Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007
LAWATAN Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke India Rabu lalu menyaksikan satu wawasan baru negara matahari terbit itu kepada dunia dengan menekankan kepada persaingannya dengan China. Serentak itu tertampil juga penyusunan semula persaingan geopolitik dunia dengan kemunculan Rusia untuk mencabar Amerika Syarikat (AS).
Petanda yang jelas ialah apabila Abe mengisytiharkan apa yang disebut sebagai Lingkungan Kebebasan dan Kemakmuran meliputi negara Jepun, India, Australia dan AS dalam nada ajakan perpaduan di kalangan negara-negara yang mengamalkan demokrasi di rantau ini.
Baginya, pakatan antara negara-negara itu berdiri di atas hubungan kerjasama antara Jepun dan India dengan meletakkan teras kepada nilai-nilai asas kebebasan, demokrasi dan kekuatan ekonomi.
Dalam ucapan Abe kepada ahli-ahli parlimen India, beliau menyebut tentang rangkaian yang terbuka dan telus membolehkan pergerakan manusia, barangan, modal dan pengetahuan secara bebas. Kekukuhan kerjasama Jepun, India, Australia dan AS akan merangkumi keseluruhan Lautan Pasifik.
Daripada wawasan ini, dapat dilihat betapa China dipencilkan. Ia lebih bermakna apabila dua minggu lalu, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) mengadakan sidang kemuncaknya di Bishkek, Kyrgyzstan. Negara-negara anggota SCO ialah Rusia, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan. Dengan Iran menjadi pemerhati.
Sidang kemuncak itu menampilkan satu blok yang mahu mencabar pembolotan dominasi geopolitik dunia. Dengan Jepun berasa persaingan sengit dengan China, maka usahanya mewujudkan satu rangkaian negara-negara demokrasi memperlihatkan pengukuhan kutub yang bertentangan dengan blok Shanghai itu.
Dengan menitikberatkan nilai demokrasi, maka Jepun dengan mudah mengeluarkan China daripada rangkaian ini, walaupun China merupakan sebuah kuasa ekonomi paling pesat berkembang, sehingga wujud kebimbangan dari AS, tetapi ia bukan sebuah negara demokrasi. Kebebasannya hanya di peringkat ekonomi sementara kuasa politik masih dipegang oleh Parti Komunis China (CCP) dalam sistem satu parti, dalam kerangka politik komunisme yang tidak berubah.
Implikasi sudut pandangan membezakan antara negara demokrasi, dan bukan demokrasi membawa kesan besar dalam diplomasi di Asia Timur. Ini bermakna nanti, bukan saja Jepun akan meminggirkan China tetapi juga negara-negara Vietnam, Laos dan Myanmar di Asia Tenggara kerana tidak mengamalkan demokrasi. Vietnam juga masih mengamalkan sistem komunis sementara Myanmar adalah dalam bentuk pemerintahan junta tentera.
Bukan itu saja, akan timbul juga persoalan dan tekanan terhadap Thailand yang masih belum kembali kepada pemerintahan demokrasi, walaupun ada jadualnya untuk itu. Bagaimana pula dengan Brunei yang tidak mempunyai sistem pelbagai parti?
Maka jika semangat demokrasi yang hendak ditekankan oleh Jepun di Asia Timur, maka ia akan membela Taiwan berbanding hubungannya dengan China. Dalam hal Korea, ia adalah jelas sekutunya ialah Korea Selatan menentang Korea Utara.
Tetapi implikasi yang lebih meluas ialah gagasan ekonomi Asia Timur yang diperjuangkan oleh Malaysia. Bagi Malaysia dan ASEAN, soal sistem politik sesebuah negara dipandang sebagai urusan dalam negara. Sementara penekanan mengenai demokrasi dilihat memiliki agenda tersembunyi Barat untuk menekan negara-negara yang bukan sekutunya.
Semangat ASEAN ialah berkecuali dan lebih tertumpu kepada pembangunan ekonomi, yang terus memberi manfaat kepada rakyat. Sementara campur tangan politik hanya menimbulkan ketidakstabilan, dan akhirnya rakyat yang menderita.
Sebab itu ASEAN tidak sukar untuk menerima Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar. Dalam membina gagasan Asia Timur, penerimaannya terhadap China juga berlandaskan kepada semangat ini. Malah kalau Korea Utara menumpukan perhatian kepada ekonomi dan tidak bersifat ketenteraan, maka Pyongyang juga dapat diterima.
Dalam gagasan Asia Timur, Malaysia pada tahun-tahun 80-an mengharapkan Jepun memimpin blok itu. Tetapi atas tekanan AS, keadaan itu tidak berlaku. Akhirnya selepas tahun 2000, dengan kebangkitan deras China, maka dengan sendirinya Beijing merupakan calon terbaik bagi memimpin kumpulan negara-negara Asia Timur.
Bagaimanapun, keadaan ini sudah tentu tidak digemari oleh Jepun dan AS. Maka dalam sidang kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, dua negara disertai dalam gagasan Asia Timur yang dianggap boleh mengimbang China. Mereka ialah India dan Australia.
Maka apabila Abe menyebut empat negara Lingkungan Kebebasan dan Kemakmuran, dapat dilihat bahawa terdapat usaha untuk menarik India lebih rapat bagi menjadi sekutu AS.
Ini kerana Jepun dan Australia adalah jelas merupakan sekutu AS. Tetapi India baru saja berjinak-jinak untuk menjadi sekutu AS. Secara tradisinya India adalah sekutu Rusia. Hanya selepas kejatuhan Kesatuan Soviet dan kebangkitan China, ia bertambah jelas menjadi sekutu AS. Walaupun sejak awal daripada kemerdekaan, India mengamalkan demokrasi kecuali pada waktu singkat ketika Indira Ghandi mengisytiharkan darurat.
Sebaliknya pesaing India, iaitu Pakistan lebih dikenali sebagai negara yang diperintah oleh tentera dan tidak demokratik. Melihat kepada gaya ini, India akan menerima usaha Jepun itu walaupun parti-parti komunis yang mendukung kerajaan New Delhi akan menyatakan keraguan mereka terhadap agenda di sebalik gagasan ini.
Bercakap mengenai kemakmuran Asia pasti mengingatkan rakyat benua ini tentang slogan yang dilaungkan oleh Jepun dalam perang Dunia Kedua. Ketika di bawah pemerintah, fasis, mereka memperjuangkan apa yang disebut sebagai Perkesemakmuran Asia Raya (Asian Co-
Prosperity Sphere), tetapi hasilnya adalah penderitaan. Adalah menarik bahawa gerakan kemerdekaan India menentang Britain dipimpin oleh Chandra Bose berbentuk menyokong fasis Jepun dan menentang pihak Berikat pimpinan AS.
Setelah dikalahkan oleh AS, panglima-panglima tentera Jepun didakwa kerana jenayah perang. Tetapi dalam Tribunal Tentera bagi Timur Jauh, Hakim Radhabinod Pal dari India enggan menjatuhkan hukuman mati kepada panglima tentera Jepun. Tindakan beliau ini dihormati oleh banyak di Jepun sehingga ke hari ini.
Dalam lawatan rasmi ke India itu pula, Abe mengadakan pertemuan dengan anak Pal. Abe juga adalah seorang cucu kepada panglima tentera Jepun. Datuknya itu didakwa tetapi tidak dibicarakan atas jenayah perang. Maka tindakan Abe ini akan menimbulkan kemarahan China.