Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 24 Disember 2006
Minggu lalu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menitiskan air matanya ketika bercakap mengenai kanak-kanak Afghan yang terbunuh dalam peperangan terbaru yang dilancarkan oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam usaha menyekat Taliban.
Beliau menyifatkan kematian kanak-kanak akibat bom NATO itu adalah keterlaluan, tetapi tentunya Presiden yang pro-Amerika Syarikat (AS) itu menyalahkan Pakistan.
Baginya, Pakistan, menjadi punca kepada kebangkitan baru Taliban yang kini berjaya meningkatkan kehadirannya di Afghanistan. Maka pertempuran pun berlaku.
Pihak kerajaan Afghanistan dan kumpulan Perikatan Utara yang mendukungnya tidak berupaya menyekat kemaraan Taliban, dan inilah yang menyedihkan Karzai hingga memaksa meminta bantuan NATO.
Maka dalam sebarang pertempuran, yang menjadi mangsa adalah orang awam dan kanak-kanak. Kebangkitan baru Taliban yang muncul sekarang menandakan bahawa usaha AS dan sekutu-sekutunya dalam NATO menemui kegagalan di Afghanistan.
Hinggakan ada kalangan di pihak NATO yang mencadangkan supaya Kabul berunding dengan Taliban dan mengajak kumpulan itu untuk menyertai kerajaan Afghanistan. Keadaan ini sudah wajar dianggap bahawa kedudukan Afghanistan adalah meruncingkan.
Negara malang itu sedang tergelincir masuk ke dalam kancah peperangan baru. Apa yang jelas, Afghanistan adalah negara malang yang tidak dapat menikmati perdamaian sejak ia diperintah oleh rejim komunis pada akhir tahun 1970-an.
Setelah bergelumang dengan penderitaan dan peperangan, rejim komunis tumbang di tangan Mujahidin pada akhir tahun 1980-an. Tetapi Afghanistan terus gagal menikmati perdamaian apabila kumpulan-kumpulan Mujahidin berperang sesama sendiri.
Apabila Taliban muncul di akhir tahun 1990-an, Afghanistan diharap dapat mengecapi nikmat perdamaian. Walaupun Taliban dianggap ekstrem, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mewujudkan perdamaian dengan menghentikan perang saudara sesama Mujahidin.
Harapan ini musnah apabila kehadiran Al-Qaeda itu membawa kepada kedatangan tentera AS dan NATO ke Afghanistan, yang menghancurkan penduduk dan negara itu. Namun begitu, harapan terhadap munculnya sebuah negara demokrasi bersinar apabila pihak Barat berjaya membawa kepada penubuhan kerajaan pimpinan Karzai.
Tetapi kini harapan itu kian pudar dengan kebangkitan baru Taliban. Maknanya sepanjang separuh tahun 2000-an ini, Afghanistan masih tidak dapat menikmati perdamaian. Malah sepanjang tahun 2006, angka serangan berani mati bertambah dan sudah tentunya penderitaan yang datang daripadanya.
Bagaimanapun, masalah yang dihadapi oleh Afghanistan bukan saja kebangkitan Taliban. Masalah pengedaran dadah juga semakin berleluasa. Perhitungan akhirnya ialah kerajaan Kabul gagal, dan begitu juga pendukung-pendukungnya dari kalangan Barat.
Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Oktober lalu, Karzai mengadu kepada Presiden George W. Bush tentang peranan Pakistan yang tidak menghalang kebangkitan Taliban.
Sementara Presiden Pervez Musharraf pula menegaskan bahawa pihaknya melakukan banyak perkara bagi menghalang Taliban. Bagaimanapun mesejnya ialah keperluan Islamabad mempunyai hubungan baik dengan wilayah di mana Taliban itu aktif bagi menghalang aktiviti mereka.
Masalah dengan Pakistan berkait rapat dengan soal etnik. Taliban muncul dari kalangan etnik Pathan yang merupakan kaum majoriti di Afghanistan.
Tetapi mereka juga merupakan etnik utama di Pakistan. Kejatuhan Taliban juga menandakan peminggiran Pathan yang tidak boleh diterima oleh etnik itu.
Hakikatnya, Afghanistan dan Pakistan merupakan sebuah negara yang pada satu masa dipecahkan oleh penjajah British. Maka jika dilihat dari sudut sejarah, masalah Afghanistan sekarang boleh dikatakan bermula sejak kedua wilayah itu terpisah dua.
Ada kebenaran apa yang dicakapkan oleh Pervez mengenai cara untuk menangani masalah Afghanistan. Ia perlu dilakukan secara diplomasi dan tidak boleh konfrontasi. Ini kerana pihak Pathan yang menganggap kedudukan mereka seolah-olah bertahap merdeka daripada Islamabad juga berasa terpinggir dengan apa yang berlaku di Kabul.
Mungkin Karzai dengan mudah menyalahkan Pakistan sebagai dalang kepada kebangkitan Taliban. Itulah juga yang berlaku ketika Mujahidin diperangi oleh Taliban. Sokongan daripada Pakistan adalah jelas.
Bagi pihak Barat, apa yang membimbangkan adalah hanya berkisar kepada soal agama dan ancaman keganasan ke atas mereka.
Apa yang dikehendaki oleh Barat ialah supaya Islamabad bertindak tegas menghapuskan infrastruktur ekstremis agama berbentuk madrasah yang menjadi pusat latihan Taliban, baik dari segi fahaman mahupun ketenteraan.
Bagaimanapun, Musharraf sendiri faham bahawa beliau sendiri tidak berupaya menghadapi golongan ekstremis ini. Malah kedudukannya sebagai Presiden Pakistan amat bergantung kepada sokongan kumpulan- kumpulan ini.
Bagi Karzai, beliau sedar Afghanistan sendiri tidak mampu berhadapan dengan Taliban. Sebaliknya beliau terpaksa meminta bantuan NATO. Dan dalam peperangan yang dijangka akan lebih meluas tahun depan, kesengsaraan akan bertambah dan kedudukan Afghanistan menjadi lebih malang lagi.
Tetapi adakah jalan lain untuk menghadapi keadaan begini? Terdapat satu kepercayaan bahawa soal sosioekonomi merupakan kunci bagi penyelesaian masalah ini. Jika Afghanistan dapat diintegrasikan ekonominya ke dalam arus perdana dunia hingga membawa kepada kemakmuran, maka Taliban tidak akan dapat tempat untuk bergerak.
Dengan perubahan kedudukan sosioekonomi, Afghanistan akan menjadi moden dan mampu menangkis kemaraan Taliban yang bergerak di kalangan penduduk Pathan.
Untuk ini, sebarang usaha bagi pemodenan Afghanistan perlu membabitkan Pakistan kerana kedua-dua negara ini amat bertalian rapat dari segi sosioekonomi.
Tetapi Pakistan pun menghadapi masalah untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi. Ia pula melibatkan hubungannya dengan India khususnya mengenai Kashmir. Jika keadaan perang berterusan antara Pakistan dan India, yang pada asalnya merupakan sebuah negara, maka bagaimana ia mampu menikmati kestabilan untuk mendapatkan pembangunan.
Justeru, apa yang berlaku di Afghanistan wajar dilihat dari sudut serantau. Afghanistan, Pakistan dan India mesti komited kepada perdamaian serta menyelesaikan segala isu- isu berbentuk konflik supaya kestabilan dapat diwujudkan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi.
Akhirnya, Afghanistan memerlukan seorang pemimpin yang kuat. Kegagalan Karzai mewujudkan kestabilan Afghanistan memberi tamparan besar kepada perjalanan negara.
Tetapi kegagalan Afghanistan mempunyai pemimpin yang baik berlaku sejak zaman Raja Zahir Shah, iaitu sebelum negara itu jatuh kepada rejim prokomunis.
Zahir tidak berusaha memoden dan membangunkan negaranya. Tidak seperti Maharaja Jepun pada zaman Meiji, raja Thai pada zaman Mongkut, dan begitu juga Sultan Abu Bakar di Johor yang cepat-cepat berusaha memodenkan negara masing-masing.
Kelemahan Zahir membuka ruang kepada pihak tenteranya yang dipengaruhi Moscow untuk bertindak. Golongan republikan ini pula malangnya gagal mendapatkan sokongan ketua-ketua suku kaum.
Akibatnya ialah penentangan terhadap sebarang usaha pemodenan oleh rejim prokomunis itu. Senario Perang Dingin memburukkan lagi keadaan.
Wajarnya ada seorang pemimpin dari golongan yang menghormati tradisi dan budaya nasional, tetapi pada waktu yang sama komited terhadap perdamaian dan perubahan sosioekonomi.
Kedua-dua Afghanistan dan Pakistan mesti mempunyai pemimpin yang kuat dan berwawasan bagi menghadapi keadaan di Afghanistan itu.
Tetapi pemimpin-pemimpin ini pula wajar diberi sokongan kuat oleh semua pihak terlibat, baik dari dalam negara mahupun luar. Maknanya parti-parti politik dan masyarakat sivil di kedua-dua negara boleh memainkan peranan besar. Sementara dari luar, sokongan kepada kumpulan-kumpulan keamanan dan pembangunan mesti ditingkatkan bagi menghalang sebarang kecenderungan kepada keganasan.