Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sumber: Mingguan Malaysia 16 April 2006
Kehadiran Datuk Seri Dr. Rais Yatim ke sidang Parlimen dengan memakai baju tanpa kolar bukan lagi menjadi isu. Bantahan Pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Shahrir Samad berhubung baju Rais juga bukan satu isu.
Semasa datang ke Dewan Rakyat minggu lalu Rais memakai pakaian alternatif iaitu baju kemeja tanpa kolar berwarna hitam, kot dan seluar hitam. Tetapi pakaian itu dibantah oleh Shahrir dan menyatakan cara berpakaian begitu melanggar peraturan Dewan.
Di luar Dewan, Rais menjelaskan seharusnya isu pakaian tidak timbul selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat yang membenarkan beliau memakainya.
Dalam kata lain, baju yang dipakai oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu tidak ada isunya lagi. Tetapi baju “Jelebu” yang dipakai Rais itu telah mencetuskan satu isu lain yang lebih besar iaitu soal budi bahasa.
Memang benar seperti kata Rais, masih banyak lagi isu negara yang boleh dibahaskan khususnya Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tetapi jangan lupa kalau tidak kerana baju itu, kita tidak tahu bahawa di Parlimen semacam ada satu krisis budi bahasa. Secara mudahnya budi bahasa semakin terhakis daripada warga gelandangan di kaki lima kini sudah merebak ke Parlimen.
Untuk mengisi RMK-9 juga memerlukan warga yang berbudi bahasa, kemurnian ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri warga yang berkualiti.
Apakah kita semua sudah terlalu terbuka dan dapat menerima frasa kesat seumpama, “kita halau dia keluar” atau “menteri syok sendiri” sebagai satu kewajaran?
Baiklah, kalau kita menganggap perbahasan menuntut kelantangan tetapi frasa seperti di atas bukanlah satu kelantangan. Frasa di atas adalah tidak ada adab, apalagi di Parlimen yang seharusnya menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
Apabila seorang menteri dan wakil yang dipilih oleh rakyat dipersenda sedemikian rupa di Parlimen, di manakah letaknya ketinggian budi bahasa dan adab sopan yang memisahkan orang berilmu dengan yang tidak berilmu?
Kata-kata yang dilontarkan oleh ahli Parlimen berkaitan isu pakaian alternatif di Parlimen menjurus kepada mempersenda pihak yang satu lagi. Kata-kata kesat begini secara terang-terangan bukan saja bertentangan dengan etika di Parlimen malah di tempat-tempat lain sekalipun.
Kita selalu memomokkan frasa kepimpinan melalui teladan. Frasa itu memang baik. Tetapi apakah perlakuan tidak ada adab hingga mahu menghalau seorang menteri satu teladan yang mahu diturunkan oleh pemimpin?
Sebenarnya banyak lagi frasa kesat yang dilontarkan dengan tanpa rasa bersalah sedikit pun di Parlimen. Tetapi biarlah yang kesat-kesat itu tersimpan di Parlimen saja kerana tidak sesuai untuk disiarkan.
Kita semua tidak tahu apakah semua perlakuan ini sebagai satu strategi untuk menonjolkan diri, menarik perhatian media dan sekadar gimik? Walau apa sekalipun, perlakuan yang menjurus kepada penghakisan budi bahasa tidak wajar dipandang ringan.
Apakah isu pakaian alternatif Rais terlalu penting hingga boleh mencetuskan kemarahan mengatasi isu yang mahu dibahaskan mengenai RMK-9? Parlimen bukanlah tempat suka-suka tetapi medan untuk membincangkan segala hal demi kepentingan rakyat dan negara. Maka apabila isu pakaian Rais menjadi begitu penting hingga beliau akan “dihalau”, apa jadi dengan RMK-9?
Kalau masih ingat, tahun lalu bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir juga pernah menjadi sasaran di Parlimen hingga menyuruh beliau meletakkan jawatan. Berbudi bahasakah cara begitu? Berbudi bahasakah mempersenda pembaca-pembaca berita baru di RTM sebagai orang Ceylon cakap Melayu?
Puncanya kerana Kadir membuat penjenamaan semula RTM dan sesetengah pihak tidak berpuas hati. Isunya bukan lagi tidak berpuas hati tetapi hilangnya budi bahasa terhadap seorang yang bertaraf menteri di Parlimen.
Rais kelihatan tidak mengikut rentak yang sama; melupakan budi bahasa. Rais diam dan kita dapat menjangka betapa kecewanya seorang Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang menganjurkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni tahun lalu.
Kempen budi bahasa pada asasnya bukanlah disasarkan kepada golongan elit yang rasionalnya telah cukup budi bahasa. Kempen ini lebih sesuai kepada warga gelandangan atau bertaraf rendah.
Tetapi nampaknya kempen budi bahasa juga perlu hingga ke Parlimen supaya “tragedi” yang menimpa Rais dan Kadir tidak berulang kepada orang lain pada masa yang lain. Kalau melihat kepada kepimpinan melalui teladan pemimpinlah yang perlu menunjukkan budi bahasanya.
Kini kempen budi bahasa telah memasuki fasa kedua. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru saja melancarkan kempen fasa kedua ini pada 20 Mac lalu. Fasa pertama dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Budaya tahun lalu.
Cabaran
Ketika Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mahu melancarkan kempen budi bahasa tahun lalu, ada yang sinis bertanya apakah kita sekarang sudah tidak berbudi bahasa lagi? Ada juga yang berjenaka untuk mencari kayu pengukur antara berbudi bahasa dan tidak berbudi bahasa.
Semua ini memang satu cabaran dalam sebuah masyarakat yang merasakan mereka sudah cukup berbudi bahasa. Jadi apabila ada kempen budi bahasa, seolah-olah menunjukkan mereka belum cukup berbudi bahasa.
Inilah masalahnya dengan orang kita yang banyak sangat merasakan mereka telah mewarisi segala kesempurnaan nenek moyang. Hakikatnya mereka telah jauh meninggalkan akar budaya misalnya dalam soal berbudi bahasa tadi.
Semasa melancarkan kempen budi bahasa fasa kedua itu, Najib berkata, kempen budi bahasa akan dibuat secara berterusan hingga 2010. Maknanya satu dekad menjelang 2020, kita harap semua peringkat masyarakat memahami hasrat untuk menjadi negara maju yang warganya tetap mewarisi perilaku yang baik.
Tetapi apabila tercetus isu pakaian Rais seterusnya memperlihatkan ketirisan budi bahasa kepada segelintir warga Parlimen, kepada siapa selayaknya kempen ini disasarkan?
Apabila stesen televisyen menyiarkan sedutan-sedutan perbahasan di Parlimen, seluruh negara mungkin boleh menyaksikan sesuatu yang tidak sepatutnya mereka saksikan.
Ingat kata orang tua-tua, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana satu dua orang, jangan pula rosak kemurnian institusi bernama Parlimen. Jadi, berbahaslah cara dewasa dan bijaksana serta jangan lupa budi bahasa.