Tanggungjawab kontraktor pada rakyat adalah serius

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 22 Julai 2006


PERSPEKTIF yang perlu diambil terhadap projek-projek yang kerajaan rancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hendaklah betul.

Pertama, walaupun ia akan mendatangkan laba kepada kontraktor yang mendapat projek berkenaan tetapi bukan itu merupakan tujuannya.

Kedua, walaupun projek-projek itu akan menyumbang kepada pemacuan ekonomi negara dengan kemasukan dana dalam pasaran, ia juga bukanlah tujuan utama projek itu.

Ketiga, tujuan sesuatu projek yang dirancang adalah memenuhi sesuatu matlamat secara khusus yang terkandung dalam RMK-9 bagi menepati Misi Nasional.

Justeru, tidak wajar untuk melihat sebarang projek sebagai habuan politik atau semata-mata untuk mengaktifkan kegiatan ekonomi negara, kerana matlamat asal dan asasnya ialah memenuhi sesuatu keperluan rakyat dan negara.

Sudah sekian lama dalam pelaksanaan projek-projek terdahulu pemberian kontrak dikaitkan dengan kepentingan politik dan komersial yang sempit. Amalan dan pemikiran sebegini merosakkan pemahaman masyarakat terhadap projek-projek yang kerajaan rancangkan.

Akibatnya, Malaysia dengan segala kemajuan dan pencapaian ekonomi telah memiliki satu budaya korup dari segi hubungan antara projek kerajaan dengan kepentingan politik yang disandarkan kepada keuntungan komersial.

Sememangnya tidak boleh dipisahkan antara projek-projek kerajaan dengan politik dan keuntungan komersial. Tetapi ia harus bersandarkan kepada nilai-nilai bersih dan murni. Politik yang dikaitkan dengan projek-projek kerajaan mestilah berbentuk murni dan luas, maknanya meletakkan tujuannya sebagai perkhidmatan untuk rakyat dan kemajuan ekonomi.

Mungkin banyak orang memandang sinis seruan-seruan yang bersifat retorik, muluk dan menekankan kepada idealisme Misi Nasional dan RMK-9. Tetapi kita tidak mampu untuk mengalah kepada unsur-unsur negatif dalam budaya politik dan komersial yang sudah lama wujud di negara ini.

Kita harus sentiasa menguatkan unsur-unsur positif dari segi idealisme yang hendak diterapkan dalam rancangan-rancangan negara yang pada asas dan asalnya adalah baik dan hebat.

Justeru walaupun, unsur-unsur nilai negatif sentiasa muncul dalam segala usaha baik tetapi ia hendaklah dicantas sekuat mungkin supaya negara kita tidak tersasar jauh daripada tujuan asal projek-projek pembangunan.

Penulis tetap optimis dan percaya bahawa kita mampu untuk berniaga secara bersih, cekap dan amanah. Ia hanya memerlukan ketahanan diri dan semangat untuk mengelak daripada perbuatan-perbuatan buruk dalam perniagaan. Begitu juga dalam soal politik.

Biarlah hendaknya RMK-9 ini membuka lembaran baru dalam cara ahli-ahli perniagaan negara ini mendapatkan keuntungan, iaitu secara bersih, cekap dan amanah. Ingatan hendaklah sentiasa diberikan bahawa segala projek ini adalah untuk rakyat dan negara.

Para kontraktor memegang amanah besar untuk melaksanakannya secara sempurna kerana akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat. Berfikiran rakyat harus ada pada ahli-ahli perniagaan ini.

Tetapi untuk perkara ini berlaku, ahli-ahli masyarakat juga mesti saling bantu-membantu sama ada dari segi memantau dan memastikan sesuatu projek itu dapat dijalankan secara sempurna.

Maka kakitangan perkhidmatan awam juga wajar memikul amanah bagi memastikan projek-projek itu dapat disiapkan dengan sempurna. Pastinya dalam pelaksanaan, semua pihak akan menemui pelbagai jenis masalah.

Justeru mereka bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara mencari jalan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam penyempurnaan segala projek-projek yang ditangani.

Di sini kita wajar meletakkan tiga unsur yang patut menjadi pegangan dan ingatan kepada pelaksana-pelaksana untuk RMK-9, baik dari kalangan ahli-ahli perniagaan, kakitangan awam dan juga golongan politik.

Tiga unsur itu ialah patriotisme, agama dan rasional. Maka walaupun apa yang dilakukan oleh kontraktor dan kakitangan awam itu merupakan kerja mereka, iaitu untuk mendapatkan rezeki. Maknanya, dorongan bagi seseorang ahli perniagaan mestilah keuntungan sementara seseorang kakitangan awam adalah kerana gaji masing-masing.

Tetapi jika hanya kerana sekadar wang dan keuntungan, apa yang mereka lakukan itu tidak mempunyai makna. Tanpa makna maka perkiraan adalah semata-mata atas keuntungan dan kewangan yang mungkin tidak akan dapat menjayakan projek itu secara sempurna.

Justeru jika ada elemen semangat patriotisme di kalangan mereka, iaitu apa yang dilakukan mereka adalah sumbangan kerja untuk kepentingan negara, maka ia menjadi lebih bermakna. Ditambah pula dengan kesedaran bahawa agama menuntut kerja yang jujur dan amanah. Maka apa yang dilakukan untuk menjayakan projek itu adalah melangkaui lebih daripada soal keuntungan dan kewangan.

Tetapi tidak kurang penting ialah pertimbangan rasional ketika menjayakan projek ini. Jika sesuatu projek itu dijayakan dengan baik, bukan saja ia mendatangkan rasa puas hati dan pencapaian pada diri sendiri pelaksana berkenaan, tetapi juga ialah imej baik yang akan mereka terima.

Jadi keuntungan yang diperoleh oleh pelaksana bukan saja dari segi kewangan tetapi nama baik yang nilainya tidak boleh dikira.

Bagaimanapun, keuntungan sebenar adalah berbentuk manfaat yang dapat dinikmati oleh rakyat dan sumbangan kepada negara apabila sesuatu projek itu dapat disempurnakan dengan baik. Maka tidak ada jalan lain selain daripada kejayaan.