Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007
PADA tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, segelintir guru Melayu yang sedar tentang kebangsaan, kemerdekaan dan nasionalisme akan memakai kemeja merah bertali leher ke sekolah setiap 11 Ogos.
Guru-guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim ini memperingati 11 Ogos 1511 dengan perasaan berkabung iaitu dilambangkan dengan kemeja hitam dan semangat memerdekakan tanah air, disimbolkan oleh tali leher merah.
11 Ogos 1511 adalah tarikh Melaka jatuh ke tangan Portugis. Pertempuran antara tentera Portugis dengan hulubalang Melayu bermula lebih awal. Tetapi pada tarikh itu dipercayai Melaka kalah pada Portugis dan kota itu dijajah sehinggalah kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957, iaitu 446 tahun kemudian.
Portugis tidak menawan keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Ia hanya menawan beberapa kota pelabuhan di alam Melayu seperti Makasar, Maluku di samping Melaka.
Walaupun Melaka terlepas ke tangan penjajah Portugis, kerajaan kesultanan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah dari Melaka ke Kota Tinggi dan terus memerintah wilayah di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Malah ketika negara merdeka pada 1957, sultan-sultan Melayu masih berdaulat, terus-menerus sejak zaman kegemilangan Melaka. Sebab itulah Datuk Onn Jaafar mencabar hak Britain melucutkan kedaulatan raja-raja Melayu kerana kedudukan negeri-negeri Melayu bersifat naungan, bukannya tanah jajahan ketika mereka memperkenalkan gagasan Malayan Union.
Pun begitu, ahli sejarah tetap mengira zaman penjajahan di alam Melayu bermula pada tahun 1511. Sebelum itu walaupun kerajaan-kerajaan Melayu bersilih ganti, daripada Sri Wijaya dan Melaka, dan peperangan penaklukan terus berlaku antara negeri-negeri Melayu, Siam dan Jawa, tetapi ia merupakan pergolakan politik dalam rantau ini, iaitu sesama penduduk Nusantara. Anak- anak negeri bebas berdagang dan bergerak di seluruh perairan Nusantara. Mereka berasa yakin berpolitik dan berekonomi di bumi sendiri walaupun kerajaan bertukar ganti.
Tetapi pendudukan Portugis ke atas Melaka mengubah segalanya. Ini kerana kekuatan teknologi meriam memberi kemampuan untuk mereka menguasai laluan laut dan dagang di seluruh Nusantara. Maknanya walaupun mereka hanya menduduki Melaka dan beberapa kota pelabuhan di Nusantara tetapi kedaulatan perdagangan dikawal mereka. Sejak itu, keupayaan orang Melayu dalam dunia perdagangan semakin terjejas dan akhirnya terhapus, hingga ke hari ini. Bukan itu saja, orang Melayu hilang keyakinan diri untuk berdiri tegak sebagai bangsa yang setaraf dengan orang lain. Mereka hilang jiwa merdeka tetapi sebaliknya berpuas hati menjadi anak jajahan.
Dapat dibayangkan betapa jika Melaka tidak tumbang ke tangan Portugis. Apabila dunia memasuki era moden, Nusantara yang beribu negarakan Melaka akan muncul sebagai negara besar meliputi keseluruhan alam Melayu. Lihatlah seperti Jepun, China dan Thailand. Mereka berjaya mengelak daripada dijajah. Jepun bertindak cepat-cepat memodenkan negaranya pada zaman Maharaja Meiji. Thailand mengelak daripada dijajah pemodenan oleh Raja Mongkut. Sementara China mengalami revolusi kebangsaan pimpinan Sun Yat-sen yang dapat menghalang penaklukan China oleh kuasa-kuasa penjajah.
Tetapi kerajaan-kerajaan Melayu tidak duduk diam. Kerajaan Melayu yang berpindah ke Johor berpakat dengan lain-lain kerajaan seperti Aceh, walaupun kedua-duanya pernah berperang sama sendiri. Beberapa serangan dibuat ke atas kota A Famosa tetapi gagal. Mereka juga berpakat dengan Belanda untuk menjatuhkan Portugis di Melaka. Akhirnya Portugis dapat dikalahkan.
Bagaimanapun, Melaka berpindah tangan ke penjajah baru iaitu Belanda. Andai kata ia berjaya ditawan kembali oleh kerajaan Melayu, maka itulah saat yang wajar diraikan kemerdekaan. Tetapi itu tidak berlaku.
Portugis semakin lemah dan akhirnya yang tinggal di Nusantara ialah penjajahan di Timor Timur. Sekarang negara Timor Leste yang merdeka menjadi pewaris kepada penjajahan Portugis di Nusantara.
Belanda menjadi penjajah yang lebih buruk daripada Portugis. Ia bukan saja menguasai perdagangan di seluruh alam Melayu tetapi secara sistematik menakluki wilayah-wilayah di Sumatera dan Jawa.
Setelah bersusah payah menawan Melaka dengan kerjasama kerajaan Melayu, Belanda tidak pula mahu menjadikan kota itu sebagai pusat pentadbiran utamanya di rantau ini. Ia menjadikan Betawi kini dikenali Jakarta sebagai ibu kota tanah-tanah jajahannya di Nusantara. Melaka terus merosot kerana perpindahan aktiviti dagang ke Betawi itu.
Andai kata Belanda memulihkan Melaka sebagai ibu kota Hindia Timur Belanda, sejarah mungkin berbeza. Malah Belanda akan menguasai keseluruhan Nusantara dan apabila zaman kemerdekaan tiba, muncul sebuah negara besar di rantau ini dengan Melaka menjadi ibu kota, bukannya Kuala Lumpur, Jakarta apatah lagi Singapura.
Kemunculan Britain di alam Melayu membawa senario baru. Pada mulanya ia hendak menjadikan Pulau Pinang atau Bangkahulu di Sumatera sebagai kota pelabuhan utamanya, tetapi berpindah ke Singapura. Pada masa itu Melaka masih berada di tangan Belanda. Andai kata Britain memperoleh Melaka sebelum menemui Singapura, mungkin kota itu dapat dibangunkan untuk menjadi kota utama tanah-tanah jajahan Britain di rantau ini. Kalau itu yang berlaku, Melaka sekali lagi menjadi kota utama.
Tetapi apabila Britain memperoleh Melaka sebagai tukaran dengan Bangkahulu melalui Perjanjian London dengan Belanda, ia sudah memiliki Singapura dan tidak berminat membangunkan Melaka.
Apabila Singapura menjadi pelabuhan utama di Asia Tenggara, penguasaan dagang di Asia Tenggara dibahagi antara Britain dan Belanda. Bagaimanapun, akhirnya ternyata Belanda juga ketinggalan dengan kemajuan yang diperoleh oleh Britain sebagai kuasa besar. Singapura ternyata mampu mengalahkan Betawi dengan penguasaan terhadap India dan Hong Kong, Britain ternyata muncul sebagai penguasa laluan utama seluruh dunia. Kapal-kapalnya dari Southampton di England dapat belayar hingga ke Sydney, Australia di Selatan dan Hong Kong serta Shanghai di Timur. Penguasaan Britain semasa Ratu Victoria adalah sempurna. Kekuatan orang Melayu di lautan tanah air sendiri telah sepenuhnya musnah di tangan Belanda dan Britain.
Keseluruhan Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi dan Maluku menjadi sebahagian daripada Hindia Timur Belanda. Sementara Britain menguasai Pulau Pinang, Dinding, Melaka, Singapura dan Labuan. Tetapi sedikit demi sedikit Britain memasuki pengaruhnya ke negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Orang Melayu semakin hilang keyakinan dan berasa menjadi hamba kepada penjajah. Bermula dengan Perjanjian Pangkor, akhirnya pentadbiran penjajah Britain dapat menguasai empat negeri Melayu melalui sistem penasihat atau residen. Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dengan Kuala Lumpur sebagai ibu kota.
Tetapi kekuasaan sebenar Britain tetap di Singapura. Kuala Lumpur hanya menjadi kota pentadbiran FMS. Penjajahan Britain di negeri-negeri Melayu dibuat secara halus. Penguasaan Melayu dalam perdagangan laut sudah lama merosot dan penjajah Britain menamatkannya secara muktamad dengan memindahkan daerah-daerah pembangunan dari pesisiran pantai dan laluan sungai kepada tengah daratan. Bukan saja Melaka diabaikan tetapi juga kota-kota Melayu lain di pesisiran dipinggirkan. Baik Kuala Selangor di Selangor, Kuala Kangsar di Perak, Kuala Sepetang di Negeri Sembilan dan Temerloh di Pahang. Mereka digantikan dengan kota-kota baru bagi penjajah iaitu Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Kuala Lipis.
Kota-kota baru penjajah ini pula disambung dengan laluan kereta api di tengah-tengah hutan untuk membawa barangan bagi menyambung Butterworth hinggalah ke Singapura melalui Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Kuala Lipis turut disambung dengan rel kereta api. Niat sebenar Britain untuk kekal lama di Semenanjung Tanah Melayu jelas apabila ia juga membawa masuk Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis ke dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UMFS).
Maka ketiga-tiga entiti iaitu Negeri-negeri Selat (SS), FMS dan UFMS diletakkan di bawah pentadbiran yang berpusat di Singapura dan selanjutnya dirangkaikan kepada wilayah British Raj di India yang berpusat di Calcutta. Rancangan besarnya ialah untuk mencantumkan India, Asia Tenggara dan China dalam satu empayar global Britain. Tetapi cita-cita Britain ini dihalang oleh Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Maka tidak hairanlah selepas Jepun menyerah kalah, Britain menubuhkan Malayan Union yang menyatukan kesemua SS kecuali Singapura dengan FMS dan UFMS. Malayan Union mahu dijadikan entiti tanah jajahan baru beribu kotakan Kuala Lumpur. Singapura diasingkan untuk terus menjadi pangkalan Britain bagi Asia Tenggara.
Tetapi keadaan sudah berubah. Sebahagian orang Melayu menemui keyakinan diri untuk merdeka. Melihat bagaimana Jepun mengalahkan Britain dan kegagalan Britain menjadi penaung yang dipercayai, maka orang Melayu lebih berani berdikari. Lagipun dunia sudah berubah, Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 1945, India merdeka pada tahun 1947 dan China membersihkan buminya daripada penjajah kecuali Hong Kong dan Macau.
Impian Britain untuk membina super-empayar meliputi India, Asia Tenggara dan China sudah berlalu. Sebaliknya Beijing yang sudah menjadi komunis berpakat dengan Moscow untuk mewujudkan empayar merah yang baru meliputi Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya (PKM) melancarkan pemberontakannya untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya yang bersekutu dengan empayar Moscow-Beijing.
Dalam keadaan begini, Britain lebih memerlukan kawan daripada musuh di kalangan anak-anak jajahannya. Maka Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi sekadar kedaulatan raja-raja Melayu di bawah naungan Britain tidak mencukupi. Orang Melayu mahu merdeka dari segi politik dan ekonomi, maka akhirnya tuntutan kemerdekaan ini dipenuhi pada 31 Ogos 1957.
Penjajahan yang bermula pada 1511 berakhir 446 tahun kemudian, iaitu tahun 1957. Pada tarikh itu Melaka bebas daripada penjajahan Portugis, Belanda dan Britain. Kota Melaka menjadi salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Sepanjang tahun 1960-an, Persekutuan Tanah Melayu memantapkan identiti untuk muncul sebagai Malaysia yang berdaya maju. Akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan pada 16 September 1963 dalam bentuk Persekutuan Tanah Melayu yang diperluaskan. Tetapi identiti Malaysia hanya benar-benar jelas selepas Singapura dikeluarkan daripada gagasan itu pada 9 Ogos 1965.
Pada 31 Ogos 2007, Malaysia meraikan hari ulang tahun kemerdekaannya ke-50. Keyakinan sebagai negara merdeka dalam tempoh 50 tahun masih muda berbanding 446 tahun dijajah. Kemerdekaan bukan saja dalam bentuk kebebasan politik dan kemakmuran ekonomi, bagaimanapun kepercayaan kepada diri sendiri untuk bebas berdikari menentukan hala tuju sendiri.
Penjajah Portugis, Belanda dan Britain sudah keseluruhannya dikeluarkan dari rantau ini. Singapura, Brunei dan Timor Leste sudah merdeka. Tetapi usaha untuk mengembalikan keperkasaan ekonomi yang dinikmati oleh negeri-negeri Melayu sebelum kedatangan Portugis belum dapat dipulihkan. Lebih-lebih lagi dunia menjadi lebih mengecil pada zaman globalisasi. Hegemoni Portugis-Belanda-Britain sudah lama digantikan dengan dominasi AS.
Kini Portugal, Belanda dan Britain adalah anggota Kesatuan Eropah (EU) yang menjadi sekutu kuat AS. Begitu juga dengan Australia yang berasa perlu memainkan peranan penting di Asia Tenggara. Bagi mereka setiap negara di Asia Tenggara mempunyai nilai strategik, hatta Brunei dan Timor Leste yang kecil. Apatah lagi Singapura yang strategik. Indonesia pula dilihat begitu besar pada kaca mata Australia dan AS.
Sementara kepentingan Malaysia terletak di antara kedudukan Singapura dan Indonesia pada kaca mata kuasa Barat. Perjuangan bagi mempertahankan kemerdekaan dalam erti kata yang luas masih berterusan.