Masa depan pada telefon

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 19 Januari 2006


Buat masa ini sememangnya ibu bapa dan banyak pihak tidak bersetuju kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah.

Ini kerana golongan yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab dalam masyarakat hari ini adalah generasi yang membesar tanpa telefon bimbit.

Bukan itu saja, banyak kalangan generasi ini ketika mereka mencecah dewasa dahulu tidak mempunyai telefon di rumah ibu bapa masing-masing di kampung.

Tetapi pelajar-pelajar di sekolah hari ini adalah generasi telefon bimbit, iaitu di samping kemahiran mereka menggunakan komputer dan gajet-gajet terkini seperti MP3 dan iPod.

Masa depan adalah milik gajet-gajet ini dan paling terulung ialah telefon bimbit, yang pada satu hari kelak bukan saja bertindak sebagai kamera dan video tetapi banyak lagi fungsi yang belum tergambar oleh manusia sekarang.

Sesungguhnya pada masa depan telefon bimbit bukan semata-mata alat komunikasi tetapi alat perlu bagi manusia yang sudah bergantung pada teknologi.

Jangan terkejut bahawa pada satu masa kelak, telefon bimbit ini akan menjadi alat pendidikan. Semua pelajar diwajibkan memilikinya seperti mana mereka perlu mempunyai buku teks pada hari ini.

Pada masa depan, silap gaya kerajaan terpaksa memberi bantuan telefon bimbit kepada pelajar yang kurang mampu.

Generasi telefon bimbit ini pada satu hari akan menjadi ibu bapa, dan mereka pasti menghadapi cabaran lain yang tidak tergambar oleh datuk nenek mereka.

Majalah Newsweek keluaran September tahun lalu melontarkan satu senario di mana manusia tidak lagi membaca untuk mendapat ilmu.

Malah sekarang pun tanda-tandanya sudah ada.

Generasi remaja sekarang tidak mempunyai keupayaan untuk menatap buku pada jangka waktu yang lama. Sebaliknya mereka boleh duduk berjam-jam di hadapan skrin komputer, atau telefon bimbit.

Akhirnya ilmu pengetahuan yang akan disampaikan tidak akan berbentuk tulisan. Mungkin dalam bentuk lain, secara multimedia dalam pakej bukan sebagai karya sastera atau non-fiksyen, sebaliknya dalam format yang tidak dapat dijangkakan.

Umpamanya permainan komputer yang ada hari ini mungkin bergabung dengan video dan muzik untuk menjadi wahana baru bagi menyampaikan ilmu pengetahuan.

Sebelum wujudnya tulisan, ilmu pengetahuan disampaikan secara lisan oleh penglipur lara. Satu hari mungkin tulisan akan dianggap sebagai kaedah purba yang ketinggalan zaman. Cuba berhenti sejenak dan lihatlah bagaimana anak-anak sekarang tekun menatap skrin komputer dan telefon bimbit. Interaktiviti sudah menggantikan literasi.