Tahun 2006 mewariskan konflik

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 31 Disember 2006


PENGHUJUNG tahun 2006 menyaksikan dua konflik yang akan mewarnai geopolitik dunia 2007. Pertamanya, keputusan hukuman gantung bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Kedua, jatuhnya Mogadishu ke tangan tentera Habsyah yang datang untuk membantu kerajaan sementara Somalia.

Walaupun kedua-dua Iraq dan Somalia berjauhan dan kelihatan tidak berkaitan tetapi ia tetap mempunyai pertalian geopolitik kuasa besar.

Sememangnya kuasa besar tunggal dunia, Amerika Syarikat (AS) sedang menghadapi cabaran getir di Iraq dengan desakan kuat supaya tenteranya berundur. Desakan yang datang dari dalam dan luar.

Kecenderungannya ialah untuk Presiden George W. Bush mengundurkan tenteranya dan AS meninggalkan Iraq. Di AS, suasananya ialah hampir keseluruhan negara termasuk parti Bush, Republikan menerima pengunduran. Cumanya masalah yang dihadapi ialah bagaimana hendak keluar dari Iraq tetapi dapat mengekalkan kepentingan kuasa besar itu di situ.

Kepentingan pertama AS di Iraq ialah Baghdad yang pro-Washington serta mampu memelihara kepentingan minyak kuasa besar itu di samping sikap berkecuali terhadap Israel.

Harapan Baghdad yang pro-Washington terletak pada golongan Syiah yang menguasai kerajaan Iraq sekarang. Untuk itu, golongan Sunni pula wajar ditundukkan dan ditandai dengan hukuman bunuh ke atas Saddam.

Terdapat banyak cabaran terhadap kehendak AS ini, baik dalam bentuk penentangan kumpulan bersenjata Sunni di Iraq, sikap negara-negara Arab yang lain, dan juga soal kedudukan Iran.

Tetapi apakah kaitan Iraq dengan Somalia?

Tidak ada hubungan secara langsung. Cumanya dua faktor yang berlaku di Iraq beroperasi sama di Somalia. Faktor pertama ialah AS sebagai kuasa besar. Faktor kedua ialah kumpulan gerakan Islam.

Daripada laporan agensi media antarabangsa, dinyatakan bahawa bantuan Habsyah ke atas kerajaan sementara Somalia yang terdiri daripada Perikatan Kebangsaan Somalia (SNA) adalah atas dukungan AS.

AS tidak mahu gerakan Islam yang terdiri daripada pendukung Mahkamah Islam menguasai Somalia.

Kalau dilihat dari sudut ideologikal, AS tidak mahu Somalia menjadi negara Islam yang boleh menjadi seperti Afghanistan. Iaitu di samping mengetepikan kepentingan AS, ia juga boleh menjadi medan serta pangkalan kumpulan pengganas Islam seperti Al-Qaeda.

Begitu juga dengan di Iraq. AS berdepan dengan gerakan Islam Iraq yang terdiri daripada pelbagai kumpulan, antaranya militan serta pengganas Al-Qaeda.

Sememangnya Iraq dan Somalia masing-masing mempunyai ciri-ciri nasional yang berbeza serta menuntut polisi berlainan.

Kalau di Iraq di mana AS campur tangan secara langsung, tidaklah demikian di Somalia. Walaupun AS pernah berada secara langsung di Somalia tetapi kemudiannya berundur setelah tenteranya menerima tekanan secara keras daripada pejuang-pejuang Somalia.

Jadi di Somalia, kehadiran AS adalah berupa proksi dengan SNA dan Habsyah mewakilinya.

Pada tahun 2007, AS dijangka mengundurkan tenteranya di Iraq dan proksinya pula ialah golongan Syiah dan Kurdis.

Tetapi polisi luar AS boleh dilihat menurut kaca mata Barat lawan Islam walaupun apabila diperincikan konflik ini, akan terserlah ia tidaklah demikian. Istilah ‘Barat’ dan Islam adalah cara mudah bagi memahami pertembungan ini.

Walaupun dalam ‘Barat’ terdapat Islam. Dan dalam ‘Islam’ ada Barat.

Lebih mudah difahami ialah apabila pertembungan ini dilihat dari sudut global. Dua negara dunia yang dianggap musuh oleh AS ialah Iran dan Korea Utara. Kedua-dua dianggap negara pengganas kerana antara lain azam mereka untuk membangunkan senjata nuklear.

Namun begitu, Korea Utara hanya dilihat dari sudut konflik serantau dan bukannya pertembungan ideologikal. Rantau di mana terletaknya Korea Utara melibatkan Jepun dan Korea Selatan, iaitu sekutu-sekutu AS.

Tetapi kedudukan Korea Selatan dan Jepun sebagai sekutu AS tidaklah setinggi darjatnya seperti Israel.

Maka musuh AS yang hampir dan dianggapnya sebagai mengancam Israel ialah Iran. Negara di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmedinejad itu pula dipandang berfahaman radikal Islam.

Apa yang disebut sebagai radikal Islam ini pula kini dianggap sebagai musuh Barat. Maka AS lawan Iran yang difahamkan sebagai Barat lawan radikal Islam.

Tetapi bagi AS, radikal Islam melahirkan dua bentuk. Satu bentuk Syiah seperti Iran, dan satu lagi Sunni, yang diwakili oleh Al-Qaeda. Gerakan yang dianggap bertanggungjawab ke atas peristiwa 11 September.

Maka senarionya bagi AS ialah radikal Syiah iaitu selain Iran datang dalam bentuk Hizbullah di Lebanon. Sementara radikal Sunni, selain Al-Qaeda muncul dalam lebih banyak bentuk, daripada Taliban, Abu Sayyaf, Hamas hingga gerakan Mahkamah Islam Somalia.

Bagi umat Islam, pelabelan seumpama ini tidak tepat. Mana mungkin Hamas disamakan dengan Al-Qaeda. Sementara radikal Islam dan apa yang disebut sebagai Islam sederhana mempunyai banyak yang serupa.

Umat Islam adalah mosaik yang mempunyai kepelbagaian. Seperti juga Barat. Tidaklah semua Barat itu sama. Malah AS sendiri tidak boleh dipandang dari sudut yang tunggal.

Apabila AS memihak kepada kerajaan sementara Somalia bagi mengalahkan gerakan Mahkamah Islam, ia menggunakan kaca mata sedemikian. Iaitu gerakan Mahkamah Islam Somalia adalah radikal Islam.

Tetapi sedangkan gerakan Mahkamah Islam itu disokong oleh banyak negara Islam, daripada Eritrea yang memusuhi Habsyah hinggalah kepada Mesir, Djibouti, Iran, Arab Saudi, Yeman, Libya dan Sudan. Maknanya hampir keseluruhan dunia Islam menyebelahi gerakan Mahkamah Islam.

Di Somalia, Iran dan Arab Saudi berada di pihak yang sama. Tetapi tidak di Iraq. Baghdad mengandungi ironi dan paradoks dalam politik Asia Barat.

Iran dan AS berada di pihak yang serupa di Iraq sementara Arab Saudi menolak penguasaan Syiah.

Politik di negara-negara Islam termasuk di Asia Barat harus dilihat dari segi pelbagai dimensi yang berlapis-lapis dan tidak boleh dilihat dari sudut satu pihak bertembung dengan satu pihak yang lain.

Soal agama pula perlu dilihat dengan kaitan kepada ideologi, kepentingan nasional dan latar belakang sejarah.

Soal mengapakah muncul gerakan Mahkamah Islam di Somalia? Boleh dijawab dengan mempertimbangkan mengapa Taliban muncul di Afghanistan.

Asasnya ialah kekacauan dan kegagalan kuasa yang ada untuk mewujudkan keamanan. Maka dalam keadaan begini, sekumpulan mereka yang meletakkan agama sebagai landasannya berusaha mewujudkan keamanan dan peraturan masyarakat.

Caranya ialah dengan menggunakan syariah kerana itulah undang-undang yang diterima oleh penduduk tempatan. Sepatutnya AS meletakkan keutamaan kepada keamanan dan dalam hal ini kuasa besar itu wajar memihak kepada gerakan Mahkamah Islam.

Tetapi mendengar nama Islam dan syariah sudah meletakkan AS untuk memihak kepada penentangnya.

Jika AS memihak kepada usaha damai, pihak lain yang lebih berbahaya seperti Al-Qaeda sukar untuk masuk.

Dapat dibayangkan bahawa jika dari awal setelah Taliban memasuki Kabul, AS mengiktirafnya dan berusaha membantu menstabilkan Afghanistan, mungkin Al-Qaeda tidak akan bertapak.

Begitu juga dengan Iraq. Kalau AS bertindak menjadi pendamai dalam hubungan antara Baghdad dengan Kuwait selepas perang Iran-Iraq, maka senario Asia Barat mungkin berbeza.

Apatah lagi tentang Hamas. Washington sepatutnya mengiktiraf Hamas dan mengutamakan perdamaian di Palestin. Keadaan mungkin boleh berubah kepada yang lebih baik.

Dalam hal Hamas umpamanya, dua perkara yang dijadikan sebab mengapa kumpulan itu ditolak ialah ia enggan mengiktiraf Israel, dan juga mahu menggunakan senjata bagi mencapai matlamatnya.

Mengapakah Hamas dipaksa mengiktiraf Israel sedangkan Israel sedikitpun tidak mahu mengiktiraf Palestin? Dan juga Israel pula terus menggunakan senjata bagi menumpaskan rakyat Palestin.

Jadi kemungkinan lebih besar mengapa AS dan barat menolak Hamas adalah kerana agamanya. Ia dilihat sebagai radikal Islam.

Gambaran mereka terhadap radikal Islam pula dikaitkan dengan syariah. Sementara syariah pula terus dikaitkan dengan hudud khususnya hukuman rejam dan potong tangan.

Maka usaha Hamas dan Hizbullah dalam menguruskan sekolah, hospital serta program kebajikan terus tidak dipandang.

Dalam pada itu, sikap dan polisi negara-negara Islam juga tidak membantu dalam mempertahankan kedudukan umat Islam.

Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda di Iraq hanya memburukkan nama Islam, baik Sunni mahupun Syiah.

Masalah yang dihadapi Iraq hari ini tidak boleh dipisahkan daripada kegagalan kepimpinan Saddam. Dua kesilapan besarnya ialah menyerang Iran dan Kuwait. Tetapi pembunuhan ke atas rakyatnya sendiri menunjukkan dia sebagai pemimpin yang patut dihukum.

Namun begitu, bukan saja Saddam yang membuat silap di kalangan negara-negara Asia Barat. Pemimpin-pemimpin lain termasuk Ariel Sharon, bekas Perdana Menteri Israel patut diheret ke mahkamah untuk dibicarakan terhadap perbuatan-perbuatan zalim.

Akhirnya walaupun umat Islam boleh menyalahkan Bush atas segala masalah di Asia Barat, tetapi keadaan boleh menjadi lebih baik jika pemimpin-pemimpin negara rantau itu memiliki kebijaksanaan untuk membentuk polisi-polisi yang mengutamakan perdamaian dan pembangunan.

Somalia juga musnah akibat kegagalan semua pemimpinnya, dari semua kumpulan untuk bermuafakat dan mencari jalan damai.

Tentulah bagi mencapai perdamaian, sesuatu pihak mesti mengalah kerana sebarang pertempuran akan hanya mendatangkan penderitaan dan kesengsaraan.

Di sinilah sikap gerakan Mahkamah Islam Somalia menunjukkan sisi positifnya iaitu apabila mereka mengalahkan dan mengundurkan pejuangnya dari Mogadishu.

Menurut kenyataan pemimpin Majlis Agung Islam Somalia (SICS), Sheikh Sharif Sheikh Ahmad, pejuangnya berundur kerana mahu mengelak pertumpahan darah dahsyat di Mogadishu.

Bayangkan jika sikap ini diambil dahulu oleh Saddam. Mungkin penduduk Iraq dapat diselamatkan daripada pengeboman AS.

Tetapi keadaan di Iraq kini begitu rumit kerana apa pun perkembangan yang berlaku di negara itu pada tahun 2007, harapan perdamaian dan keselamatan sukar hendak dibayangkan.

Akhirnya apa pun kerajaan atau negara lakukan, ia tidak membawa makna jika nyawa manusia terkorban, maruah tergadai, keluarga musnah, harta benda hancur dan masa depan gelap.

Oleh kerana AS merupakan kuasa besar tunggal di dunia yang mempunyai kemampuan, maka ia juga bertanggungjawab besar apabila gagal memberi harapan kepada dunia.

Kegagalan AS di Iraq merupakan pengkhianatannya kepada idealisme Perisytiharan Kemerdekaan dan Perlembagaan AS yang digubal pada tahun 1776. Dokumen itu masih indah tetapi White House yang sebenarnya gagal. Bukan satu kebetulan bahawa rakyat AS sendiri sudah melihat presidennya gagal membawa keselamatan kepada dunia, baik di Iraq mahupun di Somalia.