Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 8 April 2006
RABU lalu di Kota Bharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegur perbuatan sesetengah pihak yang hanya pandai mengkritik segala usaha kerajaan tanpa sama-sama memajukan negara.
Menurutnya, sikap sedemikian sebenarnya tidak memberi sebarang faedah kerana apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk kesenangan semua pihak.
Apa yang dirujukkan oleh Perdana Menteri adalah sikap sesetengah pihak berhubung dengan usaha kerajaan membangunkan negara, khususnya berkaitan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Sesungguhnya, Misi Nasional yang ingin dicapai melalui RMK-9 adalah suatu matlamat besar dan memerlukan kerja keras dan dokongan keseluruhan rakyat negara ini.
Malah ketika menyampaikan ucapan pembentangan RMK-9 minggu lalu, Perdana Menteri menyebut tiga komponen negara yang diajak untuk bekerja sama bagi melaksanakan RMK-9.
Tiga komponen itu ialah kerajaan sendiri, sektor swasta dan masyarakat sivil terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Sebagai individu rakyat, sememangnya sumbangan untuk menjayakan RMK-9 tidak akan dapat terlihat, tetapi kesan besar adalah daripada penggemblengan usaha kumpulan-kumpulan rakyat untuk menjayakan pelaksanaannya.
Kerajaan, dalam bentuk pemimpin politik yang memerintah dan perkhidmatan awam adalah jelas memikul tanggungjawab besar bagi melaksanakan RMK-9 secara sempurna.
Dengan memikul amanah, mereka perlu melakukan kerja besar, baik sebagai pemimpin, perancang mahupun pelaksana. Peranan mereka jelas dan Perdana Menteri mengambil perhatian berat kepada jentera kerajaan bagi menjayakannya secara sempurna.
Begitu pun, semua anggota kerajaan dan kakitangan wajar sentiasa diperingatkan dan digerakkan dengan dorongan motivasi dari semasa ke semasa supaya matlamat Misi Nasional ini dapat dicapai.
Tetapi menyedari bahawa dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia ini, peranan sektor swasta amat penting dan besar dalam melengkapkan jentera pelaksanaan RMK-9. Pembangunan, kemajuan dan kemakmuran amat berkait dengan kecergasan dan daya saing sektor swasta.
Mereka bukan saja menjadi penyumbang besar kepada Misi Nasional tetapi juga memperoleh manfaat daripada RMK-9 ini.
Justeru mereka juga perlu berperanan cergas tetapi bukan sekadar bergerak mencari keuntungan semata-mata walaupun itu merupakan sifat hakiki mereka, turut penting adalah bagi mereka untuk menjunjung cita-cita yang terungkap dalam Misi Nasional seperti mana telah difikir dan digubal oleh kerajaan.
Apa yang terkandung dalam Misi Nasional bukan soal ekonomi semata-mata tetapi juga meliputi soal-soal sosial dan politik. Paling utama ialah mewujudkan perpaduan negara. Ciri lain yang penting juga ialah menerapkan mentaliti kelas pertama.
Maka dalam hal ini, masyarakat sivil dalam bentuk peranan NGO dapat memberi sumbangan besar. Dengan kegiatan cergas dalam isu-isu yang berkaitan, mereka boleh memberi impak baik dalam bentuk pemantauan mahupun pemberian input membina. Media juga terletak dalam kategori ini.
Di sinilah sikap yang positif dan membina perlu ada. Sebarang sumbangan buah fikiran atau teguran wajar berbentuk kritik membina dan dalam kerangka bagi menjayakan Misi Nasional. Perlu difikirkan bahawa penggubalan Misi Nasional dan RMK-9 dibuat secara serius dan mendalam melibatkan banyak petugas.
Sementara pihak yang membuat ulasan tidaklah mempunyai sumber maklumat dan analisis seperti perancangnya. Namun begitu, ini tidak bermakna tidak ada input yang bermanfaat boleh diperoleh daripada pihak-pihak bukan kerajaan.
Apabila diambil kira bahawa terdapat NGO yang baik dan memiliki sumber penyelidikan yang kemas, umpamanya mereka yang bertaraf agensi pemikir, maka kritikan berbentuk membina mampu memberi manfaat.
Sebaliknya kritik kosong yang bertaraf sembang-sembang dan memiliki unsur-unsur prasangka terhadap pemimpin dan kerajaan tidak akan membawa manfaat kepada negara.
Sebarang kritik positif mesti bertunjangkan kepada fakta dan dibuat secara objektif. Pun begitu, pada perkiraan terakhir, hanya kerajaan yang memegang mandat rakyat memikul beban tanggungjawab bagi menentukan hala tuju negara. Natijahnya, semua perkara adalah untuk kepentingan rakyat.