Bunuh diri di Guantanamo

Oleh: Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 13 Jun 2006


Tiga tahanan di pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba, dua orang warga Arab Saudi dan seorang warga Yemen diumumkan telah membunuh diri.

Televisyen menyiarkan pemandangan bilik tahanan yang dipancarkan ke seluruh dunia. Biliknya kemas, maklumlah penjara negara dunia pertama, dan sehelai sejadah berwarna hijau terbentang di atas salah sebuah katil tahanan berkenaan.

Presiden George W. Bush menyatakan perhatian beratnya terhadap kejadian bunuh diri ini tetapi Laksamana Madya Harry Harris yang mengetuai Pasukan Petugas Gabungan Guantanamo menyatakan bahawa tahanan-tahanan itu adalah teroris dan jihadis yang berdedikasi dan tindakan mereka “bukannya kerana keadaan terdesak, tetapi merupakan sebahagian daripada kaedah perang asimetrik dilakukan bagi menentang kita (AS).”

Dari sini dapat dilihat bahawa ketika dunia, termasuk Presiden Bush memandang berat terhadap kejadian bunuh diri yang boleh menunjukkan kezaliman kem tahanan Guantanamo itu, pihak tentera AS menilainya, sekurang-kurangnya di peringkat awal ini bahawa kejadian itu merupakan sebahagian daripada taktik pengganas dalam peperangannya menentang AS.

Kaedah perang asimetrik atau asymmetric warefare merujuk kepada peperangan yang tidak setara antara kedua pihak. Makanya, ia bukanlah perang konvensional yang memperlihatkan pertembungan dua bala tentera sepadan.

Perang biasa ini boleh disebut sebagai simetri iaitu kedua-dua belah pihak mempunyai kekuatan dan cara serupa dalam satu pertembungan.

Asimetri bermakna tidak simetri apabila dirujuk kepada kaedah perang bermaksud perang yang tidak menggunakan cara atau kekuatan serupa.

Perang gerila, revolusi dan terorisme adalah antara contoh kaedah asimetri ini.

Jadi jika menurut jalan fikir laksamana tentera AS, kejadian bunuh diri itu tidak perlu diratapi atau mengejutkan kerana ia hanyalah satu cara perang pengganas. Maksudnya, dengan pembunuhan diri itu, dunia akan mengenakan tekanan terhadap AS supaya menutup kem tahanan Guantanamo dan membebaskan tahanan-tahanannya, dan mereka akan kembali menyertai perang menentang AS melalui keganasan.

Apa yang dilihat oleh mereka ialah peperangan. Tetapi bagi dunia, kem tahanan Guantanamo adalah satu kezaliman yang bercanggah dengan Konvensyen Geneva mengenai tahanan perang.

Seramai 460 orang ditahan di situ tanpa perbicaraan dan tidak ditentukan tarikh pembebasannya. Ia tidak mematuhi sebarang undang-undang. Dalam keadaan yang tidak mempunyai harapan, tidakkah tahanan itu mengalami tekanan besar yang boleh mendorong mereka membunuh diri?

Banyak persoalan yang boleh diutarakan mengenai pembunuhan diri, Guantanamo dan perang antara AS dan pengganas.

Pertamanya, apa yang jelas bunuh diri dilarang keras oleh Islam. Tidak ada kompromi mengenainya. Nyawa adalah hak Allah s.w.t. dan tidak ada makhluk berhak mengambilnya tanpa mengikut syarak. Menurut syarak, seseorang tidak boleh membunuh diri.

Sebab itu, antara hujah bagi menentang serangan berani mati ialah elemen bunuh diri yang di dalamnya. Dalam jihad atau perang, bunuh diri tetap diharamkan. Seseorang yang pergi perang mesti bersiap sedia dan mengelak diri daripada terbunuh. Senjata dan kaedah mesti lengkap supaya nyawa terpelihara. Bagaimanapun jika mati juga dalam jihad, maka ia adalah syahid.

Serangan berani mati yang membahayakan orang awam dianggap sebagai tidak menepati syariah. Bagaimanapun ada ulama kontemporari menjadikan medan Palestin sebagai kekecualian kerana mereka berhadapan dengan jentera perang Israel yang begitu kuat, zalim dan disertai sendiri oleh orang awam negara Zionis itu.

Umumnya, tahanan di Guantanamo itu adalah mereka yang faham dan komited terhadap Islam dan pasti faham mengenai larangan membunuh diri.

Jarang benar terdengar tahanan orang Islam walaupun diseksa teruk melakukan tindakan membunuh diri, hatta di penjara-penjara berpemerintahan diktator di kalangan negara Islam yang keadaannya lebih dahsyat daripada Guantanamo.

Tetapi tahanan di Guantanamo itu adalah mereka yang ditangkap semasa perang AS di Afghanistan. Besar kemungkinan antaranya adalah anggota Al-Qaeda yang turut percaya terhadap cara keganasan yang dianjurkan Osama bin Laden.

Tetapi banyak lagi yang merupakan pejuang-pejuang asing di bumi Afghanistan yang menyokong Taliban. Perlu dibezakan antara Taliban dan Al-Qaeda. Tidak semua pejuang Taliban mengikut cara Al-Qaeda yang berpegang cara keganasan.

Pejuang-pejuang Taliban yang datang dari banyak negara Islam percaya mereka berjihad untuk menegakkan Islam di bumi Afghanistan. Walaupun fahaman Taliban yang fundamentalis ditolak oleh orang Islam arus perdana tetapi mereka tidak sama dengan keganasan yang dibawa oleh Al-Qaeda.

Apa yang malang bagi umat Islam ialah peperangan antara Taliban dan Perikatan Utara merupakan suatu perang saudara. Perikatan Utara yang asalnya adalah mujahidin juga disertai oleh pejuang Islam yang berada di Afghanistan untuk mengusir tentera komunis dahulu.

Mujahidin ini mendapat senjata dari AS. Begitu juga dengan Taliban yang memperoleh senjata daripada sekutu- sekutu AS.

Washington hanya melihat dari sudut perang antara dirinya dengan pihak-pihak yang menentangnya dari kalangan orang Islam. Mereka menggunakan istilah jihadis dan teroris bagi merujuk golongan ini.

Tetapi jihadis atau istilah sebenarnya mujahidin, iaitu pejuang jihad dan teroris membawa dua maksud berbeza. Teroris iaitu pengganas tidak boleh menjadi jihadis. Ini kerana keganasan dilarang dalam Islam. Pejuang jihad tidak boleh menjadi pengganas. Sementara pengganas tidak boleh dianggap sebagai mujahid.

Bagi AS, mungkin ada benarnya, jihadis dan teroris wajar dilayan sama kerana kedua-dunya menjadikan Washington sebagai musuhnya.

Maka persoalannya di sini: Adakah AS musuh umat Islam? Atau adakah umat Islam musuh AS? Sudah tentu anggapan umum begini tidak wajar.

Umat Islam tidak memusuhi AS, dan Washington tidak memusuhi umat Islam.

Tetapi banyak dasar luar AS mengancam kedudukan umat Islam baik di Palestin, Iran, Iraq dan Afghanistan.

Umat Islam pula tidak memusuhi Islam walaupun banyak yang marah dan kecewa. Dan antara yang amat marah dan kecewa ini, muncullah segolongan yang melancarkan perang ke atas AS, baik melalui serangan bersenjata mahupun melalui kaedah bom bunuh diri.

Tetapi adakah bunuh diri tahanan Guantanamo itu merupakan satu taktik perang? Tidakkah lebih tepat kem tahanan Guantanamo itu merupakan institusi zalim yang berada di luar amalan perang negara-negara bertamadun. Walaupun kelihatan kemas tetapi kem tahanan itu merupakan pusat penderaan jiwa yang jelas merupakan tindakan perang ke atas orang Islam yang tidak jelas kesalahan mereka. Ini kerana tidak ada perbicaraan dan kalau ia berbentuk tahanan perang, maka tidak pula menepati Konvensyen Geneva.