Wawasan baru Jepun

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007


LAWATAN Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke India Rabu lalu menyaksikan satu wawasan baru negara matahari terbit itu kepada dunia dengan menekankan kepada persaingannya dengan China. Serentak itu tertampil juga penyusunan semula persaingan geopolitik dunia dengan kemunculan Rusia untuk mencabar Amerika Syarikat (AS).

Petanda yang jelas ialah apabila Abe mengisytiharkan apa yang disebut sebagai Lingkungan Kebebasan dan Kemakmuran meliputi negara Jepun, India, Australia dan AS dalam nada ajakan perpaduan di kalangan negara-negara yang mengamalkan demokrasi di rantau ini.

Baginya, pakatan antara negara-negara itu berdiri di atas hubungan kerjasama antara Jepun dan India dengan meletakkan teras kepada nilai-nilai asas kebebasan, demokrasi dan kekuatan ekonomi.

Dalam ucapan Abe kepada ahli-ahli parlimen India, beliau menyebut tentang rangkaian yang terbuka dan telus membolehkan pergerakan manusia, barangan, modal dan pengetahuan secara bebas. Kekukuhan kerjasama Jepun, India, Australia dan AS akan merangkumi keseluruhan Lautan Pasifik.

Daripada wawasan ini, dapat dilihat betapa China dipencilkan. Ia lebih bermakna apabila dua minggu lalu, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) mengadakan sidang kemuncaknya di Bishkek, Kyrgyzstan. Negara-negara anggota SCO ialah Rusia, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Dengan Iran menjadi pemerhati.

Sidang kemuncak itu menampilkan satu blok yang mahu mencabar pembolotan dominasi geopolitik dunia. Dengan Jepun berasa persaingan sengit dengan China, maka usahanya mewujudkan satu rangkaian negara-negara demokrasi memperlihatkan pengukuhan kutub yang bertentangan dengan blok Shanghai itu.

Dengan menitikberatkan nilai demokrasi, maka Jepun dengan mudah mengeluarkan China daripada rangkaian ini, walaupun China merupakan sebuah kuasa ekonomi paling pesat berkembang, sehingga wujud kebimbangan dari AS, tetapi ia bukan sebuah negara demokrasi. Kebebasannya hanya di peringkat ekonomi sementara kuasa politik masih dipegang oleh Parti Komunis China (CCP) dalam sistem satu parti, dalam kerangka politik komunisme yang tidak berubah.

Implikasi sudut pandangan membezakan antara negara demokrasi, dan bukan demokrasi membawa kesan besar dalam diplomasi di Asia Timur. Ini bermakna nanti, bukan saja Jepun akan meminggirkan China tetapi juga negara-negara Vietnam, Laos dan Myanmar di Asia Tenggara kerana tidak mengamalkan demokrasi. Vietnam juga masih mengamalkan sistem komunis sementara Myanmar adalah dalam bentuk pemerintahan junta tentera.

Bukan itu saja, akan timbul juga persoalan dan tekanan terhadap Thailand yang masih belum kembali kepada pemerintahan demokrasi, walaupun ada jadualnya untuk itu. Bagaimana pula dengan Brunei yang tidak mempunyai sistem pelbagai parti?

Maka jika semangat demokrasi yang hendak ditekankan oleh Jepun di Asia Timur, maka ia akan membela Taiwan berbanding hubungannya dengan China. Dalam hal Korea, ia adalah jelas sekutunya ialah Korea Selatan menentang Korea Utara.

Tetapi implikasi yang lebih meluas ialah gagasan ekonomi Asia Timur yang diperjuangkan oleh Malaysia. Bagi Malaysia dan ASEAN, soal sistem politik sesebuah negara dipandang sebagai urusan dalam negara. Sementara penekanan mengenai demokrasi dilihat memiliki agenda tersembunyi Barat untuk menekan negara-negara yang bukan sekutunya.

Semangat ASEAN ialah berkecuali dan lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi, yang terus memberi manfaat kepada rakyat. Sementara campur tangan politik hanya menimbulkan ketidakstabilan, dan akhirnya rakyat yang menderita.

Sebab itu ASEAN tidak sukar untuk menerima Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar. Dalam membina gagasan Asia Timur, penerimaannya terhadap China juga berlandaskan kepada semangat ini. Malah kalau Korea Utara menumpukan perhatian kepada ekonomi dan tidak bersifat ketenteraan, maka Pyongyang juga dapat diterima.

Dalam gagasan Asia Timur, Malaysia pada tahun-tahun 80-an mengharapkan Jepun memimpin blok itu. Tetapi atas tekanan AS, keadaan itu tidak berlaku. Akhirnya selepas tahun 2000, dengan kebangkitan deras China, maka dengan sendirinya Beijing merupakan calon terbaik bagi memimpin kumpulan negara-negara Asia Timur.

Bagaimanapun, keadaan ini sudah tentu tidak digemari oleh Jepun dan AS. Maka dalam sidang kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, dua negara disertai dalam gagasan Asia Timur yang dianggap boleh mengimbang China. Mereka ialah India dan Australia.

Maka apabila Abe menyebut empat negara Lingkungan Kebebasan dan Kemakmuran, dapat dilihat bahawa terdapat usaha untuk menarik India lebih rapat bagi menjadi sekutu AS.

Ini kerana Jepun dan Australia adalah jelas merupakan sekutu AS. Tetapi India baru saja berjinak-jinak untuk menjadi sekutu AS. Secara tradisinya India adalah sekutu Rusia. Hanya selepas kejatuhan Kesatuan Soviet dan kebangkitan China, ia bertambah jelas menjadi sekutu AS. Walaupun sejak awal daripada kemerdekaan, India mengamalkan demokrasi kecuali pada waktu singkat ketika Indira Ghandi mengisytiharkan darurat.

Sebaliknya pesaing India, iaitu Pakistan lebih dikenali sebagai negara yang diperintah oleh tentera dan tidak demokratik. Melihat kepada gaya ini, India akan menerima usaha Jepun itu walaupun parti-parti komunis yang mendukung kerajaan New Delhi akan menyatakan keraguan mereka terhadap agenda di sebalik gagasan ini.

Bercakap mengenai kemakmuran Asia pasti mengingatkan rakyat benua ini tentang slogan yang dilaungkan oleh Jepun dalam perang Dunia Kedua. Ketika di bawah pemerintah, fasis, mereka memperjuangkan apa yang disebut sebagai Perkesemakmuran Asia Raya (Asian Co-

Prosperity Sphere), tetapi hasilnya adalah penderitaan. Adalah menarik bahawa gerakan kemerdekaan India menentang Britain dipimpin oleh Chandra Bose berbentuk menyokong fasis Jepun dan menentang pihak Berikat pimpinan AS.

Setelah dikalahkan oleh AS, panglima-panglima tentera Jepun didakwa kerana jenayah perang. Tetapi dalam Tribunal Tentera bagi Timur Jauh, Hakim Radhabinod Pal dari India enggan menjatuhkan hukuman mati kepada panglima tentera Jepun. Tindakan beliau ini dihormati oleh banyak di Jepun sehingga ke hari ini.

Dalam lawatan rasmi ke India itu pula, Abe mengadakan pertemuan dengan anak Pal. Abe juga adalah seorang cucu kepada panglima tentera Jepun. Datuknya itu didakwa tetapi tidak dibicarakan atas jenayah perang. Maka tindakan Abe ini akan menimbulkan kemarahan China.

Read more!

Lima puluh berbanding 446 tahun

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007


PADA tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, segelintir guru Melayu yang sedar tentang kebangsaan, kemerdekaan dan nasionalisme akan memakai kemeja merah bertali leher ke sekolah setiap 11 Ogos.

Guru-guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim ini memperingati 11 Ogos 1511 dengan perasaan berkabung iaitu dilambangkan dengan kemeja hitam dan semangat memerdekakan tanah air, disimbolkan oleh tali leher merah.

11 Ogos 1511 adalah tarikh Melaka jatuh ke tangan Portugis. Pertempuran antara tentera Portugis dengan hulubalang Melayu bermula lebih awal. Tetapi pada tarikh itu dipercayai Melaka kalah pada Portugis dan kota itu dijajah sehinggalah kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957, iaitu 446 tahun kemudian.

Portugis tidak menawan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Ia hanya menawan beberapa kota pelabuhan di alam Melayu seperti Makasar, Maluku di samping Melaka.

Walaupun Melaka terlepas ke tangan penjajah Portugis, kerajaan kesultanan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah dari Melaka ke Kota Tinggi dan terus memerintah wilayah di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Malah ketika negara merdeka pada 1957, sultan-sultan Melayu masih berdaulat, terus-menerus sejak zaman kegemilangan Melaka. Sebab itulah Datuk Onn Jaafar mencabar hak Britain melucutkan kedaulatan raja-raja Melayu kerana kedudukan negeri-negeri Melayu bersifat naungan, bukannya tanah jajahan ketika mereka memperkenalkan gagasan Malayan Union.

Pun begitu, ahli sejarah tetap mengira zaman penjajahan di alam Melayu bermula pada tahun 1511. Sebelum itu walaupun kerajaan-kerajaan Melayu bersilih ganti, daripada Sri Wijaya dan Melaka, dan peperangan penaklukan terus berlaku antara negeri-negeri Melayu, Siam dan Jawa, tetapi ia merupakan pergolakan politik dalam rantau ini, iaitu sesama penduduk Nusantara. Anak- anak negeri bebas berdagang dan bergerak di seluruh perairan Nusantara. Mereka berasa yakin berpolitik dan berekonomi di bumi sendiri walaupun kerajaan bertukar ganti.

Tetapi pendudukan Portugis ke atas Melaka mengubah segalanya. Ini kerana kekuatan teknologi meriam memberi kemampuan untuk mereka menguasai laluan laut dan dagang di seluruh Nusantara. Maknanya walaupun mereka hanya menduduki Melaka dan beberapa kota pelabuhan di Nusantara tetapi kedaulatan perdagangan dikawal mereka. Sejak itu, keupayaan orang Melayu dalam dunia perdagangan semakin terjejas dan akhirnya terhapus, hingga ke hari ini. Bukan itu saja, orang Melayu hilang keyakinan diri untuk berdiri tegak sebagai bangsa yang setaraf dengan orang lain. Mereka hilang jiwa merdeka tetapi sebaliknya berpuas hati menjadi anak jajahan.

Dapat dibayangkan betapa jika Melaka tidak tumbang ke tangan Portugis. Apabila dunia memasuki era moden, Nusantara yang beribu negarakan Melaka akan muncul sebagai negara besar meliputi keseluruhan alam Melayu. Lihatlah seperti Jepun, China dan Thailand. Mereka berjaya mengelak daripada dijajah. Jepun bertindak cepat-cepat memodenkan negaranya pada zaman Maharaja Meiji. Thailand mengelak daripada dijajah pemodenan oleh Raja Mongkut. Sementara China mengalami revolusi kebangsaan pimpinan Sun Yat-sen yang dapat menghalang penaklukan China oleh kuasa-kuasa penjajah.

Tetapi kerajaan-kerajaan Melayu tidak duduk diam. Kerajaan Melayu yang berpindah ke Johor berpakat dengan lain-lain kerajaan seperti Aceh, walaupun kedua-duanya pernah berperang sama sendiri. Beberapa serangan dibuat ke atas kota A Famosa tetapi gagal. Mereka juga berpakat dengan Belanda untuk menjatuhkan Portugis di Melaka. Akhirnya Portugis dapat dikalahkan.

Bagaimanapun, Melaka berpindah tangan ke penjajah baru iaitu Belanda. Andai kata ia berjaya ditawan kembali oleh kerajaan Melayu, maka itulah saat yang wajar diraikan kemerdekaan. Tetapi itu tidak berlaku.

Portugis semakin lemah dan akhirnya yang tinggal di Nusantara ialah penjajahan di Timor Timur. Sekarang negara Timor Leste yang merdeka menjadi pewaris kepada penjajahan Portugis di Nusantara.

Belanda menjadi penjajah yang lebih buruk daripada Portugis. Ia bukan saja menguasai perdagangan di seluruh alam Melayu tetapi secara sistematik menakluki wilayah-wilayah di Sumatera dan Jawa.

Setelah bersusah payah menawan Melaka dengan kerjasama kerajaan Melayu, Belanda tidak pula mahu menjadikan kota itu sebagai pusat pentadbiran utamanya di rantau ini. Ia menjadikan Betawi kini dikenali Jakarta sebagai ibu kota tanah-tanah jajahannya di Nusantara. Melaka terus merosot kerana perpindahan aktiviti dagang ke Betawi itu.

Andai kata Belanda memulihkan Melaka sebagai ibu kota Hindia Timur Belanda, sejarah mungkin berbeza. Malah Belanda akan menguasai keseluruhan Nusantara dan apabila zaman kemerdekaan tiba, muncul sebuah negara besar di rantau ini dengan Melaka menjadi ibu kota, bukannya Kuala Lumpur, Jakarta apatah lagi Singapura.

Kemunculan Britain di alam Melayu membawa senario baru. Pada mulanya ia hendak menjadikan Pulau Pinang atau Bangkahulu di Sumatera sebagai kota pelabuhan utamanya, tetapi berpindah ke Singapura. Pada masa itu Melaka masih berada di tangan Belanda. Andai kata Britain memperoleh Melaka sebelum menemui Singapura, mungkin kota itu dapat dibangunkan untuk menjadi kota utama tanah-tanah jajahan Britain di rantau ini. Kalau itu yang berlaku, Melaka sekali lagi menjadi kota utama.

Tetapi apabila Britain memperoleh Melaka sebagai tukaran dengan Bangkahulu melalui Perjanjian London dengan Belanda, ia sudah memiliki Singapura dan tidak berminat membangunkan Melaka.

Apabila Singapura menjadi pelabuhan utama di Asia Tenggara, penguasaan dagang di Asia Tenggara dibahagi antara Britain dan Belanda. Bagaimanapun, akhirnya ternyata Belanda juga ketinggalan dengan kemajuan yang diperoleh oleh Britain sebagai kuasa besar. Singapura ternyata mampu mengalahkan Betawi dengan penguasaan terhadap India dan Hong Kong, Britain ternyata muncul sebagai penguasa laluan utama seluruh dunia. Kapal-kapalnya dari Southampton di England dapat belayar hingga ke Sydney, Australia di Selatan dan Hong Kong serta Shanghai di Timur. Penguasaan Britain semasa Ratu Victoria adalah sempurna. Kekuatan orang Melayu di lautan tanah air sendiri telah sepenuhnya musnah di tangan Belanda dan Britain.

Keseluruhan Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan Maluku menjadi sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Sementara Britain menguasai Pulau Pinang, Dinding, Melaka, Singapura dan Labuan. Tetapi sedikit demi sedikit Britain memasuki pengaruhnya ke negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Orang Melayu semakin hilang keyakinan dan berasa menjadi hamba kepada penjajah. Bermula dengan Perjanjian Pangkor, akhirnya pentadbiran penjajah Britain dapat menguasai empat negeri Melayu melalui sistem penasihat atau residen. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dengan Kuala Lumpur sebagai ibu kota.

Tetapi kekuasaan sebenar Britain tetap di Singapura. Kuala Lumpur hanya menjadi kota pentadbiran FMS. Penjajahan Britain di negeri-negeri Melayu dibuat secara halus. Penguasaan Melayu dalam perdagangan laut sudah lama merosot dan penjajah Britain menamatkannya secara muktamad dengan memindahkan daerah-daerah pembangunan dari pesisiran pantai dan laluan sungai kepada tengah daratan. Bukan saja Melaka diabaikan tetapi juga kota-kota Melayu lain di pesisiran dipinggirkan. Baik Kuala Selangor di Selangor, Kuala Kangsar di Perak, Kuala Sepetang di Negeri Sembilan dan Temerloh di Pahang. Mereka digantikan dengan kota-kota baru bagi penjajah iaitu Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Lipis.

Kota-kota baru penjajah ini pula disambung dengan laluan kereta api di tengah-tengah hutan untuk membawa barangan bagi menyambung Butterworth hinggalah ke Singapura melalui Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Kuala Lipis turut disambung dengan rel kereta api. Niat sebenar Britain untuk kekal lama di Semenanjung Tanah Melayu jelas apabila ia juga membawa masuk Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis ke dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UMFS).

Maka ketiga-tiga entiti iaitu Negeri-negeri Selat (SS), FMS dan UFMS diletakkan di bawah pentadbiran yang berpusat di Singapura dan selanjutnya dirangkaikan kepada wilayah British Raj di India yang berpusat di Calcutta. Rancangan besarnya ialah untuk mencantumkan India, Asia Tenggara dan China dalam satu empayar global Britain. Tetapi cita-cita Britain ini dihalang oleh Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Maka tidak hairanlah selepas Jepun menyerah kalah, Britain menubuhkan Malayan Union yang menyatukan kesemua SS kecuali Singapura dengan FMS dan UFMS. Malayan Union mahu dijadikan entiti tanah jajahan baru beribu kotakan Kuala Lumpur. Singapura diasingkan untuk terus menjadi pangkalan Britain bagi Asia Tenggara.

Tetapi keadaan sudah berubah. Sebahagian orang Melayu menemui keyakinan diri untuk merdeka. Melihat bagaimana Jepun mengalahkan Britain dan kegagalan Britain menjadi penaung yang dipercayai, maka orang Melayu lebih berani berdikari. Lagipun dunia sudah berubah, Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, India merdeka pada tahun 1947 dan China membersihkan buminya daripada penjajah kecuali Hong Kong dan Macau.

Impian Britain untuk membina super-empayar meliputi India, Asia Tenggara dan China sudah berlalu. Sebaliknya Beijing yang sudah menjadi komunis berpakat dengan Moscow untuk mewujudkan empayar merah yang baru meliputi Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakannya untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya yang bersekutu dengan empayar Moscow-Beijing.

Dalam keadaan begini, Britain lebih memerlukan kawan daripada musuh di kalangan anak-anak jajahannya. Maka Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi sekadar kedaulatan raja-raja Melayu di bawah naungan Britain tidak mencukupi. Orang Melayu mahu merdeka dari segi politik dan ekonomi, maka akhirnya tuntutan kemerdekaan ini dipenuhi pada 31 Ogos 1957.

Penjajahan yang bermula pada 1511 berakhir 446 tahun kemudian, iaitu tahun 1957. Pada tarikh itu Melaka bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda dan Britain. Kota Melaka menjadi salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Sepanjang tahun 1960-an, Persekutuan Tanah Melayu memantapkan identiti untuk muncul sebagai Malaysia yang berdaya maju. Akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963 dalam bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang diperluaskan. Tetapi identiti Malaysia hanya benar-benar jelas selepas Singapura dikeluarkan daripada gagasan itu pada 9 Ogos 1965.

Pada 31 Ogos 2007, Malaysia meraikan hari ulang tahun kemerdekaannya ke-50. Keyakinan sebagai negara merdeka dalam tempoh 50 tahun masih muda berbanding 446 tahun dijajah. Kemerdekaan bukan saja dalam bentuk kebebasan politik dan kemakmuran ekonomi, bagaimanapun kepercayaan kepada diri sendiri untuk bebas berdikari menentukan hala tuju sendiri.

Penjajah Portugis, Belanda dan Britain sudah keseluruhannya dikeluarkan dari rantau ini. Singapura, Brunei dan Timor Leste sudah merdeka. Tetapi usaha untuk mengembalikan keperkasaan ekonomi yang dinikmati oleh negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan Portugis belum dapat dipulihkan. Lebih-lebih lagi dunia menjadi lebih mengecil pada zaman globalisasi. Hegemoni Portugis-Belanda-Britain sudah lama digantikan dengan dominasi AS.

Kini Portugal, Belanda dan Britain adalah anggota Kesatuan Eropah (EU) yang menjadi sekutu kuat AS. Begitu juga dengan Australia yang berasa perlu memainkan peranan penting di Asia Tenggara. Bagi mereka setiap negara di Asia Tenggara mempunyai nilai strategik, hatta Brunei dan Timor Leste yang kecil. Apatah lagi Singapura yang strategik. Indonesia pula dilihat begitu besar pada kaca mata Australia dan AS.

Sementara kepentingan Malaysia terletak di antara kedudukan Singapura dan Indonesia pada kaca mata kuasa Barat. Perjuangan bagi mempertahankan kemerdekaan dalam erti kata yang luas masih berterusan.

Read more!

Kenapa pertikai aliran sekolah kebangsaan

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 21 Ogos 2007


DARI semasa ke semasa kedengaran cadangan supaya ditubuhkan sekolah pengantar bahasa Inggeris di Malaysia. Sekolah kebangsaan didakwa gagal menghasilkan graduan yang serba boleh. Bahasa Malaysia juga dikatakan bukan bahasa teknologi dan perdagangan antarabangsa.

Agak aneh juga apabila cadangan ini antara lain disuarakan oleh orang Melayu sendiri dan ketika beberapa pihak menyeru supaya bahasa Malaysia diguna pakai dengan lebih menyeluruh.

Malahan terdapat kritikan daripada orang luar tentang rakyat Malaysia yang tidak memberi keutamaan kepada bahasa kebangsaannya sendiri.

Lantaran itu faktor-faktor di sebalik cadangan seumpama ini perlu diberi perhatian serius.

Pengangguran ribuan graduan Melayu dikatakan kerana kelemahan bahasa Inggeris. Ini tidak dapat dinafikan. Mungkin kerana itu ada ibu bapa Melayu khususnya daripada golongan elit mahu anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris.

Kehidupan orang Melayu yang semakin mewah ekoran Dasar Ekonomi Baru (DEB) membolehkan mereka menghantar anak-anak ke sekolah Inggeris di dalam dan luar negara. Malahan di kalangan elit Melayu, bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan di rumah.

Selain daripada itu rakyat Malaysia baik Melayu dan bukan Melayu merasa tidak senang kerana golongan elit menghantar anak-anak belajar di luar negara.

Sedangkan anak-anak mereka belajar di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan baik milik kerajaan atau swasta.

Di samping itu, graduan-graduan lulusan luar negara lebih mudah mendapat pekerjaan. Selain daripada penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik, pemikiran mereka dikatakan lebih ‘bergeliga’ dibandingkan dengan graduan-graduan tempatan.

Di kalangan pejuang bahasa kebangsaan pegangan utama ialah bahasa melambangkan bangsa. Bahasa Melayu/Malaysia adalah identiti negara ini. Sama dengan bahasa Indonesia untuk negara Indonesia. Bahasa tidak boleh dinilai dari segi ekonomi semata-mata.

Faktor paling utama bahasa Melayu telah pun wujud dan merupakan lingua franca ketika kuasa-kuasa penjajah tiba ke kepulauan Melayu lebih lima ratus tahun lalu.

Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan dalam perjanjian-perjanjian antarabangsa melibatkan penjajah dan kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara.

Persoalannya, apakah kewujudan sekolah pengantar Inggeris dapat menyelesaikan apa sahaja masalah yang dikatakan sedang melanda Malaysia.

Sesuatu yang pasti terjadi ialah sekiranya ada pilihan, sebahagian besar ibu bapa di bandar-bandar akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah pengantar bahasa Inggeris. Sementara sekolah kebangsaan hanya untuk rakyat di luar bandar. Senario yang pasti ialah negara akan kembali ke zaman sebelum merdeka.

Penulis amat bersetuju dengan pendapat (termasuk bukan Melayu) bahawa apa yang penting bukan mewujudkan sekolah aliran Inggeris. Sebaliknya sekolah kebangsaan mengajar beberapa bahasa etnik seperti Cina dan Tamil selain daripada bahasa Inggeris.

Penekanan ke atas pengajaran bahasa, baik bahasa apa sekalipun hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar ‘asal ada sahaja’.

Sikap hangat-hangat tahi ayam hendaklah dibuang jauh-jauh. Bermula daripada pembuat dasar hinggalah para pelajar sendiri.

Setiap pelajar dimestikan mempelajari dan fasih dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan Tamil. Melalui sistem ini, ibu bapa dijangka lebih selesa menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Syarat

Kelulusan mata pelajaran bahasa-bahasa ini merupakan satu syarat untuk lulus periksa.

Penulis tidak pernah mempersoalkan tentang pentingnya bahasa Inggeris dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Termasuklah pengajian tentang agama Islam di Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Pada kala yang sama kenalah juga memikirkannya dari aspek kepentingan negara.

Tetapi penguasaan bahasa sahaja belum tentu dapat menjamin kualiti seseorang pelajar. Soal kurikulum juga perlu diberi perhatian serius. Di samping itu, persekitaran di sekolah-sekolah kebangsaan hendaklah sesuai untuk semua kumpulan etnik.

Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Ia dinyata dengan jelas dalam Perlembagaan.

Rakyat Malaysia perlu menghormati setiap perkara yang terdapat dalam Perlembagaan dan bukan sekadar peruntukan yang menguntungkan kumpulan tertentu sahaja.

Namun, soal bahasa akan terus meracuni pemikiran rakyat Malaysia selagi bahasa dijadikan isu politik. Parti-parti politik harus sedar bahawa tugas mereka bukan sekadar memperjuangkan hak-

hak kaum etnik tertentu sahaja sebaliknya kesejahteraan Malaysia keseluruhannya.

Masanya telah tiba bagi setiap parti politik melihat ke hadapan melintasi batas-batas kaum etnik masing-masing. Mereka harus sedar bahawa ciri-ciri kepimpinan seorang pemimpin menjadi teladan dan mempengaruhi pemikiran pengikut-pengikutnya.

Sebahagian besar rakyat negara ini tidak rela bahasa Malaysia sekadar menjadi bahasa kebangsaan yang tidak dipraktikkan.

Rakyat juga tidak mahu bahasa Malaysia sekadar menjadi bahasa untuk lagu kebangsaan tetapi tidak dimengerti oleh rakyat.

Indonesia, Thailand, Filipina malahan Amerika Syarikat sendiri telah menyelesaikan masalah bahasa kebangsaan mereka lama sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Lantaran itu tidak kedengaran lagi rungutan mengenai bahasa kebangsaan di negara-negara ini.

Read more!

Matlamat Bush lantik duta ke OIC

Oleh: DATUK MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 16 Ogos 2007


PRESIDEN Bush ketika melawat Pusat Islam Washington (ICW) akhir Jun lalu membuat satu pengumuman yang penting berhubung dengan dasar luar Amerika Syarikat (AS). Menurut Bush AS akan melantik duta ke Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).

Pasti ini satu perkembangan yang menarik, meskipun agaknya ramai umat Islam skeptikal dengan tujuan sebenar di sebalik pelantikan duta ini.

Secara am ia satu bukti yang AS mengakui tentang peranan penting yang dimainkan oleh OIC. Tidak dinafikan juga bahawa negara-negara OIC merupakan paling bermasalah dibanding dengan negara-negara lain.

Di satu sudut yang lain kehadiran duta AS di OIC boleh mempertingkatkan hubungan di samping merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua belah pihak dalam pelbagai isu melibatkan umat Islam.

Boleh dikatakan OIC dan AS serta negara-negara Barat mempunyai perbezaan yang luas dalam isu-isu melibatkan demokrasi, kemiskinan dan keganasan.

Umat Islam melihat ketidakadilan kuasa-kuasa Barat dalam menangani isu-isu melibatkan negara-negara Islam. AS didakwa menggunakan dasar berat sebelah.

Ketidaksungguhan kuasa-kuasa Barat menyelesaikan masalah melibatkan umat Islam menyebabkan ada antara konflik berlanjutan hingga lebih separuh abad. Umpamanya Palestin dan Kashmir.

Kalau dilihat sekali lalu, matlamat utama pelantikan duta AS ke OIC adalah untuk menangani isu ekstremisme yang meningkat di kalangan penduduk beberapa buah negara Islam termasuk sekutu rapat AS.

Bergantung

Bagaimanapun, kejayaan AS bergantung kepada tindak-tanduk dan program-program yang akan dijalankan.

Selain daripada faktor-faktor tersebut, OIC sudah tentu mempunyai beberapa isu lain yang lebih penting yang bakal dibincangkan dengan duta AS ke OIC nanti.

Paling teratas sudah tentu konflik Asia Barat. Selain daripada memberi penekanan bahawa masalah Palestin merupakan punca utama kepada ketegangan di Asia Barat. Perdamaian tidak akan berkekalan sekiranya penyelesaian bersifat berat sebelah.

Di samping itu, OIC juga rasanya akan menyentuh isu-isu yang boleh menimbulkan konflik pertentangan agama dan tamadun antara Barat dengan dunia Islam.

Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan pemimpin politik AS yang dikira sensitif dan provokatif. Ini termasuklah kenyataan calon presiden, Barack Obama dan Tom Tancredo untuk menyerang Pakistan dan Mekah serta Madinah dengan senjata nuklear.

Kenyataan-kenyataan seumpama ini adalah bertentangan dengan hasrat AS untuk mewujudkan hubungan baik dengan negara-negara Islam. Apatah lagi kenyataan-kenyataan tersebut datangnya dari calon-calon presiden.

Seperkara yang jelas, tidak ramai umat Islam yang menganalisis sesuatu isu dari kaca mata AS. Peristiwa 11 September 2001, dianggap sebagai deklarasi perang ke atas negara itu. AS menganggap serangan ini dilakukan oleh kumpulan ekstremis yang membahayakan dunia dan mesti dihapuskan.

Ada umat Islam mendakwa serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap ketidakadilan dasar AS terhadap Palestin. Secara amnya ramai umat Islam marahkan AS kerana dasarnya yang berat sebelah terhadap Israel.

Tetapi kepada AS, ia melibatkan kepentingan negara. Israel adalah kawan paling rapat dan benteng utama untuk menyekat kuasa-kuasa anti AS di Asia Barat dan pengaruh Rusia ketika perang dingin.

Lantaran itu AS sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan Israel berdasarkan kepentingan negara. Tidak mungkin AS akan mengubah dasarnya terhadap Israel. Biarpun siapa dan parti mana yang menjadi presiden atau menguasai Kongres.

Pesimistik? Tetapi itulah hakikatnya.

Rasanya sukar untuk memahami keunikan dasar AS. Di sebalik imejnya yang menjunam di kalangan negara-negara Islam, AS membawa masuk ramai pelarian Islam dari negara-negara Islam yang bergolak. Malahan ia merupakan destinasi paling popular di kalangan kaum imigran Islam.

Tidak syak lagi dialog yang berterusan merupakan langkah bijak untuk mengendurkan ketegangan. Dan OIC mempunyai peranan yang cukup penting.

Read more!

Hargai faedah jadi kakitangan awam

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 11 Ogos 2007

KEBELAKANGAN ini perkhidmatan awam Malaysia tidak habis-habis dikritik. Kadang kala cukup pedas. Penulis simpati dengan kawan-kawan yang bekerja keras tetapi tidak dapat melarikan diri dari menerima kritikan.

Kalau dihalusi kritikan-kritikan tersebut jelaslah perkhidmatan awam Malaysia seolah-olah tidak guna satu sen. Malahan ada golongan yang menuduh petugas awam mengamalkan rasuah dan tidak cerdik dibandingkan dengan tetangga kita di seberang Tambak Johor.

Perkhidmatan awam di negara tersebut dikatakan cukup efisien kerana pengambilan kakitangan berdasarkan meritokrasi. Sementara petugas awam Malaysia terdiri dari kaum bumiputera yang lama menganggur dan mempunyai kelulusan akademik yang lemah.

Sayangnya sistem meritokrasi yang dicanang-canang itu juga masih boleh dipersoalkan. Ia buatan manusia dengan tujuan dan niat tertentu. Lantaran itu beberapa aspek melibatkan emosi dan berpihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, adalah mudah mentadbir negara yang penduduknya kecil dan majoritinya terdiri daripada sesuatu kaum. Begitu juga dengan negara yang mengamalkan dasar kuku besi. Rakyat tidak berani bersungut meskipun ada antara undang-undang terlalu kejam.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna tidak ada kelemahan di dalam sektor awam Malaysia. Kelemahan-kelemahan ini adalah berpunca dari faktor manusia. Perkhidmatan awam pasti akan lebih efisien sekiranya segala undang-undang dan peraturan ini dipatuhi.

Mungkin juga ada antara kerja dibuat semata-mata ‘asal siap’ sebagaimana yang pernah dikritik oleh seorang hakim baru-baru ini.

Satu contoh yang ingin ketengahkan ialah perangkaan rakyat yang melepaskan kerakyatan Malaysia. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri lebih 90,000 orang Melayu telah melepaskan kerakyatan Malaysia sejak 1996 hingga April 2007 dibandingkan dengan kira-kira 25,000 keturunan Cina dan lebih kurang 1,500 keturunan India.

Berdasarkan pengalaman, penulis awal-awal lagi merasai ada yang tidak kena dengan maklumat tersebut. Ini adalah kerana peratusan orang Melayu yang tinggal di luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Singapura adalah terlalu kecil dibandingkan dengan kaum-kaum lain khususnya Cina.

Di Amerika Syarikat sahaja dianggarkan rakyat Malaysia antara 60,000 hingga 80,000. Dan peratusan orang Melayu paling ramai sepuluh peratus.

Jadi bagaimanalah agaknya 90,000 Melayu melepaskan kerakyatan dalam masa 10 tahun sedangkan jumlah Melayu di luar negara tidak pun sampai 90,000.

Maklumat ini kemudian diakui silap oleh Datuk Seri Sheikh Radzi Ahmad, Menteri Dalam Negeri. Kesilapan ini dianggap sesuatu yang serius. Implikasinya, rakyat mungkin merasai sukar mempercayai setiap maklumat yang dikeluarkan di masa-masa akan datang.

Isu ini penulis ketengahkan ialah kerana ia melibatkan emosi hinggakan ada pihak-pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang-orang Melayu yang ‘melepaskan’ kerakyatan mereka.

Di samping itu perlu juga difahami tidak semua yang tinggal di luar negara melepaskan kerakyatan Malaysia. Mereka tinggal di luar negara melalui berbagai cara yang sah dengan berbagai sebab. Tidak juga dinafikan ada pula yang tinggal secara haram.

Bagaimana pula agaknya kalau ada rakyat Malaysia yang memperoleh kerakyatan asing, tetapi tidak melepaskan kerakyatan Malaysia.

Namun begitu, ada penjawat awam yang benar-benar dedikasi dan bertugas mengikut undang-undang dan peraturan. Tetapi tindakan mereka diganggu oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Hingga ada yang diancam, dibunuh dan berbagai lagi semata-mata kerana mahu menjalankan tugas dengan betul.

Dalam hubungan ini sudah tibalah masanya undang-undang yang lebih ketat untuk melindungi nyawa petugas awam dilaksanakan. Ini termasuklah menggunakan senjata api. Kadar jenayah yang tinggi dewasa ini tidak memungkinkan petugas awam menjalankan tugas bahaya dengan tangan kosong.

Kritikan-kritikan tidak seharusnya mematikan semangat petugas awam. Yang penting ialah mempertingkatkan profesionalisme supaya sama taraf dengan negara tetangga di selatan Tambak Johor kalaulah sesuai dijadikan bandingan.

Di samping itu, janganlah pula membuat tuntutan-tuntutan yang keterlaluan. Ada antara tuntutan-tuntutan tersebut hanya menunjukkan kelemahan perkhidmatan awam yang sebahagian besarnya kaum Melayu.

Setelah merantau di beberapa buah negara ternyata skim perkhidmatan awam Malaysia masih antara yang terbaik. Pernah berkhidmat di negara yang pegawai awamnya memakai baju koyak dan selipar. Malahan ada juga yang hari kelepasan am cuma lapan hari setahun.

Read more!

Semangat bola dalam politik

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 5 Ogos 2007


Minggu lalu Baghdad memperlihatkan kegembiraan rakyat Iraq apabila pasukan bola sepak kebangsaan mereka memenangi kejuaraan Piala Asia dengan mengalahkan Arab Saudi 1-0 di Jakarta, Indonesia.

Buat seketika, rakyat Iraq melupakan perbezaan sesama sendiri, sama ada Sunah, atau Syiah; Arab atau Kurdis, pro-Amerika, atau anti-Amerika, kesemuanya menyambut gembira kemenangan kesebelasan negara mereka.

Hakikat bahawa Iraq, yang masih dalam pendudukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan berterusan menerima serangan daripada kumpulan penentang kuasa besar itu melalui pengeboman dan serangan bunuh diri berjaya menjuarai Piala Asia adalah sesuatu yang menyuntik semangat perpaduan baru di negara malang itu.

Sambutan meraikan kemenangan pasukan bola itu dibuat ketika Baghdad berada di bawah perintah berkurung kerana bimbangkan ancaman daripada penyerang-penyerang ganas. Walaupun banyak pihak di seluruh dunia mengharapkan semangat dan suasana indah daripada bidang sukan ini dapat menyemarakkan usaha perdamaian di negara itu, tetapi ternyata sepanjang minggu lalu Iraq mengalami pergolakan baru. Pada hari Rabu, negara itu menyaksikan tindakan blok politik Sunah Arab dalam Kabinet bertindak keluar, yang mana ia mampu menjerumuskan negara itu kepada suasana tidak stabil.

Ia berpunca daripada ketidakpercayaan blok politik Sunah, yang bernama Barisan Perjanjian Sunah pimpinan Ibrahim al-Jaafari terhadap Perdana Menteri Nouri al-Maliki. Ibrahim yang juga bekas perdana menteri, iaitu sebelum jawatan itu disandang Nouri mendakwa beliau turut mendapat sokongan daripada dua parti Kurdis utama dan ahli-ahli Parlimen yang menyokong tokoh Syiah berpengaruh, Muqtada al-Sadr.

Hujah Ibrahim bagi menentang Nouri ialah polisi-polisi Perdana Menteri itu yang tidak menyumbang kepada perpaduan nasional, sebaliknya menggalakkan perpecahan. Dakwaan itu adalah umum tetapi daripada pengalaman rakyat Iraq sendiri, mereka menyaksikan diskriminasi terhadap golongan Sunah daripada jentera kerajaan khususnya di kalangan pasukan keselamatan. Sementara Nouri yang merupakan antara pemimpin Sunah tidak pula menggalakkan usaha perpaduan itu.

Suasana yang tidak stabil ini gagal memberi harapan baru. Sedangkan hasrat rakyat Iraq untuk bersatu di bawah identiti nasional, masih kuat dan dapat disaksikan melalui sambutan terhadap kejuaraan Piala Asia itu.

Kelihatannya semua pihak yang mempunyai kuasa mahukan kestabilan di Iraq. Lebih-lebih lagi AS yang mengharapkan negara itu dapat ditinggalkan dalam keadaan stabil dan damai. Golongan yang mahu Iraq terus bergolak ialah penentang-penentang bersenjata yang sebahagiannya dikaitkan dengan pengganas penyerang berani mati dikaitkan oleh AS dengan Al-Qaeda. Kumpulan ini mahu Iraq terus tidak stabil supaya bukan saja kredibiliti AS tercabar tetapi juga akan wujud vakum politik di negara itu, yang akhirnya membolehkan ia diisi oleh golongan itu.

Kepentingan bagi memastikan Iraq mencapai kestabilan bukan saja dikehendaki oleh AS tetapi lebih-lebih lagi jiran-jiran Iraq. Perasaan ini jelas ditunjukkan dalam mesyuarat antara Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice dan menteri-menteri luar negara Arab terpilih di Sharm El-Sheik, Mesir pada Selasa lalu. Umumnya AS berjaya meyakinkan negara-negara Arab untuk menyokong usaha mewujudkan kestabilan di Iraq. Tetapi komitmen dari segi retorik sukar untuk dilihat dalam bentuk tindakan. Usaha mewujudkan kestabilan Iraq melibatkan tindakan menghalang sebarang bantuan terhadap kumpulan- kumpulan pengganas, di samping membantu kerajaan Iraq mempertahankan diri.

Bagaimanapun, bagi jiran-jiran Arab khususnya di kalangan Sunah, mereka tidak pula mahu kestabilan dalam erti kata Iraq dikuasai oleh Syiah, yang seterusnya bermakna pengukuhan pengaruh Iran. Jika Iran campur tangan dengan kedudukan golongan Sunah terjejas, maka pastinya negara-negara Arab Sunah akan campur tangan, dan ini menyumbang kepada ketidakstabilan.

Maknanya jiran-jiran Iraq di kalangan Sunah mahukan kestabilan di negara itu tetapi ia wajar berlandaskan kepada keseimbangan hubungan Sunah-Syiah. Maka bantahan Ibrahim membawa mesej kepada jiran-jiran Iraq di kalangan Arab Sunah bahawa mereka tidak puas hati dengan layanan yang diterima oleh Sunah daripada kerajaan Baghdad, yang dikuasai Syiah.

Kestabilan

Bagaimanapun sasaran mesej Ibrahim ini bukanlah terhadap negara-negara Arab, tetapi lebih kepada AS. Washington sedang bertungkus-lumus berusaha untuk mewujudkan kestabilan di Iraq kerana Presiden George W. Bush yang akan mengakhiri tempoh presidennya mengharapkan suatu keadaan di mana AS boleh berundur bukan saja dengan terhormat tetapi juga kepentingan kuasa besar itu terjamin. Maknanya segala peperangan dan kejayaan menjatuhkan Saddam Hussein tidaklah sesia. Sekurang-kurangnya kalau Iraq tidak menjadi sebuah negara demokrasi yang pro-Barat, tetapi sekurang-kurangnya ia berada dalam keadaan stabil dan memiliki hubungan baik dengan Washington.

AS boleh menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan kepada Nouri dan kerajaan Baghdad yang didominasi oleh Syiah. Tetapi kejayaan akhir terletak pada rakyat Iraq sendiri. Sunah dan Syiah mesti melepaskan rasa permusuhan di kalangan mereka. Itu merupakan kunci kepada kestabilan dan perdamaian.

Perkara ini didapati sukar kerana puak Syiah telah mengalami tekanan dahsyat daripada Saddam semasa pemerintahannya dan selepas presiden itu tumbang, perasaan balas dendam, dan keganasan dalam bentuk itu telah pun berlaku membawa kepada suasana permusuhan mendalam. Melihat daripada pengalaman manusia dalam hal ini, keadaan ini akan hanya terhenti apabila dua suasana berikut berlaku:

Pertama, kedua belah pihak telah membunuh sesama sendiri sekurang-kurangnya setelah satu generasi berlalu hinggalah kepada keadaan di mana kedua-dua pihak berasa penat dan jemu untuk terus berbalah. Jika generasi berikutnya mula berasa mereka tidak wajar meneruskan permusuhan yang puncanya sudah tidak relevan lagi, maka perbalahan ini boleh terhenti.

Kedua, terdapat sekumpulan kecil rakyat Iraq yang komited bekerja untuk menumbuhkan perasaan nasionalisme yang melangkaui mazhab dan puak. Daripada kumpulan kecil ini ia boleh membesar dan usaha dalam bentuk gerakan masyarakat sivil, jika dibuat dengan banyak dan merebak akan mendatangkan kejayaan lebih baik berbanding kaedah politik dan tindakan ketenteraan.

AS mahir dalam kaedah pergerakan pertubuhan badan-badan bukan kerajaan (NGO) ini. Ia bukan saja melibatkan usaha badan-badan kebajikan sukarela tetapi juga kelab-kelab sukan. Bukan saja AS yang patut membantu tetapi lebih penting lagi negara-negara jiran Iraq, dari Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir hinggalah kepada Iran dan Turki.

Sokongan tersembunyi kalangan tertentu di negara- negara Arab Sunah terhadap kumpulan-kumpulan bersenjata di Iraq membawa lebih banyak padah buruk. Sememangnya perlu dibezakan antara pengganas bunuh diri dari kalangan kumpulan berkait Al-Qaeda dengan gerakan nasionalis serta Islam yang menentang AS secara bukan teroris.

Menentang AS secara bersenjata dilihat sebagai wajar memandangkan kuasa besar itu menggunakan senjata canggih dalam pendudukan mereka di Iraq. Mereka juga menyumbang kepada kesedaran AS untuk berundur segera.

Tetapi dari segi kemanusiaan, sebarang peperangan adalah menang jadi arang, kalah jadi abu. Akhirnya rakyat yang menderita. Maka lebih baik usaha dilakukan dalam bentuk perdamaian dan kebajikan. Salah satu kaedah bagi menyemai perasaan kemanusiaan adalah melalui aktiviti sukan.

Maka kemenangan kesebelasan Iraq dalam Piala Asia itu mempunyai makna politik dari segi mengingatkan rakyat negara itu, dan dunia betapa semua manusia mempunyai hasrat untuk hidup aman dan bergembira.

Antara sebab Iraq mampu meraih kemenangan ialah hampir kesemua pemain pasukan kebangsaannya itu bermain di kelab-kelab bola sepak di luar negara. Mereka sememangnya profesional dan dapat dijangkakan keupayaan mereka untuk meraih kemenangan.

Tetapi jika sukan hendak digunakan untuk perpaduan nasional, kelab-kelab sukan yang ditubuhkan di Iraq mesti berbentuk pelbagai kaum dan mazhab. Apabila mereka berinteraksi dan perhatian mereka dipalingkan kepada sukan, maka soal politik yang berbentuk konfrontasi dapat dikurangkan.

Justeru, dalam senario ini kerajaan Baghdad mesti memberi perhatian kepada usaha menyemai kesedaran perpaduan nasional, antaranya melalui aktiviti sukan. Sudah tentu jika terdapat usaha ikhlas daripada kerajaan Nouri, maka Ibrahim tidak akan menarik diri daripada Kabinet.

Namun begitu, kedua-dua Nouri dan Ibrahim mula berbalah dua bulan lalu apabila muktamar Parti Dawa (Dakwah) mengundi menolak kepimpinan Ibrahim dan digantikan dengan Nouri. Parti Dawa adalah sebuah parti gerakan Islam di mana Nouri dan Ibrahim merupakan pemimpin-pemimpinnya. Apabila muktamar itu menolak Ibrahim, ia seolah-olah hendak menunjukkan bahawa pemimpin itu tidak cukup membela kepentingan Sunah.

Tetapi Ibrahim mencadangkan suatu rancangan politik nasional yang tidak berbentuk kemazhaban dan beliau percaya boleh menyelamatkan Iraq. Bagaimanapun dalam tuntutannya yang berjumlah belasan itu, Ibrahim menegaskan tentang kepentingan puak Sunah mempunyai suara lebih dalam soal keselamatan. Tuntutannya itu bersebab kerana apa yang menjadi masalah utama bagi puak Sunah Arab ialah pasukan keselamatan yang didominasi dan dikuasai oleh pihak Syiah. Secara bebas, Syiah dengan sendirinya menguasai kerajaan Baghdad kerana bukan saja mereka mempunyai kelebihan majoriti di kalangan tiga kumpulan itu tetapi juga sebagai pihak yang tertindas pada zaman Saddam, maka pemerintahan negara sewajarnya di tangan mereka.

Sunah berpecah dua apabila Arab dan Kurdis tidak dianggap sebagai satu puak. Justeru Washington yang sebenarnya berusaha untuk memastikan supaya Sunah terus berada dalam kerajaan Baghdad untuk mewujudkan perpaduan nasional. Tetapi walaupun jawatan Perdana Menteri disandang oleh Sunah, kementerian penting seperti pertahanan dan keselamatan berada di tangan Syiah.

Penarikan diri Ibrahim melibatkan menteri-menteri kebudayaan, wanita, perancangan, pendidikan tinggi dan menteri luar rendah. Bagaimanapun, Timbalan Presiden Barisan Perjanjian Sunah itu, Tareq al-Hashemi terus menyandang jawatan itu buat masa ini. Begitu juga dengan Menteri Pertahanan Arab Sunah, Abdel Qader Jassim. Seramai 44 daripada 275 anggota itu terdiri daripada kalangan wakil barisan itu.

Tetapi dari segi praktikal, pengunduran Ibrahim dan wakil-wakilnya itu tidak menjejaskan pentadbiran. Ini kerana kerajaan Baghdad sudah pun lumpuh akibat perbalahan sesama sendiri. Blok Syiah radikal pimpinan Muqtada al-Sadr telah pun mengundurkan diri pada April lalu.

Justeru, sorakan kegembiraan kerana kemenangan bola sepak Piala Asia hanyalah selingan yang masih belum memberi harapan baru kepada rakyat Iraq.

Read more!