Hipokrasi Bank Dunia

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Mei 2007


Salah satu hujah Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz bahawa beliau patut terus memegang jawatannya adalah kerana keazamannya untuk menyempurnakan programnya bagi membasmi kemiskinan dunia.

Malah Presiden George W. Bush dalam kenyataan membela Wolfowitz ketika kontroversi gaji teman wanitanya, Shaha Ali Riza sedang hangat adalah berbentuk memuji usaha Presiden Bank Dunia itu untuk menangani kemiskinan dunia.

Kemiskinan dunia adalah perkara tragis bagi kemanusiaan hari ini. Di Malaysia seseorang mungkin dapat memahami keadaan kemiskinan yang banyak dikaji serta ditangani oleh kerajaan.

Umpamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) komited untuk membasmi kemiskinan dan pelbagai program dijalankan bagi mengatasi masalah ini. Begitu juga dengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) adalah antara cara-cara bagi mengatasi kemiskinan dalam negara ini.

Bagaimanapun, berbanding dengan kemiskinan di peringkat Malaysia dengan apa yang berlaku di dunia amat berbeza. Kemiskinan global amat menyedihkan di mana manusia, umpamanya di Afrika mengalami kebuluran, tidak cukup makan dan kehidupan mereka hanya berkisar untuk mengelak perut daripada kelaparan.

Ditambah pula negara yang menanggung hutang begitu banyak hingga pendapatan yang mereka ada terpaksa digunakan sebahagian besarnya untuk membayar bunga kepada Bank Dunia.

Justeru, negara-negara yang berhutang banyak ini tidak berupaya keluar daripada kedudukan mereka, dan terus-menerus sentiasa kekurangan, apatah lagi untuk melancarkan program-program seperti yang dilakukan di Malaysia.

Negara-negara miskin ini amat bergantung kepada Bank Dunia, malah itulah sebenarnya peranan institusi global itu sebagai platform bagi mengurangkan kemiskinan dunia melalui sumbangan dari negara-negara kaya yang bernasib baik.

Tetapi banyak aktivis global yang berhujah bahawa usaha Bank Dunia ini tidak akan membawa ke mana-mana selagi mereka, dan itu bermakna negara-negara yang menyumbang dana padanya tidak menghapus kira hutang-hutang yang ditanggung oleh negara-negara miskin.

Ini kerana selagi negara-negara miskin itu menanggung hutang yang besar pada Bank Dunia dan negara kaya, maka mereka terpaksa membelanjakan sejumlah besar wang pendapatan mereka semata-mata untuk membayar hutang, maka selamanya negara-negara ini tidak dapat keluar daripada kemiskinannya.

Untuk memahami apa yang berlaku ialah dengan membayangkan betapa seseorang yang miskin tetapi menanggung hutang besar pada orang kaya. Kes seperti ini hakikatnya banyak berlaku di dunia.

Jadi apabila dia bekerja dan memperoleh pendapatan, maka sebahagian besar apa yang diperoleh terpaksa digunakan untuk membayar hutang dengan bunga yang begitu banyak. Maka selamanya orang miskin ini tidak dapat keluar daripada kemiskinan. Malah sebenarnya mereka membayar kepada orang kaya yang tidak memerlukan wang itu.

Beginilah apa yang berlaku di dunia hari ini apabila negara-negara miskin yang menanggung hutang besar membayar Bank Dunia dan negara-negara kaya. Tetapi mengapakah negara-negara miskin itu berhutang jika mereka tahu keadaan akan menjadi seperti ini?

Sebagai negara miskin, mereka amat memerlukan hutang untuk membuat program- program yang boleh membawa rakyat mereka keluar daripada kemiskinan. Tetapi malangnya banyak daripada masanya, negara- negara miskin ini diperintah oleh kerajaan yang tidak jujur.

Mencuri

Pemimpin-pemimpin kerajaan ini mencuri daripada wang pinjaman ini untuk hidup bermewah sedangkan rakyat mereka miskin. Jadi akhirnya rakyat mereka yang menanggung hutang besar itu dengan terpaksa membayar pinjaman dan bunga kepada Bank Dunia.

Brian Concannon dari Institut Keadilan dan Demokrasi, Haiti menceritakan mengenai negaranya yang menanggung masalah seperti ini. Haiti adalah sebuah negara kecil di Carribean, iaitu di Amerika Tengah, tidak jauh dari Amerika Syarikat (AS) sendiri.

Haiti mempunyai ekonomi yang mengecil sebanyak dua peratus setiap tahun dengan mengambil kira inflasi selama 25 tahun. Pada tahun 1980-an, Bank Dunia memberi pinjaman kepada diktator Haiti, Jean Claude Duvalier yang terkenal dengan nama Baby Doc. Pinjaman itu diberikan oleh Bank Dunia dengan mengetahui bahawa wang bantuan itu dicuri oleh diktator dan kuncu-kuncunya untuk hidup mewah, termasuk membeli baju bulu.

Kini diktator itu sudah digulingkan dan Haiti diperintah oleh kerajaan yang dipilih rakyat. Tetapi Bank Dunia mengambil wang daripada kerajaan Haiti setiap bulan sebagai bayaran hutang yang dahulu.

Akibatnya Haiti terpaksa menyekat bayaran gaji kepada guru dan jururawat bagi membayar hutang-hutangnya dahulu kepada Bank Dunia.

Ke mana wang-wang hutang serta bunga, yang boleh dianggap sebagai keuntungan Bank Dunia? Menurut Concannon, di mana Haiti terpaksa mengikat perut, maka di situlah wang untuk membayar gaji pegawai dan kakitangan Bank Bunia, yang mahal-mahal. Termasuk Wolfowitz dan Shaha Riza.

Ekoran skandal Wolfowitz-Shaha Riza, Concannon menimbulkan soal yang berada dalam benak banyak orang di seluruh dunia.

Mengapakah bank yang ditugaskan untuk membasmi kemiskinan membayar gaji tinggi kepada pegawai dan stafnya. Apa yang pasti dengan gaji yang tinggi mereka sukar untuk merasai kemiskinan yang ditanggung oleh rakyat susah di negara-negara miskin itu. Kemiskinan bukan soal kewangan semata- mata. Terdapat faktor politik dan kemanusiaan di dalamnya.

Concannon memberi contoh bagaimana seorang ahli ekonomi yang berpendapatan RM86,806 atau RM542,110 setahun walaupun amat berbakat tetapi mungkin kurang berkelayakan untuk menilai polisi-polisi bukan kewangan.

Ahli ekonomi itu mungkin berkira secara tepat kesan potongan bajet kementerian kesihatan akibat tindakan Haiti membayar bunga hutangnya.

Tetapi dengan gaji yang begitu tinggi, ahli ekonomi itu tidak akan faham kesan daripada penutupan sebuah klinik di penempatan miskin di mana sebuah keluarga berusaha keras untuk memberi makanan, pakaian dan memelihara keluarganya dengan RM4.37 bagi setiap seorang sehari.

Concannon mempersoalkan bukan saja gaji Wolfowitz dan Shaha Riza tetapi keseluruhan pegawai dan kakitangan Bank Dunia.

Dengan gaji Shaha Riza, secara purata, ia boleh menyara 430 rakyat Haiti. Semasa kontroversi itu timbul, Shaha Riza dikatakan menyebut bahawa gajinya “Adalah suatu yang biasa bagi kakitangan Bank Dunia yang mempunyai pengalaman, latar belakang dan pendidikan” sepertinya.

Gaji Shaha Riza berjumlah RM655,752 setahun dengan pegawai dari White House yang turut terlibat dengan memberikan pakej gaji mahalnya, Robin Cleveland memperoleh RM846,806 dan Kevin Kellems mendapat RM812,842. Bank itu mendakwa gaji yang mahal perlu untuk bersaing dengan institusi lain bagi mendapatkan pakar yang “paling bijak, paling berbakat di dunia.''

Dengan mencari pakar-pakar seperti ini, Bank Dunia bertindak seperti bank komersial lain, yang mencari keuntungan. Sedangkan Bank Dunia mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada kerajaan-kerajaan miskin bagaimana mereka haris membelanjakan bajet mereka untuk perkhidmatan kesihatan, justeru menentukan berapa ramai kanak-kanak akan mati sia-sia kerana tidak dapat dirawat atas penyakit yang boleh diubati.

Rasuah

Menurut Concannon, Bank Dunia juga menentukan tahap mana “rasuah” boleh dikompromi serta menetapkan sebanyak mana bajet dipotong untuk sekolah serta bekalan air bersih kepada sesuatu penempatan.

Tetapi apakah maksud Concannon bahawa pegawai dan kakitangan Bank Dunia harus diberi gaji rendah bagi membolehkan mereka memahami kemiskinan? Tentu beliau tidak bermaksud begitu. Tetapi gaji yang diperoleh oleh kakitangan Bank Dunia bila dibuat perbandingan adalah amat tinggi.

Seharusnya institusi yang mempunyai komitmen untuk membasmi kemiskinan mempunyai elemen komitmen yang tidak dinilai dengan gaji. Seperti institusi-institusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat sivil global.

Tetapi Bank Dunia, seperti namanya sudah menampil dirinya sebagai sebuah bank global, malah seperti perbendaharaan dunia hingga sasaran sebenar sebagai membasmi kemiskinan hilang begitu saja.

Profesor Adil Najam dari Fletcher School of Law and Diplomacy, Tufts University, AS umpamanya menimbulkan persoalan bahawa Bank Dunia gagal menetapkan identitinya. Adakah ia sebuah bank atau institusi pembangunan?

Walaupun ia bermatlamatkan sebuah institusi pembangunan, tidak ada beza seperti Bank Pembangunan Asia (ADB) atau Bank Pembangunan Islam (IDB), tetapi pegawai dan kakitangan Bank Dunia digalakkan beraksi seperti ahli-ahli bank, bankers.

Justeru komentar mengenai Bank Dunia yang timbul sekarang bukan saja nepotisme atau pelanggaran etika oleh Wolfowitz. Struktur Bank Dunia itu juga diperhatikan walaupun terdapat lagi banyak perkara yang menyebabkan banyak pihak tidak senang kepada Wolfowitz.

Ada kalangan yang menganggap kejatuhan Wolfowitz bukan soal Shaha Riza tetapi juga tindakan membalas dendamnya kerana peranan bekas Setiausaha Pertahanan AS itu dalam menganjurkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq.

Bagaimanapun, menurut Adil banyak pihak yang berurusan dengan Wolfowitz sendiri tidak senang berhubung lima ciri beliau ini.

Pertama, cara pengurusan diktator Wolfowitz. Kedua, kecenderungan beliau mempromosi diri. Ketiga, sifat keangkuhannya dan kelima, agenda tersembunyinya yang disyaki.

Kelima-lima ciri ini berkait dengan ideologinya sebagai neokonservatif. Mereka yang memegang fahaman ini, dengan percaya ketuanan AS di dunia cenderong untuk bertindak keras seperti diktator. Mudahnya beliau menjalankan kaedah matlamat menghalalkan cara menyebabkan banyak pihak tidak senang.

Kecenderungan mempromosi diri dan keangkuhan mungkin merupakan sifat psikologi, tetapi ada ciri-ciri tidak mempedulikan pandangan atau kritikan para penentangnya. Justeru timbul juga persoalan, adakah golongan neokonservatif yang mendakwa memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia sebenarnya hanya memperalatkan idealisme itu untuk tujuan lain?

Paling parah ialah agenda tersembunyi. Bagaimanakah seseorang neokonservatif yang tidak teragak-agak memusnahkan kehidupan ribuan manusia di Afghanistan dan Iraq tiba-tiba menunjukkan prihatinnya untuk membasmi kemiskinan?

Ataukah di sebalik demokrasi dan hak asasi tersembunyi hipokrasi yang tujuannya semata-mata untuk mendapatkan kedudukan serta kuasa bagi golongannya di atas jutaan manusia lain? Akhirnya kata-kata, slogan, idea, konsep, retorik, manifesto dan hujah-hujah tidak akan dapat menandingi tindak-tanduk serta amalan seseorang.

Perbuatan yang telus tidak memerlukan agenda tersembunyi. Kalau ingin membantu negara-negara miskin, langkah pertama yang Bank Dunia boleh lakukan ialah hapus kira hutang yang munasabah oleh negara-negara miskin kepadanya. Apa yang menjadi perkiraan ialah keperluan setiap individu dan keluarga rakyat negara miskin itu.

Tidak perlu untuk mengulang-ulangi perkataan demokrasi, keadilan, hak asasi dan kesaksamaan. Apa yang perlu ialah kejujuran dan integriti seseorang. Apakah itu integriti? Cakap serupa bikin.