Makna luas lawatan Pope ke Turki

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 3 Disember 2006


SEKALI imbas, lawatan Pope Benedict XVI ke Turki Khamis lalu adalah usaha perhubungan awam oleh pihak Vatican untuk memperbaiki kerosakan imej ekoran kenyataan kontroversi pemimpin Katolik tidak lama dahulu yang menyebabkan rusuhan di pelbagai negara Islam.

Tetapi kalau setakat untuk tujuan itu, maka kesannya tidak mencukupi kerana kenyataan kontroversi Pope Benedict telah mengubah persepsi dunia Islam terhadapnya, dan juga Vatican.

Justeru, Pope Benedict mesti menawarkan sesuatu gagasan yang melangkaui suasana hubungan Vatican-Islam sebelum kenyataan kontroversial itu.

Maka tidak hairanlah, Pope Benedict di samping mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berupa memperbaiki hubungan Vatican dengan umat Islam, beliau juga menggariskan suatu gagasan pascasekular untuk turut diterima oleh umat Islam, dan dunia amnya.

Maka sebelum beliau mengemukakannya kepada umat Islam, maka sewajarnya, Pope perlu meraih sokongan daripada kalangan Kristian daripada mazhab lain.

Justeru, makna lawatan Pope ke Istanbul bukan sekadar memperbaiki hubungannya dengan umat Islam, tetapi juga mengukuhkan jalinan mazhab Katolik dengan Ortodoks.

Perlu diingat bahawa Pope Benedict tidak mewakili semua umat Kristian. Beliau hanya mewakili mazhab Katolik. Protestan dan Ortodoks tidak mengiktiraf kepimpinan Vatican.

Tetapi di Istanbul, sebelum kunjungannya ke Masjid Biru, Pope berdoa bersama Patriak Ekumenical Bartolomew I di Gereja St. George. Pertemuan itu adalah simbolik kepada hubungan antara mazhab Katolik dan Ortodoks kerana Bartolomew I adalah ketua paderi mazhab Ortodoks.

Lawatan Pope ke Istanbul mempunyai makna yang berkaitan dengan tiga pihak; iaitu umat Islam, mazhab Ortodoks dan sekularisme. Sedangkan apa yang hendak dibawa oleh Pope Benedict XVI ialah kerukunan beragama dalam konteks pascasekularisme.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan pascasekularisme?

Sekularisme adalah pemisahan antara agama dengan urusan politik. Vatican seperti juga negara Turki komited terhadap sekularisme. Tetapi zaman ini melangkaui era sekularisme iaitu pascasekularisme.

Pascasekularisme masih mempunyai ciri-ciri sekularisme tetapi ia memberi tempat kepada peranan agama dalam mewujudkan perdamaian dan kerukunan. Dalam erti kata lain, kalau era sekularisme ditandai dengan sentimen anti agama, tetapi pascasekularisme memberi ruang kepada agama, termasuk golongan fundamentalis.

Pascasekularisme bersikap toleran kepada pelbagai interpretasi agama.

Dua pihak yang dijadikan seteru oleh pascasekularisme ialah golongan fundamentalis teroris di satu pihak, dan mereka yang menentang agama, di pihak yang lagi satu. Golongan yang menentang agama ini termasuklah elemen-elemen anti moral seperti homoseksual dan pendukung pengguguran.

Maka bagi Vatican, mereka berasa di pihak yang sama bersama dengan golongan agama lain, bukan saja sesama Kristian seperti Ortodoks, tetapi juga Islam dan Buddha yang ditandai dengan Dalai Lama sebagai ikon.

Sementara negara seperti Turki pula merupakan contoh pascasekularisme yang jelas. Pada satu ketika di bawah Kamal Attaturk, ia menjadi sekularisme yang bersifat anti agama, termasuklah golongan Islamofobia. Tetapi kini dengan kerajaan pimpinan parti pro-Islam, ia menjadi negara yang toleran kepada agama Islam.

Justeru, Turki menjadi negara sekular Islam dengan bersifat toleran kepada agama lain, iaitu ternyata dengan kehadiran mazhab Ortodoks dan masyarakat Yahudi yang hidup bebas di situ.

Walaupun sekularisme Attaturk bersifat revolusi yang mengubah ciri Islam Turki kepada Barat, tetapi ia tetap pewaris kepada Khalifah Uthmaniah yang pernah pada satu ketika memerintah empayar terbesar dunia meliputi benua Asia, Afrika dan Eropah, berpusat di Istanbul.

Jika dilihat bahawa Turki sebagai pewaris kepada Uthmaniah, maka khalifah itu pula merupakan pewaris kepada empayar Kristian Bizantin.

Istanbul ini adalah asalnya bernama Byzantium dan merupakan sebahagian daripada empayar Rom.

Apabila Maharaja Constantine memeluk agama Kristian, ia memindahkan ibu negara empayar Rom ke Byzantium dan menukar namanya kepada Constantinople.

Pada masa itu, tidak ada konsep yang bernama Eropah. Empayar Rom yang mewarisi Greek meliputi keseluruhan pesisiran Laut Mediterranean menjadikannya sebahagian daripada Asia, Afrika dan Eropah.

Kemudian Empayar Rom berpecah dua, Rom Barat dan Rom Timur. Ketua Paderi Rom kemudian muncul sebagai mazhab berasingan yang menentang Rom Timur iaitu Bizantium. Perpecahan 1,000 tahun lalu ini melahirkan mazhab Katolik di Vatican, Rom dan Ortodoks di Constantinople.

Ketika Islam muncul dan menguasai Mesir, Palestin, Syria dan semasa Uthmaniah, empayarnya meliputi Greece, Serbia, Bulgaria dan Eropah Timur. Pemerintahan Islam sebenarnya adalah pewaris kepada kerajaan Byzantium.

Dalam pemerintahan Uthmaniah, orang Yahudi memainkan peranan penting dalam kerajaan dan Kristian, sama ada Katolik atau Ortodoks bebas serta berkembang dalam empayar itu.

Turki yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel kini sedang berusaha menyertai Kesatuan Eropah (EU). Banyak negara Eropah menentang kemasukan Turki atas alasan yang jelas kerana negara itu tidak berbudaya Kristian.

Tetapi hakikatnya negara-negara Eropah lain hanya mempunyai Kristian sebagai warisan sejarah mereka. Seperti Turki mereka mengamalkan sekularisme.

Lagipun konsep Eropah sendiri tidak berkaitan dengan sesuatu agama. Ia juga tidak berkaitan dengan geografi kerana konsep Eropah itu boleh berubah kedudukan fizikalnya.

Seringkali dikatakan bahawa asas Eropah adalah tamadun Yunani dan Rom dengan amalan demokrasi sebagai ciri utama. Diperkuatkan pula dengan Kristian sebagai agama asasnya.

Tetapi hakikatnya ialah tamadun Yunani tidak berasaskan kepada Kristian. Mereka berasal; daripada agama Pagan. Sedangkan agama Kristian pula berasal di Palestin iaitu Asia Barat.

Tamadun Islam juga berasaskan kepada tamadun Yunani dan Rom, di samping Parsi. Malah Khalifah Umaiyah menjadi pewaris kepada kerajaan Rom wilayah Syria berpusat di Damsyik.

Sementara Sepanyol yang berasal Katolik pula mewarisi tamadun Umaiyah di Kordova yang kemudian menyumbang kepada pemikiran Eropah moden.

Dalam pada itu sebahagian besar wilayah Turki ini meliputi Anatolia yang turut dikenali sebagai Asia kecil. Semenanjung merupakan kawasan tamadun Yunani purba, di mana di situlah terletak kota Yunani terkenal Troy.

Maka tidak hairanlah Vatican menyokong permohonan Turki untuk menyertai EU. Lagipun Turki turut mengamalkan demokrasi yang dianggap sebagai ciri penting konsep Eropah.

Eropah wajar melangkaui era Kristian dan sekularisme dengan menerima Turki.

Sedangkan Turki yang sudah menjadi pascasekularisme juga menjadi pemimpin kepada suasana pascafundamentalisme seperti yang dilahirkan oleh polisi dan amalan parti pro-Islam, Parti Pembangunan dan Keadilan (AK) yang memerintah.

Ia merupakan parti pascafundamentalisme dalam erti kata, ia pernah menjadi parti fundamentalis Islam. Tetapi kini merupakan parti demokratik tanpa meninggalkan ciri-ciri asal Islamnya.

Parti AK adalah seperti parti bekas komunis di Eropah yang telah meninggalkan ideologi mereka tetapi masih memiliki nilai-nilai tertentu yang dapat diterima oleh rakyat.

Dalam pada itu, Vatican tidak boleh dianggap sebagai suatu kuasa Eropah. Ini kerana Katolik tidak lagi boleh dianggap sebagai agama Eropah. Walaupun pusatnya berada di Rom dan mewarisi Empayar Rom serta Renaisans, hakikatnya ialah penganut Katolik kini banyak berada di Amerika Selatan dan Asia seperti Filipina dan Korea Selatan.

Sememangnya dunia Barat, sama ada Kristian atau pasca-Kristian melihat terorisme yang berasal daripada masyarakat Islam sebagai ancaman kepada mereka. Tetapi hakikatnya kumpulan seperti Al-Qaeda merupakan gejala reaksi kepada sifat politik imperialisme dunia Barat, yang tidak berkaitan dengan agama.

Asas kebangkitan terorisme berasal Islam ini adalah penjajahan oleh Zionisme, sebagai lanjutan kepada imperialisme Inggeris dan Perancis yang telah menyumbang kepada keruntuhan Khalifah Uthmaniah.

Sementara punca masalah Taliban bermula dengan imperialisme Soviet ke atas Afghanistan.