Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 19 Oktober 2006
TERDAPAT empat implikasi yang boleh dilihat daripada tindakan MCA melepaskan penguasaannya ke atas akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press apabila parti itu menjual 21.02 peratus sahamnya dalam syarikat akhbar itu kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan taikun balak Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King.
Empat implikasi itu berhubung dengan kedudukan komersial industri akhbar berbahasa Cina, politik kaum Cina, sifat independen kewartawanan Cina dan pengukuhan seorang tokoh pemilik media.
Langkah penjualan saham MCA dalam Nanyang Press Holdings Bhd., melalui syarikat pelaburannya, Huaren Management Sdn. Bhd., kepada EZY Wood Sdn. Bhd., adalah mengejutkan kerana lima tahun lalu parti itu bersusah payah meyakinkan ahli-ahlinya dan komuniti Cina mengenai rasional pembelian itu.
Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menegaskan bahawa keputusan itu merupakan tindakan yang semata-mata bercirikan komersial. Pembelian Nanyang ternyata merugikan MCA dari segi kewangan kerana ia telah diperoleh dengan harga yang mahal iaitu RM5.50 sesaham bagi 72.35 peratus saham syarikat.
Ekoran itu, bayaran faedah tahunan bagi pinjaman untuk membiayai pembelian itu bernilai puluhan juta ringgit.
Tetapi pembelian Nanyang itu bukan saja merugikan MCA dari segi komersial, lebih buruk ialah dari segi politik. Parti itu terbahagi dua apabila Presiden MCA ketika itu, Tun Dr. Ling Liong Sik bersungguh-sungguh hendak menguasai Nanyang Press Holding yang di dalamnya terdapat akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press.
Kesungguhan Liong Sik ketika itu juga tidak dapat dilihat sebagai atas dorongan komersial kerana pembelian itu merugikan tetapi lebih disebabkan politik. Walaupun beliau menafikan, banyak pihak melihat tanda-tanda keinginan untuk menguasai kandungan editorial media melalui pemilikan.
MCA yang memiliki akhbar berbahasa Inggeris, The Star mahu turut menguasai akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, akhbar Cina tertua di negara ini dan China Press, antara akhbar Cina paling laris.
Pembelian MCA ke atas Nanyang pada tahun 2001 adalah penuh kontroversi dengan sebilangan besar masyarakat Cina membantahnya. Separuh daripada perwakilan MCA di persidangan tahunannya membantah pembelian itu bukan saja atas sebab-sebab komersial tetapi adalah kerana mahu mempertahankan kewibawaan dan sifat independen kewartawanan akhbar itu.
Walaupun ahli MCA tetapi mereka mahukan akhbar-akhbar berbahasa Cina bebas dan bersikap berkecuali daripada ketentuan mana-mana parti politik.
Sikap ini juga tercermin daripada pembaca-pembaca Nanyang dan masyarakat Cina pada umumnya yang mahu akhbar mereka bebas dan berdiri berasingan daripada parti politik, lebih-lebih MCA yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN).
Dalam hal ini, mereka bukan saja membantah pemilikan MCA ke atas Nanyang melalui suara dan cakap-cakap, bahkan bertindak dengan tidak membeli Nanyang. Akibatnya jualan akhbar itu merosot sejak ia dikuasai oleh MCA. Tentunya ia juga menjejaskan kemasukan iklan dan pendapatan daripadanya untuk mendatangkan kesan dari segi komersial.
Tekanan komersial ini menyebabkan MCA berundur dan akhirnya menjualkan saham dalam akhbar itu.
Dari sini dapat dilihat betapa komuniti ini mempunyai pendirian yang bebas daripada parti politik tertentu. Mereka meletakkan kepentingan komuniti di atas parti. Untuk itu pula mereka mahukan akhbar independen yang boleh mencerminkan suara komuniti tanpa terikat dengan pendirian parti yang sudah tentu mempunyai banyak halangan kerana mereka perlu kompromi dari segi politik.
Sebelum ini, akhbar Thung Pao dan Shin Min Daily yang dimiliki parti politik secara tidak langsung terpaksa ditutup masing- masing pada tahun 1980-an dan 1990-an. Pembaca Cina tidak boleh menerima akhbar yang dikuasai oleh parti politik.
Maka pelepasan Nanyang oleh MCA boleh juga dilihat sebagai tindakan untuk menyelamatkan akhbar itu di samping menjaga kepentingan parti dari segi menghormati kehendak komuniti Cina.
Tentunya apa yang dikehendaki oleh komuniti Cina bukanlah akhbar berkenaan sebagai produk tetapi lebih kepada haluan editorial dan kewartawanan media itu.
Selama ini, bantahan pembaca Nanyang itu juga ditunjukkan dengan peningkatan jualan akhbar Sin Chew Jit Poh menjadi akhbar paling luas pengedarannya di Malaysia mengalahkan Nanyang.
Bagaimanapun, dengan penjualan Nanyang oleh MCA ini senario akhbar Cina negara ini mungkin akan berubah. Ini kerana MCA telah menjual pengaruhnya dalam Nanyang kepada syarikat milik Hiew King yang selama ini telah menguasai Sin Chew dan Guang Ming Daily melalui Sin Chew Media Corporation.
Dengan pembelian oleh syarikatnya, EZY Wood Options, Hiew King muncul sebagai tokoh pemilik akhbar terbesar di Malaysia.
Beliau juga terlibat dengan akhbar Hong Kong yang turut dijual di Amerika Utara, Ming Pao, majalah berita Yazhou Zhoukan dan memiliki akhbar The National di Papua New Guinea.
Dalam kenyataannya Selasa lalu, Hiew King menegaskan kepercayaannya terhadap kedudukan akhbar berbahasa Cina yang menyumbang kepada kemajuan budaya.
Menurutnya, Rimbunan Hijau, iaitu kumpulan syarikatnya berharap akan mengembangkan industri media Cina dan mewujudkan rangkaian media berbahasa Cina yang berpusat di sekitar komuniti Cina.
Syarikat media berbahasa Cina, katanya memerlukan satu kumpulan kuasa yang kuat untuk bersaing dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.
Mengenai persoalan tidakkah terdapat percanggahan dengan persaingan antara Sin Chew dan Nanyang apabila ia berada dalam pemilikan yang serupa, Hiew King merujuk kepada aliran masa kini yang membabitkan konsep ‘‘kewujudan bersama dalam persaingan” di mana komponen editorial beroperasi secara independen dan melahirkan kekuatan sendiri bagi memenuhi kehendak pembaca masing-masing.
‘"Persaingan seumpama itu akan membantu meningkatkan daya saing semua komponen dalam kumpulan itu.
“Dengan berbuat demikian, persaingan yang membunuh sesama sendiri dapat dielakkan dan melahirkan suasana menang- menang,” ujar Pengerusi Rimbunan Hijau itu dalam kenyataannya.
Maka timbul persoalan tidakkah komuniti Cina berasa bimbang bahawa seorang tokoh akan menjadi begitu berpengaruh dengan memiliki banyak akhbar?