Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Mei 2007
SEPATUTNYA pilihan raya Presiden Perancis minggu lalu melahirkan ketenangan dan memantapkan haluan negara. Kemenangan Nicolas Sarkozy adalah jelas dengan meraih 53.4 peratus undi, dan pilihan raya itu menunjukkan Perancis memilih haluan kanan, iaitu fahaman Konservatif.
Tetapi tidak, kemenangannya disambut dengan rusuhan di merata tempat oleh penyokong-penyokong calon Parti Sosialis, Segolene Royal.
Penyokong aliran kiri, baik Sosialis, komunis, golongan pekerja, gerakan antiglobalisasi atau Hijau (Alam Sekitar) merusuh untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya itu. Rusuhan itu telah pun diramalkan oleh Royal.
Banyak orang di negara membangun mungkin pelik melihat Perancis begitu rupa. Bagaimana sebuah negara demokratik yang maju menyaksikan rusuhan selepas pilihan raya; tidak jauh beza seperti negara-negara membangun dan mundur.
Bukan itu saja, kedua-dua pihak sudah mula merancang untuk pilihan raya Parlimen Jun ini. Baik dari kalangan kanan, mahupun kiri mahu memastikan Parlimen dikuasai mereka.
Bagi golongan kiri, Perancis mesti diimbangkan dengan penguasaannya ke atas Parlimen. Maknanya, walaupun nanti Sarkozy, Perdana Menteri dan kerajaannya terdiri daripada golongan kanan; biarlah Parlimen mengimbangkannya dengan dianggotai oleh golongan kiri.
Pentadbiran
Tetapi bagi golongan kanan, mereka tidak pula mahu membiarkan pentadbiran mereka diganggu atau dijejaskan oleh Parlimen yang dikuasai oleh golongan kiri. Maka Sarkozy dan parti-parti kanan juga mahu berusaha keras memastikan Parlimen turut bersama dengan mereka.
Tetapi apa yang berlaku di Perancis adalah tidak menghairankan dan ia mencerminkan jati diri nasional negara itu. Negara itu seolah-olah terbahagi dua iaitu golongan kanan dan kiri. Hanya segelintir yang menentukan siapakah kerajaan dan ke mana hala tuju negara. Kebanyakan daripada rakyat Perancis memegang fahaman masing-masing secara kuat.
Rusuhan yang sering berlaku di Perancis adalah sesuatu yang tidak pelik. Mana tidaknya. Perancis yang mencorak pemikiran politik dunia melalui Revolusi Perancis turut terkenal dengan kebangkitan-kebangkitan lain seperti Paris Commune dan demonstrasi besar-besaran pelajar pada tahun 1960-an.
Perancis adalah sebuah negara revolusioner. Tetapi itu hanyalah satu sisi daripada negara itu. Perlu diingat bahawa sebelum berlakunya 1789, sistem beraja Perancis berada di kemuncaknya.
Pada zaman Enlightenment yang dianggap sebagai mercu tanda tamadun Perancis, negara itu berada pada kedudukan bobrok hingga masyarakat terbalik dan sistem beraja diruntuhkan untuk digantikan dengan republik dalam suatu bentuk negara radikal.
Ketika Revolusi Perancis, ia berubah daripada kanan yang bobrok untuk menjadi kiri paling radikal. Setelah diperintah dalam Zaman Kengerian (Reign of Terror), Perancis diterbalikkan semula dengan kemunculan Napoleon Bonapharte.
Kedua-dua wajah Raja Louis XVI dan Robbespiere adalah sebahagian dari jati diri Perancis, antara kebobrokan dan keradikalan. Begitu juga dengan Napoleon yang menjadi maharaja dan menubuhkan empayar, maka begitu juga dengan gerakan-gerakan pelbagai aliran kiri yang timbul kemudian.
Fahaman sindikalis, anarkis, sosialis dan komunis mencorakkan pemikiran politik Perancis hingga negara itu terkenal sebagai pusat ideologi fahaman kiri.
Falsafah kiri di Perancis ditandai dengan nama-nama besar dari kalangan eksistensialis seperti Jean-Paul Sartre dan gerakan dekonstruksi seperti Michel Foucalt, Paul Derrida dan banyak lagi nama intelektual.
Di Perancis juga muncul gerakan Kiri Baru di kalangan pelajar dan fahaman Eurokomunisme yang meletakkan parti komunis hampir kepada kuasa pada 1970-an.
Maka tidak hairanlah, pertarungan politik di Perancis sentiasa antara golongan kanan dan kiri. Di pihak kiri, diketuai Parti Sosialis sementara parti komunis dan beberapa parti kiri, radikal dan Hijau berada sebagai pelengkap spektrum politik sayap itu.
Pilihan raya Presiden ini ialah yang ketiga di mana Sosialis kalah. Paling akhir calon Presidennya menang ialah Francois Mitterand yang memerintah Perancis dari 1981 hingga 1995. Antara legasi beliau ialah bangunan baru Perpustakaan Nasional yang berbentuk buku gergasi terbuka di Paris.
Beliau diganti oleh Jacques Chirac yang menang dua penggal. Spektrum politik kiri dan kanan yang kini digunakan di seluruh dunia juga berasal dari Perancis. Selepas Revolusi Perancis, kedudukan anggota Parlimen disusun menurut fahaman politik parti masing-masing. Makanya, golongan yang paling kiri seperti para ekstremis radikal ditempatkan di sebelah paling kiri, sementara yang paling konservatif dan mendukung sistem bangsawan ditempatkan pada kedudukan paling kanan dalam Parlimen.
Wajah dua bucu spektrum ini kini bukan saja wujud di Perancis tetapi seluruh Eropah dan Barat. Sistem ini menjadi amalan di Barat yang menjadi ikutan di seluruh dunia.
Walaupun ia berbentuk dua bucu, tetapi oleh kerana kebanyakan rakyat berada di tengah-tengah spektrum politik, maka kedua-dua pihak akan menyesuaikan polisi dan program mereka untuk berada di tengah-tengah.
Maka di banyak negara Eropah, termasuk di Perancis, golongan Sosialis akan menampilkan diri sebagai kiri tengah, sementara pihak Konservatif menunjukkan diri mereka sebagai kanan tengah.
Tetapi seperti yang ditunjukkan oleh keputusan pilihan raya Presiden Perancis, pengundi negara itu dengan jelas memilih garisan tengah kanan, sebab itulah calon Parti Sosialis gagal.
Mungkin dorongan besar yang membawa kemenangan Sarkozy adalah polisi-polisinya berhubung ekonomi dan keselamatan dalam negeri. Tetapi kemenangannya memberi kesan besar kepada dasar luar Perancis.
Sememangnya dari segi aliran Konservatif, mereka akan lebih bersifat mesra Amerika Syarikat (AS). Sementara kalau di pihak kiri, mereka akan menjauhkan diri daripada Washington.
Cuma, sepanjang kepimpinan Chirac, walaupun beliau dari kalangan Konservatif, Perancis enggan bekerjasama dengan AS khususnya dalam soal penaklukan ke atas Iraq.
Terbaik
Perancis, Jerman dan Rusia muncul sebagai negara-negara penting mempertegaskan multilateralisme serta menolak unilateralisme AS.
Apa yang berlaku di Perancis adalah terbalik kepada keadaan di Britain. Perdana Menteri, Tony Blair walaupun dari parti kiri iaitu Buruh muncul sebagai sekutu kuat AS dan terlibat sama penaklukan ke atas Iraq.
Bagaimanapun Perancis mempunyai jati diri kuat untuk bersikap berbeza dengan negara-negara berbahasa Inggeris itu. Atau mungkin juga hubungan akrab Britain dengan AS adalah kerana bahasa serta keturunan sama.
Namun begitu, Blair dianalisis sebagai bertindak sendirian. Sikapnya untuk turut serta dalam perang Iraq tidak disetujui oleh partinya. Sokongan yang diterimanya, parti dan rakyat Britain adalah atas sebab isu-isu lain seperti ekonomi, bukannya dasar luar.
Maka sikap Chirac yang menolak perang Iraq dapat dilihat mendapat sokongan rakyatnya tetapi kemenangan Sarkozy dilihat akan membawa perubahan pendekatan. Ini kerana sikap Sarkozy dianggap akan lebih mesra dengan AS. Bukan saja ia merupakan sebahagian daripada azamnya untuk berbeza dasar dengan Chirac dalam konsep Le Rupture tetapi beliau sebagai seorang keturunan Hungary dilihat mempunyai kecenderungan untuk berada hampir pada AS.
Ciri ini disebut walaupun sepatutnya tidak timbul pengaruh keturunan seseorang terhadap pendirian politik kerana semua warganegara Perancis dianggap sama dan saksama. Bush pernah menyebut mengenai Eropah Baru dan Eropah Lama sebagai caranya mengkritik Perancis kerana menentang AS dalam soal Iraq.
Perancis dan Jerman dianggap sebagai Eropah Lama yang berasa tidak senang dengan sifat dominan AS. Sementara negara-negara Eropah Timur termasuk Hungary yang menyokong tindakan AS di Iraq dianggap sebagai Eropah Baru.
Terdapat dua elemen di negara-negara yang disifatkan sebagai Eropah Baru yang menjadikannya pro-AS. Pertama, mereka adalah bekas negara dalam pemerintahan kediktatoran komunis. Maka sudah tentu sebagai negara demokrasi baru mereka berasa sensitif untuk menyokong Washington dalam usaha menjatuhkan pemerintahan kediktatoran Baghdad. Kedua, lebih penting lagi ialah negara-negara Eropah Timur itu banyak bergantung kepada sokongan ekonomi dari AS dalam usaha untuk membangun dan keluar daripada sistem komunis.
Maka dengan memperoleh manfaat ekonomi, mereka membayar dalam bentuk sokongan politik.
Jadi atas sifat asal Hungary, ada pemerhati melihat Sarkozy akan bersifat pro-AS. Mungkin dalam soal Iraq, kesannya tidak akan besar kerana Washington berada di penghujung perang dengan rancangan untuk mengundurkan diri. Lebih-lebih lagi Bush menghadapi tekanan daripada Kongres yang dikuasai Demokrat, iaitu parti yang dianggap sebelah kiri dalam politik AS. Golongan kiri di AS dinamakan liberal.
Tetapi apa yang lebih mendesak adalah sikap Paris terhadap Teheran. Kalau Chirac menunjukkan sifat sederhana kepada Teheran, seperti yang dilakukan oleh Rusia, pada masa Sarkozy ini keadaannya mungkin akan berbeza. Malah beliau mungkin menyokong AS untuk memberi tekanan terhadap Iran.
Maknanya kemenangan Sarkozy ini menguntungkan pihak AS. Namun begitu, kemenangan Sarkozy berlaku ketika banyak perubahan di dunia Barat yang menyaksikan penyusunan semula pendekatan dalam dasar luar masing-masing terhadap Asia Barat.
Ini kerana AS juga sedang berubah. Penguasaan Demokrat terhadap Kongres dengan speakernya, Nancy Pelosi bersungguh-sungguh mahukan pengunduran tenteranya dari Iraq akan mengubah politik Asia Barat.
Keadaan muktamad akan hanya berlaku setelah pilihan raya Presiden AS pada November tahun depan.
Kemenangan Demokrat, sama ada Hillary Clinton atau Barrack Obama akan membawa kepada perubahan dasar luar, lari daripada neokonservatif. Tetapi jika Republikan yang menang, keadaan juga akan berubah. Zaman Bush dan neokonservatif sudah berlalu.
Begitu juga dengan pelepasan jawatan oleh Blair Jun ini dan digantikan dengan Gordon Brown. Maka London juga akan mengundurkan tenteranya. Brown tidak akan mengikut dasar Blair tetapi hubungan dengan pemimpin baru Washington tetap setara, selaras dengan perubahan di Iraq.
Maka Sarkozy akan berdepan dengan keadaan ini, sewajarnya ia bersekutu dengan Anegela Merkel, Canselor Jerman yang berhaluan kanan. Beliau yang dianggap juga pro-AS tetapi menang dengan undi tipis hingga memerlukan penyelerasan dasar luarnya supaya seimbang antara kehendak pihaknya, dan pembangkang yang turut mendapat sokongan besar.
Sebagai sealiran Sarkozy dan Merkel mampu mencorak hala tuju Eropah kepada jalan Konservatif. Dalam hal ini, Turki wajar melupakan saja hasratnya untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).
Sarkozy pernah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan hasrat kemasukan Turki ke dalam EU atas dasar budaya, dan bukanya soal demokrasi serta hak asasi manusia.
Sikap Sarkozy seumpama ini menyebabkan rakyat Perancis beragama Islam menyokong Royal. Di Eropah, umat Islam adalah sekutu golongan kiri.