Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006
ANOUSHEH Ansari dijangka menjadi angkasawan pelancong wanita pertama dunia apabila beliau diterima menjadi penumpang kepada kapal angkasa Soyuz-TMA-9 dijadualkan dilancar bulan depan.
Dalam sejarah penerokaan angkasa, nama beliau akan diabadikan seperti mana Valentina Tereshkova, angkasawan wanita pertama dunia yang pergi ke angkasa menggunakan Vostok-6 pada tahun 1963.
Pastinya juga Anousheh akan menjadi selebriti bukan saja kerana kejelitaannya yang mampu menarik perhatian media tetapi kedudukan beliau sebagai seorang berbangsa Iran walaupun merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS).
Justeru, walaupun Anousheh pergi dengan bendera AS dijahit pada bajunya tetapi beliau akan dianggap sebagai orang Iran pertama yang menjadi angkasawan.
Tetapi pemergian Anousheh ke angkasa ini adalah menarik dan penuh paradoks. Beliau, seorang berbangsa dan kelahiran Iran pergi sebagai warganegara AS dengan menggunakan kapal angkasa Rusia tetapi dibiayai melalui wang sendiri kerana kejayaannya menjadi usahawan berjaya.
Kejayaannya sebagai usahawan pula adalah melalui syarikat yang ditubuhkan bersama suami dan abangnya iaitu Hamid dan Amir iaitu Telecom Technologies Inc (TTI) di mana beliau adalah ketua eksekutifnya.
Oleh kerana ketiga-tiganya merupakan orang Iran yang berhijrah ke AS, maka TTI boleh disifatkan sebagai sebuah syarikat Iran di bumi kapitalis.
Anousheh lahir pada tahun 1967, iaitu pada zaman Shah Iran di mana negara itu merupakan sekutu AS. Ketika berusia 13 tahun, beliau menyaksikan Revolusi Islam Iran di mana peranan wanita berubah dan sistem ekonomi negara itu terputus dengan AS.
Beliau berhijrah ke AS bersama abangnya, Hamid pada tahun 1984 dan memperoleh Ijazah Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dan Sains Komputer dari Universiti George Mason. Kemudian Annousheh memperoleh ijazah sarjananya dari Universiti George Washington.
Tentunya ini merupakan kejayaan besar bagi beliau, lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita dari Iran pula.
Dengan kejayaan ini, beliau memperoleh tapak untuk menubuhkan syarikat komputer. Era revolusi komputer dan sistem demokrasi serta kapitalisme di AS membolehkan beliau meraih kejayaan dan kekayaan.
Apa yang dicapai beliau mungkin tidak dapat diraih jika Anouseh masih berada di Iran dan tidak berhijrah. Sistem politik, ekonomi dan politik di Iran tidak memungkinkan kejayaan seperti itu. Maka pastinya kejayaan beliau menjadi idaman bagi banyak warga Iran yang terperangkap dengan suasana di situ.
Masyarakat AS pula boleh menerima beliau lebih-lebih lagi apabila Anousheh menjadi penyumbang besar bernilai berjuta-juta dolar kepada Yayasan X-Prize pada tahun 2004 hinggakan dana itu dinamakan Ansari X-Prize.
Yayasan X-Prize merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang diwujudkan untuk menggalakkan usaha melancarkan kapal angkasa swasta berharga rendah. Dari situ dapat dilihat bahawa Anousheh amat berminat dalam soal-soal penerbangan angkasa.
Kejayaan beliau sebagai usahawan juga diiktiraf melalui majalah bisnes terkemuka AS, Fortune yang menyenaraikan beliau dalam “40 di bawah 40'' pada tahun 2001 iaitu menjadi salah seorang daripada 40 orang di bawah umur 40 yang paling berjaya dalam dunia keusahawanan.
Majalah Working Women di AS juga menamakannya sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan Kebangsaan AS pada tahun 2000. Dengan menjadi usahawan yang mempunyai kemampuan harta yang besar, barulah beliau dapat membiayai cita-citanya untuk menjadi angkasawan pelancong wanita pertama.
Tetapi cita-cita itu mungkin tidak tercapai jika tidak berlaku dua perkara. Pertama tentang konsep pelancongan angkasa, kedua, jika sistem komunis di Rusia tidak tumbang.
Walaupun sejak awal penubuhannya mengamalkan sistem kapitalis, tetapi program angkasanya masih dikendalikan kerajaan dan tidak sampai kepada mewujudkan industri penerbangan angkasa berbentuk pelancongan komersial. Konsep pelancongan angkasa ini walaupun sudah lama digagaskan dalam bentuk fiksyen sains tetapi hanya benar-benar berlaku setelah kejatuhan sistem komunis di Rusia.
Tumbang
Sebagai negara yang mengamalkan sistem komunis, Rusia ketika menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet meletakkan semua program angkasanya atas usaha kerajaan, iaitu seperti yang berlaku di AS.
Tetapi sebaik saja sistem komunis tumbang, institusi angkasa Rusia menemui jalan buntu kerana Moscow tidak lagi mampu membiayai penerokaan mereka. Oleh kerana kehausan dana untuk program angkasa tidak timbul di AS, maka konsep pelancongan angkasa juga tidak muncul di negara itu. Sebaliknya ia berlaku di Rusia di mana dibentuk kerjasama antara Prodea, Space Adventures Ltd dan Agensi Angkasa persekutuan Rusia (FSA).
Maka Rusia muncul sebagai negara pertama di dunia yang menganjurkan pelancongan angkasa. Ia menambahkan lagi pencapaian Rusia dalam bidang penerokaan angkasa di mana ia merupakan negara pertama dunia melancarkan kapal angkasa, menghantar angkasawan pertama dunia, sama ada angkasawan haiwan, manusia dan juga wanita.
Apa yang lebih menarik tentang Anousheh ialah juga mengenai sifat kuat beliau untuk mencapai sesuatu yang cemerlang. Kalau dalam program angkasa biasa, para angkasawan dipilih oleh agensi kerajaan dan kemudian dilatih untuk tugas-tugas tertentu.
Tetapi dalam program angkasawan pelancongan ini, seseorang itu mempunyai dorongan sendiri untuk berada dalam kedudukan itu dengan menggunakan kekayaan. Maknanya pelancong ini mestilah sudah mencapai satu tahap kejayaan dalam hidupnya untuk memiliki kemampuan bagi membiayai hasratnya untuk ke angkasa.
Tetapi konsep angkasawan pelancongan ini juga membawa erti yang besar kepada manusia. Pertamanya, dana yang disumbangkan oleh mereka termasuk Anousheh membolehkan industri serta kemajuan yang dirintis oleh agensi angkasa Rusia terus dikembangkan.
Tetapi dalam jangka panjang, wawasan program angkasawan pelancongan adalah untuk membawa lebih banyak manusia ke angkasa lepas. Mungkin satu hari hasrat pelancong untuk ke bulan akan tercapai.
Usaha ke peringkat angkasa ini boleh dianggap sebagai langkah pertama kepada usaha lebih jauh. Selepas bulan, penerokaan akan damai juga ke Marikh dan seterusnya ke bahagian-bahagian lain dalam alam semesta. Dari segi politik, kejayaan Anousheh ini membawa makna tersendiri dalam persaingan antara AS, Iran dan Rusia.
AS kini sedang bertembung dengan Iran mengenai soal usaha bidang nuklear. Washington tidak mahu Iran memiliki senjata nuklear. Sementara Teheran melihat AS menghalang kemajuan dan pencapaian sains olehnya. Ini kerana kehebatan Iran dianggap boleh menjejaskan kepentingannya di Asia Barat khususnya berhubung dengan Israel.
Tetapi Rusia melihat pertembungan antara AS dan Iran sebagai satu perkembangan yang boleh menjadi imbangan kepada percaturan geopolitik serantau. Di satu segi, Rusia menyebelahi Iran sebagai kaedah imbangan kepada AS.
Tetapi Washington melihat Iran bukan saja mengancam kepentingannya pada Israel dan sumber minyak di negara-negara Teluk. Lebih pada itu, Iran mewakili satu ideologi yang dianggap sebagai mencabar fahaman AS.
Di sinilah soal Barat lawan Islam, di mana AS mewakili Barat dan Iran mewakili Islam. Apabila disebut Barat, maka rujukan bagi Washington ialah satu sistem politik demokrasi dan ekonomi kapitalis. Sementara Iran sebagai Republik Islam dilihat mengamalkan sistem teokrasi dan ekonomi dikawal kerajaan.
Gambaran ini sebenarnya tidak tepat. Islam tidak ada masalah dengan demokrasi atau sistem kapitalis. Apa yang menyebabkan banyak orang Islam menentang AS adalah kerana sifat hegemoni negara itu yang mendukung Israel, menyerang Afghanistan dan menduduki Iraq.
Bagi pandangan umum di Washington, semua musuh AS dianggap serupa lebih-lebih lagi berkaitan Islam. Maka bagi Washington, Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan Al-Qaeda adalah serupa saja, sedangkan hakikatnya Iran, Syria, Hizbullah dan Hamas tidak pernah bersetuju dengan Al-Qaeda. Di Afghanistan, Iran menyebelahi Pakatan Utara dan bekas Mujahidin menentang Taliban dan Al-Qaeda. Di Iraq pula, Iran menyebelahi kerajaan Iraq yang didukung AS menentang Al-Qaeda.
Bagi Washington, antara cara untuk menundukkan Iran dan Syria adalah melalui demokrasi dan kapitalisme. Sedangkan ternyata usaha AS di Afghanistan dan Iraq belum menampakkan hasil akan kemunculan negaranegara demokrasi yang boleh menjadi model untuk dicontohi oleh negara-negara Islam.
Sememangnya adalah hakikat bahawa umumnya di seluruh dunia membangun dan mundur kagum terhadap kejayaan dan kekayaan AS. Mereka juga mahukan sistem yang memberikan kebebasan dan peluang untuk kaya seperti mana yang ditawarkan oleh sistem AS. Namun begitu, dalam soal dasar luar dan hegemoni AS, khususnya berkaitan dengan Israel, mereka menentangnya terutama di kalangan negaranegara Islam.
Di sinilah timbul kekeliruan di Barat khususnya AS. Apabila ada orang Islam menyetujui demokrasi dan sistem kapitalisme, itu tidak bermakna mereka menyokong dasar luar AS khususnya berhubung dengan Israel.
Rakyat Iraq umpamanya. Umumnya mereka menyambut baik pencerobohan AS yang membebaskan diri mereka daripada kediktatoran Saddam Hussein. Mereka mengalu-alukan penjajahan AS dengan harapan kehidupan mereka dapat berubah dan menikmati demokrasi serta kejayaan ekonomi seperti AS.
Malangnya perkara itu tidak berlaku. Mereka kini bukan saja tidak dapat menikmati seperti apa yang ada di AS tetapi lebih malang lagi keadaan di Iraq tidak selamat. Maknanya, AS hanya mampu membebaskan Iraq dari Saddam tetapi gagal menjadi penjajah yang baik. Begitu juga sikap rakyat Syria dan Iran. Umumnya mereka juga mahukan kesenangan seperti yang dinikmati oleh rakyat AS.
Kalau diberi ruang, pastinya mereka berduyun-duyun mahu berhijrah ke AS. Atas kesedaran ini, AS mendukung gerakan pro-demokrasi di Iran. malah tidak hairan juga AS akan mengggunakan Anousheh sebagai alat propaganda menunjukkan bahawa rakyat negara Parsi itu juga mempunyai kebolehan untuk berjaya. Apa yang menghalang mereka daripada kejayaan adalah sistem Republik Islam dan kepimpinan ulama Iran.
Mungkin golongan pro-demokrasi di Iran bersetuju dengan tanggapan ini. Tetapi layanan keras AS terhadap Iran dan sikap negatif kuasa besar itu terhadap Islam, dan sokongan kuatnya pada Israel menyebabkan rakyat Iran umumnya menyokong kerajaan mereka.
Semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan mereka akan membawa mereka turut menentang AS.
dalam hal ini, pengalaman Rusia wajar menjadi contoh. Mereka meninggalkan sistem komunis dan rakyatnya mengharapkan akan dapat hidup senang seperti orang AS. Tetapi AS hanya menyokong kejatuhan sistem komunis bukan kerana prinsip tetapi untuk menundukkan Moscow.
Kini Moscow tidak lagi berupaya mencabar AS tetapi rakyat kebanyakannya masih hidup susah, malah lebih banyak antaranya lebih susah daripada zaman komunis dahulu.