Apabila AS sokong keganasan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber:Mingguan Malaysia 16 Julai 2006


PADA 10.45 pagi Jumaat lalu, Reuters menyiarkan mesej beritanya ke telefon bimbit di seluruh dunia yang melanggan perkhidmatan mereka untuk melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) menggunakan veto untuk menolak tuntutan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya Israel berundur dari Gaza.

Sehari sebelum itu, Reuters juga melaporkan bahawa AS menggesa Israel supaya mengawal diri tetapi menegaskan bahawa rejim Zionis itu ada hak mempertahankan diri.

Adakah dengan mengebom bertalu-talu kawasan penempatan awam itu mempertahankan diri?

Dalam serangan bom tentera Israel ke atas Lebanon, berpuluh-puluh orang awam terkorban. Begitu juga infrastruktur daripada jambatan hingga penjana elektrik di Lebanon dan Gaza musnah.

Takrif keganasan yang dipegang sendiri oleh AS adalah apabila dilakukan serangan ke atas sasaran orang awam dan di luar kawasan konflik. Maka serangan Israel ke atas Lapangan Terbang Beirut adalah merupakan pelakuan keganasan. Apa bezanya serangan itu dengan pengeboman oleh pengganas di London dan Madrid?

Rejim Tel Aviv menyatakan bahawa serangannya ke atas Lebanon adalah kerana kegagalan kerajaan Beirut melucutkan senjata pejuang Hizbullah.

Apa yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv adalah seolah-olah seperti kerajaan India melancarkan serangan ke atas Pakistan ekoran pengeboman di Mumbai dengan tuduhan bahawa Islamabad bertanggungjawab.

Tetapi India tidak melakukan serangan ke atas Pakistan walaupun banyak kalangan di situ mempercayai pihak pejuang Kashmir yang disokong oleh Islamabad melakukan serangan itu.

Tidak ada kerajaan di dunia seperti Israel yang sanggup, mampu dan gamak melakukan serangan ke atas orang awam. Apatah lagi menyerang pejabat sebuah kerajaan pilihan rakyat seperti Hamas.

Ini kerana tidak ada negara yang begitu dilindungi oleh AS seperti Israel. Veto yang dipegang oleh AS di PBB seolah-olah bukan milik Washington tetapi adalah dalam penguasaan rejim Tel Aviv.

Yang menjadi kuasa besar dunia, seolah-olahnya bukan AS tetapi Israel. AS yang menjadi proksi Israel.

AS mendakwa bahawa Israel mempertahankan diri kerana pejuang Palestin menawan tentera rejim Zionis itu. Tetapi tidakkah tentera Zionis berada di bumi Palestin secara haram? Palestin yang mempertahankan diri malah sudah ditakluki. Bukan saja mempertahankan diri tetapi memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan.

Kunci pada masalah ini ialah Israel tidak mahu berundur dari wilayah Palestin khususnya Gaza dan Tebing Barat. Maka sewajarnya Palestin berjuang menuntut kemerdekaan dan kebebasan.

Adakah menjajah wilayah orang lain merupakan mempertahankan diri?

Tentulah itu yang dipercayai oleh Israel dan AS. Ini kerana mereka beranggapan bahawa rakyat Palestin dan juga Lebanon yang menghapuskan entiti Israel. Kepercayaan Israel dan AS itu sendiri pastinya berasaskan pada kesedaran bahawa mereka telah merampas tanah milik orang. Oleh kerana mereka telah menceroboh dan merampas, maka pihak yang menjadi mangsa sudah tentu mahukan kembali tanah mereka.

Maka sejak PBB ditubuhkan, AS menggunakan vetonya untuk memastikan Israel dapat terus wujud dan selamat. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa keseluruhan Perang Dunia Kedua adalah untuk mewujudkan Israel.

PBB dan sistem veto yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua merupakan mekanisme bagi menyelamatkan Israel.

Andai kata tidak ada sistem veto ini, pasti PBB memberi tekanan yang sewajarnya pada Israel dan negara Zionis itu berkemungkinan besar akur untuk berundur dari Gaza dan Tebing Barat.

Veto pula dipegang oleh negara-negara yang menang dalam Perang Dunia Kedua iaitu AS, Britain, Perancis, Rusia dan China. Rusia mewarisi veto yang dipegang oleh Kesatuan Soviet sementara Republik Rakyat China mengambil tempat Republik China yang kini kerajaannya memerintah hanya Taiwan.

Semasa Perang Dunia Kedua, keempat-empat negara itu adalah sekutu dalam perang. China diwakili oleh parti nasionalis Kuomintang yang masa itu diiktiraf sebagai kerajaan sah. Bagaimanapun, kedua-dua Kuomintang dan komunis turut berperang menentang Jepun.

Kedudukan China sebagai negara mempunyai penduduk ramai dan merdeka melayakkannya menjadi negara yang boleh memiliki kuasa veto.

India yang juga merupakan negara memiliki penduduk ramai pada masa itu merupakan tanah jajahan utama Britain. Dalam erti kata lain, India yang menjadikan Britain besar.

Justeru, Britain dan Perancis pada masa menjelang Perang Dunia Kedua merupakan kuasa-kuasa besar yang mempunyai tanah jajahan paling luas di seluruh dunia.

Tetapi dalam Perang Dunia itu, Perancis ditakluki dan diduduki oleh Jerman. Maka apabila tamat perang, yang menentukan corak baru dunia ialah AS, Britain dan Soviet melalui rundingan tiga pemimpin terkenal mereka, Presiden Theodore Roosevelt, Perdana Menteri Winston Churchill dan Stalin di Yalta.

Pada masa itu tidak timbul soal Israel. Tetapi mengapakah setelah PBB ditubuhkan, Israel bukan saja muncul tetapi menjadi begitu kebal dengan berulangkali AS menggunakan kuasa vetonya untuk membela Israel.

Pertemuan itu merintis kepada penubuhan PBB yang mana piagamnya menyebut tentang dekolonisasi atau gerakan memerdekakan tanah jajahan.

Perlu diingat bahawa di antara lima kuasa veto itu hanya Britain dan Perancis yang mempunyai tanah-tanah jajahan. Selama ini apa yang menjadikan Britain dan Perancis kuasa besar adalah tanah-tanah jajahan. Tidak seperti Soviet dan China yang mempunyai keluasan besar, Perancis dan lebih-lebih lagi Britain hanyalah sebuah negara kecil, maka kehebatannya terletak pada keluasan tanah-tanah jajahannya.

Maka menjadi kepentingan AS dan Soviet untuk menyokong usaha kemerdekaan tanah-tanah jajahan ini. Dengan kemerdekaan mereka, AS dan Soviet muncul sebagai kuasa lebih besar berbanding Britain dan Perancis.

Perlu diingat betapa soal tanah jajahan juga merupakan sebab Adolf Hitler melancarkan perang. Baginya kalau negara lain boleh memiliki tanah-tanah jajahan, mengapa tidak Jerman.

Satu lagi analisisnya pula ialah pengaruh besar elit Yahudi terutama dalam sektor perbankan menguasai Eropah dan menafikan hak Jerman untuk berkembang.

Analisis Hitler tidak benar. Walaupun elit Yahudi tertentu mempunyai pengaruh besar terhadap Britain dan Perancis tetapi massa Yahudi banyak yang tertindas dan terpinggir dalam masyarakat Eropah khususnya di Jerman.

Tanpa banyak pilihan, orang Yahudi di Eropah menumpukan usaha kecemerlangan mereka dalam bidang perbankan, guaman, kesusasteraan dan akademik. Tidak hairanlah muncul intelektual ternama Yahudi dan ia menambah tekanan kepada bangsa Jerman.

Daripada golongan terpelajar ini mereka menggagaskan idea dan fahaman Zionisme yang mengimpikan sebuah negara Yahudi merdeka.

Walaupun Nazi Jerman memusuhi Yahudi, tetapi mereka secara tidak langsung membantu Zionisme dan penubuhan Israel melalui penindasan terhadap Yahudi, Perang Dunia Kedua dan Holocaust.

Dengan penindasan terhadap orang Yahudi, Nazi Jerman telah mendorong banyak intelek, golongan terpelajar Yahudi dan massa Yahudi lari dari Jerman dan menetap di AS.

Melalui Perang Dunia Kedua, Nazi Jerman telah menghapuskan antisemitisme di Eropah dan menyebabkan orang Yahudi khususnya Zionis mempunyai pengaruh besar di benua itu khususnya Britain dan Perancis.

Dengan Holocaust pula, Eropah berasa bersalah dan terhutang nyawa kepada orang Yahudi. Justeru, selepas Perang Dunia Kedua dan dalam proses dekolonisasi, golongan Zionis dapat mempengaruhi Britain memberikan sebahagian daripada Palestin untuk dijadikan negara Israel. Sedangkan Palestin tidak pernah dimiliki oleh Britain. London hanya memegang amanah yang diberikan oleh Liga Bangsa-Bangsa, badan yang diwarisi PBB.

Selepas Israel ditubuhkan, ia dipelihara oleh AS, Britain dan Perancis. Hanya Soviet memihak pada pihak Arab untuk mendapatkan kembali wilayah Palestin. Britain dapat mempengaruhi Mesir pada zaman Raja Farouk dan Jordan. Sementara Perancis memisahkan Lebanon daripada Syria. Maka perkiraan Britain, Perancis dan AS ini menyelamatkan kedudukan Israel dan terus meminggirkan rakyat Palestin.

Dengan sokongan Soviet, kekuasaan di Mesir dan Syria berubah apabila Gamal Nasser dan Hafez Assad memerintah berubah dengan mereka mengambil aliran nasionalis kiri.

Mereka membantu kewujudan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang dalam segala kekurangan memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Mereka diperangi Israel hingga terpaksa berundur pada mulanya ke Beirut, kemudiannya ke Tripoli, Libya.

Israel dengan sokongan AS berjaya mengikat Mesir daripada memusuhinya, dan juga menduduki Lebanon apabila Perancis dan AS berundur.

Dalam usaha untuk melemahkan PLO, Israel memberi bantuan kepada Hamas sebagai kumpulan baru. Tetapi Hamas berjaya melancarkan intifada pada tahun 1988 yang memulakan usaha baru kemerdekaan.

Kejatuhan Soviet pada tahun 1990 menjadikan dunia tidak seimbang dan AS lebih mudah memberi bantuan langsung kepada Israel.

Kuasa baru yang membantu Palestin ialah Iran melalui Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin. Bagi menumpulkan pengaruh Hamas, maka rejim Tel Aviv memberi ruang kepada PLO. Maka wujudlah Persetujuan Oslo dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang ternyata merupakan penipuan kepada rakyat Palestin.

Hamas memberi peluang kepada PLO dan Yasser Arafat untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Israel. Tetapi apabila ternyata gagal hingga pejabat Arafat turut dibedil, maka setelah kematiannya, pada tahun ini, Hamas menyertai pilihan raya dan berjaya serta menubuhkan kerajaan.

Israel dan AS tidak mengiktiraf Hamas. Tanpa pengiktirafan itu, maka mudah untuk berlaku penentangan oleh pejuang Palestin.

Penekanan Israel terhadap kerajaan Hamas dengan menangkap pemimpinnya membuka ruang kepada penawanan seorang tentera rejim itu. Ia membawa kepada serangan keganasan besar-besaran pihak Israel.

Dalam keadaan tertekan ini, pihak Hizbullah yang mana anggotanya turut ditawan oleh Israel berjaya pula menahan rejim itu.

Ini membawa kepada serangan besar-besaran rejim Tel Aviv ke atas Lebanon. Eropah, kecuali Switzerland tidak bersuara. AS dengan jelas memihak kepada Israel.

Dalam keadaan ini, umat Islam di seluruh dunia sukar untuk menyokong Barat. Umat Islam juga umumnya faham keperluan Iran memiliki senjata serba canggih. Ini kerana Palestin tidak dapat mempertahankan diri mereka kerana kelemahan kekuatan umat Islam.

Pihak Barat tidak wajar berfikir bahawa umat Islam sengaja memusuhi Barat kerana soal agama, fahaman, budaya atau cemburu dengan tamadun serta kemajuan mereka.

Umat Islam membenci AS dan Barat kerana sokongan mereka kepada Israel yang merampas tanah Palestin secara ganas.

Coca-cola, McDonald’s, Microsoft atau Hollywood tidak menjadi masalah bagi umat Islam. AS dan Barat jangan salah faham. Kunci masalah dunia hari ini terletak pada Dasar Luar AS yang menyokong Israel tanpa menghiraukan soal kemanusiaan, keadilan dan keamanan. Ia pasti bukan nilai tamadun barat yang dibangga-banggakan mereka.