Bahaya pemikiran berbentuk perkauman

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 2 Disember 2005


UNTUK menyatakan bahawa 80 peratus pembayar cukai di negara ini adalah daripada sesuatu kaum seperti yang ditimbulkan dalam Dewan Rakyat Rabu lalu merupakan cetusan pemikiran berbentuk perkauman yang berbahaya.

Berbahaya kerana apa saja pemikiran berbentuk perkauman boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan perbalahan yang berpanjangan.

Dalam sejarah manusia abad ke-20, Perang Dunia Kedua dilihat sebagai puncak perbalahan kaum yang memperlihatkan bagaimana Nazi Jerman melaksanakan polisi perkauman yang menghasilkan keadaan dahsyat dalam bentuk Holocaust.

Sementara dunia juga menyaksikan gerakan hak awam di Amerika Syarikat (AS), usaha menentang aparteid dan gerakan nasionalisme sebagai perjuangan kemanusiaan untuk menentang perkauman.

Pemikiran perkauman tidak kira daripada pihak mana pun mengancam keutuhan gagasan negara bangsa itu sendiri. Bangsa di sini sudah tentu merujuk kepada gagasan warganegara itu, dan bukannya kaum tertentu.

Lebih-lebih lagi apabila pemikiran perkauman ini timbul di Dewan Rakyat sendiri. Ini kerana Dewan Rakyat adalah tempat perhimpunan wakil-wakil rakyat, bermakna mewakili semua rakyat, tanpa mengira kaum.

Setiap individu wakil rakyat mewakili warganegara di kawasannya, tanpa mengira kaum.

Justeru sewajarnya di Dewan Rakyat tidak timbul perbahasan atau hujahan yang berbentuk perkauman.

Tetapi hakikatnya apa yang berlaku ialah wakil-wakil rakyat, tidak kira dari parti mana bercakap atau berhujah menurut pemikiran perkauman, yang tidak menyumbang kepada hubungan baik antara kaum dan suasana harmoni warganegara.

Lebih-lebih lagi apabila bilangan pembayar cukai dikira menurut kaum. Sudah tentu ia bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Sedangkan menurut kaca mata kemanusiaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa zaman moden ini, semua warganegara adalah setaraf dan pembayaran cukai adalah menurut pendapatannya yang diperoleh.

Sementara pembahagian bajet pula adalah juga menurut polisi yang ditentukan oleh kerajaan dan ia tidak tertakluk kepada aspek perkauman.

Begitu juga dalam perniagaan atau apa saja aktiviti kehidupan bermasyarakat, ia tidak boleh berlandaskan kepada perkauman. Ini kerana perkauman adalah bercanggah dengan sistem kenegaraan moden dan kemanusiaan.

Sebab itulah, seseorang itu tidak boleh dilayan atas dasar perkaumannya, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seumpamanya. Dalam negara ini konsep yang digunakan dalam polisi tindakan afirmatif bukannya berbentuk sesuatu kaum. Sebaliknya, ia menggunakan konsep bumiputera yang sebenarnya bukannya berbentuk perkauman.

Maka melalui amalan yang tidak jelas dan kadangkala berlaku salah faham, maka banyak pihak melihat bumiputera sebagai suatu konsep perkauman dengan merujukkannya kepada orang Melayu.

Bumiputera yang di dalamnya bukan saja terdiri daripada orang Melayu tetapi juga Orang Asli, Siam, Portugis, Iban, Kadazan dan pelbagai lagi merujuk kepada suatu konsep yang diwujudkan bagi menyelesaikan masalah perbezaan taraf kehidupan antara dua golongan rakyat menjelang penubuhan negara Malaysia.

Justeru apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 70-an tidak sekali-kali berbentuk perkauman. Ia merupakan usaha kejuruteraan sosial bagi membasmi kemiskinan dan menghapuskan kaitan ekonomi dan perkauman. Pendeknya, DEB bertujuan menghapuskan gejala perkauman.

Tetapi malangnya setelah bertahun-tahun dilaksanakan, ia banyak disalahtafsirkan dan ia juga melibatkan silap pelaksanaan hingga menggambarkannya untuk menjadi berbentuk perkauman.

Sememangnya soal perkauman merupakan realiti yang sukar hendak dielakkan. Tetapi ia perlu dielakkan bagi menghalang pergaduhan dan peperangan.

Maka itulah asas Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan oleh Tun Razak supaya isu-isu perkauman dibahaskan dan diselesaikan di peringkat dalam kalangan parti komponen, serta tidak terkeluar ke peringkat masyarakat, termasuk di Dewan Rakyat.

Ketika penubuhan BN, Tun Razak turut mempelawa DAP tetapi mereka menolak.

Namun semua parti di negara ini, walaupun ditubuhkan atas kaum tertentu seperti UMNO, MCA dan MIC, mereka masih mempunyai tanggungjawab terhadap semua rakyat negara ini , tanpa mengira kaum.

Justeru UMNO walaupun parti Melayu tetapi mempunyai tanggungjawab kepada semua kaum di negara ini. Begitu juga dengan MCA dan MIC.

Apatah lagi dengan DAP yang namanya pun demokratik. Ia wajar memperjuangkan isu-isu bersifat nasional dan merentas kaum.

Memang sukar untuk mengelak diri daripada bersifat perkauman lebih-lebih lagi apabila pihak saingannya juga menggunakan sentimen perkauman. Tetapi berlawan dengan menggunakan isu kaum tidak akan berkesudahan atau menyelesaikan masalah.

Menahan diri daripada menggunakan isu perkauman dalam menghadapi sesuatu masalah merupakan suatu kekuatan yang tinggi nilainya dalam ukuran kemanusiaan.