domino.
Dari satu segi, ia juga merupakan lanjutan kepada konsep Malaysia sendiri. Malaysia merupakan gabungan bekas tanah jajahan Britain yang dianggap mampu menjadi benteng kepada kemaraan pengaruh komunis di Indonesia semasa Sukarno.
Setelah berjaya Sukarno dijatuhkan, Indonesia di bawah Suharto menjadi negara teras kepada ASEAN, yang bersama Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina merupakan benteng baru terhadap sebarang perlayasan komunis di Indo-China.
Tetapi apabila AS mengadakan hubungan dengan China dan kedua-duanya berpakat menghadapi Soviet walaupun Beijing mengamalkan komunisme, percaturan politik bagi ASEAN sudah berubah.
Apabila Hanoi dengan sokongan Moscow yang berjaya mara dan menguasai ketiga-tiga negara Indo-China, ASEAN memandang Vietnam sebagai ancaman. Justeru sokongan ASEAN diberikan kepada kerajaan buangan Kemboja sokongan Beijing yang turut dianggotai Khmer Rouge, parti komunis paling zalim dalam sejarah, bagi menentang kerajaan Phnom Penh sokongan Hanoi.
Setelah kejatuhan Soviet, Hanoi dan selanjutnya Phnom Penh turut menyertai ASEAN dan perseteruan di Indo-China tinggal menjadi sejarah pahit.
Kini ASEAN dikembangkan hingga meliputi kesemua negara di Asia Tenggara yang bersatu supaya mereka dapat berdepan dengan cabaran ekonomi China.
Kebimbangan ASEAN terhadap China bukan lagi kerana politik tetapi lebih kepada soal daya saing ekonomi. Bagaimanakah ASEAN mahu mendapat manfaat dan bukannya menjadi mangsa kepada pertumbuhan pesat ekonomi China?
Maka cara terbaik ialah EAC. Justeru masa depan bagi Malaysia dan ASEAN terletak dalam banyak faktor atas kejayaan gagasan Komuniti Asia Timur ini.
Selaku pengerusi Sidang Kemuncak Asia Timur pertama, Malaysia mempunyai peranan penting dalam tahun 2006 untuk merealisasikan cita-cita satu komuniti ini.
Bagaimanapun, masalah politik utama Asia Timur ialah mengenai hubungan baik antara China dan Jepun, dua gergasi yang menjadi teras kepada komuniti ini.
Ironinya masalah antara kedua-keduanya bukan kerana ideologi atau ekonomi tetapi lebih kepada soal sejarah dan sentimen nasionalisme.
Pembunuhan beramai-ramai oleh tentera fasis Jepun di Nanjing, China dalam Perang Dunia Kedua dahulu terluka kembali setiap kali Perdana Menteri, Junichiro Koizumi menziarahi tanah perkuburan Yasukune, Tokyo.
Ini menjadi cabaran bagi hubungan China-Jepun dan selanjutnya keseluruhan Asia Timur. Sedangkan terdapat masalah lebih besar di rantau ini yang perlu diselesaikan seperti isu Korea Utara dan Taiwan.
Sedangkan tahun 2006 ini, Asia diberi peluang untuk mengemukakan calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Kofi Annan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada Disember lalu.
Thailand berharap calonnya disokong oleh ASEAN dan Asia Timur. Tetapi kata putus terletak di tangan Washington.