Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Mac 2006
APABILA Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini menyatakan bahawa usaha akan dilakukan merapatkan jurang perbezaan antara sekolah di bandar dan luar bandar melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), maka dapat dikesan mesej yang bakal dibawa oleh dokumen itu.
RMK-9 dijadualkan dibentangkan Jumaat ini di Parlimen dan ia menjadi dokumen nasional yang penting untuk rakyat Malaysia.
Mesej keseimbangan ini dipercayai bukan saja dalam hal sekolah tetapi juga kesemua sektor negara, baik pendidikan, infrastruktur, malah dalam soal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Hishammuddin juga menyebut tentang merapatkan jurang digital antara sekolah di bandar dan di luar bandar tetapi ia berkemungkinan meliputi sektor bukan pendidikan. Maknanya, jurang digital yang merujuk kepada perbezaan pendedahan masyarakat terhadap kemudahan ICT seperti komputer dan Internet di antara bandar dan luar wajar diperkecilkan, yang boleh dilakukan melalui RMK-9 ini.
Soal merapatkan jurang bandar dan luar bandar bukanlah perkara baru. Ia juga disebut dalam rancangan-rancangan Malaysia terdahulu. Malah sudah dianggap sebahagian daripada idealisme rancangan pembangunan ekonomi untuk menghapuskan perbezaan antara bandar dan luar bandar. Malah ia menjadi sebagai salah satu agenda menentang penindasan atau peminggiran segolongan manusia oleh sebilangan kecil manusia yang memiliki kuasa.
Apabila disebut jurang, rancangan pembangunan ekonomi tidak akan hanya menyentuh hubungan antara bandar dengan luar bandar tetapi juga perkara-perkara lain seperti antara dua golongan, kaya dan miskin.
Berhubung dengan jurang digital, yang fenomenanya bertambah pesat sejak lima tahun kebelakangan ini, iaitu sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-8, perluasannya melebarkan jarak antara bandar dengan luar bandar, dan antara golongan kaya dan miskin.
Maka rancangan pembangunan ekonomi bukan saja berusaha untuk menghalang meluas lagi jurang ini tetapi juga merapatkannya. Jika dibiarkan tanpa perancangan, seolah-olah seperti konsep entropi dalam sains, keadaan masyarakat akan melebarkan lagi jurang antara bandar dan luar bandar, dan kaya dan miskin.
Maknanya, adalah menjadi satu perkembangan semula jadi bagi meluaskan jurang antara dua pihak ini dan hanya usaha dengan penuh kesedaran dapat mengatasinya.
Untuk merapatkan jurang, tidak pula bererti menarik turun kedudukan bandar untuk setaraf dengan luar bandar. Sebaliknya, usaha hendak dibuat supaya pihak luar bandar yang dinaikkan taraf untuk menjadi bandar.
Begitu juga dengan layanan terhadap golongan miskin dan kaya. Rancangan pembangunan ekonomi bukan bertujuan untuk menurunkan pendapatan atau mutu kehidupan golongan kaya supaya menjadi setaraf dengan golongan seperti mana yang telah berlaku di negara-negara komunis dahulu. Sebaliknya usaha rancangan pembangunan adalah untuk menaikkan taraf golongan miskin supaya kehidupan menjadi bertambah baik.
Di sinilah timbul konsep kelas menengah. Iaitu cara untuk merapatkan jurang miskin kaya adalah dengan meningkatkan bilangan kelas menengah dalam negara. Maknanya rancangan pembangunan ekonomi negara bukan saja tidak mahu menjejaskan kedudukan golongan kaya tetapi ingin menambahkan bilangan anggota kelas menengah daripada kalangan golongan miskin.
Sementara itu satu tumpuan khas diberikan terhadap usaha menghapuskan kemiskinan tegar.
Pemahaman perkara ini juga boleh dibuat ke atas jurang antara bandar dan luar bandar. Maknanya, mutu kehidupan bandar bukan saja dipertahankan tetapi juga terus diperbaiki. Ia menjadi penanda aras kepada kemajuan negara. Sementara itu konsep kelas menengah juga diguna pakai terhadap hubungan bandar dengan luar bandar.
Maknanya, rancangan pembangunan perlu meningkatkan mutu luar bandar supaya memiliki kemudahan bandar secara wajar. Untuk itu, akan diwujudkan separa bandar atau bandar menengah, yang kedudukannya adalah antara bandar dengan luar bandar.
Konsep yang serupa juga boleh diguna pakai terhadap jurang digital. Kemuncak kepada masyarakat digital adalah penggunaan sepenuhnya kemudahan ICT, daripada komputer, pengaksesan Internet hingga kepada telefon selular.
Tetapi tidaklah semua orang mampu memiliki komputer. Selain itu, banyak kawasan di negara ini yang tidak mempunyai infrastruktur jalur lebar hingga membantutkan perkembangan ICT.
Maka di sinilah juga terletak konsep kelas menengah dalam jurang digital. Maknanya di antara mereka yang penuh bestari dari segi ICT kepada yang langsung terpinggir, maka diwujudkan satu medan menengah antara kedua- duanya.
Sebagai contoh, jika di luar bandar, kemudahan komputer dan Internet tidak wujud di rumah-rumah, maka usaha untuk menubuhkan pusat-pusat Internet awam, baik secara komersial melalui kafe siber atau perpustakaan awam dapat mewujudkan medan menengah digital ini. Begitu juga dengan penggunaan telefon selular yang boleh meletakkan pengguna daripada kedudukan terpinggir dalam ICT kepada medan menengah.
Berkait dengan jurang antara bandar dan luar bandar ialah perbezaan kedudukan ekonomi wilayah. Majoriti penduduk Malaysia tinggal di luar bandar dan kemajuan antara wilayah juga menunjukkan perbezaan ketara.
Contoh paling ketara ialah antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak serta Sabah. Dalam Semenanjung Malaysia pula, adalah antara Pantai Barat dengan Pantai Timur.
Maknanya, konurbasi atau himpunan penempatan manusia padat paling utama terletak di Lembah Klang yang melebar hingga mencakupi Negeri Sembilan. Kemudian terdapat konurbasi lebih kecil di Pulau Pinang dan sekitarnya. Begitu juga dengan Johor Bahru dan sekitarnya.
Wahana yang boleh merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, dalam erti kata wilayah bandar dengan wilayah luar bandar ialah komunikasi dan pengangkutan.
Kedua-duanya, pengangkutan dan komunikasi dipercayai menjadi perkara penting yang ditangani dalam RMK-9 ini boleh menyumbang kepada peningkatan kedudukan penduduk luar bandar.
Melalui pengangkutan dan komunikasi, modal insan di luar bandar dapat ditingkatkan. Perdagangan dan penghijrahan antara kedua-dua tempat, bandar dan luar bandar atas tujuan kegiatan ekonomi akan memperbaiki tahap luar bandar.
Begitu juga dengan sekolah dan institusi pengajian, khususnya di luar bandar. Mereka amat memerlukan keberkesanan pengangkutan dan komunikasi. Nantinya, universiti di luar bandar dan di bandar mempunyai kedudukan kemudahan yang serupa.
Ilmu pengetahuan boleh bergerak melalui buku yang diangkut secara cekap di atas lebuh raya di samping laluan Internet yang tidak membezakan antara kota dan desa.
Sememangnya harga minyak yang meningkat mampu menjejaskan pengangkutan. Tetapi dipercayai keadaan ini mendorong rasionalisasi pengangkutan supaya lebih cekap. Maka RMK-9 wajar memberi ruang besar kepada pengangkutan awam, dan dalam hal ini, masa depan terletak pada pembangunan kereta api yang tidak menggunakan bahan api petroleum.