Bijaksanalah mentafsir sejarah negara

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber: Mingguan Malaysia 23 Julai 2006


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil langkah pantas mengarahkan menarik balik buku panduan Hubungan Etnik dan akan digantikan dengan yang baru. Menarik balik buku itu adalah menutup ruang kepada pihak-pihak tertentu yang ingin menjadikan isu ini sebagai modal politik.

Kontroversi buku panduan itu tercetus apabila DAP membantah dakwaan mengatakan parti politik itu terlibat dalam perarakan 13 Mei 1969. Selain tragedi 13 Mei, buku itu juga mendakwa peranan pemuda India dalam tragedi di Kampung Medan pada 2001 dan tuntutan Siqiu yang dianggap ekstrem mengenai orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak.

Tindakan menarik balik buku itu wajar dalam konteks memelihara keharmonian pelbagai kaum di negara ini. Sebenarnya pembelajaran subjek hubungan etnik bukanlah perkara baru. Universiti Malaya misalnya memperkenalkan pengajaran subjek ini sejak 1970 lagi menerusi Fakulti Antropologi dan Sosiologi.

Tetapi setakat ini tidak pula menimbulkan masalah atau ketegangan antara pelajar pelbagai kaum di universiti berkenaan. Dalam kata lain, pelajar atau generasi muda tidak ada masalah untuk bercakap mengenai kaum. Barangkali kontroversi buku panduan yang digunakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini tercetus kerana adanya kajian mengenai tragedi rusuhan kaum 13 Mei dan yang terbaru tragedi di Kampung Medan, Kuala Lumpur.

Maknanya untuk memperkatakan isu kaum, kita terpaksa memilih pendekatan yang tidak menyentuh perasaan kaum tertentu. Ini kerana kita masih belum mampu menguruskan perasaan dengan baik supaya tidak lekas terguris dan menanam persepsi negatif antara satu dengan lain.

Tahun depan kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-50. Kemerdekaan ini diperjuangkan bersama-sama oleh orang Melayu, Cina, India dan beberapa etnik lain. Ini bermakna kek kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil perjuangan bersama sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun menjangkau setengah abad kita sama-sama menikmati kek kemerdekaan ini tetapi sentimen kaum masih menjadi suatu yang sensitif dan sama sekali tidak boleh diambil mudah. Sentimen kaum tetap menjadi perkiraan utama apabila mahu membuat sesuatu perkara.

Inilah hakikat yang kita kena terima apabila mahu bercakap tentang isu kaum di negara ini. Antara kita ada yang cepat terluka dan pantas menjuruskan persepsi kepada sentimen kaum. Kerana itu kita terpaksa menerima hakikat bahawa belum tiba masanya untuk dibahaskan isu kaum waima secara akademik sekalipun.

Bunyinya memang agak aneh. Masakan setelah sekian lama hidup bersama masih tidak boleh memahami antara satu dengan lain apabila tiba bab kaum? Itulah hakikat sebenarnya.

Kita telah merentasi satu tragedi besar 13 Mei yang menjadi penanda aras ketegangan hubungan kaum di negara ini. Tetapi tidak banyak dalam kalangan kita mengambil iktibar daripada tragedi itu untuk sama-sama menurunkan darjah sensitif apabila bercakap mengenai isu kaum.

Kerajaan dengan pelbagai program tidak pernah jemu berusaha untuk mengikis rasa prejudis antara kaum. Kerana kepentingan keharmonian pelbagai kaum jugalah maka diwujudkan Jabatan Perpaduan Negara. Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan selepas tragedi 13 Mei kerana kerajaan percaya hanya dengan menguatkan tembok perpaduan kita boleh hidup dalam aman dan harmoni.

Kewujudan Jabatan Perpaduan Negara membuktikan kerajaan sangat serius menjaga keharmonian pelbagai kaum di negara ini dan semua ini dipelajari daripada peristiwa-peristiwa sejarah yang dilalui.

Kita semua berharap suatu masa nanti antara kaum Melayu, Cina, India dan sebagainya tidak dibatasi lagi oleh jurang dan prejudis. Kita semua adalah bangsa Malaysia dan kaum hanya menjadi penyata asal usul kepada akar tradisi masing-masing.

Tetapi buat masa ini perkara itu masih belum berlaku dan kita terpaksa bersabar untuk mendepani kelemahan masing-masing apabila bercakap isu kaum. Ini adalah kelemahan bersama tidak kira Melayu, Cina atau India.

Dalam keadaan yang sama-sama belum bersedia untuk bersikap terbuka, kita juga terpaksa berhati-hati untuk memetik satu-satu fragmen sejarah. Memang benar sejarah adalah fakta yang tidak boleh diubah. Tetapi dalam konteks tempatan, kita boleh memberikan tafsiran kepada sejarah dari pelbagai sudut untuk tujuan mengambil pengajaran daripadanya.

“Ambillah iktibar dari sejarah sekalipun sepahit 13 Mei untuk tidak mengulangi pada masa depan,’’ demikian tegas tokoh sejarah Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam apabila ditanya mengenai kontroversi buku panduan Hubungan Etnik itu.

Perdana Menteri mengumum menarik balik buku itu baru-baru ini mengakui, walaupun fakta sejarah tidak boleh diubah tetapi implikasi sejarah berkenaan perlu dikaji baik buruknya.

“Walaupun kita sudah merdeka hampir 50 tahun, isu kaum masih lagi dianggap sensitif,’’ demikian tegas Abdullah mengenai penarikan balik buku itu yang memetik satu fragmen sejarah negara ini.

Maka isunya bukanlah memutarbelitkan sejarah atau menulis semula sejarah seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Ini kerana sejarah 13 Mei itu sendiri seboleh-bolehnya hendak dipadamkan sebagai satu fragmen sejarah penting negara ini. Kita kena mengambil masa yang lama lagi untuk membina kewarasan dan keyakinan bagi menghujah dan mencari iktibar daripada sejarah besar ini.

Buku panduan pengajaran Hubungan Etnik itu adalah hasil daripada keputusan yang dibuat pada 2004 supaya modul pengajaran hubungan etnik menjadi subjek wajib untuk semua pelajar universiti bagi sesi akademik 2006/2007. Sebagai gantinya kerajaan telah membentuk sebuah panel penilai yang terdiri daripada tokoh akademik dan sejarah untuk menghasilkan buku menggantikan buku panduan tersebut.

Dalam situasi masyarakat pelbagai kaum di negara ini, tidak semua sejarah apa lagi yang melibatkan soal kaum wajar dilihat sebagai “sejarah’’. Sejarah begini dalam konteks kita seumpama mengungkit isu-isu lama dan akhirnya prejudis kaum membakar segala kewarasan.

Maka penarikan buku panduan itu adalah langkah wajar bagi mengelakkan unsur-unsur yang kurang sihat mengambil ruang untuk mencetuskan ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum. Mungkin ada beberapa fakta sejarah daripada buku panduan itu tidak tepat. Tetapi yang menjadi masalah sekarang bukan lagi kepentingan fakta sebaliknya peristiwa itu sendiri sudah membentuk persepsi menjurus prejudis kepada sesuatu kaum.

Kita tentu boleh membayangkan keadaannya apabila pelajar Melayu, Cina dan India dibentangkan dengan tragedi-tragedi pertelingkahan kaum seumpama itu selepas satu persepsi negatif dibina oleh parti politik di luar dewan kuliah.

Orang tua-tua selalu berpesan, jangan bermain api nanti terbakar jari sendiri. Isu kaum umpama api yang boleh memusnahkan jambatan perpaduan yang dibina selama ini dalam sekelip mata saja.

Kalau semua kaum mempunyai kewarasan yang tinggi dan terbuka melihat sejarah daripada perspektif yang membina, tragedi 13 Mei memberikan banyak iktibar sebagai panduan menjalani hidup di negara pelbagai kaum ini.

“Tragedi 13 Mei tercetus antaranya kerana hilang rasa hormat-menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kita boleh mengambil iktibar untuk tidak mengulangi perkara ini,” tegas Dr. Ramlah.

Maknanya untuk memastikan tidak berulang tragedi berdarah yang tidak menguntungkan sesiapa itu, kita kena menanamkan sikap saling menghormati antara satu dengan lain. Inilah antara pengajaran 13 Mei yang boleh dijadikan pedoman.

Menurut Dr. Ramlah lagi, 13 Mei berlaku kerana wujudnya jurang ekonomi yang luas antara satu kaum dengan kaum yang lain yang akhirnya mencetuskan prejudis.

“Kalau dilihat secara positif, 13 Mei juga yang melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Saya ingin tekankan bahawa DEB bukanlah untuk orang Melayu saja tetapi secara kebetulan peratusan orang Melayu yang tertinggal di segi ekonomi itu besar maka kelihatan seperti ia hanya membela orang Melayu,’’ tegas Dr. Ramlah.

Menurutnya, iktibar penting daripada 13 Mei ialah perpaduan wajar menjadi tonggak dalam hubungan kaum dan kerajaan telah mengambil langkah menjadikan “rasa sayang’’ sebagai dasar dalam semua program yang dianjurkan untuk rakyat.

Ini menunjukkan kita tetap boleh memanfaatkan sejarah-sejarah yang berlaku untuk melihat di mana kelemahan dan kekurangan bagi dibuat penambah baikan pada masa akan datang. Maknanya sejarah yang pahit tetap boleh dimanfaatkan, dengan syarat kita menggunakan segala kebijaksanaan mengungkapnya supaya ia tidak kelihatan seperti mengguris parut luka yang lama.

Sejarah yang asli adalah kasar. Faktanya tentunya kaum itu membunuh kaum ini. Kalau kita melihat fakta saja tentulah boleh menimbulkan kemarahan. Di sinilah pentingnya pentafsiran terhadap sejarah supaya kita boleh melihat dari pelbagai dimensi sambil mengutip pengajaran daripadanya.

Semoga buku yang akan menggantikan buku panduan Hubungan Etnik ini akan menekankan kepada pentafsiran sejarah. Dan jangan lupa pesanan Perdana Menteri, bahawa isu kaum adalah suatu yang sangat sensitif untuk diperkatakan.