“Muslim mesti faham Islam”

Oleh: ZIN MAHMUD dan NOOR AZAM SHAIRI
Sumber: Mingguan Malaysia 31 Disember 2006


MUKADIMAH
SELEPAS serangan 11 September, Imam Feisal Abdul Rauf, imam di Masjid al-Farah yang terletak hanya beberapa blok dari tapak bangunan berkembar World Trade Center yang runtuh itu sibuk menjadi jurucakap bagi Islam kepada dunia Barat. Beliau disifatkan oleh akhbar The New York Times sebagai “seorang Islam yang moderat, yang berpegang kepada nilai-nilai demokrasi Barat dan menyeru umat Islam supaya menghormati agama-agama lain.”

Selepas peristiwa yang mengubah politik dunia itu, Imam Feisal menubuhkan Inisiatif Cordoba, sebuah pertubuhan pelbagai agama yang berusaha untuk merawat luka yang cukup parah dalam hubungan antara Islam dengan dunia Barat itu. Beliau ke serata dunia untuk menyebarkan pesanan tentang keamanan dan meningkatkan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang kaum, kepercayaan dan kewarganegaraan.

“Allah menyuruh kita hidup bermasyarakat dan bukannya membezakan warna kulit dan kepercayaan agama. Kita harus menghormati dan memuliakan perbezaan itu,” katanya dalam satu wawancara bersama wartawan ZIN MAHMUD dan NOOR AZAM SHAIRI di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Dalam pertemuan hampir satu setengah jam itu, Imam Feisal, 58, berkongsi pandangannya mengenai kedudukan agama Islam dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama – satu isu yang sejak kebelakangan ini menimbulkan rasa gelisah di kalangan masyarakat di negara ini.

Imam Feisal bukanlah seorang yang asing dengan keadaan di negara ini. Beliau menghabiskan sebahagian besar umur remajanya apabila ayahnya, Dr. Muhammad Abdul Rauf yang ketika itu mengajar di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir dipinjamkan sebagai Pengetua Kolej Islam Klang antara tahun 1955 sehingga 1964. Sejak beberapa tahun lalu, beliau sering berulang-alik di antara New York dan Kuala Lumpur untuk menyelesaikan satu kajian mengenai negara Islam.

Dalam interviu ini, Imam Feisal turut ditanya tentang pandangan beliau dalam bukunya What’s Right in Islam: A New Vision for Muslims and the West yang terbit dua tahun lalu mengenai nilai-nilai Islam yang dilihatnya begitu subur dalam konsep demokrasi Amerika Syarikat.

MINGGUAN: Bagaimana tuan melihat kedudukan Islam dalam masyarakat yang berbilang agama?

FEISAL: Sejak zaman awalnya, Islam mentadbir wilayah yang majoritinya didiami oleh orang bukan Islam dan bukan Arab. Selepas wafatnya Rasulullah, terutamanya ketika empayar Islam berkembang pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, orang Arab pada waktu itu hanyalah di Semenanjung Arab dan tidak ada dunia Arab seperti mana yang kita kenal sekarang. Tetapi dalam tempoh 50 tahun, orang Islam Arab memerintah wilayah-wilayah yang majoriti penduduknya bukan Arab, dan bukan Islam.

Sejak dari awal lagi juga jurisprudens dan undang-undang Islam mengembangkan konsepnya dalam model masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Islam sejak awal juga, tidak seperti agama lain, memberikan ruang kepada agama dan masyarakat lain untuk wujud bersama-samanya. Orang tidak sedar bahawa Sayidina Umarlah orangnya yang menjemput semula orang Yahudi untuk menetap di Baitulmaqdis selepas mereka diusir oleh tentera Rom. Beliaulah yang memperkenalkan kerangka sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di bawah pemerintahan Islam. Aspek sejarah Islam yang penting ini tidak boleh kita lupakan.

Setelah berakhirnya zaman khalifah, Empayar Uthmaniah di Turki yang meneruskan model pemerintahan Islam itu memberi hak kepada sesebuah masyarakat itu untuk ditadbir di bawah undang-undang masyarakat dan mazhabnya sendiri. Hari ini tanggapan mengenai identiti dan pemerintah itu didasarkan kepada sempadan geografi tetapi dalam masyarakat tradisional pada waktu itu, ia ditentukan mengikut masyarakat. Tetapi selepas berakhirnya zaman empayar itu, konsep tradisi yang berorientasikan masyarakat atau ummah itu berubah menjadi identiti geografi. Itulah yang mengakibatkan ketegangan dalam dunia Islam apabila identiti ummah dan identiti geografi itu bertembung.

Tamadun Islam yang hebat pada suatu masa dulu menunjukkan kepada kita sebuah masyarakat yang adil, terbuka dan bertolak ansur. Bagaimanakah tuan melihat keadaan sekarang? Di mana silapnya?

FEISAL: Kesilapan itu berlaku kerana perubahan paradigma itu. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada pelbagai masalah itu. Model pemerintahan yang baru itu salah satu daripadanya. Sebagai contoh, Empayar Uthmaniah memerintah wilayah yang hari ini dikenali sebagai rantau Balkan, Semenanjung Arab, Afrika Utara termasuklah Greek. Selepas Perang Dunia Pertama, kuasa itu dipecah-pecahkan sehingga membentuk negara baru dengan identiti nasional yang baru seperti Jordan, Syria, Iraq, Arab Saudi dan sebagainya yang berasaskan kepada sempadan geografi.

Apabila kita mencipta satu identiti baru kepada masyarakat ini dan identiti itu bertindih dengan sempadan geografi, Turki berubah daripada sebuah masyarakat yang pelbagai kaum dan agama kepada masyarakat yang beridentiti nasional Turki; masyarakat bukan Turki sudah tidak ada tempat lagi. Masalah mula timbul di antara orang Turki dan orang Greek. Keadaan orang Melayu Pattani adalah contoh yang mudah untuk kita memahami keadaan ini. Ini bukan model Islam. Ini sesuatu yang kita belajar daripada Barat. Kita membentuk identiti nasional baru.

Perubahan itu menjadikan orang Islam tidak lagi adil, terbuka dan toleran?

FEISAL: Perubahan itu mencetuskan satu keadaan yang dinamik. Masalah hubungan kaum seperti India, Nigeria, Turki, Iraq dan di beberapa negara lain berlaku kerana keadaan itu. Masyarakat jadi terpecah-pecah dan mereka terpaksa menggelarkan diri mereka dengan satu nama lain yang tidak dapat mereka kaitkan dengan identiti semula jadi mereka. Ini satu punca utama yang membawa kepada ketegangan di kalangan umat Islam pada hari ini.

Selain itu, umat Islam juga menjadi mangsa penjajahan oleh Barat yang tidak beragama Islam. Umat Islam menolak usaha-usaha penjajah untuk menukarkan agama mereka. Apabila mereka dipaksa keluar daripada agama Islam, mereka memberikan tentangan. Reaksi mereka itu tidak digerakkan oleh pemikiran positif yang jelas sebaliknya lebih sebagai hanya satu tindak balas. Mereka jadi lebih sedar tentang identiti mereka sebagai orang Islam, misalnya. Semasa saya membesar di negara ini dahulu, orang Islam tidak akan ke masjid dengan memakai seluar dan kemeja kerana ia dianggap pakaian orang kafir. Sekarang kita tidak lagi berfikir begitu tetapi suatu masa dahulu begitulah cara orang berfikir.

Reaksi seperti ini masih berlaku dalam aspek-aspek lain, misalnya dalam soal campur tangan Amerika Syarikat di Iraq. Orang Islam melihatnya sebagai satu serangan terhadap Islam dan bukannya satu soal yang melibatkan kepentingan geopolitik. Apabila sesuatu konflik politik itu mempunyai dimensi agama, dimensi agama itulah yang nampak tertonjol. Israel adalah contoh terbaik. Isunya berpunca daripada masalah politik iaitu sebuah negara baru yang diwujudkan di Asia Barat tetapi ia sekarang dilihat sebagai pertembungan agama.

Kenapa Islam dilihat sebagai ancaman oleh orang bukan Islam dalam sebuah masyarakat yang berbilang agama?

FEISAL: Inilah puncanya. Peristiwa 11 September dilihat di Barat sebagai satu serangan oleh orang Islam ke atas Barat. Rakan saya, seorang wartawan bertanya kepada saya tidak lama selepas serangan itu. Katanya: “Kami memahami gerakan politik. Apa yang kami tidak faham ialah kenapa kebanyakan gerakan pembebasan politik di negara-negara Islam menggunakan perkataan Islam seperti Jemaah Islamiyah, Lasykar Muhammad atau Lasykar Taiyyibbah.” Oleh kerana gerakan-gerakan itu menggunakan nama agama, ia menyukarkan orang bukan Islam untuk membezakan kaitan antara agama Islam dengan gerakan-gerakan itu.

Ini sama halnya dengan UMNO dan Pas. Pas sebuah parti politik tetapi ia menggunakan nama agama. Ia meletakkan dirinya sebagai pelindung kepada nilai-nilai Islam sehinggakan UMNO kemudiannya menjadi defensive. Dengan menggunakan nama agama, Pas menghantar mesej yang halus yang mungkin tidak dinyatakannya secara terbuka bahawa ia melindungi Islam, dan UMNO tidak. Ini menimbulkan satu masalah kerana dalam pemikiran orang Melayu, Melayu itu Islam. Orang Melayu itu 99 peratus beragama Islam dan itulah juga takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kalau kita mengatakan orang Arab itu orang Islam, kenyataan itu mungkin 80 peratus betul.

Dalam pemikiran bawah sedar orang Melayu, mereka melihat Pas sebagai pelindung Islam dan sekali gus melindungi kepentingan hak istimewa orang Melayu. UMNO pula pada masa yang sama mengisytiharkan dirinya sebagai pejuang kepentingan orang Melayu. Apabila wujud perbezaan dari segi politik, dimensi agama itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan agama itu kemudiannya dilihat sebagai alat politik. Soalnya sekarang ialah apakah agama itu digunakan untuk kepentingan politik, atau adakah perjuangan politik itu digunakan untuk melaksanakan suruhan-suruhan agama? Ia satu perbezaan yang tidak begitu ketara.

Sesetengah orang boleh memahami perbezaannya tetapi bagi kebanyakan orang mereka tidak faham. Mereka yang faham itulah yang perlu menjelaskannya, bahawa semua pergerakan yang menggunakan nama Islam itu merupakan sebahagian daripada gerakan politik Islam. Nama Islam yang digunakan itulah yang mewajarkan kewujudan mereka. Semua orang Islam tahu bahawa Nabi Muhammad merupakan contoh manusia ideal; orang Islam mahu mencontohi sunah Rasulullah sedekat mungkin. Dalam pemikiran umat Islam, masyarakat Islam yang sebenarnya ialah masyarakat kota Madinah diikuti oleh masyarakat pada zaman Khalifah ar-Rasyidin. Cabarannya ialah bagaimana untuk menjadikan sesebuah masyarakat itu sedekat mungkin dengan masyarakat kota Madinah, dan bagaimana mahu mencontohi sunah Rasulullah. Itu sebabnya umat Islam mahu menubuhkan negara Islam.

Apakah maknanya sebuah negara Islam?

FEISAL: Ada konsensus di kalangan cerdik pandai mengenai ciri-ciri sebuah negara Islam berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah. Ini kerana syariah itu ditakrifkan hanya sebagai hukum-hukum, apa yang boleh dan tidak boleh dibuat seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad.

Tetapi syariah tidak menuntut penubuhan sebuah negara Islam. Namun begitu ia menuntut orang Islam supaya mematuhi pemerintah dan menuntut pemerintah supaya berlaku adil dan menjaga keadilan, menjaga kebajikan orang miskin dan sebagainya.

Kenapakah tuan menyebut dalam buku What's Right with Islam bahawa Amerika Syarikat sebuah negara yang mematuhi syariah?

FEISAL: Ini kerana dokumen Perisytiharan Kemerdekaan yang menjadi asas penubuhannya itu mengatakan bahawa semua manusia dijadikan sama rata, bahawa mereka dianugerahkan oleh Pencipta dengan beberapa hak yang tidak boleh ditukar ganti seperti hidup, kebebasan dan usaha mencari kebahagian. Semua manusia dijadikan sama rata adalah mesej yang ada dalam semua agama Nabi Ibrahim, yang menjadi pengasas semua kepercayaan monotheisme (keesaan Tuhan) termasuklah Islam yang dikembangkan oleh Nabi Muhammad. Semua manusia itu pula diberikan hak yang tidak boleh ditukar ganti dengan apa-apa pun kerana ia hak yang dikurniakan oleh Tuhan, bukannya Perlembagaan.

Lima kurun sebelum Thomas Jefferson menulis perisytiharan itu, fuqaha Islam bersetuju bahawa syariah mempunyai hanya satu matlamat besar iaitu kebahagiaan di dunia (melalui muamalat) dan kesejahteraan di akhirat (melalui ibadat). Mereka bersetuju bahawa tujuan syariah atau maqasid al- syariah ialah untuk memuliakan dan melindungi agama, hidup, kehormatan, harta, keturunan dan intelek. Kalau kita melihat Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, ia jelas menyatakan nilai-nilai dalam Islam itu.

Apa pandangan tuan apabila sesetengah negara Islam tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut?

FEISAL: Inilah masalahnya dengan pemikiran Islam tentang pemerintahan. Umat Islam tidak mengambil contoh daripada amalan pada zaman khalifah iaitu memilih pemimpin yang terbaik melalui bai'ah daripada rakyat. Bai'ah itu dari satu sisi ialah demokrasi, dan pilihan raya itu satu bai'ah. Konsep syura itu pula adalah Parlimen – perundingan dan permesyuaratan. Dalam al-Quran, Allah mengatakan bahawa manusia dijadikan sebagai makhluk yang mulia. Dalam al-Quran juga Allah mengatakan bahawa manusia “dijadikan lelaki dan wanita, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya kamu saling mengenal antara satu sama lain”. Allah menyuruh kita hidup bermasyarakat dan bukan membezakan warna kulit dan kepercayaan agama. Kita harus menghormati dan memuliakan perbezaan itu.

Adakah tuan bersetuju bahawa orang Islam telah gagal untuk menjelaskan tentang Islam kepada orang bukan Islam?

FEISAL: Kita boleh buat lebih baik lagi. Kata seorang kawan saya, orang Islam tidak sepatutnya menjadi hanya 20 peratus daripada penduduk dunia tetapi 80 peratus – hanya jika kita memahami dan mengamalkan Islam dengan betul. Islam memberikan sesuatu yang cukup bermakna kepada kemanusiaan. Ia muncul tanpa perantara (seperti kepaderian dalam Kristian) antara manusia dengan Allah. Tetapi masalahnya sekarang orang Islam mahu mewujudkan perantara antara mereka dengan Allah – alim ulama dan sebagainya. Akibatnya kita terputus hubungan dengan Tuhan.

Saya masih ingat lagu George Harrison, My Sweet Lord yang menyanyikan I really want to see you. Semasa tinggal di Klang, saya masih ingat perbualan saya dengan ayah. Saya bertanya apakah bukan kalimah syahadat itu bermakna bahawa kita naik saksi telah melihat Tuhan? Dia bersetuju. Saya katakan kepadanya bahawa saya belum lagi ‘melihat’ Allah dan saya merasakan diri saya seorang munafik. Ada sesuatu yang tidak kena; saya diajar untuk mengamalkan agama tetapi saya tidak diajar untuk merasainya. Saya mahu merasakannya. Semua orang juga rasa begitu, dan itu sebabnya orang mencari seseorang yang boleh memberikan mereka perasaan itu.

Di Malaysia sekarang ini timbul perbahasan tentang perlu atau tidak adanya seorang Mufti Besar. Apa pandangan tuan?

FEISAL: Hal ehwal agama Islam yang ditinggalkan kepada sultan semasa zaman penjajahan kemudiannya dikekalkan di bawah kuasa sultan apabila negara ini mencapai kemerdekaan. Agama Islam adalah urusan negeri dan bukannya kerajaan Persekutuan. Saya merasakan tentang perlunya satu penyatuan (fatwa) pada peringkat Persekutuan baik melalui seorang Mufti Besar atau ijmak majlis para mufti.

Tetapi apakah mufti dan jabatan agama itu tidak menjadi semacam satu bentuk perantara?

FEISAL: Islam agama yang mempunyai undang- undang. Apabila orang Amerika merasakan haknya dilanggar, mereka mengatakan ia bertentangan dengan Perlembagaan. Apabila orang Islam rasa dianiayai, mereka mengatakan itu tidak Islamik. Tetapi apabila orang Kristian mengatakan sesuatu itu tidak Kristian, ia bukan bermakna sesuatu itu salah dari segi undang-undang. Tetapi bertentangan dengan Perlembagaan itu salah dari segi moral dan undang-undang, sama seperti halnya dengan Islam.

Oleh itu, adalah penting undang-undang itu difahami. Apabila undang-undang Islam diintegrasikan dengan undang-undang sivil, ia mencetuskan masalah tafsiran, bidang kuasa dan sebagainya. Masalah- masalah ini mesti diselesaikan. Saya tahu apa yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini (tentang pertentangan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah). Orang Islam mesti memahami agamanya sendiri, undang-undang agamanya dan bidang kuasanya. Kita tidak memahami agama kita sendiri, dan akibatnya kita tidak menguruskannya dengan baik. Inilah masalah umat Islam pada hari ini. Sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem kita melaksanakan nilai-nilai Islam, dan bukannya (agama itu) digunakan untuk tujuan politik.

Read more!

Tahun 2006 mewariskan konflik

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 31 Disember 2006


PENGHUJUNG tahun 2006 menyaksikan dua konflik yang akan mewarnai geopolitik dunia 2007. Pertamanya, keputusan hukuman gantung bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Kedua, jatuhnya Mogadishu ke tangan tentera Habsyah yang datang untuk membantu kerajaan sementara Somalia.

Walaupun kedua-dua Iraq dan Somalia berjauhan dan kelihatan tidak berkaitan tetapi ia tetap mempunyai pertalian geopolitik kuasa besar.

Sememangnya kuasa besar tunggal dunia, Amerika Syarikat (AS) sedang menghadapi cabaran getir di Iraq dengan desakan kuat supaya tenteranya berundur. Desakan yang datang dari dalam dan luar.

Kecenderungannya ialah untuk Presiden George W. Bush mengundurkan tenteranya dan AS meninggalkan Iraq. Di AS, suasananya ialah hampir keseluruhan negara termasuk parti Bush, Republikan menerima pengunduran. Cumanya masalah yang dihadapi ialah bagaimana hendak keluar dari Iraq tetapi dapat mengekalkan kepentingan kuasa besar itu di situ.

Kepentingan pertama AS di Iraq ialah Baghdad yang pro-Washington serta mampu memelihara kepentingan minyak kuasa besar itu di samping sikap berkecuali terhadap Israel.

Harapan Baghdad yang pro-Washington terletak pada golongan Syiah yang menguasai kerajaan Iraq sekarang. Untuk itu, golongan Sunni pula wajar ditundukkan dan ditandai dengan hukuman bunuh ke atas Saddam.

Terdapat banyak cabaran terhadap kehendak AS ini, baik dalam bentuk penentangan kumpulan bersenjata Sunni di Iraq, sikap negara-negara Arab yang lain, dan juga soal kedudukan Iran.

Tetapi apakah kaitan Iraq dengan Somalia?

Tidak ada hubungan secara langsung. Cumanya dua faktor yang berlaku di Iraq beroperasi sama di Somalia. Faktor pertama ialah AS sebagai kuasa besar. Faktor kedua ialah kumpulan gerakan Islam.

Daripada laporan agensi media antarabangsa, dinyatakan bahawa bantuan Habsyah ke atas kerajaan sementara Somalia yang terdiri daripada Perikatan Kebangsaan Somalia (SNA) adalah atas dukungan AS.

AS tidak mahu gerakan Islam yang terdiri daripada pendukung Mahkamah Islam menguasai Somalia.

Kalau dilihat dari sudut ideologikal, AS tidak mahu Somalia menjadi negara Islam yang boleh menjadi seperti Afghanistan. Iaitu di samping mengetepikan kepentingan AS, ia juga boleh menjadi medan serta pangkalan kumpulan pengganas Islam seperti Al-Qaeda.

Begitu juga dengan di Iraq. AS berdepan dengan gerakan Islam Iraq yang terdiri daripada pelbagai kumpulan, antaranya militan serta pengganas Al-Qaeda.

Sememangnya Iraq dan Somalia masing-masing mempunyai ciri-ciri nasional yang berbeza serta menuntut polisi berlainan.

Kalau di Iraq di mana AS campur tangan secara langsung, tidaklah demikian di Somalia. Walaupun AS pernah berada secara langsung di Somalia tetapi kemudiannya berundur setelah tenteranya menerima tekanan secara keras daripada pejuang-pejuang Somalia.

Jadi di Somalia, kehadiran AS adalah berupa proksi dengan SNA dan Habsyah mewakilinya.

Pada tahun 2007, AS dijangka mengundurkan tenteranya di Iraq dan proksinya pula ialah golongan Syiah dan Kurdis.

Tetapi polisi luar AS boleh dilihat menurut kaca mata Barat lawan Islam walaupun apabila diperincikan konflik ini, akan terserlah ia tidaklah demikian. Istilah ‘Barat’ dan Islam adalah cara mudah bagi memahami pertembungan ini.

Walaupun dalam ‘Barat’ terdapat Islam. Dan dalam ‘Islam’ ada Barat.

Lebih mudah difahami ialah apabila pertembungan ini dilihat dari sudut global. Dua negara dunia yang dianggap musuh oleh AS ialah Iran dan Korea Utara. Kedua-dua dianggap negara pengganas kerana antara lain azam mereka untuk membangunkan senjata nuklear.

Namun begitu, Korea Utara hanya dilihat dari sudut konflik serantau dan bukannya pertembungan ideologikal. Rantau di mana terletaknya Korea Utara melibatkan Jepun dan Korea Selatan, iaitu sekutu-sekutu AS.

Tetapi kedudukan Korea Selatan dan Jepun sebagai sekutu AS tidaklah setinggi darjatnya seperti Israel.

Maka musuh AS yang hampir dan dianggapnya sebagai mengancam Israel ialah Iran. Negara di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmedinejad itu pula dipandang berfahaman radikal Islam.

Apa yang disebut sebagai radikal Islam ini pula kini dianggap sebagai musuh Barat. Maka AS lawan Iran yang difahamkan sebagai Barat lawan radikal Islam.

Tetapi bagi AS, radikal Islam melahirkan dua bentuk. Satu bentuk Syiah seperti Iran, dan satu lagi Sunni, yang diwakili oleh Al-Qaeda. Gerakan yang dianggap bertanggungjawab ke atas peristiwa 11 September.

Maka senarionya bagi AS ialah radikal Syiah iaitu selain Iran datang dalam bentuk Hizbullah di Lebanon. Sementara radikal Sunni, selain Al-Qaeda muncul dalam lebih banyak bentuk, daripada Taliban, Abu Sayyaf, Hamas hingga gerakan Mahkamah Islam Somalia.

Bagi umat Islam, pelabelan seumpama ini tidak tepat. Mana mungkin Hamas disamakan dengan Al-Qaeda. Sementara radikal Islam dan apa yang disebut sebagai Islam sederhana mempunyai banyak yang serupa.

Umat Islam adalah mosaik yang mempunyai kepelbagaian. Seperti juga Barat. Tidaklah semua Barat itu sama. Malah AS sendiri tidak boleh dipandang dari sudut yang tunggal.

Apabila AS memihak kepada kerajaan sementara Somalia bagi mengalahkan gerakan Mahkamah Islam, ia menggunakan kaca mata sedemikian. Iaitu gerakan Mahkamah Islam Somalia adalah radikal Islam.

Tetapi sedangkan gerakan Mahkamah Islam itu disokong oleh banyak negara Islam, daripada Eritrea yang memusuhi Habsyah hinggalah kepada Mesir, Djibouti, Iran, Arab Saudi, Yeman, Libya dan Sudan. Maknanya hampir keseluruhan dunia Islam menyebelahi gerakan Mahkamah Islam.

Di Somalia, Iran dan Arab Saudi berada di pihak yang sama. Tetapi tidak di Iraq. Baghdad mengandungi ironi dan paradoks dalam politik Asia Barat.

Iran dan AS berada di pihak yang serupa di Iraq sementara Arab Saudi menolak penguasaan Syiah.

Politik di negara-negara Islam termasuk di Asia Barat harus dilihat dari segi pelbagai dimensi yang berlapis-lapis dan tidak boleh dilihat dari sudut satu pihak bertembung dengan satu pihak yang lain.

Soal agama pula perlu dilihat dengan kaitan kepada ideologi, kepentingan nasional dan latar belakang sejarah.

Soal mengapakah muncul gerakan Mahkamah Islam di Somalia? Boleh dijawab dengan mempertimbangkan mengapa Taliban muncul di Afghanistan.

Asasnya ialah kekacauan dan kegagalan kuasa yang ada untuk mewujudkan keamanan. Maka dalam keadaan begini, sekumpulan mereka yang meletakkan agama sebagai landasannya berusaha mewujudkan keamanan dan peraturan masyarakat.

Caranya ialah dengan menggunakan syariah kerana itulah undang-undang yang diterima oleh penduduk tempatan. Sepatutnya AS meletakkan keutamaan kepada keamanan dan dalam hal ini kuasa besar itu wajar memihak kepada gerakan Mahkamah Islam.

Tetapi mendengar nama Islam dan syariah sudah meletakkan AS untuk memihak kepada penentangnya.

Jika AS memihak kepada usaha damai, pihak lain yang lebih berbahaya seperti Al-Qaeda sukar untuk masuk.

Dapat dibayangkan bahawa jika dari awal setelah Taliban memasuki Kabul, AS mengiktirafnya dan berusaha membantu menstabilkan Afghanistan, mungkin Al-Qaeda tidak akan bertapak.

Begitu juga dengan Iraq. Kalau AS bertindak menjadi pendamai dalam hubungan antara Baghdad dengan Kuwait selepas perang Iran-Iraq, maka senario Asia Barat mungkin berbeza.

Apatah lagi tentang Hamas. Washington sepatutnya mengiktiraf Hamas dan mengutamakan perdamaian di Palestin. Keadaan mungkin boleh berubah kepada yang lebih baik.

Dalam hal Hamas umpamanya, dua perkara yang dijadikan sebab mengapa kumpulan itu ditolak ialah ia enggan mengiktiraf Israel, dan juga mahu menggunakan senjata bagi mencapai matlamatnya.

Mengapakah Hamas dipaksa mengiktiraf Israel sedangkan Israel sedikitpun tidak mahu mengiktiraf Palestin? Dan juga Israel pula terus menggunakan senjata bagi menumpaskan rakyat Palestin.

Jadi kemungkinan lebih besar mengapa AS dan barat menolak Hamas adalah kerana agamanya. Ia dilihat sebagai radikal Islam.

Gambaran mereka terhadap radikal Islam pula dikaitkan dengan syariah. Sementara syariah pula terus dikaitkan dengan hudud khususnya hukuman rejam dan potong tangan.

Maka usaha Hamas dan Hizbullah dalam menguruskan sekolah, hospital serta program kebajikan terus tidak dipandang.

Dalam pada itu, sikap dan polisi negara-negara Islam juga tidak membantu dalam mempertahankan kedudukan umat Islam.

Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda di Iraq hanya memburukkan nama Islam, baik Sunni mahupun Syiah.

Masalah yang dihadapi Iraq hari ini tidak boleh dipisahkan daripada kegagalan kepimpinan Saddam. Dua kesilapan besarnya ialah menyerang Iran dan Kuwait. Tetapi pembunuhan ke atas rakyatnya sendiri menunjukkan dia sebagai pemimpin yang patut dihukum.

Namun begitu, bukan saja Saddam yang membuat silap di kalangan negara-negara Asia Barat. Pemimpin-pemimpin lain termasuk Ariel Sharon, bekas Perdana Menteri Israel patut diheret ke mahkamah untuk dibicarakan terhadap perbuatan-perbuatan zalim.

Akhirnya walaupun umat Islam boleh menyalahkan Bush atas segala masalah di Asia Barat, tetapi keadaan boleh menjadi lebih baik jika pemimpin-pemimpin negara rantau itu memiliki kebijaksanaan untuk membentuk polisi-polisi yang mengutamakan perdamaian dan pembangunan.

Somalia juga musnah akibat kegagalan semua pemimpinnya, dari semua kumpulan untuk bermuafakat dan mencari jalan damai.

Tentulah bagi mencapai perdamaian, sesuatu pihak mesti mengalah kerana sebarang pertempuran akan hanya mendatangkan penderitaan dan kesengsaraan.

Di sinilah sikap gerakan Mahkamah Islam Somalia menunjukkan sisi positifnya iaitu apabila mereka mengalahkan dan mengundurkan pejuangnya dari Mogadishu.

Menurut kenyataan pemimpin Majlis Agung Islam Somalia (SICS), Sheikh Sharif Sheikh Ahmad, pejuangnya berundur kerana mahu mengelak pertumpahan darah dahsyat di Mogadishu.

Bayangkan jika sikap ini diambil dahulu oleh Saddam. Mungkin penduduk Iraq dapat diselamatkan daripada pengeboman AS.

Tetapi keadaan di Iraq kini begitu rumit kerana apa pun perkembangan yang berlaku di negara itu pada tahun 2007, harapan perdamaian dan keselamatan sukar hendak dibayangkan.

Akhirnya apa pun kerajaan atau negara lakukan, ia tidak membawa makna jika nyawa manusia terkorban, maruah tergadai, keluarga musnah, harta benda hancur dan masa depan gelap.

Oleh kerana AS merupakan kuasa besar tunggal di dunia yang mempunyai kemampuan, maka ia juga bertanggungjawab besar apabila gagal memberi harapan kepada dunia.

Kegagalan AS di Iraq merupakan pengkhianatannya kepada idealisme Perisytiharan Kemerdekaan dan Perlembagaan AS yang digubal pada tahun 1776. Dokumen itu masih indah tetapi White House yang sebenarnya gagal. Bukan satu kebetulan bahawa rakyat AS sendiri sudah melihat presidennya gagal membawa keselamatan kepada dunia, baik di Iraq mahupun di Somalia.

Read more!

Hidup boleh diteruskan tanpa Internet

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 30 Disember 2006


PADA hari ulang tahun kedua bencana tsunami 2004, berlaku gempa bumi di Taiwan yang mengakibatkan tsunami kecil. Jauh lebih kecil daripada tsunami 2004 dan tidak mengorbankan manusia.

Bagaimanapun, kali ini ada perkara lain yang terkorban. Iaitu keyakinan terhadap keutuhan Internet.

Gempa bumi itu telah mengganggu perkhidmatan Internet di rantau ini kerana kabel laluannya terjejas. Maka tsunami 2006 ini menimbulkan kelam-kabut kepada 11 juta pengguna Internet di Malaysia. Kabel gentian optik yang rosak ini mengakibatkan menuntut langkah-langkah baru untuk penyediaan laluan alternatif supaya gangguan terhadap perkhidmatan Internet seumpama itu berlaku.

Tuntutan ini sudah tentu dirasakan perlu dipenuhi, maka projek untuk ini pasti dibuat, dan ada pihak yang mengaut keuntungan. Ada pihak lain pula yang perlu berbelanja.

Internet seperti kemudahan teknologi lain mempunyai sifat yang mendorong kepada perbelanjaan lebih besar bagi pemeliharaannya. Untuk menyatakan bahawa teknologi akan menjimatkan kos adalah suatu mitos. Ini kerana kos bagi sesuatu alat teknologi tidak akan terhenti, tetapi sebaliknya berterusan tanpa kesudahan.

Pada satu masa dahulu Internet bukannya suatu keperluan. Kini ia sudah mula menjadi kemestian. Bagi mereka yang sudah menjadi pengguna tetap, Internet adalah keperluan. Apabila ia merupakan satu keperluan, sudah tentu segala usaha dilakukan bagi memastikan penyenggaraannya dilakukan dengan lengkap.

Sedangkan asalnya Internet itu tidak ada. Selama ini pun manusia boleh hidup tanpa Internet. Hendak berurusan dengan bank, pergi saja ke kaunter. Tetapi oleh kerana adanya Internet, maka banyak urusan bank menggunakan Internet. Sekiranya Internet bermasalah, maka akan dirasakan sukar untuk berurusan.

Ini kerana dalam zaman Internet, cawangan bank pun sudah tidak banyak. Oleh kerana banyak operasi sudah berpindah ke dalam talian, maka bank sudah tidak banyak membina cawangan dan kaunter.

Internet dilihat telah memudahkan urus niaga dengan bank. Dikatakan bahawa kini tidak perlu bersesak untuk beratur di depan kaunter dan mencari tempat letak kereta.

Tetapi Internet menuntut kos lain. Selain daripada berurusan dengan Streamyx dan TMNet yang bertindak seperti monopoli, seseorang perlu memiliki komputer.

Apabila sudah ada komputer, ia tidak terhenti di situ. Pastinya komputer itu memerlukan penyenggaraan dan kerana ia ada, pasti ia digunakan untuk perkara lain, dan ini terus meningkatkan kos.

Di pejabat juga, Internet sudah menjadi keperluan. Ia bukan saja menuntut adanya komputer tetapi keseluruhan rangkaian hingga kepada server.

Cuba bayangkan betapa banyaknya kos untuk perkara-perkara ini. Maka diperlukan pula pakar dan jabatan untuk menguruskan komputer dan Internet. Perbelanjaan tidak terhenti di mana-mana pun, malahan berterusan tanpa penghujungnya.

Apabila masyarakat sudah keseluruhannya menggunakan Internet, seseorang individu tidak boleh melepaskan diri daripadanya. Internet sudah menguasai kehidupan manusia.

Ia tidak boleh lagi dielakkan. Apabila ada anak, pastinya mereka mahu menggunakan komputer, Internet dan permainan. Maka ibu bapa perlu berusaha lebih lagi supaya memperoleh pendapatan bagi memenuhi keperluan anak-anak meliputi kemudahan Internet.

Tetapi adakah Internet benar-benar tidak boleh dielakkan?

Sewajarnya apabila berlaku gangguan perkhidmatan Internet, ia berupa peluang bagi seseorang untuk berhenti sejenak dan menikmati hidup tanpa alat teknologi itu.

Kalau seseorang itu sudah lama membaca akhbar melalui Internet, cubalah ketika berlaku gangguan seperti itu, pergilah berehat sebentar daripada menghadap komputer dan pergi membaca akhbar yang dicetak atas kertas.

Atau berhenti sejenak daripada menulis atau membaca blog, dan sebaliknya ajak kawan-kawan berjumpa di kedai-kedai makan untuk bersembang.

Atau kali ini cuba membayar bil secara langsung di pejabat pos. Jumpalah manusia-manusia lain dan nikmatilah kehadiran orang ramai daripada terperosok dalam bilik dan menghadap komputer semata-mata.

Internet memudah dan mencepatkan kerja. Tetapi untuk apakah segala kelajuan dan kemajuan itu kalau ia hanya menyesakkan hidup?

Internet adalah alat bagi memudahkan hidup. Janganlah manusia yang terlalu terikat dan mengikut rentak Internet hingga berasa tekanan besar apabila berlaku gangguan perkhidmatan.

Read more!

Afghanistan dalam perang baru

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 24 Disember 2006


Minggu lalu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai menitiskan air matanya ketika bercakap mengenai kanak-kanak Afghan yang terbunuh dalam peperangan terbaru yang dilancarkan oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam usaha menyekat Taliban.

Beliau menyifatkan kematian kanak-kanak akibat bom NATO itu adalah keterlaluan, tetapi tentunya Presiden yang pro-Amerika Syarikat (AS) itu menyalahkan Pakistan.

Baginya, Pakistan, menjadi punca kepada kebangkitan baru Taliban yang kini berjaya meningkatkan kehadirannya di Afghanistan. Maka pertempuran pun berlaku.

Pihak kerajaan Afghanistan dan kumpulan Perikatan Utara yang mendukungnya tidak berupaya menyekat kemaraan Taliban, dan inilah yang menyedihkan Karzai hingga memaksa meminta bantuan NATO.

Maka dalam sebarang pertempuran, yang menjadi mangsa adalah orang awam dan kanak-kanak. Kebangkitan baru Taliban yang muncul sekarang menandakan bahawa usaha AS dan sekutu-sekutunya dalam NATO menemui kegagalan di Afghanistan.

Hinggakan ada kalangan di pihak NATO yang mencadangkan supaya Kabul berunding dengan Taliban dan mengajak kumpulan itu untuk menyertai kerajaan Afghanistan. Keadaan ini sudah wajar dianggap bahawa kedudukan Afghanistan adalah meruncingkan.

Negara malang itu sedang tergelincir masuk ke dalam kancah peperangan baru. Apa yang jelas, Afghanistan adalah negara malang yang tidak dapat menikmati perdamaian sejak ia diperintah oleh rejim komunis pada akhir tahun 1970-an.

Setelah bergelumang dengan penderitaan dan peperangan, rejim komunis tumbang di tangan Mujahidin pada akhir tahun 1980-an. Tetapi Afghanistan terus gagal menikmati perdamaian apabila kumpulan-kumpulan Mujahidin berperang sesama sendiri.

Apabila Taliban muncul di akhir tahun 1990-an, Afghanistan diharap dapat mengecapi nikmat perdamaian. Walaupun Taliban dianggap ekstrem, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mewujudkan perdamaian dengan menghentikan perang saudara sesama Mujahidin.

Harapan ini musnah apabila kehadiran Al-Qaeda itu membawa kepada kedatangan tentera AS dan NATO ke Afghanistan, yang menghancurkan penduduk dan negara itu. Namun begitu, harapan terhadap munculnya sebuah negara demokrasi bersinar apabila pihak Barat berjaya membawa kepada penubuhan kerajaan pimpinan Karzai.

Tetapi kini harapan itu kian pudar dengan kebangkitan baru Taliban. Maknanya sepanjang separuh tahun 2000-an ini, Afghanistan masih tidak dapat menikmati perdamaian. Malah sepanjang tahun 2006, angka serangan berani mati bertambah dan sudah tentunya penderitaan yang datang daripadanya.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi oleh Afghanistan bukan saja kebangkitan Taliban. Masalah pengedaran dadah juga semakin berleluasa. Perhitungan akhirnya ialah kerajaan Kabul gagal, dan begitu juga pendukung-pendukungnya dari kalangan Barat.

Semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Oktober lalu, Karzai mengadu kepada Presiden George W. Bush tentang peranan Pakistan yang tidak menghalang kebangkitan Taliban.

Sementara Presiden Pervez Musharraf pula menegaskan bahawa pihaknya melakukan banyak perkara bagi menghalang Taliban. Bagaimanapun mesejnya ialah keperluan Islamabad mempunyai hubungan baik dengan wilayah di mana Taliban itu aktif bagi menghalang aktiviti mereka.

Masalah dengan Pakistan berkait rapat dengan soal etnik. Taliban muncul dari kalangan etnik Pathan yang merupakan kaum majoriti di Afghanistan.

Tetapi mereka juga merupakan etnik utama di Pakistan. Kejatuhan Taliban juga menandakan peminggiran Pathan yang tidak boleh diterima oleh etnik itu.

Hakikatnya, Afghanistan dan Pakistan merupakan sebuah negara yang pada satu masa dipecahkan oleh penjajah British. Maka jika dilihat dari sudut sejarah, masalah Afghanistan sekarang boleh dikatakan bermula sejak kedua wilayah itu terpisah dua.

Ada kebenaran apa yang dicakapkan oleh Pervez mengenai cara untuk menangani masalah Afghanistan. Ia perlu dilakukan secara diplomasi dan tidak boleh konfrontasi. Ini kerana pihak Pathan yang menganggap kedudukan mereka seolah-olah bertahap merdeka daripada Islamabad juga berasa terpinggir dengan apa yang berlaku di Kabul.

Mungkin Karzai dengan mudah menyalahkan Pakistan sebagai dalang kepada kebangkitan Taliban. Itulah juga yang berlaku ketika Mujahidin diperangi oleh Taliban. Sokongan daripada Pakistan adalah jelas.

Bagi pihak Barat, apa yang membimbangkan adalah hanya berkisar kepada soal agama dan ancaman keganasan ke atas mereka.

Apa yang dikehendaki oleh Barat ialah supaya Islamabad bertindak tegas menghapuskan infrastruktur ekstremis agama berbentuk madrasah yang menjadi pusat latihan Taliban, baik dari segi fahaman mahupun ketenteraan.

Bagaimanapun, Musharraf sendiri faham bahawa beliau sendiri tidak berupaya menghadapi golongan ekstremis ini. Malah kedudukannya sebagai Presiden Pakistan amat bergantung kepada sokongan kumpulan- kumpulan ini.

Bagi Karzai, beliau sedar Afghanistan sendiri tidak mampu berhadapan dengan Taliban. Sebaliknya beliau terpaksa meminta bantuan NATO. Dan dalam peperangan yang dijangka akan lebih meluas tahun depan, kesengsaraan akan bertambah dan kedudukan Afghanistan menjadi lebih malang lagi.

Tetapi adakah jalan lain untuk menghadapi keadaan begini? Terdapat satu kepercayaan bahawa soal sosioekonomi merupakan kunci bagi penyelesaian masalah ini. Jika Afghanistan dapat diintegrasikan ekonominya ke dalam arus perdana dunia hingga membawa kepada kemakmuran, maka Taliban tidak akan dapat tempat untuk bergerak.

Dengan perubahan kedudukan sosioekonomi, Afghanistan akan menjadi moden dan mampu menangkis kemaraan Taliban yang bergerak di kalangan penduduk Pathan.

Untuk ini, sebarang usaha bagi pemodenan Afghanistan perlu membabitkan Pakistan kerana kedua-dua negara ini amat bertalian rapat dari segi sosioekonomi.

Tetapi Pakistan pun menghadapi masalah untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi. Ia pula melibatkan hubungannya dengan India khususnya mengenai Kashmir. Jika keadaan perang berterusan antara Pakistan dan India, yang pada asalnya merupakan sebuah negara, maka bagaimana ia mampu menikmati kestabilan untuk mendapatkan pembangunan.

Justeru, apa yang berlaku di Afghanistan wajar dilihat dari sudut serantau. Afghanistan, Pakistan dan India mesti komited kepada perdamaian serta menyelesaikan segala isu- isu berbentuk konflik supaya kestabilan dapat diwujudkan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi.

Akhirnya, Afghanistan memerlukan seorang pemimpin yang kuat. Kegagalan Karzai mewujudkan kestabilan Afghanistan memberi tamparan besar kepada perjalanan negara.

Tetapi kegagalan Afghanistan mempunyai pemimpin yang baik berlaku sejak zaman Raja Zahir Shah, iaitu sebelum negara itu jatuh kepada rejim prokomunis.

Zahir tidak berusaha memoden dan membangunkan negaranya. Tidak seperti Maharaja Jepun pada zaman Meiji, raja Thai pada zaman Mongkut, dan begitu juga Sultan Abu Bakar di Johor yang cepat-cepat berusaha memodenkan negara masing-masing.

Kelemahan Zahir membuka ruang kepada pihak tenteranya yang dipengaruhi Moscow untuk bertindak. Golongan republikan ini pula malangnya gagal mendapatkan sokongan ketua-ketua suku kaum.

Akibatnya ialah penentangan terhadap sebarang usaha pemodenan oleh rejim prokomunis itu. Senario Perang Dingin memburukkan lagi keadaan.

Wajarnya ada seorang pemimpin dari golongan yang menghormati tradisi dan budaya nasional, tetapi pada waktu yang sama komited terhadap perdamaian dan perubahan sosioekonomi.

Kedua-dua Afghanistan dan Pakistan mesti mempunyai pemimpin yang kuat dan berwawasan bagi menghadapi keadaan di Afghanistan itu.

Tetapi pemimpin-pemimpin ini pula wajar diberi sokongan kuat oleh semua pihak terlibat, baik dari dalam negara mahupun luar. Maknanya parti-parti politik dan masyarakat sivil di kedua-dua negara boleh memainkan peranan besar. Sementara dari luar, sokongan kepada kumpulan-kumpulan keamanan dan pembangunan mesti ditingkatkan bagi menghalang sebarang kecenderungan kepada keganasan.

Read more!

Di ambang perang Sunnah-Syiah

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 17 Disember 2006


KETIKA detik-detik kritikal umat Islam berhadapan dengan Israel, satu ancaman perpecahan besar sedang membayangi ummah. Perpecahan itu dapat dilihat dalam dua peringkat: antara mazhab iaitu Sunnah waljamaah dengan Syiah, dan antara aliran politik baik di kalangan Sunnah mahupun Syiah.

Di kalangan Sunnah, ia diserlahkan melalui pertembungan antara Hamas dan Fatah di Palestin; sementara antara Syiah, ia dapat dilihat melalui persaingan pilihan raya Dewan Pakar dan majlis perbandaran di Iran; iaitu antara golongan konservatif dan reformis.

Perpecahan dua peringkat ini hanya menguntungkan Israel dan Amerika Syarikat (AS). Sementara yang menjadi mangsa besar ialah rakyat Iraq, Palestin dan Iran.

Fokus utama pertembungan ialah negara malang Iraq. Adalah satu ironi bahawa pengunduran tentera AS yang bakal berlaku berkemungkinan tahun depan tidak secara automatik mendatangkan perdamaian dan kestabilan di Iraq.

Pengunduran yang dinanti-nantikan itu kini dibayangi satu pertempuran antara Sunnah dan Syiah yang dahsyat dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

Tanda-tanda pertempuran ini dapat dikesan dengan rentetan peristiwa yang dilaporkan pada Selasa lalu.

The New York Times yang memetik sumber diplomatik AS dan Arab menyatakan bahawa Arab Saudi memberitahu pentadbiran Bush bahawa mereka mungkin akan membantu dari segi kewangan kepada golongan Sunnah di Iraq bagi berhadapan dengan Syiah sebaik selepas Washington mengundurkan tentera mereka.

Setakat ini, Arab Saudi secara rasmi tidak memberi sebarang bantuan kepada golongan Sunnah sebagai menepati janjinya kepada Washington, iaitu selagi tentera AS masih berada di negara itu.

Riyadh dikatakan membantah rancangan AS hendak mengundurkan tenteranya dari Iraq kerana bimbang akan berlaku pembunuhan besar-besaran dilakukan oleh militan Syiah.

Lawatan singkat

Mesej ini dikatakan disampaikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah kepada Naib Presiden AS, Dick Cheney ketika beliau mengadakan lawatan singkat ke Riyadh bulan lalu.

Dikatakan bahawa perbincangan antara kedua pemimpin itu meliputi soal Iraq, Palestin dan Iran. Arab Saudi juga melahirkan penentanganya ke atas rundingan diplomatik antara AS dan Iran.

Maka menjadi satu ironi apabila umat Islam di seluruh dunia bersama dengan mereka yang menentang AS telah mendesak dan menyokong pengunduran tentera kuasa besar itu, tetapi kini berdepan pula dengan situasi bantahan Arab Saudi itu.

Bagaimanapun realitinya hari ini, pembunuhan dahsyat sedang berlaku di Iraq, di mana kedua-dua militan Sunnah dan Syiah saling berbunuhan sesama sendiri dengan tentera AS juga terlibat sama.

Suasana berdarah ini adalah antara satu sebab yang menyumbang kepada rancangan pengunduran oleh pihak tentera AS. Tetapi pada waktu yang sama, ketiadaan tentera AS ini pula akan mendatangkan bencana besar kepada Iraq apabila mereka dikhuatiri terheret ke dalam kancah perang saudara.

Dalam keadaan ini, maka dapat difahami betapa Iraq adalah negara yang malang kerana terpaksa mengharungi penderitaan dan kesusahan yang bersilih ganti, baik semasa pemerintahan Saddam Hussein, pendudukan tentera dan masa depan yang menggerunkan.

Harapan kepada angin perdamaian, kemakmuran dan demokratik yang dinanti-nantikan dengan pendudukan AS musnah dengan kegiatan keganasan yang tidak kelihatan akan berakhir.

Bagaimanapun, pengunduran tentera AS yang pasti berlaku pula tidak menjanjikan perdamaian, apatah lagi kemakmuran dan iklim demokratik.

Ini kerana apa yang berlaku di Iraq kelak selepas pengunduran tentera AS ialah senario Afghanistan. Sebarang penglibatan Arab Saudi di Iraq akan menjadikan negara itu medan bukan saja perang saudara tetapi juga pertembungan mazhab, antara Riyadh mewakili Sunnah, dan Tehran mewakili Syiah.

Senario Afghanistan di Iraq bukan saja tidak menguntungkan umat Islam di rantau itu, tetapi akan berlaku perpecahan yang meluas di seluruh dunia Islam, membabitkan satu sikap yang berasaskan pandangan pertembunmgan antara Sunnah dan Syiah.

Di Afghanistan, sudah disaksikan bagaimana pengunduran tentera Kesatuan Soviet dan kekalahan tentera komunis di Kabul tidak membawa perdamaian, sebaliknya perebutan kuasa melalui pertumpahan darah kumpulan Mujahidin yang akhirnya membawa kepada kemunculan Taliban.

Apa yang berlaku di Afghanistan sepatutnya menjadi pengajaran kepada umat Islam dan usaha hendaklah dipupuk bagi mewujudkan perpaduan sesama Islam, walaupun berlainan mazhab.

Pergaduhan antara kumpulan Mujahidin di Afghanistan memberi ruang besar bagi kemasukan Taliban yang bergerak atas gerakan Sunnah dengan bersifat anti-Syiah. Pada peringkat awal, kumpulan ini ada kaitan dengan gerakan Sunnah ekstrem di Pakistan dan Arab Saudi.

Kerjasama antara Taliban dan Al-qaeda adalah juga berlandasakan kepada fahaman Sunnah ekstrem yang akhirnya memburukkan lagi kedududkan umat Islam.

Buat masa ini, Afghanistan bergolak kembali dengan Taliban dikatakn bertapak semula hinggakan Kabul melemparkan tuduhan kepada Islamabad, dan malah ada cadangan dari AS bahawa Taliban wajar dilibatkan ke dalam kerajaan Kabul.

Pertembungan antara Sunnah dan Syiah mesti dielakkan apabila tentera AS berundur kerana ia hanya menyusahkan bukan saja umat Islam pada keseluruhannya, tetapi AS sendiri.

Konflik antara Sunnah dan Syiah di Iraq pasti mengalihkan tumpuan umat Islam kepada masalah tersebut dengan mengesampingkan soal Palestin yang masih belum selesai.

Washington faham tentang keadaan ini dan ia berusaha untuk menstabilkan Iraq dengan membawa golongan Sunnah dan Syiah di meja rundingan. Bukan itu saja, ia juga faham tentang pengaruh di Riyadh dan Tehran. Maka sebab itu, Washington sanggup berunding dengan Tehran mengenai Iraq.

Maknanya, Washington mempunyai kepentingan bagi memastikan perimbangan pengaruh antara Riyadh dan Tehran di Iraq.

Apa yang berlaku dengan Iraq bukannya berkaitan mazhab, apatah lagi agama. Ia semata-mata rebutan kuasa politik antara golongan yang ditandakan dengan tiga golongan utama Iraq iaitu Sunnah, Syiah dan Kurdis. Ironinya, Kurdis bermazhabkan Sunnah tetapi apa yang disebut sebagai Sunnah di Iraq ialah golongan Arab Sunnah. Golongan Syiah pula adalah etnik Arab, sementara Iran yang dikatakan di belakang mereka adalah etnik Parsi.

Justeru peperangan yang bakal berlaku antara Sunnah dan Syiah tidak ada mengena dengan kepercayaan. Walaupun apabila berlaku pertembungan kelak, isu-isu berkaitan kepercayaan Sunnah dan Syiah pasti menjadi bahan propaganda oleh kedua-dua belah pihak yang akhirnya hanya memecah-belahkan umat Islam dan mengelirukan fikiran ummah.

Jadi pada asasnya ialah persaingan antara dua golongan iaitu Sunnah dan Syiah di Iraq, tetapi kemudian diperluaskan antara Riyadh dan Tehran, yang akhirnya mampu merobek-robek perpaduan ummah.

Kecurigaan antara kedua-dua belah pihak dapat difahami. Walaupun banyak pengulas Barat mungkin mengaitkannya dengan sejarah pertembungan antara Sunnah dan Syiah sejak daripada perbalahan mengenai jawatan khalifah selepas kemangkatan Rasulullah s.a.w., tetapi kaitan seumpama itu tidak tepat.

Politik di Iraq yang menembungkan Sunnah dan Syiah serta politik Asia Barat dari segi persaingan kuasa Arab Saudi dan Turki adalah fenomena moden.

Dari segi budaya dapat dilihat sebagai suatu warisan pertembungan antara Sayidina Ali Abi Talib dan Sayidina Muawiyah, yang kemudian menjadi khilafah Umaiah pertama.

Itulah gambaran yang ingin dipaparkan oleh pihak Barat mengenai umat Islam. Sedangkan apa yang berlaku ialah fenomena politik ini merupakan warisan kejatuhan Khilafah Uthmaniah yang membawa kepada kehadiran penjajah British di Asia Barat.

Justeru masalah Iraq, Kurdistan, Arab Saudi, Iran, Palestin dan Israel hari ini berkait rapat dengan imperialisme sebelum dan sesudah Perang Dunia, baik Perang Dunia Pertama mahupun Kedua.

Ini kerana masalah zaman silam yang berkaitan dengan punca munculnya mazhab Syiah dan Sunnah waljamaah sudah tidak relevan pada masa ini.

Ulama Sunnah waljamaah menerima banyak tokoh yang dikaitkan dengan golongan Syiah, daripada Sayidina Ali hinggalah kepada fukaha seperti Imam Jaafar yang mana fikahnya tidak jauh berbeza daripada Imam Syafii.

Begitu juga ketika menentang Khilafah Umaiah, gerakan dari kalangan Abasiah menggabungkan golongan Syiah dan Sunnah waljamaah.

Walaupun kemudian Khilafah Abasiah yang menubuhkan kota Baghdad adalah dari kalangan Sunnah waljamaah tetapi kerajaan merupakan gabungan dan pakatan bersama golongan Syiah.

Justeru hakikatnya, Baghdad dan Iraq merupakan mercu tanda kerjasama dan persaudaraan antara Sunnah waljamaah.

Maka seharusnya dalam keadaan sekarang di mana umat Islam berdepan dengan ancaman Israel dan AS, perpaduan mesti dirintis dan dikukuhkan.

Justeru bukan saja masa depan Iraq dan Palestin berada pada kerjasama dan persaudaraan antara Sunnah waljamaah dan Syiah, tetapi keseluruhan umat Islam bergantung pada usaha berbaik-baik antara Riyadh dan Teheran.

Perintis fahaman

Dunia Islam wajar ingat betapa semasa munculnya Ibnu Taimiah yang dikatakan sebagai perintis kepada fahaman Sunnah yang agak keras, bukan saja kepada Syiah tetapi juga Sufi, ia ditujukan kepada golongan Mongol yang menakluki darul Islam.

Pada masa ini, soal ancaman Mongol sudah dalam lipatan sejarah. Banyak suku kaum Mongol sudah menjadi Islam dan merupakan sebahagian daripada umat Islam, khususnya di Asia Tengah.

Justeru, semangat yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiah berhubung Syiah dan Sufi sudah tidak relevan. Begitu juga di pihak Syiah. Ayatullah Khomeini dalam perjuanganya sering menegaskan betapa perpecahan antara Sunnah waljamaah dan Syiah sudah tidak relevan berhubung dalam soal politik. Umat Islam tidak kira apa pun mazhab wajar bersatu kerana musuh ummah hari ini ialah Israel yang dibantu AS.

Mungkin dalam era negara bangsa hari ini, kepentingan nasional mengatasi ummah dan mazhab.

Justeru apabila dibincangkan tentang agama atau mazhab, perlulah diselidiki adakah di belakangnya hakikat sesuatu pendirian berupa kepentingan nasional.

Tetapi untuk menyebut konsep nasional juga perlu kepada fahaman mengenainya. Adakah sesuatu nasionalisme itu benar-benar mencerminkan rakyat atau penduduk sesebuah wilayah? Atau apabila disebut nasional, ia hanya merujuk kepada segolongan elit yang menguasai tampuk pemerintahan sesebuah negara di mana tanggapannya ialah mereka mewakili keseluruhan rakyat negara berkenaan.

Dalam pilihan raya Dewan Pakar Iran, yang boleh dikatakan pusat kuasa republik Islam tertinggi. terdapat persaingan antara ulama yang dikatakan konservatif dan reformis. Istilah-istilah ini hanyalah label yang membawa pengertian tertentu dan bukannya mencerminkan makna perkataan itu sendiri.

Walaupun setiap kumpulan itu mempunyai pendirian dan fahaman tersendiri dalam politik, tetapi secara jujurnya, mereka mesti mewakili kepentingan rakyat keseluruhan negara masing-masing. Dan umat islam di seluruh dunia, sama ada di Iraq, Iran, Arab Saudi, Palestin, Lebanon dan Afghanistan pastinya mahukan perpaduan, tanpa mengira apa jua mazhab.

Read more!

Beri harapan kepada Kashmir

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 10 Disember 2006


Antara wilayah indah di dunia adalah Kashmir, dengan gunung-ganang, tasik yang indah seperti yang ditampilkan dalam filem-filem Hindustan.

Malah ada pihak yang menamakan Kashmir adalah firdausi dunia. Tetapi ia kini tidak mencapai kedudukan itu kerana Kashmir berada dalam kancah peperangan, akibat rebutan daripada India dan Pakistan.

Menjadi impian penulis untuk melihat Kashmir yang damai. Bayangkan jika ia aman, pastinya menjadi tumpuan pelancong di seluruh dunia, termasuklah dari Malaysia.

Pastinya industri pelancong akan muncul sebagai kegiatan paling aktif dalam wilayah Kashmir yang damai. Dengan ketibaan pelancong yang berpusu-pusu ke Kashmir, pastinya ia dapat membangun ekonomi wilayah itu.

Pemodal juga akan datang, dan dana wujud untuk memelihara bangunan-bangunan bersejarah yang indah seperti taman-taman peninggalan sultan-sultan Moghul zaman silam.

Memang benar, Kashmir merupakan tempat peranginan sultan-sultan Moghul pada zaman kegemilangannya dan seni bina serta seni taman mereka merupakan mercu tanda kepada kebudayaan dan kesenian Islam India.

Maka Kashmir yang damai akan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduknya untuk membangun: Mencapai mutu hidup lebih baik, memiliki pendidikan untuk generasi akan datang, dan selanjutnya membina tamadun baru yang tentunya berasaskan Islam; kerana Kashmir adalah wilayah Islam.

Maka Kashmir yang damai akan menyumbang kepada usaha kemunculan India sebagai kuasa penjana ekonomi dunia yang baru, seiring dengan China. Untuk itu juga, India yang makmur akan turut membantu kebangkitan Pakistan.

Impian indah Kashmir yang damai ditanggap dalam kerangka wilayah itu berada dalam India. Memang kini sebahagian besar wilayah Kashmir berada di India, tetapi ia masih dipertikaikan dan direbutkan oleh Pakistan, yang kini mentadbir sebahagian daripada Kashmir. Wilayah ini bernama Azad Kashmir yang bermakna Kashmir bebas.

Masalah selama ini ialah kedua-dua negara India dan Pakistan menuntut bahawa wilayah itu adalah hak mereka. Masing-masing berkeras menuntutnya.

Kedua-dua kerajaan tidak berupaya untuk mengalah kerana sebarang perubahan status quo akan mengakibatkan kemarahan rakyat masing-masing yang boleh membawa kepada kalah pilihan raya di India, atau rampasan kuasa di Pakistan.

Maka India dan Pakistan sudah beberapa kali berperang kerana Kashmir. Sementara itu berlaku pula kezaliman tentera India ke atas Kashmir, yang selanjutnya membawa kemunculan kumpulan-kumpulan pejuang pembebasan Kashmir, yang ada antaranya disokong Pakistan.

Ia tidak terhenti di Kashmir. Pergerakan pejuang-pejuang Kashmir yang digerakkan atas nama Islam telah membawa kemunculan kegiatan keganasan yang sampai ke bahagian-bahagian lain di India.

Ibu negeri wilayah Azad Kashmir ialah Muzaffarabad, yang bermakna bandar Muzaffar. Sementara di bahagian India, wilayah Kashmir disatukan dengan Jammu, yang mempunyai penduduk beragama Hindu, dan wilayah ini dikenali sebagai Jammu dan Kashmir dengan ibu kotanya ialah Srinagar. Pejuang pembebasan Kashmir menamakan kota ini Iqbalabad (kota Iqbal).

Apa yang memberikan sinar kepada perdamaian di Kashmir itu ialah kenyataan Presiden Pervez Musharraf selasa lalu yang menunjukkan kesediaan Pakistan untuk melepaskan tuntutannya ke atas wilayah itu dengan syarat ia mempunyai pemerintahan sendiri.

Kenyataan ini amat besar kerana buat pertama kali seorang presiden Pakistan menunjukkan kesediaan untuk mengalah. Bayangkan jika perkara ini benar-benar dapat dicapai pastinya Kashmir akan memperoleh sinar baru, ditambah lagi dengan kesannya kepada rantau situ, khususnya kepada India dan Pakistan sendiri.

Perlu dilihat juga tentang kesedaran betapa India boleh juga maju setanding China dan selanjutnya menjadi penjana bersama kebangkitan Asia baru di tengah-tengah globalisasi sejagat.

Tetapi kemajuan ini sukar hendak dicapai jika India tidak dapat mewujudkan kestabilan di rantau itu.

Salah satu perkara kunci yang membawa kepada kejayaan China ialah kestabilan rantau itu.

Sememangnya terdapat banyak isu politik yang masih menjadi masalah di Asia Timur. Daripada soal Korea Utara, hubungan Jepun-China, masalah Taiwan, Xinjiang, Tibet dan tuntutan bertindih di perairan Laut China Selatan.

Nuklear

Namun begitu, kecuali Korea Utara, masalah lain merupakan isu-isu politik yang terkawal, bermakna ia tidak melibatkan peperangan atau pertumpahan darah. Malah masalah senjata nuklear Korea Utara yang membimbangkan masih berada dalam kawalan, bererti ia di peringkat tindakan menunjuk di sebelah pihak Korea Utara semata-mata. Jadi pada umumnya, China adalah stabil dan dapat mengawal masalah politik daripada terjerumus kepada peperangan dan pertempuran.

Tetapi di Asia Selatan, isu politiknya berbentuk peperangan dan pertempuran. Daripada soal hubungan India-Pakistan berhubung dengan wilayah Kashmir hinggalah kepada Nepal dan Sri Lanka. Sementara India sendiri berada pada ancaman keganasan.

Justeru jika India hendak berjaya seperti China, mereka mesti mengawal masalah-masalah politik ini, iaitu sekarang-kurangnya dapat mewujudkan keadaan di mana tidak berlaku peperangan.

Contoh terbaik di Asia Timur ialah Taiwan dan Korea Utara. Walaupun Taiwan dan China bermusuhan tetapi mereka sudah menerima satu keadaan imbangan di mana perdamaian dapat diwujudkan dengan mempertahankan kedudukan masa kini.

Maka Taiwan terus wujud sebagai wilayah China yang merdeka dan tidak diiktiraf oleh Beijing. Namun begitu, dari segi perniagaan dan kebudayaan, kedua negara berhubungan tanpa menjejaskan kedudukan politik masing-masing.

Begitu juga dengan Korea Utara. Kecuali masalah senjata nuklear republik komunis itu, kestabilan boleh diwujudkan dengan kedua negara menerima keadaan semasa. Lagipun Korea Utara diiktiraf oleh dunia dan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Fahaman komunis yang menjadi sistem negara itu tidak wajar dijadikan masalah kerana China yang begitu pesat membangun sekarang melalui sistem kapitalis adalah masih merupakan sebuah negara komunis dari segi politiknya.

Maka senario itu yang patut digunakan ke atas India. Jika kedua-dua New Delhi dan Islamabad boleh terima keadaan wilayah Kashmir yang terbahagi dua dengan masing-masing India dan Pakistan mengekalkan penguasaan wilayah yang diperolehnya, maka kehidupan biasa akan dapat diteruskan.

Yang penting adalah perdamaian. Jika India dan Pakistan dapat menghentikan sebarang peperangan di mana tentera India boleh diundurkan daripada Kashmir yang selanjutnya membawa kepada pemberhentian sebarang gerakan pejuang di situ, maka keadaan akan berubah.

Maknanya apabila tentera India berundur daripada Kashmir, ia boleh menghentikan bantuan dan sokongan pihak Pakistan kepada kumpulan pejuang. Dengan perkembangan begini, maka pertempuran dan pertumpahan darah dapat dihentikan bukan saja di Kashmir tetapi keseluruhan India.

Keadaan begini kemudian membawa pembukaan sempadan antara India dan Pakistan, yang membawa pula penyatuan Azad Kashmir dengan Jammu Kashmir, dari segi hubungan di kalangan rakyatnya dan hubungan perniagaan.

Bagi mengekalkan status quo, pentadbiran oleh Pakistan terhadap Azad Kashmir dan India ke atas Jammu Kashmir boleh diteruskan.

Maknanya Kashmir akan terus terbahagi dua dan perkara sudah tentu mungkin tidak disukai oleh rakyat Kashmir sendiri.

Bagaimana wilayah yang berpecah dua bukanlah perkara asing di India. Memanglah Kashmir yang terbahagi dua iaitu Azad Kashmir dan Jammu Kashmir itu terdiri daripada bangsa yang sama dan anutan agama sama, tetapi atas sebab politik ia terpaksa terbahagi.

Tidak salah untuk membahagi sesebuah bangsa atau negara, asalkan yang lebih penting adalah perdamaian. Pembahagian bangsa pernah berlaku di Jerman, Vietnam dan Yaman yang masing terbahagi-bahagi kepada Jerman Barat dan Jerman Timur, Vietnam Utara dan Vietnam Selatan, serta Yaman Utara dan Yaman Selatan.

Tetapi atas perkembangan yang kemudian, akhirnya Jerman, Vietnam dan Yaman dapat bersatu.

Begitu juga dengan Korea yang kini terpisah kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Mereka mungkin akhirnya akan bersatu menjadi Korea bersatu. Pemisahan mereka hanyalah kerana ideologi. Begitu juga China. Antara China dan Taiwan, mereka berpisah kerana ideologi.

Justeru apabila Kashmir berpisah dua, ia juga mencerminkan ideologi Pakistan dan India. Kerana perpecahan antara kedau negara ini bukanlah kerana agama semata-mata tetapi ideologi. Pakistan berdiri di atas idea negara bangsa Islam. Sementara India mencerminkan sekularisme. Justeru Kashmir itu berpecah dua menurut ideologi.

Tetapi tidaklah ditolak kemungkinan bahawa pada satu hari Kashmir boleh bersatu semula, dalam bentuk bagaimana, hanya sejarah akan menentukannya.

Perkara ini bukanlah suatu yang pelik bagi wilayah-wilayah di India sendiri. Punjab umpamanya telah terbahagi dua. Punjab Timur dan Punjab Barat. Punjab Timur yang majoritinya beragama Sikh menyertai India, sementara Punjab Barat, yang merupakan majoriti beragama Islam menyertai Pakistan.

Senario

Begitu juga dengan bangsa Benggala. Ia terbahagi kepada Benggala Barat dan Benggal Timur. Benggala Barat yang majoriti penduduknya beragama Islam menjadi salah sebuah negeri dalam India.

Sementara Benggala Timur yang majoriti penduduk beragama Islam Pakistan Timur, yang kemudian mencapai kemerdekaan untuk melahirkan Bangladesh. Dari segi ideologi, kalau india mengamalkan sekularisme, Bangladesh pula adalah nasionalis Benggala.

Melihat senario begini, India, Pakistan dan Bangladesh adalah asalnya sebuah negara jua.

Mungkin jika India dapat menjadi makmur seperti China, dan sempadan antara kedua negara dibuka lebih luas, akhirnya tanpa disedari India, Pakistan dan Bangladesh dapat bersatu kembali.

Memang sukar untuk India menerima Kashmir yang merdeka walaupun masih di dalamnya. Begitu juga dengan Pakistan, sukar baginya untuk melepaskan tuntutan ke atas wilayah firdaus itu.

Tetapi kalau mereka mengutamakan perdamaian, maka sebaiknya lakukanlah apa saja bagi mengelak peperangan dan pertempuran.

Kalau mengikut prinsip demokrasi, Kashmir wajar dibiarkan menentukan nasib sendiri. Jika mereka memilih untuk merdeka, maka penyatuan Azad Kashmir dan Jammu Kashmir akan melahirkan Kashmir merdeka yang baru. Mungkin keadaan begini boleh diterima oleh India dan Pakistan. Apa yang penting ialah kedua-dua negara menerima perdamaian.

Melihat sejarah kembali, mungkin jika dahulu Pakistan tidak diwujudkan dengan kedua-dua pemimpin parti Kongres dan Liga Muslim mengutamakan perpaduan nasional, maka keadaan mungkin berbeza. India yang besar dan tidak berpecah-belah adalah cita-cita Mahatma Gandhi.

Sayangnya majoriti Hindu tidak dapat meyakinkan orang islamnya tentang keselamatan mereka.

Maka tujuan penubuhan Pakistan adalah membela orang Islam daripada ditindas oleh Hindu.

Bagaimana selepas pemisahan, keamanan tidak dapat diwujudkan. Sebaliknya peperangan dan penderitaan terus berlaku. Pakistan berpecah dengan penubuhan Bangladesh.

Masalah Kashmir yang tidak berkesudahan hingga kedua-dua negara berlumba mencipta reka senjata nuklear. India dan Pakistan wajar kembali ke pangkal jalan dan utamakan perdamaian demi rakyat biasa yang terperangkap dengan percaturan politik pemimpin-pemimpin mereka.

Read more!

Mengimbas kembali tugas wartawan Utusan Melayu

Oleh: Muhammad Alias
Sumber: Utusan Malaysia 9 November 2006


Pertengahan tahun 1975, saya memulakan tugas sebagai wartawan Utusan Melayu (edisi jawi). Yang menemuduga saya ialah Datuk Abdullah Ahmad (sekarang Tan Sri) Pengerusi Utusan Melayu ketika itu.

Bagaimanapun, karier saya berakhir pada tahun 1980. Saya seterusnya memasuki Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan bertugas sebagai diplomat Malaysia sehingga bersara dari perkhidmatan tahun 2005 lalu.

Kehidupan sebagai wartawan Utusan 30 tahun lalu amatlah berbeza dengan sekarang. Kalau dulu kami menggunakan type writer untuk menaip berita, sekarang rata-rata menggunakan komputer. Dulu tidak ada wartawan yang menggunakan mesin perakam kecuali wartawan RTM, tetapi sekarang mesin perakam sesuatu yang biasa sama seperti telefon bimbit.

Sebahagian besar daripada kami dulu menaiki bas pergi balik ke pejabat. Sekarang khabarnya ramai yang mempunyai kereta sendiri. Kalau dulu kami membimbit type writer sekarang wartawan membimbit lap top.

Ketika itu berita-berita dari agensi-agensi berita antarabangsa diperoleh melalui teleks. Malahan teleks juga merupakan sumber komunikasi dari beberapa biro Utusan di Semenanjung. Sekarang kiriman melalui faksimili atau e-mel lebih mudah dan pantas.

Dulu kami sering kali menghantar berita melalui telefon awam ke ibu pejabat. Telefon bimbit masih belum wujud. Setidak-tidaknya saya sendiri tidak pernah melihatnya.

Berita-berita penting dan harus disiarkan keesokan harinya dihantar melalui telefon ke ibu pejabat secara impromptu berpandukan nota. Ia memerlukan pengalaman luar biasa.

Sering kali juga berita ditulis ketika di dalam bas atau teksi semasa perjalanan ke ibu pejabat. Saya akui, kaedah ini sering saya praktikkan ketika bertugas sebagai diplomat.

Satu keistimewaan orang surat khabar ialah wartawan mengetahui banyak perkara yang orang biasa tidak tahu.

Ketika itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Mazlan Nordin (sekarang Tan Sri) dan Timbalan Ketua Pengarang, Allahyarham Pak Osman Abadi.

Ramai tenaga penting yang berkhidmat semasa saya di Utusan telah pun bersara. Malahan ramai yang tidak pernah saya temui lebih dari suku abad. Ada juga yang telah meninggal dunia.

Tidak disedari masa beredar begitu pantas.

Yang masih bertugas semakin kurang. Antaranya Datuk Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan dan Hamzah Sidek, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan.

Beberapa orang teman wartawan Utusan melibatkan diri dalam politik antaranya Zainuddin Mydin (Zam - sekarang Datuk, Timbalan Menteri Penerangan), Subki Latiff (bekas Exco Pas), Drs. Sulaiman Mohamed (sekarang Datuk Seri - bekas Timbalan Menteri), Adam Hamid (Datuk - bekas Exco Johor) dan Rosnah Majid (Datuk - bekas Exco Kedah).

Dua tokoh kewartawanan yang sama-sama bertugas di Utusan di kala itu ialah Allahyarham Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) dan Azah Aziz (Kak Azah).

Peristiwa

Beberapa peristiwa penting terjadi sekitar tahun 1975-76. Paling mengejutkan ialah kematian Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri di London 14 Januari 1976. Kali terakhir saya menemui Tun Razak ialah ketika membuat liputan di satu majlis di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) tidak lama sebelum beliau berlepas ke London. Pemergian Allahyarham yang tidak disangka-sangka dalam usia 53 tahun diratapi rakyat Malaysia.

Allahyarham Tun Hussein Onn mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Tun Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya dan Hamzah Sidek merupakan dua wartawan tempatan yang pertama menemu bual eksklusif Tun Mahathir sehari selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bertempat di Rumah Persekutuan.

Tahun 1976 juga mencatat satu lagi peristiwa tidak kurang pentingnya iaitu pemecatan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor dan hukuman penjara atas kesalahan rasuah. Begitu juga dengan penahanan beberapa orang tokoh tanah air termasuk Datuk Abdullah Ahmad (Tan Sri), Samad Ismail (Tan Sri) dan Abdullah Majid di bawah ISA.

Tahun 1975 Malaysia dikejutkan dengan peristiwa serangan Japanese Red Army (JRA) ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Bangunan AIA di Jalan Ampang.

Dari aspek sukan, Malaysia menjadi hos kepada pertandingan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner (peninju Britain) di Stadium Negara.

Muhammad Ali menumpaskan Bugner. Bagaimanapun, pertandingan tersebut meninggalkan kesan negatif yang dikenali sebagai skandal Bank Rakyat.

Apa yang dicatat di atas adalah antara kenangan manis ketika menjadi keluarga Utusan. Catatan ini adalah berdasarkan ingatan semata-mata.

Read more!

Jangan biarkan kes berebut mayat berulang

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Disember 2006


KES berebut mayat yang berlaku baru-baru ini, seperti mana pernah berlaku sebelum ini adalah peristiwa amat dikesalkan. Berebut mayat bukanlah budaya negara berbilang kaum dan agama yang harmonis seperti Malaysia.

Kejadian berebut mayat itu memalukan bagi negara ini, tidak kira apa anutan agama seseorang, sememangnya berebut mayat bukanlah ajaran mana-mana agama.

Mayat atau jenazah adalah sesuatu yang perlu dihormati kerana manusia berkenaan sudah pun meninggal dunia. Ia wajar diberikan penghormatan akhir menurut kepercayaan agama masing-masing.

Untuk mengetahui kepercayaan agama seseorang pun bukannya sukar. Sudah ada peraturan dan undang-undang di negara ini yang jelas untuk dipatuhi untuk mengetahui agama seseorang, dan bagaimana jenazah berkenaan patut diuruskan.

Maka tidak ada sebab untuk berlaku berebut mayat.

Jika seseorang itu beragama Islam, maka isytiharkanlah sedemikian. Dan begitu juga sebaliknya. Jika beragama Kristian, Buddha, Hindu atau agama apa sekalipun, isytiharkan saja.

Perubahan agama adalah suatu yang bukan pelik. Sepanjang kehidupan manusia, seseorang boleh berubah. Termasuk kepercayaan dan agamanya.

Tetapi yang jelas ialah sebarang perubahan agama akan mengundang kesusahan di kalangan keluarga. Setiap keluarga, khususnya ibu bapa sudah tentu mahukan ahli-ahli keluarganya dalam agama yang serupa.

Tetapi perkara itu tentunya tidak boleh berlaku secara mutlak. Ada saja manusia yang berubah fikiran dan kepercayaan. Maka ia sepatutnya tidak boleh dianggap sebagai yang pelik dalam masyarakat yang majmuk. Bukan saja di negara ini yang mempunyai pelbagai agama tetapi juga dunia sendiri bersifat plural: Pelbagai agama dan budaya.

Dalam keadaan ini sudah tentu berlaku bertembungan antara individu dan keluarga apabila terjadi perubahan agama. Ia sememangnya menyukarkan dan memeritkan hati. Tetapi hakikatnya konflik di peringkat keluarga pasti timbul.

Namun begitu, dalam pada kepercayaan tidak boleh dipaksa, hubungan kekeluargaan juga tidak boleh putus.

Maka tentunya dalam menghadapi suasana ini, boleh berlaku penyembunyian kepercayaan masing-masing bagi mengelak konflik. Perkara ini dapat difahami.

Memikirkan tentang faktor kemanusiaan, keadaan ini dapat diterima. Tambahan pula semua agama, tanpa kecuali menjunjung nilai kemanusiaan dan menghargai perasaan manusia.

Maka Jabatan Agama Islam sebagai pihak pentadbiran agama di negara ini sudah tentu juga memiliki nilai Islam yang meliputi kemanusiaan. Tentu mereka boleh membuat pertimbangan menurut kebesaran hati.

Sebagai pihak yang dilihat mewakili agama Islam, maka sewajarnya mereka menunjukkan nilai-nilai baik dan manusiawi ini. Sambil berdakwah mengajak seseorang memeluk agama Islam, jabatan ini juga wajar mengambil berat tentang kebajikan mereka yang baru memeluk agama Islam. Sikap mengambil berat perlu ada kerana mereka adalah saudara baru. Mereka perlu disokong supaya berasa diterima berada dalam Islam.

Maka dalam keadaan begini, penulis percaya, kebarangkalian untuk mereka meninggalkan Islam setelah memeluk agama ini akan kurang. Namun begitu, manusia berubah dan terdapat keadaan di mana mereka mungkin meninggalkan agama Islam. Dalam keadaan ini pun, jabatan agama tidak patut menyisihkan mereka.

Tapi apa pun, pendaftaran bagi memastikan bahawa mereka memeluk agama Islam pasti ada. Ia perlu bagi menentukan kedudukan agama mereka.

Maka jika berlaku perbalahan setelah seseorang meninggal dunia, maka Mahkamah Syariah adalah tempat yang sepatutnya untuk menjadi rujukan bagi menentukan kedudukan sebenar.

Mahkamah Syariah bukan saja tempat untuk orang Islam mendapatkan keadilan. Seperti Islam, Mahkamah Syariah juga bertanggungjawab memberikan keadilan kepada bukan Islam dalam perkara-perkara yang sudah ditetapkan oleh undang-undang.

Maka sepatutnya apabila berlaku pertikaian berhubung kepercayaan seseorang, adalah wajar keluarga si mati, walaupun mereka bukan Islam pergi mendapatkan keadilan daripada Mahkamah Syariah.

Kedudukan Mahkamah Syariah, seperti juga Mahkamah Sivil mesti dihormati. Pastinya di mahkamah itu, keadilan dapat diperoleh.

Tetapi dengan enggan pergi ke sana, ia menimbulkan masalah lain. Walaupun kini masalah itu sudah selesai, tetapi ia telah menimbulkan suasana perasaan antara agama yang tidak selesa kerana akhirnya Jabatan Agama menarik balik tuntutannya.

Semua orang di Malaysia, khususnya yang bekerja dengan jabatan kerajaan mesti peka mengenai tahap sensitiviti kaum dan agama di negara ini.

Keselamatan dan keharmonian negara adalah utama daripada tafsiran sempit sesuatu peraturan yang boleh mendedahkan negara kepada kacau-bilau.

Sesungguhnya nilai-nilai agama menekankan soal keharmonian antara manusia. Islam tidak terkecuali.

Malah lebih-lebih lagi Islam sebagai agama dominan dan rasmi di negara ini. Kedudukan kuat agama Islam di negara ini bukannya untuk menjadi hegemoni dan mendominasi agama lain, apatah lagi menindas penganut agama lain.

Islam adalah terlalu besar untuk mentaliti seperti itu.

Islam adalah universal dan inklusif. Bermakna Islam memberi keadilan kepada semua manusia, bukan saja kepada mereka yang memiliki kuasa yang lebih, atau golongan majoriti semata-mata.

Justeru, Jabatan Agama Islam menguruskan bukan saja orang Islam tetapi juga bukan Islam kerana mereka sama ada belum Islam ataupun sememangnya Islam adalah untuk semua makhluk, malah Islam memberi perlindungan dan hak kepada haiwan dan juga alam sekitar.

Read more!

Makna luas lawatan Pope ke Turki

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 3 Disember 2006


SEKALI imbas, lawatan Pope Benedict XVI ke Turki Khamis lalu adalah usaha perhubungan awam oleh pihak Vatican untuk memperbaiki kerosakan imej ekoran kenyataan kontroversi pemimpin Katolik tidak lama dahulu yang menyebabkan rusuhan di pelbagai negara Islam.

Tetapi kalau setakat untuk tujuan itu, maka kesannya tidak mencukupi kerana kenyataan kontroversi Pope Benedict telah mengubah persepsi dunia Islam terhadapnya, dan juga Vatican.

Justeru, Pope Benedict mesti menawarkan sesuatu gagasan yang melangkaui suasana hubungan Vatican-Islam sebelum kenyataan kontroversial itu.

Maka tidak hairanlah, Pope Benedict di samping mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berupa memperbaiki hubungan Vatican dengan umat Islam, beliau juga menggariskan suatu gagasan pascasekular untuk turut diterima oleh umat Islam, dan dunia amnya.

Maka sebelum beliau mengemukakannya kepada umat Islam, maka sewajarnya, Pope perlu meraih sokongan daripada kalangan Kristian daripada mazhab lain.

Justeru, makna lawatan Pope ke Istanbul bukan sekadar memperbaiki hubungannya dengan umat Islam, tetapi juga mengukuhkan jalinan mazhab Katolik dengan Ortodoks.

Perlu diingat bahawa Pope Benedict tidak mewakili semua umat Kristian. Beliau hanya mewakili mazhab Katolik. Protestan dan Ortodoks tidak mengiktiraf kepimpinan Vatican.

Tetapi di Istanbul, sebelum kunjungannya ke Masjid Biru, Pope berdoa bersama Patriak Ekumenical Bartolomew I di Gereja St. George. Pertemuan itu adalah simbolik kepada hubungan antara mazhab Katolik dan Ortodoks kerana Bartolomew I adalah ketua paderi mazhab Ortodoks.

Lawatan Pope ke Istanbul mempunyai makna yang berkaitan dengan tiga pihak; iaitu umat Islam, mazhab Ortodoks dan sekularisme. Sedangkan apa yang hendak dibawa oleh Pope Benedict XVI ialah kerukunan beragama dalam konteks pascasekularisme.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan pascasekularisme?

Sekularisme adalah pemisahan antara agama dengan urusan politik. Vatican seperti juga negara Turki komited terhadap sekularisme. Tetapi zaman ini melangkaui era sekularisme iaitu pascasekularisme.

Pascasekularisme masih mempunyai ciri-ciri sekularisme tetapi ia memberi tempat kepada peranan agama dalam mewujudkan perdamaian dan kerukunan. Dalam erti kata lain, kalau era sekularisme ditandai dengan sentimen anti agama, tetapi pascasekularisme memberi ruang kepada agama, termasuk golongan fundamentalis.

Pascasekularisme bersikap toleran kepada pelbagai interpretasi agama.

Dua pihak yang dijadikan seteru oleh pascasekularisme ialah golongan fundamentalis teroris di satu pihak, dan mereka yang menentang agama, di pihak yang lagi satu. Golongan yang menentang agama ini termasuklah elemen-elemen anti moral seperti homoseksual dan pendukung pengguguran.

Maka bagi Vatican, mereka berasa di pihak yang sama bersama dengan golongan agama lain, bukan saja sesama Kristian seperti Ortodoks, tetapi juga Islam dan Buddha yang ditandai dengan Dalai Lama sebagai ikon.

Sementara negara seperti Turki pula merupakan contoh pascasekularisme yang jelas. Pada satu ketika di bawah Kamal Attaturk, ia menjadi sekularisme yang bersifat anti agama, termasuklah golongan Islamofobia. Tetapi kini dengan kerajaan pimpinan parti pro-Islam, ia menjadi negara yang toleran kepada agama Islam.

Justeru, Turki menjadi negara sekular Islam dengan bersifat toleran kepada agama lain, iaitu ternyata dengan kehadiran mazhab Ortodoks dan masyarakat Yahudi yang hidup bebas di situ.

Walaupun sekularisme Attaturk bersifat revolusi yang mengubah ciri Islam Turki kepada Barat, tetapi ia tetap pewaris kepada Khalifah Uthmaniah yang pernah pada satu ketika memerintah empayar terbesar dunia meliputi benua Asia, Afrika dan Eropah, berpusat di Istanbul.

Jika dilihat bahawa Turki sebagai pewaris kepada Uthmaniah, maka khalifah itu pula merupakan pewaris kepada empayar Kristian Bizantin.

Istanbul ini adalah asalnya bernama Byzantium dan merupakan sebahagian daripada empayar Rom.

Apabila Maharaja Constantine memeluk agama Kristian, ia memindahkan ibu negara empayar Rom ke Byzantium dan menukar namanya kepada Constantinople.

Pada masa itu, tidak ada konsep yang bernama Eropah. Empayar Rom yang mewarisi Greek meliputi keseluruhan pesisiran Laut Mediterranean menjadikannya sebahagian daripada Asia, Afrika dan Eropah.

Kemudian Empayar Rom berpecah dua, Rom Barat dan Rom Timur. Ketua Paderi Rom kemudian muncul sebagai mazhab berasingan yang menentang Rom Timur iaitu Bizantium. Perpecahan 1,000 tahun lalu ini melahirkan mazhab Katolik di Vatican, Rom dan Ortodoks di Constantinople.

Ketika Islam muncul dan menguasai Mesir, Palestin, Syria dan semasa Uthmaniah, empayarnya meliputi Greece, Serbia, Bulgaria dan Eropah Timur. Pemerintahan Islam sebenarnya adalah pewaris kepada kerajaan Byzantium.

Dalam pemerintahan Uthmaniah, orang Yahudi memainkan peranan penting dalam kerajaan dan Kristian, sama ada Katolik atau Ortodoks bebas serta berkembang dalam empayar itu.

Turki yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel kini sedang berusaha menyertai Kesatuan Eropah (EU). Banyak negara Eropah menentang kemasukan Turki atas alasan yang jelas kerana negara itu tidak berbudaya Kristian.

Tetapi hakikatnya negara-negara Eropah lain hanya mempunyai Kristian sebagai warisan sejarah mereka. Seperti Turki mereka mengamalkan sekularisme.

Lagipun konsep Eropah sendiri tidak berkaitan dengan sesuatu agama. Ia juga tidak berkaitan dengan geografi kerana konsep Eropah itu boleh berubah kedudukan fizikalnya.

Seringkali dikatakan bahawa asas Eropah adalah tamadun Yunani dan Rom dengan amalan demokrasi sebagai ciri utama. Diperkuatkan pula dengan Kristian sebagai agama asasnya.

Tetapi hakikatnya ialah tamadun Yunani tidak berasaskan kepada Kristian. Mereka berasal; daripada agama Pagan. Sedangkan agama Kristian pula berasal di Palestin iaitu Asia Barat.

Tamadun Islam juga berasaskan kepada tamadun Yunani dan Rom, di samping Parsi. Malah Khalifah Umaiyah menjadi pewaris kepada kerajaan Rom wilayah Syria berpusat di Damsyik.

Sementara Sepanyol yang berasal Katolik pula mewarisi tamadun Umaiyah di Kordova yang kemudian menyumbang kepada pemikiran Eropah moden.

Dalam pada itu sebahagian besar wilayah Turki ini meliputi Anatolia yang turut dikenali sebagai Asia kecil. Semenanjung merupakan kawasan tamadun Yunani purba, di mana di situlah terletak kota Yunani terkenal Troy.

Maka tidak hairanlah Vatican menyokong permohonan Turki untuk menyertai EU. Lagipun Turki turut mengamalkan demokrasi yang dianggap sebagai ciri penting konsep Eropah.

Eropah wajar melangkaui era Kristian dan sekularisme dengan menerima Turki.

Sedangkan Turki yang sudah menjadi pascasekularisme juga menjadi pemimpin kepada suasana pascafundamentalisme seperti yang dilahirkan oleh polisi dan amalan parti pro-Islam, Parti Pembangunan dan Keadilan (AK) yang memerintah.

Ia merupakan parti pascafundamentalisme dalam erti kata, ia pernah menjadi parti fundamentalis Islam. Tetapi kini merupakan parti demokratik tanpa meninggalkan ciri-ciri asal Islamnya.

Parti AK adalah seperti parti bekas komunis di Eropah yang telah meninggalkan ideologi mereka tetapi masih memiliki nilai-nilai tertentu yang dapat diterima oleh rakyat.

Dalam pada itu, Vatican tidak boleh dianggap sebagai suatu kuasa Eropah. Ini kerana Katolik tidak lagi boleh dianggap sebagai agama Eropah. Walaupun pusatnya berada di Rom dan mewarisi Empayar Rom serta Renaisans, hakikatnya ialah penganut Katolik kini banyak berada di Amerika Selatan dan Asia seperti Filipina dan Korea Selatan.

Sememangnya dunia Barat, sama ada Kristian atau pasca-Kristian melihat terorisme yang berasal daripada masyarakat Islam sebagai ancaman kepada mereka. Tetapi hakikatnya kumpulan seperti Al-Qaeda merupakan gejala reaksi kepada sifat politik imperialisme dunia Barat, yang tidak berkaitan dengan agama.

Asas kebangkitan terorisme berasal Islam ini adalah penjajahan oleh Zionisme, sebagai lanjutan kepada imperialisme Inggeris dan Perancis yang telah menyumbang kepada keruntuhan Khalifah Uthmaniah.

Sementara punca masalah Taliban bermula dengan imperialisme Soviet ke atas Afghanistan.

Read more!

Bahaya pemikiran berbentuk perkauman

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 2 Disember 2005


UNTUK menyatakan bahawa 80 peratus pembayar cukai di negara ini adalah daripada sesuatu kaum seperti yang ditimbulkan dalam Dewan Rakyat Rabu lalu merupakan cetusan pemikiran berbentuk perkauman yang berbahaya.

Berbahaya kerana apa saja pemikiran berbentuk perkauman boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan perbalahan yang berpanjangan.

Dalam sejarah manusia abad ke-20, Perang Dunia Kedua dilihat sebagai puncak perbalahan kaum yang memperlihatkan bagaimana Nazi Jerman melaksanakan polisi perkauman yang menghasilkan keadaan dahsyat dalam bentuk Holocaust.

Sementara dunia juga menyaksikan gerakan hak awam di Amerika Syarikat (AS), usaha menentang aparteid dan gerakan nasionalisme sebagai perjuangan kemanusiaan untuk menentang perkauman.

Pemikiran perkauman tidak kira daripada pihak mana pun mengancam keutuhan gagasan negara bangsa itu sendiri. Bangsa di sini sudah tentu merujuk kepada gagasan warganegara itu, dan bukannya kaum tertentu.

Lebih-lebih lagi apabila pemikiran perkauman ini timbul di Dewan Rakyat sendiri. Ini kerana Dewan Rakyat adalah tempat perhimpunan wakil-wakil rakyat, bermakna mewakili semua rakyat, tanpa mengira kaum.

Setiap individu wakil rakyat mewakili warganegara di kawasannya, tanpa mengira kaum.

Justeru sewajarnya di Dewan Rakyat tidak timbul perbahasan atau hujahan yang berbentuk perkauman.

Tetapi hakikatnya apa yang berlaku ialah wakil-wakil rakyat, tidak kira dari parti mana bercakap atau berhujah menurut pemikiran perkauman, yang tidak menyumbang kepada hubungan baik antara kaum dan suasana harmoni warganegara.

Lebih-lebih lagi apabila bilangan pembayar cukai dikira menurut kaum. Sudah tentu ia bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

Sedangkan menurut kaca mata kemanusiaan yang menjadi asas kepada pembentukan negara bangsa zaman moden ini, semua warganegara adalah setaraf dan pembayaran cukai adalah menurut pendapatannya yang diperoleh.

Sementara pembahagian bajet pula adalah juga menurut polisi yang ditentukan oleh kerajaan dan ia tidak tertakluk kepada aspek perkauman.

Begitu juga dalam perniagaan atau apa saja aktiviti kehidupan bermasyarakat, ia tidak boleh berlandaskan kepada perkauman. Ini kerana perkauman adalah bercanggah dengan sistem kenegaraan moden dan kemanusiaan.

Sebab itulah, seseorang itu tidak boleh dilayan atas dasar perkaumannya, sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seumpamanya. Dalam negara ini konsep yang digunakan dalam polisi tindakan afirmatif bukannya berbentuk sesuatu kaum. Sebaliknya, ia menggunakan konsep bumiputera yang sebenarnya bukannya berbentuk perkauman.

Maka melalui amalan yang tidak jelas dan kadangkala berlaku salah faham, maka banyak pihak melihat bumiputera sebagai suatu konsep perkauman dengan merujukkannya kepada orang Melayu.

Bumiputera yang di dalamnya bukan saja terdiri daripada orang Melayu tetapi juga Orang Asli, Siam, Portugis, Iban, Kadazan dan pelbagai lagi merujuk kepada suatu konsep yang diwujudkan bagi menyelesaikan masalah perbezaan taraf kehidupan antara dua golongan rakyat menjelang penubuhan negara Malaysia.

Justeru apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 70-an tidak sekali-kali berbentuk perkauman. Ia merupakan usaha kejuruteraan sosial bagi membasmi kemiskinan dan menghapuskan kaitan ekonomi dan perkauman. Pendeknya, DEB bertujuan menghapuskan gejala perkauman.

Tetapi malangnya setelah bertahun-tahun dilaksanakan, ia banyak disalahtafsirkan dan ia juga melibatkan silap pelaksanaan hingga menggambarkannya untuk menjadi berbentuk perkauman.

Sememangnya soal perkauman merupakan realiti yang sukar hendak dielakkan. Tetapi ia perlu dielakkan bagi menghalang pergaduhan dan peperangan.

Maka itulah asas Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan oleh Tun Razak supaya isu-isu perkauman dibahaskan dan diselesaikan di peringkat dalam kalangan parti komponen, serta tidak terkeluar ke peringkat masyarakat, termasuk di Dewan Rakyat.

Ketika penubuhan BN, Tun Razak turut mempelawa DAP tetapi mereka menolak.

Namun semua parti di negara ini, walaupun ditubuhkan atas kaum tertentu seperti UMNO, MCA dan MIC, mereka masih mempunyai tanggungjawab terhadap semua rakyat negara ini , tanpa mengira kaum.

Justeru UMNO walaupun parti Melayu tetapi mempunyai tanggungjawab kepada semua kaum di negara ini. Begitu juga dengan MCA dan MIC.

Apatah lagi dengan DAP yang namanya pun demokratik. Ia wajar memperjuangkan isu-isu bersifat nasional dan merentas kaum.

Memang sukar untuk mengelak diri daripada bersifat perkauman lebih-lebih lagi apabila pihak saingannya juga menggunakan sentimen perkauman. Tetapi berlawan dengan menggunakan isu kaum tidak akan berkesudahan atau menyelesaikan masalah.

Menahan diri daripada menggunakan isu perkauman dalam menghadapi sesuatu masalah merupakan suatu kekuatan yang tinggi nilainya dalam ukuran kemanusiaan.

Read more!

Makna bersejarah perjanjian Iraq – Syria

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 26 November 2006


Selasa lalu, Menteri Luar Syria, Walid Moallem yang berada di Baghdad menandatangani perjanjian memulihkan hubungan diplomatik antara negaranya de ngan Iraq setelah terputus selama 24 tahun. Ia ditandatangani juga oleh Menteri Luar Iraq, Hosyar Zebari.

Dari segi politik, peristiwa ini mengejutkan kerana Iraq masih berada di bawah penguasaan AS, negara yang menjadi musuh ketat Syria.

Dari segi sejarah, ia mempunyai makna besar kerana pada zaman silam, Syria dan Iraq merupakan wilayah yang dikenali sebagai Syam.

Dalam sirah Rasulullah s.a.w., antara nama wilayah yang sering disebut dan dianggap penting ialah Syam. Wilayah ini terkenal sebagai tempat di mana kaum Quraisy berniaga, termasuk Rasulullah.

Episod ini penting kerana dalam kunjungan pertama ke Syam, baginda yang berusia 12 tahun mula terdedah tentang tamadun dan sejarah konflik geopolitik antara Rom Bizantium dengan Parsi yang diperoleh melalui perbualan daripada saudagar-saudagar lain yang ikut serta kabilah.

Tetapi kemuncak perjalanan itu adalah pertemuan dengan paderi Nasrani, Bahira di Basrah. Bahira yang merupakan seorang cendekiawan mahir dalam kitab-kitab lama menemui Abu Talib untuk memberitahu mengenai kenabian Rasulullah dan kesannya kepada orang Yahudi.

Perjalanan kedua baginda ke Syam adalah sebagai peniaga untuk Saidatina Khadijah. Perniagaan baginda berjaya tetapi lebih daripada itu, Rasulullah menambahkan ilmu pengetahuannya mengenai agama penduduk Syam yang terdiri daripada pelbagai mazhab Nasrani dan Yahudi. Ketika itu Syam adalah sebahagian daripada empayar Rom dan menjadi rebutan dengan Parsi.

Selepas kemangkatan Rasulullah, Syam berada di bawah pemerintahan Islam dengan Sayidina Muawiyah menjadi gabenor berpusat di Damsyik, dahulunya merupakan kota Rom.

Semasa pemerintahan Khalifah Ali Abu Talib, berlaku pertembungan dengan Muwaiyah. Bermulalah perbalahan yang kesannya hari ini adalah pertembungan antara Syiah dan Sunnah waljamaah.

Di peringkat awal, Muawiyah berjaya menyandang jawatan khalifah apabila Sayidina Ali dibunuh oleh golongan yang kecewa dengan perbalahan kedua-dua belah pihak iaitu Muawiyah dan Ali. Tetapi mereka hanya berjaya membunuh Ali, dan tidak Muawiyah.

Khalifah Muawiyah mengubah karakter Islam daripada sebuah gerakan golongan tertindas berpusat di Madinah kepada negara imperial dengan Damsyek sebagai kota empayar dengan bermulanya Khilafah Umayyah.

Sudah tentu mereka yang menentang cara Muawiyah ini menyebelah golongan yang berpendapat bahawa pengganti Sayidina Ali seharusnya keturunannya, iaitu puteranya, Sayidina Hassan. Golongan ini dipanggil Syiah Ali atau parti Ali, dan bermulanya gerakan ini.

Apabila muncul gerakan Abasiah, golongan Syiah menyokong mereka untuk menjatuhkan Umayyah. Akhirnya mereka berjaya dan ibu negara khilafah dipindahkan ke kota baru, Baghdad.

Ternyata Damsyik dan Baghdad muncul sebagai mercu tanda kota dalam tamadun Islam.

Dalam zaman moden ini, negeri Syam sudah tidak ada lagi. Yang ada di tapaknya ialah Syria dan Iraq di mana Damsyik dan Baghdad menjadi ibu kota bagi kedua-dua negara itu.

Syria dan Iraq adalah wilayah khilafah Uthmaniah yang kemudian masing-masing menjadi tanah jajahan Perancis dan Britain.

Ia kemudian mencapai kemerdekaan dan diperintah oleh raja. Tetapi tentera-tentera kedua-dua negara ini terpengaruh dengan ideologi Baath yang diasaskan oleh seorang Syria Kristian, Michel Aflaq.

Golongan ini merampas kuasa dengan kemudiannya muncul Hafez Assad sebagai presiden Syria dan Saddam Hussein, presiden Iraq. Hafez adalah bermazhabkan Alawiyah, salah sebuah aliran Syiah sedangkan Saddam bermazhabkan Sunnah waljamaah.

Ironi sejarah ialah Damsyik yang merupakan kota Muawiyah kini menjadi ibu negara Hafez, seorang Syiah Alawiah. Sementara Baghdad, ibu negara Abasiah yang gerakannya memberi tempat kepada Syiah menjadi ibu kota Saddam.

Walaupun kedua-dua Syria dan Iraq berideologikan Baathisme pada tahun 80-an, tetapi kedua-duanya bermusuhan. Malah pengasas Baathisme, Aflaq yang menentang Hafez lari ke Baghdad.

Bagi menentang Hafez, Saddam dikatakan memberi sokongan kepada Ikhwanul Muslimin Syria, sebuah gerakan Islam fundamentalis yang cuba bangkit untuk mendapatkan kuasa dan menubuhkan negara Islam Syria.

Kebangkitan Ikhwan ini tumpas dengan Damsyik membunuh beramai-ramai di markas gerakan Islam di Hama. Ekoran itu, Hafez memutuskan hubungan dengan Saddam pada tahun 1982.

Perkembangan selanjutnya lebih sengit apabila Iraq melancarkan serangan ke atas Iran dan meletus Perang Iran-Iraq. Ketika keseluruhan dunia Arab menyebelahi Saddam, Syria pula memihak kepada Teheran.

Hubungan Damsyik-Baghdad terus tidak selesa ketika mana pakatan antara Damsyik-Teheran bertambah rapat dengan Syria membenarkan Iran membantu Hizbullah bertapak di Lebanon yang dikuasainya.

Ketika Iraq mula diserang AS, Saddam berusaha untuk berbaik-baik dengan Syria dengan dikatakan banyak pemimpin Baghdad lari dan mendapat perlindungan di Syria.

Tetapi hubungan antara Iraq dan Syria tidak dapat dipulihkan apabila AS bertapak di situ lebih-lebih lagi apabila Washington sedang bermusuhan dengan Damsyik.

Apa yang wajar dilihat setelah kejatuhan Saddam pada tahun 2003, adalah Iraq yang dikuasai AS merupakan sekutu ke pada negara-negara pro-AS yang lain termasuk Israel.

Maknanya, dari kaca mata Washington, Iraq akan menyertai Jordan, Arab Saudi, Turki dan Mesir dan negara-negara Teluk Parsi yang lain, bersama Israel merupakan sahabat kuasa besar itu.

Sedangkan di pihak yang menentang AS ialah Iran, Syria, Hizbullah di Lebanon dan Hamas di Palestin.

Bagaimanapun, Iraq mempunyai kedudukan istimewa. Pihak yang menjadi sekutu AS di Iraq ialah pihak Syiah yang mempunyai hubungan baik dengan Iran dan Syria.

Buat masa ini, kejahatan Iran pada kaca mata AS ialah program nuklear republik Islam itu, berserta sokongan moral dan material negara itu kepada Hizbullah. Se mentara kejahatan Syria pula adalah pengaruh Damsyik ke atas Beirut, berserta menjadi landasan kepada pejuang Arab yang memasuki Iraq.

Syria yang walaupun dipimpin oleh elit Syiah Alawiah tetap majoriti penduduknya adalah Sunni, pastinya lebih simpati kepada Arab Sunni di Iraq. Sementara Iran, kerajaan dan rakyat adalah bersama Syiah di Baghdad.

Pemulihan hubungan diplomatik antara Syria dan Iraq juga dapat dikaitkan oleh persiapan kerajaan Baghdad untuk menghadapi keadaan pengunduran tentera AS dan sekutunya.

Kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya Kongres AS membuka jalan bagi pengunduran tentera AS dari Iraq. Pengaruh Iran sudah hampir pasti mengukuh, dan untuk itu imbangan perlu dicari, dan ia datang dalam bentuk Syria.

Walaupun Syria dan Iran adalah sekutu tetapi mereka mempunyai karakter berbeza yang memungkinkan pewujudan perimbangan kuasa di Iraq, lebih-lebih lagi Damsyik adalah kuasa Arab, sementara Teheran adalah Parsi.

Liga Arab sendiri membuat usul menggesa Syria dan Iraq memulihkan hubungan diplomatik. Bagi mereka yang memberi perihatian kepada soal Arab tentu mahu peranan Syria dalam politik Baghdad. Damsyik boleh memainkan peranan melindungi Arab Sunni, berserta meredakan serangan keganasan daripada kumpulan-kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Bagi menegaskan perimbangan antara Syria dan Iraq, Presiden Jalal Talabani pula mengadakan rundingan dengan Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad kelmarin.

Laporan awal menyatakan Presiden Syria, Bashar al-Assad juga mengadakan pertemuan dengan Mahmoud. Malah pertemuan tiga presiden Syria-Iraq-Iran mampu membuka implikasi politik baru Asia Barat.

Hubungan baik Syria dan Iraq mengingatkan pemerhati sejarah mengenai wilayah Syam yang terdiri daripada kedua-dua negara itu.

Tetapi ketika pemerintahan Khalifah Umayyah di Damsyik dan Abasiah di Baghdad, pemerintahan mereka bukan sekadar meliputi negara Syria dan Iraq se karang, tetapi juga meliputi hingga ke wilayah yang pada masa ini merupakan negara Lebanon, Israel, Palestin, Jordan dan Mesir di sebelah Barat, tetapi juga Iran di sebelah timur.

Read more!