Oleh: ZIN MAHMUD (Di New York, Amerika Syarikat)
Sumber: Utusan Malaysia 18 September 2006
ESOK, 19 September bermulalah sesi perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-61 di ibu pejabatnya di New York.
Selama sembilan hari ketua-ketua negara dan kerajaan dari 192 negara anggota akan menyampaikan ucapan dan kenyataan mereka. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual menyampaikan ucapannya pada Rabu ini.
Perbahasan umum itu adalah sebahagian daripada UNGA yang memulakan sesinya 12 September lalu. Selepas acara pembukaan hari itu, ia memulakan Dialog Peringkat Tinggi mengenai Penghijrahan Antarabangsa. Dalam UNGA ini turut diadakan Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Negara Teramat Kurang Membangun.
Ia juga melakukan penyemakan semula Program Tindakan bagi Dekad 2001-2010.
UNGA berlangsung setiap tahun dan sudah 60 kali ia mengadakan sidang mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) yang digubal pada tahun 1945 selepas dunia serik mengalami penderitaan Perang Dunia Kedua. Terdapat lapan fungsi dan kuasa UNGA.
Pertamanya ialah menimbang dan membuat perakuan mengenai prinsip-prinsip umum kerjasama bagi pengekalan perlucutan senjata. Pendek kata tujuan utama perhimpunan ketua- ketua negara dan kerajaan seluruh dunia ini adalah untuk memelihara dan mendapatkan perdamaian.
Sememangnya sekali imbas sejarah dunia sejak PBB ditubuhkan pada tahun 1945, telah berlaku banyak peperangan dan peristiwa-peristiwa di mana PBB gagal. Sementara PBB pula dilihat sebagai institusi global yang birokratik dan retorik.
Maknanya, banyak cakap dan kenyataan tetapi kesannya tidak setara dengan apa yang diutarakan. Akhirnya pihak yang benar-benar berkuasa bukannya PBB sebagai badan kolektif dunia tetapi satu kuasa paling besar yang menjadi anggota tetap Majlis Keselamatannya iaitu Amerika Syarikat (AS).
Walaupun dengan kelemahan dan kegagalan tertentu, tidak ada siapa yang dapat menafikan keperluan PBB kepada manusia sejagat serta sumbangannya untuk mengurangkan serta menghalang peperangan. PBB dan kejayaannya untuk terus berfungsi dengan mengadakan UNGA setiap tahun adalah manifestasi kejayaan kesepakatan manusia sejagat. Cuba bayangkan bahawa dalam sejarah manusia sejak PBB ditubuhkan, semua wakil negara di dunia mempunyai platform untuk bersuara. Sama ada suara mereka didengar atau tidak, itu soal kedua.
Soal pertama, UNGA menyediakan platform bagi semua wakil manusia. Ia bukanlah mekanisme sempurna, tetapi ia tetap mampu memberi sumbangan kepada kesepakatan manusia sejagat.
Secara keseluruhannya, zaman ini merupakan kemuncak bagi tamadun manusia dan dunia, sekurang-kurangnya dari sudut pentadbiran manusia sejagat.
PBB secara longgar dan simbolik adalah kerajaan dunia, walaupun jauh daripada sempurna tetapi ia tetap meneroka untuk mendapatkan perdamaian. Dari satu segi, walau apa pun yang berlaku, setiap ketua negara dan kerajaan yang melakukan perjalanan tahunan mereka ke ibu pejabat PBB bagi menyampaikan ucapannya di UNGA adalah tindakan menegaskan keyakinan semua manusia terhadap perdamaian.
Maka adalah wajar juga bahawa sempena UNGA setiap tahun, semua manusia di seluruh dunia diperingatkan kembali tentang matlamat kerjasama antara negara-negara di PBB iaitu untuk perdamaian. Dengan segala kerja-kerja diplomasi dan birokrasi, pada perkiraan akhir manusia bertamadun hari ini yakin pada perdamaian.
Adalah penting untuk diingatkan bahawa dunia adalah milik semua, iaitu setiap seorang individu manusia. Tamadun pada hari ini bukan sama sekali tamadun Barat. Ia adalah tamadun bumi.
Fakta bahawa dunia hari ini didominasi oleh Barat dari segi politik dan ekonomi tidak bermakna bahawa dunia adalah milik mereka semata-mata. Ia didominasi Barat dengan hegemoni AS adalah kerana perjalanan sejarah yang sedemikian. Tetapi kalau dari satu segi dilihat bahawa dunia ini dikuasai oleh pakatan AS-Britain, tetapi dari sudut lain dapat dilihat bahawa PBB yang dianggotai oleh semua negara di dunia. PBB merupakan manifestasi multilateralisme.
Perdamaian yang ada di dunia hari ini berasaskan kekecewaan manusia terhadap peperangan yang dahsyat dalam Perang Dunia Kedua. Pengguguran bom atom oleh AS ke atas Hiroshima dan Nagasaki di Jepun merupakan dorongan besar bagi manusia untuk terus mengharamkan perang. Maka caranya ialah penubuhan PBB sebagai institusi dunia yang dari segi sejarah merupakan peluasan dan pemantapan daripada Liga Bangsa-Bangsa. Liga yang pernah beribu pejabat di Vienna, Austria itu pula adalah hasil daripada kekecewaan manusia terhadap Perang Dunia Pertama, yang sebelum Perang Dunia Kedua hanya dikenali sebagai Perang Besar.
Kalau liga itu gagal kerana Jerman melancarkan perang yang memulakan Perang Dunia Kedua, maka keraguan juga timbul selepas lima tahun PBB ditubuhkan. Perang Korea menimbulkan keraguan sama ada PBB berjaya menghalang peperangan. Hakikatnya perang gagal diharamkan selepas Perang Dunia Kedua. Apa yang kini dikenali sebagai Perang Dingin dengan pertembungan jelas di Korea adalah sebenarnya Perang Dunia Ketiga, seperti yang turut sering disebut oleh banyak pemerhati.
Walaupun gagal mengharamkan perang tetapi PBB dari sudut lain berjaya mengurangkan Perang Dingin daripada menjadi Perang Panas. Pertempuran- pertempuran dalam proksi antara tahun 1950 hingga 1990 meliputi Vietnam dan Afghanistan tidaklah membawa‘ kepada pertempuran langsung antara AS dengan Kesatuan Soviet. Tetapi adalah patut dianggap bahawa kejayaan besar ialah menghalang sebarang penggunaan senjata nuklear sepanjang Perang Dingin.
Malangnya setelah tamat Perang Dingin dengan kejatuhan Soviet, harapan dunia untuk menghapuskan perang sama sekali tidak juga berjaya. Zaman aman yang difikirkan wujud melalui Orde Dunia Baru dan gagasan Pax Americana melalui kepimpinan Washington tidak juga berlaku. Maka apa yang berlaku sekarang dengan nama perang menentang keganasan oleh AS adalah hakikatnya Perang Dunia Keempat.
Melihat kepada perkara kedua fungsi dan kuasa UNGA yang menyatakan perhimpunan itu akan membincangkan persoalan berhubung keamanan dan keselamatan antarabangsa. Dunia kini memang tidak selamat kerana ia diancam oleh keganasan. Tetapi jika diteliti, keganasan itu hanyalah kaedah. Seperti membunuh dan merosakkan harta benda dalam perang, ia hanya satu kaedah walaupun caranya begitu mengerikan.
Perang Dunia Keempat yang berlaku sekarang adalah juga berbentuk global seperti Perang Dingin dan Perang Dunia Kedua. Kalau dalam Perang Dunia Kedua, negara yang terlibat adalah jelas iaitu di satu pihak ialah Berikat, dan lawannya ialah Paksi. AS, Britain dan Perancis menentang Jerman, Itali dan Jepun. Dalam Perang Dingin pula, pertembungan utama ialah antara Demokrasi melawan Komunis diketuai masing-masing oleh AS dan Soviet. Tetapi perang dilakukan oleh proksi masing- masing. Ada yang berbentuk negara seperti Korea Utara lawan Korea Selatan dan Vietnam Utara dan Vietnam Selatan tetapi banyak dalam bentuk pemberontak lawan kerajaan. Apabila pemberontak komunis, mereka pula menjadi kerajaan. Ia berlaku di China, Vietnam, Cuba, Kemboja dan seumpamanya.
Tetapi kini AS berperang dengan satu kumpulan manusia bersifat global yang menentangnya. Kumpulan Al-Qaeda yang menggunakan kaedah ganas tidak seperti pemberontak-pemberontak komunis pada tahun-tahun 60-an. Sukar untuk memahami peperangan seumpama ini hinggakan untuk memudahkan pemahaman, ada kalangan Barat yang menyifatkan Perang Dunia Keempat ini adalah antara Barat lawan Islam. Lebih-lebih lagi negara yang menjadi musuh utama AS ialah Iran, yang namanya pun Republik Islam Iran. Adakah sekarang ini sedang berlaku perang antara Barat dan Islam?
Tetapi Iran dan Al-Qaeda adalah bermusuhan. Iran pula menyokong golongan Syiah di Iraq yang merupakan sekutu AS. Hakikatnya kini tidak ada satupun negara Islam di dunia yang menyokong dan melindungi Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya. Rangkaian itu juga tidaklah mempunyai hubungan untuk membantu Hizbullah dan Hamas. Israel dan AS menganggap kedua- dua Hizbullah dan Hamas sebagai pengganas yang setaraf dengan Al-Qaeda. Tetapi semua negara Islam pula menyokong Hizbullah dan Hamas.
Meletakkan Al-Qaeda di tepi sebagai kumpulan yang ditolak oleh bukan saja Barat tetapi negara-negara Islam sendiri dan melihat kepada hubungan antara Islam dan Barat, memang sedang berlaku permusuhan dan pertembungan, walaupun bukan peperangan. Rasa tidak puas hati di kalangan negara-negara Islam terhadap AS dan Barat adalah jelas.
Al-Qaeda hanyalah reaksi ekstrem dan menyeleweng. Dunia mesti ingat dua hari sebelum pengganas merempuh runtuh Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York, pengganas Al-Qaeda telah membunuh Ahmad Massoud, seorang pejuang Mujahidin yang diiktiraf oleh semua orang Islam di dunia sebagai pejuang Afghanistan yang menentang komunis. Beliau adalah musuh ketat Al-Qaeda dan turut diiktiraf oleh bukan saja Washington tetapi Iran. Jadi faktor Al-Qaeda sebagai penjenayah dunia mesti diletakkan di pinggiran untuk melihat pertembungan Barat-Islam dalam pentas arus perdana.
Bagi umat Islam, Perang Dunia Keempat bukanlah perang AS menentang keganasan, tetapi adalah perang antara Israel dengan Palestin. AS dan negara-negara Barat tertentu berada di pihak Israel sementara umat Islam dan negara-negara lain adalah di pihak Palestin. Hamas dan Hizbullah bukannya pengganas tetapi pejuang pembebasan. PBB sebagai suara dunia dan majoritinya berada di pihak Palestin.
Daripada 10 sesi khas darurat Majlis Keselamatan PBB sejak tahun 1958, empat adalah berkaitan Palestin, dan ia masih belum dapat diselesaikan.
Malangnya masalah Palestin adalah hasil daripada kekejaman Perang Dunia Kedua. Jerman di bawah Nazi membunuh orang Yahudi secara besar-besaran melalui Holocaust, dan ia membolehkan Zionis menubuhkan negara haram Israel. Perang Dingin cuba menyelesaikan masalah ini dengan AS di pihak Israel dan Soviet di pihak Palestin. Ia turut gagal. Maka kini ia dilanjutkan dalam bentuk yang lebih kompleks.
Perumpamaan yang jelas adalah seperti sebuah negara yang gagal berfungsi memberikan keadilan kepada rakyatnya maka apabila birokrasi tidak cekap, maka timbullah pemberontakan. Maka begitu juga dengan dunia yang tidak memberikan mekanisme wajar kepada manusia, contohnya apabila PBB hanya penuh dengan birokrasi dan retorik sementara sistem penyampaian tidak cekap, maka timbul unsur-unsur yang sedang berlaku hari ini.
Pelajaran daripada semua ini ialah perlunya PBB diperkasakan. Maka dalam hal ini PBB sedang melakukan pembaharuan dan penyegaran semula. Tetapi di pentas dunia, PBB tidak dapat melakukan bersendirian. Ia memerlukan gerakan masyarakat sivil dan di sinilah peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) global termasuk kumpulan-kumpulan kebajikan dan bantuan sedunia. Untuk melengkapi dunia yang seimbang, iaitu selain daripada PBB dan NGO global itu, maka diperlukan media global yang objektif, adil dan bertanggungjawab.