Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 29 Mac 2006
DI kalangan rakyat asing khususnya dari negara-negara Dunia Ketiga, Malaysia merupakan sebuah negara idaman. Negara ini mewah, banyak pekerjaan dan rakyatnya cukup baik hati. Lantaran itu dewasa ini terdapat pelbagai jenis rakyat asing di Malaysia.
Mereka datang dengan pelbagai cara – sebagai pelajar, pelancong dan pesara di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku. Ini tidak menghairankan kerana Malaysia terkenal hingga ke kampung-kampung kecil di Afrika.
Kita sebenarnya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka benar-benar datang atas tujuan sebagaimana kelulusan visa. Pokoknya, ramai yang datang dengan tujuan untuk menetap dan bekerja.
Perkara ini telah berterusan sejak beberapa tahun lalu. Jadi apabila Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, membongkar mengenai penipuan dan penyalahgunaan visa baru-baru ini, tidak ramai yang terkejut.
Menurut menteri itu, rakyat Bangladesh mendaftar sebagai ‘pelajar' dengan beberapa buah kolej, tetapi menghabiskan 80 peratus dari masa mereka bekerja di restoran dan tapak pembinaan.
Sebagai orang Perlis, Radzi mesti masih ingat tentang pendatang haram yang memasuki Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thai pada tahun-tahun 1990-an. Hingga Malaysia terpaksa membina tembok sempadan. Tindakan Malaysia ini telah mengeruhkan hubungan dua hala Malaysia-Thai di kala itu.
Peliknya ramai warga asing ini jatuh cinta dengan Malaysia meskipun ada orang Malaysia yang tidak senang dengan negaranya sendiri. Begitu juga dalam keadaan 80,000 orang graduan Malaysia menganggur.
Sebenarnya segala penipuan ini berlaku oleh kerana dasar Malaysia yang sering berubah-ubah. Dalam keadaan kita menghadapi masalah pendatang tanpa izin, kita telah mengeluarkan satu dasar baru iaitu membenarkan pelajar asing bekerja.
Tujuannya semata-mata untuk menggalakkan pelajar-pelajar asing belajar di Malaysia.
Begitu juga, dalam usaha menggalakkan pelancongan, Malaysia telah mempermudahkan permohonan visa. Kini permohonan visa boleh dibuat secara online dan melalui agensi-agensi pelancongan.
Pegawai-pegawai imigresen di pintu-pintu masuk pula tidak boleh menyoal pelancong-pelancong ini. Kita bimbang pelancong-pelancong lain dari negara mereka akan takut datang ke Malaysia.
Tindakan Malaysia dalam soal visa ini nampaknya terlalu terkehadapan dibandingkan negara-negara maju di dunia.
Saya terbaca cerita mengenai Program Malaysia Rumah Keduaku juga telah disalahgunakan. Khabarnya ada antara peserta program bukan pesara. Malahan ada yang bekerja. Ini bertentangan dengan dasar program itu.
Kita lupa dasar kita mudah diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang memang pakar dalam soal putar-belit atau ‘putaq alam’ kata orang utara.
Pihak berkuasa mesti sedar pelancong tidak akan datang sekadar mempermudahkan permohonan visa. Yang penting ialah produk dan pegawai-pegawai pejabat pelancongan yang berkelayakan dalam pelbagai bidang.
Siapakah yang harus dipersalahkan?
Pastilah pihak-pihak tertentu di Malaysia. Sebagai mana kata menteri berkenaan, pihak agensi (pekerjaan) membawa masuk ‘pelajar-pelajar’ ini atas dasar untuk belajar di beberapa buah kolej dan apabila sampai di negara ini, mereka dihantar bekerja di restoran-restoran dan sektor pembinaan.
Pelajar-pelajar ini pula dikeluarkan visa oleh kedutaan-kedutaan kita selepas mendapat kelulusan Jabatan Imigresen.
Rakyat Bangladesh ini tidak harus dipersalahkan. Sebagai sebuah negara miskin, rakyatnya akan berbuat apa saja untuk mendapat wang. Pada tahun 1990-an, ribuan rakyat Bangladesh memasuki Malaysia setelah bersembunyi di hutan-hutan perbatasan Malaysia-Thai. Mereka masuk dengan bantuan rakyat Malaysia.
Bagi memastikan masalah ini tidak berulang, kerajaan harus mengambil tindakan yang cukup tegas dan keras. Memandangkan isu ini melibatkan keselamatan negara, pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini hendaklah dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Jelaslah kedatangan para pelajar ini dirancang terlebih dahulu. Kalau tidak masakan mereka terus mendapat pekerjaan.
Ketika saya bertugas (Kementerian Luar) dahulu, didapati ada antara pihak-pihak yang mengeluarkan surat kelulusan imigresen yang palsu dan begitu juga surat penerimaan masuk dari kolej-kolej swasta.
Sebagai bekas pegawai kerajaan, saya sedih bila jabatan-jabatan kerajaan dikritik sebagai tidak efisien dan rasuah.
Namun, masyarakat mesti faham, tidak semua buah yang berulat. Banyak yang manis dan harum. Tetapi buah yang berulat inilah yang sering diperkatakan orang.