Jangan berpeluk tubuh

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 17 September 2006


Persepsi sebahagian besar daripada kita membanteras jenayah adalah tanggungjawab pasukan polis. Ini kerana polis mempunyai kuasa selain kecekapan dan peralatan moden yang membantu memudahkan kerja-kerja membanteras jenayah.

Maka kita tidak perlu bertindak atau berbuat sesuatu untuk membantu polis dalam menjalankan tugas-tugas membanteras jenayah. Malah menganggap polis menjaga keselamatan kita dalam waktu tidur ataupun jaga. Memang benarlah semua itu kerja polis. Tetapi masyarakat juga ada tanggungjawab yang tidak kurang besarnya untuk membantu pasukan polis.

Bagaimanapun persepsi bahawa banteras jenayah kerja polis ini akhirnya membentuk satu sikap tidak endah orang awam terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Ini ditambah pula dengan sosialisasi kehidupan bandar yang agak individualistik. Pada masa yang sama pula ada sesetengah ibu bapa pula kelihatan sangat liberal tentang sosial. Sikap begini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah terutama remaja.

Hakikatnya membanteras jenayah adalah tugas dan tanggungjawab bersama antara polis dan anggota masyarakat. Polis memang dipertanggungjawabkan membanteras jenayah, masyarakat pula harus mempunyai sikap membantu polis.

Pertanyaan sinis yang dilontarkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, “Di mana peranan ibu bapa, di mana peranan masyarakat,’’ bukan perkara kecil tentang sikap masyarakat terhadap jenayah. Pertanyaan ini menuntut kita melihat secara jujur apakah masyarakat telah lakukan tanggungjawab mereka atau sekadar melihat saja tanpa mempedulikan apa-apa.

Polis selalu dituding jari kalaupun tidak dipersalahkan apabila meningkatnya kadar kejadian jenayah pada satu-satu masa. Polis menjadi tempat untuk masyarakat menuding jari mencari kelemahan. Polis pula menelan semua itu dengan penuh hemah.

Sedangkan anggota masyarakat sendiri terlupa bahawa mereka juga bertanggungjawab apabila kadar jenayah meningkat.

Peranan ibu bapa, persatuan-persatuan penduduk, Rukun Tetangga dan individu tetap penting untuk membendung kejadian jenayah. Polis hanya pihak berkuasa, tetapi masyarakat pula adalah pembentuk nilai yang baik.

Sekiranya masyarakat menjalankan tanggungjawabnya, sudah tentu ini menyumbang kepada penurunan angka-angka kejadian jenayah.

Kita kena berlaku adil kepada polis dan melihat secara menyeluruh tugas mereka yang menuntut kerjasama daripada masyarakat.

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke- 4 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendedahkan remaja yang terlibat dalam salah laku sosial adalah daripada keluarga yang bersikap sederhana dan liberal.

Sikap sederhana atau sedikit liberal adalah baik. Tetapi perlu ada batas-batas tertentu untuk memastikan keterbukaan itu tidak disalahgunakan oleh remaja. Hal inilah yang boleh membantu polis menangani masalah jenayah.

Statistik kajian itu menunjukkan hanya empat daripada 12 peratus remaja menganggap ibu bapa mereka berfikiran konservatif. Sikap liberal dan sederhana ibu bapa boleh menyumbang kesan yang positif, pada masa yang sama boleh jadi ada kesan negatif kepada remaja.

Daripada kajian ini kita boleh melihat bahawa tanggungjawab anggota masyarakat tetap besar untuk membendung jenayah khususnya remaja.

Mengikut statistik polis pula, kes jenayah kekerasan yang dilaporkan ialah 21,604 (2000), 20,390 (2001), 20,834 (2002), 22,790 (2003), 21,859 (2004) dan 22,133 (2005). Sementara kes jenayah kekerasan pada tiga bulan pertama tahun ini ialah 12,210. Antara definisi jenayah kekerasan ialah meliputi bunuh, cubaan membunuh, samun berkawan bersenjata api, samun tanpa senjata api, rogol dan mencederakan manusia.

Polis telah memperlihatkan kecekapan untuk menyelesaikan kes-kes yang dilaporkan. Misalnya 13,032 daripada 22,133 kes jenayah kekerasan tahun lalu dapat diselesaikan.

Pada tahun-tahun tertentu angka-angka kes jenayah kekerasan meningkat. Tetapi kita jangan lupa bahawa ini disebabkan oleh peningkatan kes yang dilaporkan kepada polis. Ini berlaku kerana kesedaran yang semakin meningkat untuk membuat laporan kepada polis. Ini juga satu kejayaan polis meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membuat laporan.

Menurut Fauzi, pada empat bulan pertama tahun ini, kadar kes jenayah kekerasan telah meningkat antara 11 hingga 13 peratus khususnya melibatkan rompakan dan rogol. Bagaimanapun kadar penyelesaian kes jenayah berat secara keseluruhannya mencapai lebih 50 peratus.

Semua ini menunjukkan polis telah menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan cemerlang. Tetapi mengharapkan polis saja tentulah tidak adil kerana jenayah adalah penyakit sosial yang berlaku dalam masyarakat. Jadi, mahu tidak mahu masyarakat tetap mempunyai peranan membanteras atau mengurangkan angka-angka kes jenayah.

Salah satu pendekatan yang boleh dilakukan ialah dengan mengubah sosialisasi kehidupan terutama di bandar-bandar besar. Kalau dilihat kehidupan di bandar-bandar terutama kawasan elit, tahap individualistik begitu tinggi. Ini dengan sendirinya mengecilkan ruang interaksi untuk membina satu jambatan kemasyarakatan. Tahap mengambil tahu antara satu dengan lain berada pada tahap yang rendah.

Suatu masa dulu telah diwujudkan Rukun Tetangga di taman-taman perumahan. Tujuan Rukun Tetangga ialah membina keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat terhadap kawasan mereka.

Tetapi kini Rukun Tetangga sudah hampir pupus. Banyak taman-taman perumahan di Kuala Lumpur misalnya sudah tidak ada Rukun Tetangga. Pada hal ini adalah satu mekanisme untuk meningkatkan keakraban seterusnya ambil tahu apa yang berlaku dalam lingkaran masyarakat.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Jangan menjaga tepi kain orang.’’ Dalam konteks tertentu, maksud pepatah ini memang wajar. Tetapi tidak boleh dalam semua keadaan kita tidak boleh mengambil tahu hal orang lain.

Maknanya kesedaran tentang tanggungjawab mesti dipertingkatkan. Persatuan-persatuan penduduk perlu bertindak membentuk anggota masyarakat yang berpekerti tinggi. Pada masa yang sama mereka juga menjadi mata dan telinga polis untuk melaporkan segala kegiatan jenayah yang barangkali terlepas daripada pandangan polis.

“Adakah kita hanya mahu memeluk tubuh saja apabila senario ini berlaku, polis boleh menyiasat dan menangkap tetapi ibu bapa, orang kampung, Rukun Tetangga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pun kena bersama-sama polis,’’ demikian kata Fauzi baru-baru ini.

Masyarakat kena menjawab pertanyaan Fauzi dengan memperlihatkan prihatin yang lebih tinggi terhadap masyarakat setempat. Ini kerana menjadi anggota masyarakat yang baik bukan saja tidak mengganggu orang sebaliknya kena “menjaga tepi kain orang.’’