RTM perlu ubah budaya kerja

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 3 September 2006


Sejak wujudnya stesen televisyen swasta, TV3 22 tahun lalu, stesen milik kerajaan, RTM kelihatan sangat tercabar. Apa yang dilakukan oleh RTM seolah-olah semuanya tidak kena. Cabaran ini bukan saja kerana paparan baru TV3, malah untuk mengubah persepsi khalayak bahawa RTM ada potensi untuk menjadi lebih hebat.

Tetapi malangnya apabila RTM sendiri seolah-olah menganggap mereka terikat dalam acuan sebagai stesen milik kerajaan. Maka selama ini tidak banyak usaha yang proaktif untuk bersaing dengan empat stesen swasta; TV3, 8TV, TV9 dan Astro.

Benarkah RTM sudah tidak boleh berubah kerana ia milik kerajaan? Apakah stesen kerajaan dilarang untuk kreatif dan bersaing secara sihat dengan stesen swasta?

Persoalan ini wajar ditanya semula apabila program RTM, Ina dan Mawi memberikan saingan sengit dengan program TV3 iaitu siaran langsung persandingan Siti Nurhaliza. Program pada 28 Ogos itu boleh dijadikan satu kes kajian di mana kesungguhan RTM untuk bersaing telah menunjukkan kejayaan. Setidak-tidaknya kejayaan mencatatkan jumlah penonton kalau pun bukan kualiti isi kandung.

Mengikut anggaran kaji selidik AGB Nielsen Media Research, 6.3 juta menonton program TV3 semasa siaran langsung persandingan Siti Nurhaliza dan 4.8 juta menonton program Ina dan Mawi.

Sikap proaktif dan agresif RTM memberikan alternatif kepada penonton selepas TV3 mengumumkan siaran langsung persandingan Siti Nurhaliza. Ternyata pendekatan yang diambil oleh RTM memberikan hasil yang membanggakan.

Sekali pun perangkaan yang diberikan oleh kaji selidik itu sangat meragukan, untuk dijadikan ukuran sementara ia masih boleh digunakan. Maka kajian itu dengan jelas menunjukkan RTM bangun memberi saingan kepada TV3.

Program Mawi dan Ina yang dibuat dengan kerjasama Astro itu bukanlah yang terbaik. Sebaliknya yang perlu dilihat bagaimana RTM mempunyai kesungguhan untuk bersaing.

Persepsi yang mengatakan jenama lebih penting untuk menarik penonton adalah kurang tepat dalam konteks stesen televisyen di negara ini. Jenama RTM selalu dianggap tidak boleh menarik penonton maka RTM pun diberikan penjenamaan baru.

Memang benar penjenamaan memang penting untuk memasarkan apa-apa produk sekali pun. Tetapi kita kena ingat, isi kandungan juga tidak kurang pentingnya, apa lagi bagi stesen televisyen.

Apabila stesen kerajaan memberi saingan pada 28 Ogos lalu, inilah peluang RTM untuk menempatkan diri sebagai pemain utama dalam industri penyiaran. Program Mawi dan Ina hanyalah lonjakan sementara, untuk terus berada dalam saingan RTM perlu terus mencari peluang-peluang lain dan menggunakannya dengan bijaksana.

Siapa kata RTM tidak hebat? Kalau tidak hebat dari mana datangnya 4.8 juta penonton? Hebatkah TV3 yang hanya mendapat 6.3 juta penonton pada waktu siaran yang sama? Sebelum ini stesen swasta menjadi hebat kerana RTM agak pasif dan salah tafsir mengenai kedudukannya sebagai stesen kerajaan.

Salah tafsir ini menghalang perubahan-perubahan yang drastik malah bimbang dianggap melanggar amalan RTM sebelum ini. Maka RTM sebelum ini tidak pantas menggunakan peluang untuk mengimbangi populariti stesen swasta. Kalau ada peluang tetapi tidak pantas menggunakan peluang tidak ada gunanya.

Sekali pun RTM menafikan program Mawi dan Ina sebagai saingan kepada stesen TV3, banyak pihak melihat RTM bijak dan kreatif menggunakan peluang lain yang juga boleh menarik penonton.

“RTM kena mengubah budaya kerja untuk terus bersaingan menarik penonton. Stesen swasta memperlihatkan budaya kerja yang berbeza dan ini wajar dicontohi,’’ demikian ulas Profesor Mohd. Safar Hashim dari Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM.

Budaya kerja RTM sebagai sebuah badan kerajaan barangkali tidak sesuai untuk menjadikan RTM sebagai “pemain’’ yang dirasakan kehadirannya dalam industri penyiaran. Ini kerana semua stesen lain mengamalkan budaya kerja syarikat swasta.

Mempunyai peluang dan merebut peluang adalah dua perkara yang berbeza dalam konteks industri penyiaran tempatan. Tetapi apa yang diperlihatkan oleh RTM baru-baru ini adalah tindakan drastik merebut peluang untuk mengimbangi tarikan yang kuat di stesen TV3.

Bagi Mohd. Safar, perang rating menarik penonton yang berlaku baru-baru ini boleh dijadikan bukti bahawa dengan menggunakan peluang, RTM mampu memberikan saingan kepada stesen swasta.

Apabila program Mawi dan Ina berjaya menarik perhatian penonton, ini adalah satu lonjakan dan menurut Mohd. Safar, RTM wajar ada satu badan khusus untuk merancang strategi bagi menarik penonton.

“Kalau di luar negara, stesen televisyen beroperasi tanpa peruntukkan daripada kerajaan. Jadi mereka terpaksa kreatif dan sentiasa mempunyai strategi untuk menarik penonton seterusnya menarik pengiklan,’’ kata Safar.

Kerana itu beliau merasakan perlu wujud satu badan untuk merancang strategi yang berterusan di RTM supaya lonjakan pertama ini ada kesinambungannya pada masa akan datang.

Beliau melihat RTM sekarang ada daya usaha untuk menempatkan diri dalam persaingan dan tidak lagi merasa selesa dengan apa yang ada. Zon selesa RTM telah pecah. Walau pun beroperasi dengan menggunakan peruntukkan daripada kerajaan, RTM berdaya usaha untuk popular seterusnya meningkatkan pendapatan daripada pengiklan.

Sebelum ini orang menganggap jenama RTM tidak boleh menarik penonton. Ini kerana RTM tewas di peringkat awal kewujudan stesen swasta dan keadaan ini berterusan tanpa usaha drastik untuk menyelamatkannya.

Mungkin benar jenama RTM tidak ada nilai komersial. Tetapi tidaksemua orang menonton televisyen kerana melihat jenama stesennya. Rasionalnya langkah untuk menukar dari satu stesen kepada stesen lain hanya di hujung jari. Malah tidak sempat pun untuk memastikan nama stesennya.

Kalau ada program yang lebih memagut perhatian mereka, penonton akan menonton. Usaha untuk menukarkan siaran kepada sesuatu stesen tidak memerlukan usaha yang besar.

Ini berbeza dengan media lain, media cetak misalnya. Orang terpaksa berusaha untuk pergi ke satu tempat untuk mendapatkan jenama media yang biasa dengan mereka. Ini membuatkan orang yang setia dengan sesuatu produk media cetak sukar untuk berubah kepada jenama lain.

Walau pun begitu kata Safar lagi, RTM juga harus berfikir bagaimana untuk menarik penonton seperti yang dilakukan oleh TV3 menerusi Jomheboh. Program Jomheboh dianggap sebagai suatu yang sangat berkesan untuk mengingatkan penonton kepada jenama TV3.

“Usaha bersungguh-sungguh untuk menarik penonton sangat penting, pada masa yang sama mesti ada strategi untuk membuatkan penonton kekal di sesebuah stesen itu dengan isi kandungan yang berkualiti,’’ tegas Safar.

RTM kena membuang jauh-jauh mitos bahawa stesen ini tidak boleh menandingi stesen swasta. Memang benar RTM kena lebih banyak kempen-kempen kerajaan tetapi selebihnya boleh digunakan untuk menyaingi stesen swasta.

Apa yang stesen swasta boleh buat tetapi stesen RTM tidak boleh buat? Selagi tidak melanggar peraturan, semua stesen televisyen boleh melakukannya. Jadi, apa sebenarnya halangan RTM untuk bersaing dengan stesen swasta?

Perang rating yang berlaku baru-baru ini boleh dilihat sebagai langkah awal persaingan sihat antara stesen televisyen negara ini. Program Mawi dan Ina bukanlah satu format yang khusus bagi RTM. Cuma program ini mencetuskan perasaan ingin tahu penonton.

Ini secara kebetulan pula di TV3 hanya acara bersanding, bezanya dibuat secara mewah. Acara bersanding tidak ada thrill atau mencetuskan ingin tahu kalangan penonton.

RTM kelihatan lebih peka kepada nilai berita yang menjadi tarikan penonton. Inilah buat pertama kali Mawi dan Ina bercakap secara langsung mengenai hubungan mereka. RTM juga“membaca’’ wujudnya protes secara diam kalangan wanita terhadap isu perkahwinan Siti Nurhaliza. Lalu RTM memberi alternatif untuk yang mahu melihat sesuatu yang segar dan tidak kurang kontroversinya.

Sebagai stesen televisyen kerajaan, kita sangat berharap RTM selalu memikirkan persaingan. Hanya dengan persaingan diharap dapat melahirkan program-program yang berkualiti. Semua ini akan menguntungkan penonton sebagai pengguna.

Semasa RTM adalah satu-satunya stesen televisyen negara ini, penonton tidak boleh membuat perbandingan berkualiti atau tidak. Mereka terpaksa menonton apa saja yang dihidangkan.

Sekarang ini RTM mempunyai aset yang besar iaitu Debat Perdana. Ini program debat yang luar biasa bagi kita kerana mempertemukan tokoh-tokoh politik kerajaan dan pembangkang di atas satu pentas.

Program sehebat dan sehangat Debat Perdana tidak ada di stesen televisyen swasta. Stesen lain barangkali kurang berminat kerana Debat Perdana tidak sensasi. Tetapi jangan lupa bahawa Debat Perdana adalah bukti bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan idea-idea bernas termasuk daripada pembangkang.

Sekali pun jumlah penonton program begini agak kecil tetapi ia mempunyai penonton yang berprofil tinggi. Mereka yang menonton program begini terdiri daripada kalangan pembuat dasar dan setaraf dengannya.

Jadi tidak semua program yang boleh dijadikan umpan dalam perang rating antara stesen televisyen negara ini. Tetapi kesemua stesen wajar ada strategi untuk menggunakan peluang bagi melonjakkan jenama sesebuah stesen.

RTM sebagai stesen kerajaan juga mesti ada rencah untuk dijadikan tarikan penonton. Kita gembira kerana RTM sekarang sudah tidak selesa dengan keadaan yang sedia ada. Ini antara petunjuk perubahan telah mulai berlaku secara senyap di RTM.

Kita mengharapkan ada konsistensi daripada langkah drastik untuk menggerakkan persaingan dengan stesen lain. Seperti kata Mohd. Safar, peringkat pertama bersaing menarik penonton kemudian bersaing pula mengekalkan penonton. Di sinilah peri pentingnya adunan antara strategi dan isi kandungan yang berkualiti.