Kerjaya sukan cukup lumayan

Oleh: MUHAMMAD ALIAS
Sumber: Utusan Malaysia 6 April 2006


SAYA sering menyaksikan pertandingan besbol peringkat liga junior di stadium berhampiran rumah. Seronok sekali melihat kanak-kanak lelaki antara umur enam tahun hingga 11 tahun menghayun kayu pemukul dengan bersemangat. Mereka sungguh kacak dengan baju, seluar ketat, stoking panjang dan kasut (but) khusus untuk besbol. Sambil memakai topi dengan cap pasukan masing-masing.

Di Amerika Syarikat (AS) setiap sukan bermula ketika pemain berusia masih kecil. Baik American football, bola keranjang, besbol, bola sepak, olah raga dan sebagainya. Ibu bapa sanggup mengeluarkan wang membeli pakaian dan insurans kemalangan untuk anak-anak mereka. Masa depan rakyat AS bukan sekadar bergantung kepada akademik.

Sukan merupakan kerjaya yang cukup lumayan. Pendapatan tahunan dari puluhan ribu hingga menjadi jutawan.

Kanak-kanak yang minat dalam setiap jenis sukan akan diberi penekanan dari sekolah permulaan hingga ke sekolah tinggi dan kolej atau universiti.

Setiap sekolah mempunyai jurulatih dalam pelbagai bidang sukan. Malahan kanak-kanak boleh juga mengambil jurulatih peribadi. Ada ibu bapa yang sanggup berbelanja sampai AS$2,000 - AS$3,000 setahun untuk seorang anak.

Ketika di sekolah tinggi pelajar-pelajar yang berbakat dalam sukan akan mendapat biasiswa sukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat kolej atau universiti.

Jadi bayangkan pengalaman mereka dalam sesuatu jenis sukan selama 13 tahun sebelum tamat sekolah tinggi.

Masa kecil-kecil di kampung dulu kami juga bermain bola. Di sekolah menengah mula berkenalan dengan hoki, rugbi dan kriket. Tapi ramai yang tidak sampai ke mana-mana.

Ini kerana pelajar-pelajar sering bermain sendiri, tanpa jurulatih. Kalau ada pun cuma guru sukan yang ada kalanya dia sendiri pun kaki bangku. Lantaran itu, banyak bakat yang sepatutnya menyerlah tenggelam begitu saja.

Bermain

Selain daripada bola yang sering disediakan oleh sekolah, ibu bapa tidak mampu menyediakan peralatan yang lain. Ramai yang bermain tanpa kasut bola.

Sementara itu, ramai ibu bapa yang memarahi anak-anak kerana bersukan. Mereka sering diingatkan supaya belajar kuat-kuat, lulus periksa, masuk universiti. Bila lulus, jadi pegawai. Sukan tak ada masa depan. Tambahan pula bimbang takut ketika bersukan patah kaki, siapa akan tanggung.

Saya rasa perkara yang sama masih berlanjutan hingga ke hari ini.

Sistem pelajaran pula terlalu mementingkan akademik. Para pelajar menumpukan sepenuh masa untuk pelajaran. Jadi masa untuk bersukan langsung tak ada. Termasuk hujung minggu.

Sedangkan di AS, hujung minggu merupakan hari pertandingan sukan.

Ibu bapa dan sanak saudara ke stadium bersorak memberi perangsang kepada anak-anak mereka. Hujung minggu merupakan hari keluarga termasuk sukan. Ibu bapa pula sering memberi galakan meskipun ada kala anak-anak mereka tidak begitu menonjol. Begitu juga dengan jurulatih.

Malaysia juga boleh maju dalam sukan kalau mempunyai strategi yang betul. Setiap permainan dilatih ketika masih kecil. Pasukan-pasukan umpamanya bola dan badminton ditubuhkan di segenap kampung dan di bandar-bandar. Kemudian diadakan pertandingan peringkat liga untuk junior dan senior. Dari kampung pertandingan diadakan di peringkat mukim, daerah dan seterusnya negeri.

Ibu bapa yang mampu hendaklah menyediakan peralatan sendiri, mana yang tidak mampu disediakan oleh badan-badan tertentu umpamanya jawatankuasa sukan sesebuah kampung. Ataupun syarikat-syarikat tertentu ataupun wakil-wakil rakyat. Ini termasuklah kos pertandingan dan insurans kemalangan. Sediakan jurulatih yang bertauliah.

Paling penting minda rakyat dibuka dan tidak lagi semata-mata mengharapkan kejayaan akademik. Ini memerlukan pindaan sistem pendidikan. Peluang-peluang pekerjaan kepada graduan lulusan sukan hendaklah disediakan. Umpamanya sekolah-sekolah, maktab- maktab dan universiti-universiti mempunyai jurulatih secukupnya untuk pelbagai jenis sukan. Begitu juga dengan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.

Dulu di universiti memang ada bahagian sukan, tapi mungkin seorang pengarah yang menguruskan semua jenis sukan. Tidak ada jurulatih profesional. Latihan permainan seperti bola sepak dan rugbi sering diambil alih oleh pensyarah atau felo yang kebetulan bermain sukan tersebut. Setakat itu saja. Pelajar-pelajar pula apabila tamat belajar, sibuk bekerja dan minat bersukan hilang terus.

Di Sukan Komanwel di Australia yang baru berakhir, Malaysia memenangi tujuh pingat emas. Tahun 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah, kita memenangi 10 pingat emas. Meskipun kita berbangga dengan kejayaan tersebut. Hakikatnya keputusan tersebut tidak menunjukkan sebarang kemajuan.

Masanya telah tiba bagi Malaysia menumpukan kepada sukan yang sesuai dengan kita. Umpamanya bola sepak, hoki, tenis, badminton dan golf. Sukan-sukan jenis ini tidak memerlukan badan yang besar dan tinggi.

Malaysia mempunyai ratusan padang golf. Eloklah sekolah-sekolah menengah memasukkan golf sebagai salah satu jenis permainan. Kelab-kelab golf boleh membantu pelajar-pelajar yang berminat.

Beberapa tahun lalu saya pernah bertemu beberapa orang pemain golf profesional Malaysia. Ramai yang menjadi jurulatih profesional. Bukannya mereka tidak berbakat. Tetapi terlalu banyak masalah yang dihadapi. Khususnya soal tajaan.