Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 3 September 2006
PRESIDEN George W. Bush menegaskan dalam wawancaranya dengan televisyen NBC Rabu lalu bahawa Amerika Syarikat (AS) masih dihormati di seluruh dunia walaupun terdapat kemarahan terhadap dasar-dasarnya.
“Dengar. Amerika masih dihormati. Orang masih mahu datang ke Amerika. Anda tanya sesiapa pun di dunia yang mahu kehidupan lebih baik, ke manakah mereka akan pergi? Kebanyakan daripada mereka akan kata, mereka mahu pergi ke Amerika,” katanya.
Jadi persoalan pertama: Adakah dunia masih menghormati AS? Jawapannya ialah sudah tentu. Ini kerana AS adalah kuasa besar tunggal dalam pelbagai bidang: pertahanan, politik, ekonomi, sains, teknologi malah budaya.
Tetapi dunia juga marah pada AS kerana dasar-dasar luarnya. Bush sedar tentang perkara itu walaupun beliau mempunyai justifikasi terhadapnya.
“Orang ramai tidak suka pada polisi-polisi saya... Saya faham perkara itu. Anda mesti membuat keputusan berdasarkan pada apa yang anda fikir betul. Anda tidak boleh cuba untuk menjadi popular,'' katanya.
Di situ kuncinya. Dunia fikir polisi Bush salah. Tetapi apa yang menimbulkan kemarahan dunia banyak terletak pada dasar-dasar luar Bush, bukannya soal sistem kerajaan AS.
Prinsip-prinsip muluk sistem kerajaan AS seperti kebebasan, kesaksamaan, demokrasi, kapitalisme dan keadilan tentunya popular di kalangan penduduk dunia. Umumnya juga mahukan sistem seumpama itu di negara mereka.
Kalaulah negara mereka mengamalkan sistem seumpama itu dan berjaya makmur seperti AS, maka tidak timbul mereka untuk berhijrah ke AS.
Tetapi negara mereka mundur dan kehidupan tertekan hingga mendorong golongan ini melihat AS sebagai tempat yang boleh menjadi ruang kepada mencapai kedudukan hidup lebih baik.
Maknanya bukan soal AS sebagai tempat lebih baik daripada negara mereka. Tetapi adalah lebih kepada kedudukan negara mereka yang buruk.
Juga perlu dilihat bahawa bukan AS saja yang menjadi tumpuan penghijrahan. Ini kerana di dunia bukan saja AS yang mengamalkan kebebasan, keadilan, kesaksamaan, demokrasi, kapitalisme dan mencapai kemakmuran. Tetapi banyak lagi negara perindustrian lain di Eropah, Kanada dan Australia.
Bagi orang yang terpinggir di seluruh dunia, AS hanyalah salah sebuah negara daripada banyak negara maju lain yang menjadi tumpuan.
Kemudian perlu dilihat juga mengapa negara-negara mundur tidak dapat menikmati apa yang negara maju capai. Dan apakah hubungan kedudukan mereka di AS, khususnya dasar-dasar luar kuasa besar itu.
Tidak boleh dinafikan bahawa sistem global yang ada hari ini banyak digubal dan ditentukan oleh AS sebagai kuasa besar yang mempunyai pengaruh. Melalui pelbagai mekanisme daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Majlis Keselamatannya dengan instrumen veto, hinggalah kepada institusi global seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Washington mempunyai pengaruh besar.
Maka melalui sistem beginilah yang secara langsung dan tidak langsung menyebabkan banyak negara dunia tidak dapat mengecapi kemakmuran yang sepatutnya mereka juga nikmati.
Andai kata AS dan negara-negara maju lain benar-benar berusaha menebarkan idealisme muluk mereka secara jujur dan bukan atas kepentingan sempit nasional semata-mata, maka tidak perlu rakyat negara berkenaan berhijrah.
Untuk apa seseorang berhijrah jika negara masing-masing memberikan banyak peluang untuk hidup bebas, makmur dan bermakna lebih-lebih lagi berada di tengah-tengah sanak saudara sendiri di tanah air masing-masing.
Sememangnya boleh disalahkan kepada pemimpin-pemimpin setiap negara mundur tentang kedudukan buruk rakyat masing-masing.
Tetapi dari segi lain dapat difahami juga kesukaran pemimpin-pemimpin negara mundur untuk mengubah keadaan mereka dalam sistem global yang ada hari ini.
Terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global dan agensi-agensi pemikir yang membuat penyelidikan mengenai kemiskinan dan kemunduran, tetapi akhirnya banyak kuasa terletak di Washington.
Melihat kembali dunia secara keseluruhan dapat dilihat betapa tidak ada sebuah negara bekas tanah jajahan yang merdeka selepas Perang Dunia Kedua mencapai tahap negara maju.
Tidak juga boleh ditolak anggapan bahawa kekayaan dan kemajuan yang diraih oleh negara-negara maju hari ini berdiri di atas asas modal yang terkumpul akibat zaman penjajahan beratus tahun dahulu.
Walaupun AS tidak tergolong pada kuasa penjajah sejenis Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun tetapi kedudukannya lagi istimewa.
Warganegara awal AS ketika dibentuk adalah terdiri daripada para penghijrah yang berasal dari Eropah khususnya Britain. Mereka lari dari Britain kerana tekanan politik, ekonomi dan agama. Bagi pendatang dari Ireland, mereka lari daripada penindasan dan kekejaman Britain.
Sebelum wujudnya AS, benua Amerika Utara didiami peribumi. Belum ada demokrasi dan kapitalisme. Bumi itu tetap menjadi tarikan imigran kerana keadaan Eropah yang begitu buruk.
AS ditubuhkan atas pemberontakan kepada kuasa Britain. Pun begitu, tidak semua ingin duduk di bawah pemerintahan AS. Walaupun negara baru AS melaungkan tentang kebebasan, kesaksamaan dan demokrasi, pada hakikatnya mereka lebih menindas golongan peribumi dan kulit hitam.
Mereka turut berhijrah bersama golongan yang setia pada Britain ke Kanada. Tentu modal asas daripada Britain dan Perancis menjadikan Kanada negara maju.
Pergerakan manusia seperti penghijrahan sentiasa berlaku dari masa ke semasa. Tarikan kepada penghijrah itu banyak disebabkan oleh ekonomi di samping soal-soal politik.
Tetapi pencapaian ekonomi yang baik oleh sesebuah negara tidak mencerminkan kemurnian amalan politik mereka. Begitu juga dengan soal bagaimana mereka boleh menjadi makmur dan kaya. Ia tidak semestinya dapat dicapai melalui cara-cara yang sefahaman dengan idealisme negara berkenaan.
Maka apabila AS menjunjung idealisme politiknya untuk diguna dalam negaranya, tetapi standard yang sama tidak dilaksanakan dalam dasar luar.
Selepas Perang Dunia Kedua, AS banyak memihak kepada diktator dan tidak berorientasikan rakyat. Maka banyak negara yang tidak menikmati demokrasi dan menanggung tekanan dan penindasan politik.
Maka berlakulah pemberontakan yang tentunya diambil kesempatan oleh musuh-musuh AS. Akhirnya negara-negara berkenaan runtuh dan rakyatnya hidup sengsara.
Dalam keadaan begini, sudah tentu mereka amat ingin berhijrah ke AS.