Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Disember 2006
KES berebut mayat yang berlaku baru-baru ini, seperti mana pernah berlaku sebelum ini adalah peristiwa amat dikesalkan. Berebut mayat bukanlah budaya negara berbilang kaum dan agama yang harmonis seperti Malaysia.
Kejadian berebut mayat itu memalukan bagi negara ini, tidak kira apa anutan agama seseorang, sememangnya berebut mayat bukanlah ajaran mana-mana agama.
Mayat atau jenazah adalah sesuatu yang perlu dihormati kerana manusia berkenaan sudah pun meninggal dunia. Ia wajar diberikan penghormatan akhir menurut kepercayaan agama masing-masing.
Untuk mengetahui kepercayaan agama seseorang pun bukannya sukar. Sudah ada peraturan dan undang-undang di negara ini yang jelas untuk dipatuhi untuk mengetahui agama seseorang, dan bagaimana jenazah berkenaan patut diuruskan.
Maka tidak ada sebab untuk berlaku berebut mayat.
Jika seseorang itu beragama Islam, maka isytiharkanlah sedemikian. Dan begitu juga sebaliknya. Jika beragama Kristian, Buddha, Hindu atau agama apa sekalipun, isytiharkan saja.
Perubahan agama adalah suatu yang bukan pelik. Sepanjang kehidupan manusia, seseorang boleh berubah. Termasuk kepercayaan dan agamanya.
Tetapi yang jelas ialah sebarang perubahan agama akan mengundang kesusahan di kalangan keluarga. Setiap keluarga, khususnya ibu bapa sudah tentu mahukan ahli-ahli keluarganya dalam agama yang serupa.
Tetapi perkara itu tentunya tidak boleh berlaku secara mutlak. Ada saja manusia yang berubah fikiran dan kepercayaan. Maka ia sepatutnya tidak boleh dianggap sebagai yang pelik dalam masyarakat yang majmuk. Bukan saja di negara ini yang mempunyai pelbagai agama tetapi juga dunia sendiri bersifat plural: Pelbagai agama dan budaya.
Dalam keadaan ini sudah tentu berlaku bertembungan antara individu dan keluarga apabila terjadi perubahan agama. Ia sememangnya menyukarkan dan memeritkan hati. Tetapi hakikatnya konflik di peringkat keluarga pasti timbul.
Namun begitu, dalam pada kepercayaan tidak boleh dipaksa, hubungan kekeluargaan juga tidak boleh putus.
Maka tentunya dalam menghadapi suasana ini, boleh berlaku penyembunyian kepercayaan masing-masing bagi mengelak konflik. Perkara ini dapat difahami.
Memikirkan tentang faktor kemanusiaan, keadaan ini dapat diterima. Tambahan pula semua agama, tanpa kecuali menjunjung nilai kemanusiaan dan menghargai perasaan manusia.
Maka Jabatan Agama Islam sebagai pihak pentadbiran agama di negara ini sudah tentu juga memiliki nilai Islam yang meliputi kemanusiaan. Tentu mereka boleh membuat pertimbangan menurut kebesaran hati.
Sebagai pihak yang dilihat mewakili agama Islam, maka sewajarnya mereka menunjukkan nilai-nilai baik dan manusiawi ini. Sambil berdakwah mengajak seseorang memeluk agama Islam, jabatan ini juga wajar mengambil berat tentang kebajikan mereka yang baru memeluk agama Islam. Sikap mengambil berat perlu ada kerana mereka adalah saudara baru. Mereka perlu disokong supaya berasa diterima berada dalam Islam.
Maka dalam keadaan begini, penulis percaya, kebarangkalian untuk mereka meninggalkan Islam setelah memeluk agama ini akan kurang. Namun begitu, manusia berubah dan terdapat keadaan di mana mereka mungkin meninggalkan agama Islam. Dalam keadaan ini pun, jabatan agama tidak patut menyisihkan mereka.
Tapi apa pun, pendaftaran bagi memastikan bahawa mereka memeluk agama Islam pasti ada. Ia perlu bagi menentukan kedudukan agama mereka.
Maka jika berlaku perbalahan setelah seseorang meninggal dunia, maka Mahkamah Syariah adalah tempat yang sepatutnya untuk menjadi rujukan bagi menentukan kedudukan sebenar.
Mahkamah Syariah bukan saja tempat untuk orang Islam mendapatkan keadilan. Seperti Islam, Mahkamah Syariah juga bertanggungjawab memberikan keadilan kepada bukan Islam dalam perkara-perkara yang sudah ditetapkan oleh undang-undang.
Maka sepatutnya apabila berlaku pertikaian berhubung kepercayaan seseorang, adalah wajar keluarga si mati, walaupun mereka bukan Islam pergi mendapatkan keadilan daripada Mahkamah Syariah.
Kedudukan Mahkamah Syariah, seperti juga Mahkamah Sivil mesti dihormati. Pastinya di mahkamah itu, keadilan dapat diperoleh.
Tetapi dengan enggan pergi ke sana, ia menimbulkan masalah lain. Walaupun kini masalah itu sudah selesai, tetapi ia telah menimbulkan suasana perasaan antara agama yang tidak selesa kerana akhirnya Jabatan Agama menarik balik tuntutannya.
Semua orang di Malaysia, khususnya yang bekerja dengan jabatan kerajaan mesti peka mengenai tahap sensitiviti kaum dan agama di negara ini.
Keselamatan dan keharmonian negara adalah utama daripada tafsiran sempit sesuatu peraturan yang boleh mendedahkan negara kepada kacau-bilau.
Sesungguhnya nilai-nilai agama menekankan soal keharmonian antara manusia. Islam tidak terkecuali.
Malah lebih-lebih lagi Islam sebagai agama dominan dan rasmi di negara ini. Kedudukan kuat agama Islam di negara ini bukannya untuk menjadi hegemoni dan mendominasi agama lain, apatah lagi menindas penganut agama lain.
Islam adalah terlalu besar untuk mentaliti seperti itu.
Islam adalah universal dan inklusif. Bermakna Islam memberi keadilan kepada semua manusia, bukan saja kepada mereka yang memiliki kuasa yang lebih, atau golongan majoriti semata-mata.
Justeru, Jabatan Agama Islam menguruskan bukan saja orang Islam tetapi juga bukan Islam kerana mereka sama ada belum Islam ataupun sememangnya Islam adalah untuk semua makhluk, malah Islam memberi perlindungan dan hak kepada haiwan dan juga alam sekitar.