Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 16 Julai 2006
Puisi Keranda 152 dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang pada 1967. Puisi ini menjadi penanda tidak rasmi gerakan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekalipun sedikit radikal. Artikel 152 Perlembagaan mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah berubah. Biarpun Usman Awang telah “kuburkan” Artikel 152, kedudukan bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.
Kedudukan bahasa Melayu sangat istimewa apabila peranannya diperjelaskan dalam Perlembagaan. Secara prinsipnya bahasa Melayu telah berada pada kedudukan yang tinggi. Ia sudah dilindungi dari segi undang-undang supaya tidak ada pihak yang sewenang-wenang mencemar atau menghina bahasa Melayu.
Ini adalah fakta. Tetapi yang menjadi kemarahan Usman Awang 39 tahun lalu hingga terhasilnya Keranda 152 adalah kegagalan melaksanakan apa yang termaktub dalam Artikel 152. Dan itulah juga masalah yang menimpa bahasa Melayu hingga kini.
Baru-baru ini Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan pindaan Akta DBP akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini. Menerusi pindaan ini, DBP diberi kuasa bertindak terhadap pihak yang mencemarkan atau menghina bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Dalam akta yang sedia ada sekarang bidang kuasa DBP hanya boleh memberi nasihat, teguran atau yang semaksud dengannya terhadap “jenayah bahasa”. Organisasi bahasa dan sastera ini tidak ada kuasa bertindak hinggakan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah menyifatkan DBP mahu “menggigit” tapi tiada taring.
Saya bersimpati dengan Dr. Firdaus. Tetapi pada masa yang sama pindaan Akta DBP tidak wajar dianggap sebagai taring untuk menggigit. Ia seumpama taring untuk orang menghormati bahasa Melayu. Kesediaan kerajaan meminda Akta DBP bukanlah suatu yang langsung tidak menggembirakan. Memang ini suatu yang menggembirakan setidak-tidaknya organisasi bahasa yang berusia setengah abad itu digeruni dengan kuasa yang diberikan kepada mereka.
Tetapi yang lebih penting adalah bagaimana pindaan akta itu boleh dimanfaatkan untuk mendidik dan menginsafkan masyarakat pelbagai kaum terhadap bahasa kebangsaan mereka. Tanpa kesedaran peri pentingnya memartabatkan bahasa Melayu, tindakan berbentuk hukuman bukanlah menjamin hasil yang kita semua harapkan.
DBP tidak sewajarnya melihat pindaan terhadap akta itu sebagai kuasa yang sebelum ini tidak ada kepada mereka. DBP harus mengambil kesempatan daripada akta yang sedikit “menggigit” itu untuk mencetuskan kesedaran kepada orang ramai.
Tentu saja kita tidak dapat menolak bahawa kesedaran dan keinsafan itu lebih berkesan untuk mengubah kedudukan bahasa Melayu berbanding hukuman yang berat. Mungkin di peringkat awal akta itu boleh digunakan sebagai alat untuk bertindak dengan harapan tindakan itu mencetuskan kesedaran bukan penganiayaan yang keterlaluan.
Kita sangat percaya DBP tidak terlalu ghairah dengan kuasa baru itu. Sebaliknya memanfaatkan kuasa untuk membina kedudukan bahasa Melayu pada jangka masa yang panjang. Kita boleh melihat banyak bukti bahawa hukuman bukanlah penyelesaian mutlak kepada sebarang masalah.
Lihat saja bagaimana hukuman yang berat tidak banyak mengubah statistik kemalangan jalan raya misalnya. Hukuman yang berat juga tidak berupaya untuk membanteras pengedaran dan penyeludupan dadah pada angka yang paling kecil. Kita tentu tidak mahu “penjenayah bahasa” sama seperti sesetengah pengguna jalan raya yang hanya bersopan kerana takut disaman. Alangkah baiknya kalau pengguna jalan raya bersopan kerana sikap itu lahir daripada kesedaran dan tanpa paksaan.
Dalam konteks Akta DBP yang akan dipinda itu, kejayaan bukanlah terletak kepada jumlah saman yang dikeluarkan atau denda yang dikutip. Kejayaan wajar diukur kepada sejauh manakah akta itu mendidik orang ramai menjadi pengguna bahasa Melayu yang bertanggungjawab hingga akhirnya akta itu tidak diperlukan lagi.
Sayugia ditekankan bahawa pencemaran terhadap bahasa Melayu bukanlah setakat kesalahan bahasa. Dalam kata lain, isunya bukanlah ejaan salah di papan-papan tanda. Isu sebenar adalah penghinaan secara terhormat kepada bahasa Melayu yang termaktub dalam Artikel 152.
Inilah yang berlaku di sekeliling kita pada masa ini. Bayangkan apabila bahasa Melayu dan Inggeris dikahwinkan pada satu ayat dan dituturkan pula pada acara rasmi tanpa rasa bersalah. Ini bukan kesalahan bahasa tetapi penghinaan kepada bahasa Melayu. Kalau ada kesempatan, cuba kira berapa banyak yang tidak bertutur bahasa Melayu yang “betul” di kaca televisyen atau acara-acara rasmi? Perkara-perkara begini tentunya bukan mudah untuk diambil tindakan waima dengan oleh Akta DBP yang akan dipinda itu.
Kerana itu Akta DBP perlu dilihat melampaui kuasa bertindak. Pencemaran dan penghinaan terhadap bahasa Melayu berlaku dalam satu jangka masa yang sangat panjang. Kalau kemerdekaan dijadikan penanda aras, sudah hampir setengah abad bahasa Melayu tidak merdeka. Kalau DBP pula menjadi pengukur, sudah setengah abad juga organisasi itu tidak mampu menjadi monumen kedaulatan bahasa Melayu.
Maknanya di sini untuk mengubah sikap kita terhadap bahasa Melayu tidak ada jalan pintas. Semua ini tentunya jauh lebih sukar dan penuh ranjau daripada meminda Akta DBP kemudian menambah bidang kuasanya.
Mengubah sikap yang songsang terhadap bahasa Melayu bukanlah di papan-papan tanda. Dengan akta yang lebih besar, kesalahan ejaan di papan tanda mungkin sudah tidak ada lagi. Hasilnya boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat.
Tetapi dalam konteks memartabatkan bahasa Melayu, kita kena realistik dengan onak durinya. Ini adalah proses pembudayaan semula untuk meletakkan bahasa Melayu pada persepsi yang betul. Tetapi bukan bermakna segala usaha yang dilakukan termasuk pindaan Akta DBP tidak akan berhasil.
DBP perlu memanfaatkan kuasa baru itu dengan betul; bukan menghukum tetapi menyedarkan. Pendekatan DBP perlu jelas bahawa organisasi ini bukanlah sebagai polis bahasa tetapi sebagai guru bahasa yang menasihatkan muridnya.