Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 11 Ogos 2007
KEBELAKANGAN ini perkhidmatan awam Malaysia tidak habis-habis dikritik. Kadang kala cukup pedas. Penulis simpati dengan kawan-kawan yang bekerja keras tetapi tidak dapat melarikan diri dari menerima kritikan.
Kalau dihalusi kritikan-kritikan tersebut jelaslah perkhidmatan awam Malaysia seolah-olah tidak guna satu sen. Malahan ada golongan yang menuduh petugas awam mengamalkan rasuah dan tidak cerdik dibandingkan dengan tetangga kita di seberang Tambak Johor.
Perkhidmatan awam di negara tersebut dikatakan cukup efisien kerana pengambilan kakitangan berdasarkan meritokrasi. Sementara petugas awam Malaysia terdiri dari kaum bumiputera yang lama menganggur dan mempunyai kelulusan akademik yang lemah.
Sayangnya sistem meritokrasi yang dicanang-canang itu juga masih boleh dipersoalkan. Ia buatan manusia dengan tujuan dan niat tertentu. Lantaran itu beberapa aspek melibatkan emosi dan berpihak kepada kumpulan-kumpulan tertentu tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, adalah mudah mentadbir negara yang penduduknya kecil dan majoritinya terdiri daripada sesuatu kaum. Begitu juga dengan negara yang mengamalkan dasar kuku besi. Rakyat tidak berani bersungut meskipun ada antara undang-undang terlalu kejam.
Meskipun begitu, ini tidak bermakna tidak ada kelemahan di dalam sektor awam Malaysia. Kelemahan-kelemahan ini adalah berpunca dari faktor manusia. Perkhidmatan awam pasti akan lebih efisien sekiranya segala undang-undang dan peraturan ini dipatuhi.
Mungkin juga ada antara kerja dibuat semata-mata ‘asal siap’ sebagaimana yang pernah dikritik oleh seorang hakim baru-baru ini.
Satu contoh yang ingin ketengahkan ialah perangkaan rakyat yang melepaskan kerakyatan Malaysia. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri lebih 90,000 orang Melayu telah melepaskan kerakyatan Malaysia sejak 1996 hingga April 2007 dibandingkan dengan kira-kira 25,000 keturunan Cina dan lebih kurang 1,500 keturunan India.
Berdasarkan pengalaman, penulis awal-awal lagi merasai ada yang tidak kena dengan maklumat tersebut. Ini adalah kerana peratusan orang Melayu yang tinggal di luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia dan Singapura adalah terlalu kecil dibandingkan dengan kaum-kaum lain khususnya Cina.
Di Amerika Syarikat sahaja dianggarkan rakyat Malaysia antara 60,000 hingga 80,000. Dan peratusan orang Melayu paling ramai sepuluh peratus.
Jadi bagaimanalah agaknya 90,000 Melayu melepaskan kerakyatan dalam masa 10 tahun sedangkan jumlah Melayu di luar negara tidak pun sampai 90,000.
Maklumat ini kemudian diakui silap oleh Datuk Seri Sheikh Radzi Ahmad, Menteri Dalam Negeri. Kesilapan ini dianggap sesuatu yang serius. Implikasinya, rakyat mungkin merasai sukar mempercayai setiap maklumat yang dikeluarkan di masa-masa akan datang.
Isu ini penulis ketengahkan ialah kerana ia melibatkan emosi hinggakan ada pihak-pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang-orang Melayu yang ‘melepaskan’ kerakyatan mereka.
Di samping itu perlu juga difahami tidak semua yang tinggal di luar negara melepaskan kerakyatan Malaysia. Mereka tinggal di luar negara melalui berbagai cara yang sah dengan berbagai sebab. Tidak juga dinafikan ada pula yang tinggal secara haram.
Bagaimana pula agaknya kalau ada rakyat Malaysia yang memperoleh kerakyatan asing, tetapi tidak melepaskan kerakyatan Malaysia.
Namun begitu, ada penjawat awam yang benar-benar dedikasi dan bertugas mengikut undang-undang dan peraturan. Tetapi tindakan mereka diganggu oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Hingga ada yang diancam, dibunuh dan berbagai lagi semata-mata kerana mahu menjalankan tugas dengan betul.
Dalam hubungan ini sudah tibalah masanya undang-undang yang lebih ketat untuk melindungi nyawa petugas awam dilaksanakan. Ini termasuklah menggunakan senjata api. Kadar jenayah yang tinggi dewasa ini tidak memungkinkan petugas awam menjalankan tugas bahaya dengan tangan kosong.
Kritikan-kritikan tidak seharusnya mematikan semangat petugas awam. Yang penting ialah mempertingkatkan profesionalisme supaya sama taraf dengan negara tetangga di selatan Tambak Johor kalaulah sesuai dijadikan bandingan.
Di samping itu, janganlah pula membuat tuntutan-tuntutan yang keterlaluan. Ada antara tuntutan-tuntutan tersebut hanya menunjukkan kelemahan perkhidmatan awam yang sebahagian besarnya kaum Melayu.
Setelah merantau di beberapa buah negara ternyata skim perkhidmatan awam Malaysia masih antara yang terbaik. Pernah berkhidmat di negara yang pegawai awamnya memakai baju koyak dan selipar. Malahan ada juga yang hari kelepasan am cuma lapan hari setahun.