Oleh: ZIN MAHMUD (Di Sydney, Australia)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Mei 2007
KAWASAN pelabuhan di Sydney, bersama jambatan dan bangunan Opera House mungkin adalah antara imej yang sering dipaparkan ke seluruh dunia. Ia bukan saja menjadi identiti Sydney tetapi juga Australia.
Tetapi dalam perjalanan antara lapangan terbang antarabangsa Sydney ke kawasan pelabuhan yang memakan masa lebih kurang sejam, ia penuh dengan bangunan lama dan suasana selepas matahari terbenam.
Antara kawasan lama di situ dijadikan rumah-rumah yang mana banyak penduduk peribumi, iaitu Aborigin tinggal. Akibatnya dikatakan banyak penduduk keturunan Inggeris pindah keluar dan nilai hartanah pun turun.
Setiap tahun apabila dirayakan sambutan ulang tahun, maka kawasan pelabuhan inilah yang menjadi imej paling meluas dunia lihat melalui televisyen satelit. Ini kerana sebagai kota besar pertama yang menemui tahun baru. Ketika sambutan alaf baru pada tahun 2000, di kawasan pelabuhan ini dunia menyaksikan pertunjukan bunga api di mana Sydney mendahulu kota-kota lain memasuki alaf baru.
Kini tujuh tahun kemudian dan Ahad lalu penduduk keturunan peribumi memperingati ulang tahun ke-40 pungutan suara mengenai hak kewarganegaraan mereka diadakan di mana diputuskan supaya Aborigines diberi kerakyatan. Selepas tahun 1967 barulah Aborigines yang terdiri daripada 45 suku kaum menurut bahasa mereka diiktiraf hak perlembagaan mereka.
Pada 27 Mei 1967, rakyat Australia mengundi dalam referendum menyokong cadangan kerajaan persekutuan Australia mendapat kuasa menggubal undang-undang bagi pihak pribumi. Referendum itu juga menghendaki bancian penduduk meliputi Aborigin. Keputusan itu dicapai ekoran kempen kuat oleh pribumi dan penyokong mereka untuk melihat kedudukan sosioekonomi Aborogin terbela. Sari segi politik ia merupakan pengikitrafan kepada hak perlembagaan mereka.
Sememangnya suatu yang pelik di mana kaum imigran yang terdiri daripada keturunan Anglo-Saxon mendapat hak perlembagaan lama sebelum ia dikecapi oleh peribumi mereka.
Ketika Britain secara rasminya mengisytiharkan Australia milik mereka pada tahun 1788 dengan pengibaran bendera Union Jack di Sydney Cove, sudah terdapat 750,000 orang penduduk peribumi yang tinggal turun-temurun sejak kira-kira 60,000 tahun dahulu. Tarikh hari terkibarnya bendera Union Jack itu, iaitu 26 Januari disambut setiap tahun sebagai hari kebangsaan yang dipanggil Hari Australia.
Negara Australia bagaimanapun ditubuhkan pada 1901 dengan penggubalan perlembagaan yang menyatukan enam negeri di pulau itu untuk menjadi Komanwel Australia. Sungguhpun begitu hubungan Australia dengan Britain begitu rapat hingga ia seolah-olah bukan negara berasingan daripada United Kingdom. Bendera kebangsaan yang mula dikibarkan pada 3 September 1901 di Melbourne yang masih digunakan sekarang memiliki di dalamnya bendera Union Jack. Ketua negara Australia sehingga ke hari ini adalah ketua negara United Kingdom.
Kesetiaan Australia adalah jelas iaitu kepada Britain. Mereka berperang mempertahankan United Kingdom dalam Perang Dunia Pertama hinggakan hari Australia memperingati tenteranya yang terkorban dalam perang Galipolli di Turki pada tahun 1915 sebagai Hari Anzac (Kor Tentera Australia dan New Zealand) pada 25 April.
Australia juga menyumbang darah tenteranya dalam Perang Dunia Kedua dan perang-perang berkaitan Perang Dingin selepas itu, iaitu seperti di Vietnam bersama tentera Britain. Malah Australia turut menyumbang tenteranya dalam darurat di Tanah Melayu. Canberra juga aktif membantu Tanah Melayu dan kemudian Malaysia dalam konteks sebagai sekutu Britain dan memikul tanggungjawab Komanwel. Maka Australia menjadi antara negara pertama mengiktiraf kemerdekaan Tanah Melayu dan selanjutnya tahun ini, ia turut memperingati ulang tahun ke-50 hubungan Canberra-Kuala Lumpur serentak dengan sambutan kemerdekaan ke-50 Malaysia.
Sikap Australia sebagai sekutu Britain ini turut terserlah dalam Perang Iraq di mana Perdana Menterinya, John Howard berganding bahu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Sedangkan Kanada yang juga negara penting Komanwel tidak mahu pula terlibat dengan Perang Iraq. Tetapi dari sudut lain, Kanada mempunyai Quebec yang penduduknya adalah keturunan Perancis di mana Paris menolak pencerobohan ke atas Iraq.
Namun begitu dalam alaf baru ini menampakkan tanda-tanda bahawa Australia sedang berubah. Kalau dahulu mata pelajaran geografi murid sekolah Australia lebih tertumpu kepada United Kingdom, tetapi kini mereka turut diajar mengenai negara-negara Asia.
Bukan itu saja, di peringkat hubungan luar, Canberra menegaskan bahawa ia adalah negara Asia, sekurang-kurangnya dari segi ekonomi dan perdagangan. Penyertaannya ke dalam Sidang Kemuncak Asia Timur menunjukkan bahawa ia mula melihat realiti geografinya sebagai negara Asia, dan bukannya Eropah.
Beberapa tahun lepas, Kementerian Luarnya menubuhkan pelbagai institut berhubung Asia, salah satunya Institut Australia-Malaysia (AMI) yang menunjukkan kepentingan benua itu kepadanya.
Lagipun pendatang gelombang baru selepas Perang Dunia Kedua banyak terdiri daripada keturunan Asia, baik daripada kalangan Asia Timur mahupun Asia Barat. Akhirnya jati diri Australia sedang berubah, daripada negara Anglo-Saxon, iaitu kaum United Kingdom dan Ireland kepada sebuah negara kosmopolitan yang entitinya bukan sebagai sekutu Britain tetapi hanya semata-mata sebuah negara demokrasi yang bebas. Polisi untuk menjadi sekutu AS atau Britain mesti didasarkan kepada kepentingannya sendiri.
Perubahan orientasi ini bermula selepas Perang Dunia Kedua apabila Britain menekankan hubungannya dengan Eropah berbanding dengan Komanwel. Maka ia mendorong Australia melihat ke utara, iaitu Asia.
Walaupun pada mulanya perkembangan itu adalah lebih kepada kepentingan ekonomi, bagaimanapun akhirnya ia tercermin juga dengan orientasi politik. Sudah mula banyak warganegara Australia, khususnya generasi muda yang mahukan identiti bebas daripada United Kingdom. Mereka mahukan bendera yang bebas daripada sebarang Union Jack dengan ketua negara bukan lagi Queen Elizabeth II. Walaupun referendum telah dijalankan dan orientasi lama masing menang tetapi masa depan Australia akan muncul sebagai negara beridentiti di luar Eropah.
Tetapi katakanlah lambang-lambang itu masih dikekalkan pun, warganegaranya dari kalangan Aborigin dan keturunan pendatang Asia Timur dan Asia Barat akan mencorakkan Australia menjadi negara lebih kepada identiti yang bersifat konsep demokrasi.
Antara nilai demokrasi yang penting ialah menolak perkauman dan menjunjung kesaksamaan. Maka masa depan negara ini ialah kepelbagaian budaya, bangsa dan agama dalam erti kata yang sebenar, dan bukannya dalam bentuk yang dimanipulasi oleh kalangan Barat.
Australia mempunyai sifat evolusi, daripada tanah milik Britain, ia kini berubah bukan saja menjadi sekutu dalam Komanwel, tetapi akhirnya sedang menuju untuk menjadi negara demokrasi untuk warganegaranya sendiri.