Rebutan kuasa Barat–Islam

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 4 Jun 2006


Filem The Da Vinci Code berakhir dengan satu mesej yang boleh menggambarkan tentang kedudukan tamadun dunia berasaskan Barat ini.

Walaupun filem itu hanyalah fiksyen tetapi ia menyatakan bahawa kebenaran mungkin diselindungkan demi wujudnya ketenteraman dan kestabilan yang ada.

Maknanya kebenaran yang boleh merosakkan keselesaan banyak orang di seluruh dunia tidak wajar didedahkan. Biarlah manusia hidup dalam kepalsuan asalkan mereka berasa bahagia dan tenteram. Filem yang berdasarkan pada buku tulisan Dan Brown itu mengemukakan hakikat kononnya akidah Kristian yang ada sekarang tidak betul. Tetapi kebenaran ini tidak wajar didedahkan kerana kasihankan begitu banyak penganut agama itu yang selesa dengan kepercayaan mereka.

Di sinilah letaknya hakikat kepercayaan dunia Barat. Umumnya kebanyakan daripada mereka sudah tidak percaya kepada agama. Mereka sama ada merupakan ateis, agnostik atau skeptik. Iaitu tidak percaya Tuhan, tidak dapat memutuskan kepercayaan tentang Tuhan atau meragui agama.

Namun begitu, mereka tidak mahu menolak tradisi budaya dan intelektual yang berasal Kristian. Kepercayaan yang seolah- olah mereka miliki ialah menerima budaya Kristian dengan menolak kepercayaannya. Mereka tetap bersikap toleran terhadap kepercayaan agama Kristian tetapi pada waktu yang sama mahu pihak gereja turut menghormati pegangan bebas mereka.

Cara fikir seumpama ini sering kali dikaitkan dengan fahamn sekularisme, iaitu memisahkan agama dengan kehidupan bermasyarakat. Tetapi apa yang berlaku di Barat bukanlah begitu. Mereka menolak agama tetapi mahu berpegang pada tradisi budaya dan intelektualnya, tanpa menindas kalangan yang mahu terus teguh dengan kepercayaan Kristiannya.

Maka tidak hairanlah The Da Vinci Code bukan saja popular tetapi terdapat usaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkannya di seluruh dunia. Di kalangan penganut agama Kristian, reaksi mereka berbeza. Ada segolongan kecil marah kerana ia melecehkan akidah agama Kristian. Tetapi kebanyakannya menerima bukan saja kerana bersikap toleran terhadap apa yang dianggap sebagai fiksyen tetapi mengalu-alukan sesuatu karya yang menggambarkan tradisi jati diri mereka. Iaitu berasaskan pada Kristian dan segala kehebatannya tetapi tidak terikat dengan agama dan kepercayaan. Justeru, cerita itu walaupun berkisar kepada kehidupan Jesus Christ dan konon keturunannya tetapi ia melibatkan banyak unsur Renaisans seperti Leonardo Da Vinci, Enlightenment dan Revolusi Industri dan Sains yang diwakili oleh Isaac Newton.

Perlu diingat bahawa Newton menganut fahaman Arianisme yang menganggap Jesus Christ sebagai seorang manusia dan bukan anak Tuhan.

Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains mengandungi banyak unsur yang bertentangan dengan Kristian. Tetapi keseluruhan ini dianggap sah dan merupakan sebahagian daripada tradisi dan budaya Barat.

Di sinilah seolah-olah The Da Vinci Code mahu menampilkan bahawa Barat merupakan satu kepercayaan yang bukan Kristian tetapi berasal dan merangkumi Kristian.

Maka Barat bukanlah Amerika Syarikat (AS) semata-mata, ia mempunyai asal dan asas di Eropah. Maka begitulah novel The Da Vinci Code yang banyak berkisar di Eropah iaitu Perancis dan Britain. Dengan latar Itali yang kuat.

Sejak Perang AS ke atas Iraq, terdapat tanda-tanda perpecahan di kalangan dunia Barat dalam soal politik. Rusia, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Kanada tidak bersama AS.

Rusia, Perancis dan Jerman bercakap tentang multilateralisme. Konsep ini pula turut diperjuangkan oleh dunia bukan Barat, baik China, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan negara-negara berkecuali (NAM), Afrika dan Amerika Latin yang sudah menganggap diri mereka sebagai aliran kiri dunia.

Pembela

Dapat difahami bahawa AS tidak gemar terhadap gagasan multilateralisme. Ia mahu mempertahankan unilateralisme dan menampilkan dirinya sebagai satu-satunya kuasa yang memiliki hak, mampu dan berwibawa menjadi polis dunia yang bertanggungjawab.

Tetapi untuk berbuat demikian, AS perlu mewajarkan dirinya sekurang-kurangnya kepada dunia Barat. Washington harus menyatakan bahawa AS merupakan pembela kepada nilai-nilai dan tamadun Barat. Ia bukan soal agama tetapi adalah pertembungan dua tamadun berlainan nilai.

Di sinilah ia memerlukan sokongan padu negara-negara Eropah di belakangnya, khususnya Perancis dan Jerman. Peluang ini diperoleh melalui kartun menghina Rasulullah s.a.w. yang berlaku di Denmark. Maka dapat diungkapkan betapa umat Islam mempunyai nilai berbeza daripada barat.

Kalau Barat sudah kehilangan nilai-nilai penghormatan soal kesucian, orang Islam masih mempertahankannya.

Maka The Da Vinci Code menunjukkan bahawa Barat masih menghormati agama tetapi tidaklah fanatik terhadap satu-satu jenis kepercayaan. Bagaimana orang barat melayani The da Vinci Code berbeza dengan cara orang Islam melihat kartun-kartun Denmark itu.

Maka akhirnya dapat dilihat bahawa Scandinavia dan Eropah memiliki nilai yang sama dengan AS. Sementara dunia Islam yang wakilnya jelas melalui Iran adalah berbeza.

Dalam pertembungan antara AS dan Iran berhubung dengan pembangunan tenaga nuklear, maka terdapat elemen pertembungan nilai.

Teheran mempersoalkan mengapa dunia Barat dibenarkan memiliki senjata nuklear dan tidak Iran. Jawapannya mudah. AS dan Eropah tidak mempercayai Iran kerana negara Islam itu berbeza nilai, fahaman dan tradisi.

Kekuasaan dan dominasi adalah milik dunia Barat kerana mereka berasal daripada tradisi Kristian, tetapi tidak Iran. Bukan saja Iran, malah keseluruhan dunia Islam.

Mengapa Barat tidak boleh mempercayai umat Islam? Ini kerana umat Islam tidak dapat menerima hegemoni Barat. Walaupun banyak negara-negara Islam merupakan sekutu AS tetapi ia dilakukan atas kepentingan politik dan ekonomi. Tetapi di dalam jiwa, orang Islam mahu merdeka dan tidak tertakluk pada Barat.

Arab Saudi umpamanya adalah sekutu kuat AS tetapi rakyatnya berpegang kuat kepada kepercayaan Islam, hingga segelintir pula jadi ekstrem dan seleweng hingga melahirkan orang seperti Osama bin Laden yang menjadi ancaman kepada dunia Barat.

Apa yang Iran lakukan dipercayai mendapat sokongan kebanyakan orang Islam di seluruh dunia. Apa salahnya negara Islam berani tampil dan menuntut hak membina senjata nuklear sendiri?

Bukan itu saja, Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad menyoal Holocaust dan hak orang Yahudi untuk menafikan orang Palestin daripada memiliki negara merdeka. Dalam wawancaranya di majalah Jerman, Die Spiegel minggu lalu belau menyatakan bahawa dunia Barat rela hidup dalam kepalsuan dan tidak toleran terhadap kepercayaan yang berbeza daripada apa yang diterima umum.

Mengingatkan kembali mesej The da Vinci Code, maka kemungkinan Barat juga merupakan satu fahaman yang memiliki doktrin dan mitos sendiri, termasuklah Holocaust.

Peristiwa kejam Holocaust itu dapat diterima benar-benar berlaku tetapi kesan daripadanya yang menimbulkan tanda tanya. Mungkin soal Holocaust sentiasa digembar-gemburkan supaya orang Eropah menerima hak Yahudi untuk memiliki negara Israel dan menafikan hak rakyat Palestin.

Dipulau

Mahmoud mempersoalkan mengapakah generasi Jerman hari ini yang tidak terlibat dengan Perang Dunia Kedua harus memikul kesalahan yang dilakukan oleh datuk nenek mereka?

Cuba bayangkan kalaulah ada penulis Barat yang mereka fiksyen mempersoalkan Holocaust. Pastinya bukan saja bukunya tidak diterbitkan. Jauh sekali filem mengenainya ditayangkan tetapi penulis itu akan dipulau dan dihina begitu rupa.

Di sinilah timbul tanda tanya mengenai dunia Barat itu sendiri. Pada satu ketika mereka bangga dengan tradisi kebebasan yang terlihat melalui Renaisans dan Enlightenment. Tetapi mengapa jika tentang Yahudi, mereka amat bimbang dicap sebagai anti-Semitisme lalu bersikap tidak toleran.

Mereka mampu memperlecehkan para nabi. Bukan saja Nabi Muhammad bahkan juga Jesus Christ. Tetapi kalau mengenai hak politik Yahudi, mereka anggapnya sebagai jauh lebih suci. Inilah dunia Barat dan adakah nilai-nilai sebegini baik?

Bekas Presiden Iran yang disukai Barat, Mohammad Khatami menganjurkan Dialog Antara Tamadun bagi mengendurkan pertembungan antara barat dan Islam. Cadangannya disambut baik oleh Vatican dan banyak golongan politik dan intelektual Barat.

Tetapi selagi dialog yang bersifat bertukaran idea peradaban, ia tidak menggusarkan Washington.

Apa yang menjadi masalah ialah apabila timbul soal politik, ekonomi dan pertahanan. Itulah yang timbul apabila Teheran pimpinan Mahmoud mahu membangun tenaga nuklear.

Soal Israel, minyak, globalisasi dan senjata pasti menimbulkan kesukaran hubungan antara Islam dan Barat.

Bagi umat Islam, soal peradaban, sama ada Renaisans, Enlightenment dan Revolusi Sains tidak menjadi masalah. Begitu juga dengan soal demokrasi dan hak asasi manusia. Malah tradisi intelektual Yahudi dapat diterima oleh dunia Islam. Lagipun tradisi Yahudi menyumbang besar kepada tamadun Islam, baik pada zaman Umaiah, Abasiah mahupun Uthmaniah.

Jamaluddin Al-Afghani, pelopor fahaman pan-Islamisme, pejuang pemulihan institusi khalifah dan boleh dikatakan antara bapa gerakan fundamentalisme Islam moden menerima perkembangan sains dan industri barat secara terbuka. Apa saja teori Barat daripada Charles Darwin, Sigmund Freud mahupun Karl Marx boleh didialogkan dalam dunia Islam.

Isunya bukan pertembungan tamadun atau intelektual. Tamadun Islam sendiri mewarisi intelektual Yunani dan Rom Bizantin dan kemudian turut bertransformasi apabila diasak dengan pemikiran daripada pihak penjajah.

Apa yang menjadi pertembungan seperti yang dapat disaksikan dalam konflik AS-Iraq dan AS-Iran ialah soal hegemoni Barat di dunia melalui kedudukan Israel, minyak dan kekuatan ekonomi. Kekuatan ini pula dikukuhkan oleh keampuhan tentera mereka yang didukung oleh penemuan sains dan teknologi.

Maka akhirnya pertembungan Barat dan Islam bukannya soal agama atau isu-isu keselamatan tetapi lebih kepada rebutan untuk mendapatkan kekuasan dan kekayaan. Barat mahu terus hidup selesa di atas peminggiran umat yang lain.

Ia bukan soal kaum atau ideologi. Isu-isu itu walaupun ada yang relevan hanya merupakan kesan dan penampilan sampingan.

Perkiraan sebenar terletak pada ketamakan yang tidak terhingga. Barat dari segi tamadun tidak menjadi masalah. Apa yang menjadi masalah ialah nilai tamak haloba. Ia boleh dianggap berhala kepada segelintir manusia yang tergamak menindas manusia-manusia lain.

Maka apabila Ayatollah Khomeini melabel AS sebagai “syaitan besar”, ia merujuk bukan pada negara atau pemimpin, tetapi lebih kepada satu ciri berbentuk ketamakan kepada kuasa dan kekayaan yang tidak berkehujungan.

The Da Vinci Code dipaparkan bahawa pemalsuan dan persaingan antara kumpulan-kumpulan rahsia dalam Kristian digerakkan bukan kerana kebenaran tetapi lebih kepada soal rebutan kuasa.

Adakah rebutan kuasa merupakan fenomena semula jadi manusia?