Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 30 Julai 2006
ADA enam peristiwa berhubung serangan Israel ke atas Lebanon seminggu lalu yang wajar diambil perhatian. Pertama, serangan bom Israel ke atas Kompleks Fatimah Az-Zahrah di Sidon, Lebanon yang mengandungi masjid, sekolah dan perpustakaan. Keseluruhan kompleks itu musnah dan hanya tinggal kubahnya.
Kedua, serangan bom ke atas bangunan pos pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dekat Khiam, Lebanon, Khamis lalu di mana seorang anggota tentera China turut terkorban.
Ketiga, pada hari yang sama, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB menghalang kenyataan mengutuk Israel yang dibentangkan oleh China.
Keempat, setelah dua minggu serangan Israel ke atas Lebanon, barulah pada hari Khamis itu, Al-Qaeda mengeluarkan kenyataan akan melakukan serangan ke atas Israel dengan menegaskan bahawa keperluan perpaduan antara Sunni dan Syiah.
Kelima, pada hari yang sama, Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice berada di Kuala Lumpur menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF) sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-39.
Keenam, pada hari yang sama juga Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki tiba di Kuala Lumpur dalam kunjungan tidak berjadual untuk bertemu rakan sejawatnya, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Cuba hubungkan keenam-enam peristiwa ini untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam konflik Asia Barat dan selanjutnya kesannya kepada dunia.
Tamadun
Dari segi simbolik, serangan terhadap Kompleks Fatimah Az-Zahrah itu mempunyai erti yang istimewa bagi umat Islam di seluruh dunia. Nama kompleks itu adalah sempena anak Rasulullah s.a.w. dan merupakan antara wanita istimewa bagi orang Islam, lebih-lebih lagi bagi pengikut mazhab Syiah yang menganggap suami Saidatina Fatimah, Saidina Ali sebagai imam pertama mereka.
Hakikatnya, kompleks itu mengandungi masjid iaitu rumah ibadat dan bagi Israel, mereka tidak menghormati soal kesucian agama lain.
Dalam kompleks itu juga terdapat sekolah di mana anak-anak Syiah Lebanon mendapat pendidikan, bukan saja tentang agama tetapi juga politik di mana mereka diajar mengenai hak mereka. Maka serangan ke atas kompleks itu juga memberi simbol betapa Israel mahu memusnahkan generasi akan datang Lebanon, lebih-lebih lagi berhubung dengan kesedaran mengenai agama dan hak mereka.
Tetapi untuk melengkapkan permusuhan Israel terhadap tamadun ialah apabila serangan itu juga memusnahkan perpustakaan dalam kompleks itu.
Beribu-ribu naskhah buku musnah. Buku dan kitab yang antaranya tentunya naskhah-naskhah al-Quran dan kitab-kitab agama serta buku-buku politik terbakar dan hancur. Dari segi simbolik, itulah yang diinginkan oleh pihak Israel.
Mereka mahu memusnahkan tamadun orang lain: sama ada Palestin, Lebanon, Islam, Sunni, Syiah atau Kristian. Bagi mereka, yang bernilai hanyalah Yahudi; agama, bangsa dan peradaban.
Itulah yang mereka telah lakukan ke atas apa saja kesan tamadun di bumi wilayah Palestin yang kini menjadi sebahagian daripada Israel.
Pemusnahan ini hendak dilanjutkan ke atas keseluruhan Palestin yang tinggal iaitu Gaza dan Tebing Barat. Kemuncaknya ialah pengyahudian Baitulmaqdis.
Itu hasrat mereka tetapi tersangkut-sangkut apabila ada perlawanan. Justeru pihak yang melawan seperti Hamas mahu dimusnahkan. Bagaimanapun, Israel juga memandang ke utara iaitu Lebanon, lebih-lebih lagi apabila rakyat negara itu menentang Israel. Tentera Israel pernah menawan Lebanon Selatan dan sampai ke Beirut. Mereka boleh melakukannya lagi.
Serangan bom bertalu-talu bukan saja mahu memusnahkan bangunan dan melemahkan semangat rakyat Lebanon tetapi ia merupakan cara untuk menyediakan laluan bagi tentera Israel untuk melancarkan serangan darat. Setelah semuanya hancur termasuk keupayaan Hizbullah, baru mereka masuk dan memusnahkan saki-baki kumpulan yang menentangnya supaya akhirnya rakyat Lebanon tidak lagi menjadi ancaman.
Bagi Israel, kompleks Fatimah Zahrah itu bukan saja tempat ibadat, pendidikan dan peradaban dalam bentuk perpustakaan itu, tetapi pastinya mereka mendakwa bahawa ia merupakan markas Hizbullah. Mungkin Hizbullah tidak berada di situ atau ia bukan markas. Tetapi dari segi kerohanian, kompleks tersebut sememangnya boleh dianggap sebagai markas kerana di situlah tersimpan pemikiran dan ideologi Hizbullah. Kalau bukan pun anggota Hizbullah berada di situ tetapi pemahamnnya ada di situ.
Di Lebanon terdapat markas-markas seperti ini. Ia merupakan pusat budaya dan besar kemungkinannya memperoleh bantuan dari Iran. Dari sinilah nanti lahir pejuang-pejuang Hizbullah yang kental dengan semangat dan faham mengenai kejahatan Israel.
Bagaimanapun, dalam serangan yang memusnahkan keseluruhan kompleks itu, hanya kubahnya yang berwarna hijau terselamat. Ia juga membawa makna simbolik. Lebanon, khususnya masyarakat Syiahnya melalui kumpulan Hizbullah akan menentang Israel walaupun mereka diserang dengan hebatnya.
Sokong
Walaupun sasaran asal Israel adalah Palestin tetapi baginya sesiapa yang menyokong perjuangan Palestin adalah musuhnya. Itulah nasib yang ditanggung oleh Hizbullah yang terang-terang menyokong Palestin. Tetapi apabila dilihat dari sudut sejagat, bukan saja rakyat Lebanon, dunia Arab dan dunia Islam yang menyebelahi Palestin tetapi seluruh dunia.
Pertembungan antara Israel dengan dunia secara simboliknya dapat dilihat dalam serangannya ke atas pos PBB di Khiam. Bangunan berwarna putih ini tertera tulisan UN yang besar dan pasti diketahui oleh Israel. Malah pegawai-pegawainya telah pun menghubungi pihak Israel untuk menyatakan bahawa mereka adalah kakitangan PBB.
Israel sememangnya menyasarkan serangan ke atas Hizbullah yang dikatakan berada berhampiran bangunan itu. Selalunya dikatakan Hizbullah akan bergerak hampir dengan bangunan PBB sebagai taktik untuk mengelak dibom. Tetapi walau apa pun Israel tidak boleh mengebom pos PBB.
Bagaimanapun, peristiwa ini dapat difahami jika dilihat dalam konteks bahawa dunia yang diwakili PBB menentang Israel.
Sejak daripada penubuhannya, dunia mengemukakan usul yang menentang Israel tetapi ditepis oleh AS melalui kuasa veto. Bagaimanapun hakikat bahawa dunia menentang Israel adalah jelas apabila veto AS itu dianggap sebagai tidak wajar diiktiraf. Umpamanya bila dianggap bahawa sistem veto PBB sudah patut dimansuhkan, maka apa yang berlaku dalam badan dunia itu menunjukkan umumnya Israel ditentang oleh dunia.
Maka serangan Israel itu mengorbankan seorang warga China. Ekoran daripada itu, China membawa usul mengutuk Israel. Tetapi usul anggota Majlis Keselamatan PBB itu ditolak oleh AS melalui kuasa vetonya. Jelas dunia menentang perikatan Israel-AS. Umum faham tentang perikatan dua negara yang kini mencorak dan menguasai dunia. Tetapi hanya satu kumpulan yang menyatakan perang ke atas perikatan ini dengan menamakan mereka sebagai pakatan Zionis-Salibiah. Tetapi malangnya kaedah kumpulan menggunakan keganasan berbentuk serangan berani mati yang mengorbankan orang awam. Kumpulan ini ialah Al-Qaeda yang turut menganggap Syiah sebagai musuh. Mereka menentang Syiah di Afghanistan dan Iraq.
Tetapi Al-Qaeda selama ini lebih menjadikan AS dan Eropah sebagai sasarannya daripada Israel sendiri. Mangsa mereka pula malangnya adalah orang awam yang tidak bersalah kerana turut terkorban dalam serangan keganasan berani mati.
AS menyifatkan Al-Qaeda sebagai musuh utamanya kerana sifat keganasan yang ditujukan padanya. Bagaimanapun Israel lebih menumpukan perhatian kepada Hamas dan Hizbullah yang disifatkannya sebagai pengganas. Bagi kedua-dua Israel dan AS, semua kumpulan ini, sama ada Al-Qaeda, Hamas mahupun Hizbullah adalah pengganas. Bagi dunia Islam pada amnya mereka melihat Al-Qaeda sebagai pengganas tetapi tidak Hamas dan Hizbullah yang disifatkannya tidak memiliki jalan lain untuk berperang menentang Israel.
Sejak Iraq dilanggar AS, Al-Qaeda menjadikan Iraq sebagai medan baginya untuk berperang menentang kuasa besar itu. Namun begitu yang banyak terkorban akibat serangannya adalah orang awam Iraq, sering kali adalah Syiah, yang dianggap sebagai tali barut AS.
Gesaan
Walaupun telah dua minggu serangan Israel ke atas Palestin dan Lebanon berlaku, Al-Qaeda tidak mengeluarkan sebarang reaksi, hingga Khamis lalu barulah ia menyatakan azamnya untuk menyerang Israel. Tetapi lebih penting kumpulan yang fahamannya anti-Syiah telah menyatakan bahawa dalam menentang Israel, mereka tidak membezakan antara Sunni atau Syiah. Maka dalam erti kata lain, Al-Qaeda turut mengiktiraf Hizbullah sebagai pejuang menentang Israel, dan bukan saja Hamas yang bermazhab Sunni.
Tetapi dunia pada umumnya walaupun menentang Israel menolak kaedah Al-Qaeda atau cara peperangan. Tuntutan Lebanon yang disokong dunia adalah gencatan senjata serta-merta bagi menyelamatkan orang ramai, bukan saja Lebanon tetapi di pihak Israel. Bagaimanapun oleh kerana banyak rakyat Lebanon yang menjadi mangsa, maka gencatan ini lebih merupakan untuk menyelamatkan rakyat Lebanon.
Kehendak Lebanon ini turut disokong oleh dunia, baik Liga Arab mahupun ASEAN. Inilah yang disuarakan oleh ASEAN dalam mesyuaratnya di Kuala Lumpur Khamis lalu. Gesaan supaya diadakan gencatan senjata langsung disampaikan kepada AS apabila Setiuasaha Negaranya hadir dalam ARF. Tetapi Rice menyatakan bahawa gencatan senjata bukannya mudah untuk dilaksanakan. Ia seolah-olah merupakan mesej untuk menyatakan bahawa gencatan senjata adalah terpulang kepada Israel yang akan membuat keputusan berdasar pada keuntungannya.
Pada hari yang sama Rice berada di Malaysia, Menteri Luar Iran turut tiba ke Kuala Lumpur. Maka kalau AS mewakili Israel di bahagian-bahagian dunia yang tidak mengiktiraf negara itu, Iran pula boleh mewakili Hizbullah. walaupun Hizbullah adalah kumpulan Lebanon tetapi hubungan rapatnya dengan Iran menjadikan Teheran sebagai sekutunya dalam mencari jalan penyelesaian.
Hizbullah, Syria dan Iran merupakan perikatan yang akan berdepan dengan pakatan Israel-AS. Ketika dunia menyebut tentang gencatan senjata dengan harapan supaya ia dapat berlaku dengan pertukaran tahanan. Bagaimanapun Israel tidak mahu penukaran tahanan dan malah pihaknya ada menyebut bahawa keadaan sudah terlambat. Ketika menyerang pos PBB, Israel sudah menyatakan kemungkinan bersedia untuk serangan darat. Lagipun tentera Israel sudah mula masuk sempadan Lebanon.
Hamas dan Hizbullah sudah menyatakan tentera Israel yang ditahan mereka tidak akan dibebaskan. Suasana di rantau itu menunjukkan gencatan senjata tidak berlaku tetapi pihak Israel mahu masuk dan menduduki Lebanon Selatan serta menghapuskan habis Hizbullah. Sementara terhadap Palestin, pihak Israel mahu menjatuhkan Hamas.
Maka apakah mesej yang hendak dibawa oleh Menteri Luar Iran itu? Tetapi dalam perkiraan paling akhir, Iran, Syria dan Lebanon sedang bersedia menghadapi satu perang besar andai kata Israel masuk dan menduduki Lebanon. Mungkin Iran dan dunia pada keseluruhannya cuba mengelak keadaan ini dan menyerukan gencatan senjata. Rundingan dan usaha diplomasi dilakukan dengan segera. Tetapi andai kata gagal, maka Hizbullah akan berjihad bagi memastikan serangan Israel dapat dipatahkan.
Tetapi jika keseluruhan Hizbullah dihapuskan, maka golongan itu keseluruhannya menjadi syuhada dengan perjuangannya itu akan diteruskan oleh pihak-pihak lain. Hizbullah tidak bersendirian, di belakangnya bukan saja Iran tetapi dunia keseluruhannya.