Implikasi nuklear Korea Utara

Oleh: Zin Mahmud
Sumber: Mingguan Malaysia 15 Oktober 2006


APABILA Korea Utara akhirnya mengadakan ujian senjata nuklear, maka hendak tidak hendak wajar diterima bahawa ia sudah menyertai negara kesembilan dalam kelab negara-negara bersenjata nuklear.

Ia dengan jelas menandakan kegagalan Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia menghalang Korea Utara daripada menjadi negara nuklear. Kegagalan akan membawa perubahan sikap dan dasar oleh negara-negara tersebut terhadapnya.

Begitu juga dengan Jepun dan Korea Selatan yang memberi petanda mahu menghentikan ‘dasar cahaya matahari' iaitu sikap lembut Seoul terhadap Pyongyang.

Bagaimanapun, perdebatan yang berlaku di negara-negara yang terlibat itu adalah sama ada untuk bersikap keras atau lembut bagi masa-masa akan datang. Ada pihak yang mahukan lima negara yang menangani isu itu untuk lebih bersikap keras bagi mengajar Korea Utara. Sementara pihak lain pula mahukan sikap yang lebih lembut.

Tetapi hakikatnya, hendak tidak hendak mereka mesti menerima bahawa Korea Utara sudah menjadi sebuah negara nuklear.

Tentunya keadaan ini tidak memberi contoh yang baik kepada Iran. Kalau Korea Utara boleh melakukannya, apa salahnya untuk Iran turut memiliki senjata nuklear?

Tetapi Iran berbeza. Kalau AS tidak begitu tegas dengan Korea Utara, mereka akan bersikap berkeras kepada Iran.

Alasan akan dikemukakan bahawa sikap AS yang dianggap lembut selama ini telah menyebabkan Korea Utara berdegil dan meletupkan senjata nuklearnya. Maka sikap seumpama itu tidak boleh dilanjutkan kepada Iran. Teheran mesti ditangani secara keras oleh Washington.

Maka dunia akan menuduh AS sebagai bersikap dwistandard (double standard). Suatu tuduhan yang tidak dipedulikan oleh AS kerana sememangnya begitulah sikapnya selama ini, iaitu sepanjang Perang Dingin yang menunjukkan bagaimana Washington menyokong negara-negara diktator yang antikomunis dan menentang negara-negara demokrasi yang tidak menjadi sekutunya.

Apa yang menjadi perkiraannya bukanlah demokrasi seperti yang dilaungkannya tetapi hegemoni AS.

Inilah yang akan berlaku di Asia Barat. Seburuk-buruk ancaman Korea Selatan, sasarannya hanyalah negara-negara jirannya iaitu Korea Selatan dan Jepun. AS berada jauh daripada rantau itu.

Tetapi kedudukan Iran berbeza. Persenjataan nuklearnya akan mengancam Israel, sekutu kuat AS. Bukan saja Israel merupakan sekutu AS tetapi merupakan jiwa dan roh kuasa besar itu.

Tidak seperti Jepun dan Korea Selatan, Israel merupakan negara suci bagi AS. Israel adalah sebuah negara Yahudi tetapi kota Yahudi terbesar dunia tidak terletak di Israel, tetapi ia berada di AS, iaitu New York. Dan New York adalah juga ibu kota dunia, dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di situ. Ia juga merupakan pusat ekonomi serta budaya dunia.

Dunia sudah menerima AS dan Israel mempunyai hubungan istimewa. Bersama Britain ia menjadi paksi hegemoni Barat: AS, Britain dan Israel.

Sementara Washington telah pun menamakan Iran, Syria dan Korea Utara sebagai paksi kejahatan.

Syria dan Iran pula merupakan sekutu kuat yang terang-terang menentang Israel. Korea Utara bukannya sekutu Syria dan Iran.

Tetapi dari segi teknologi senjata, bagi AS, Korea Utara merupakan negara yang menjual dan membantu program nuklear Iran.

Kejayaan ujian senjata nuklear Korea Utara juga memberikan isyarat kepada Iran betapa mereka telah mempunyai kemampuan untuk membangunkannya.

Dalam kedudukan ekonomi yang terdesak lebih-lebih lagi apabila mengalami sekatan ekonomi oleh AS, China dan Rusia ekoran ujian senjata nuklear itu, maka Korea Selatan akan bersedia menjual teknologi dan kepakarannya kepada Iran.

Pemantauan

Perkara inilah yang tidak dikehendaki oleh AS tetapi ia seolah-olah lemah untuk menanganinya. Bagaimanapun dalam pemantauan AS, saintis Pakistan yang membangun senjata nuklear negaranya, Abdul Qadir Khan telah menjual kemahiran kepada Iran, Libya dan Korea Utara tanpa disedari oleh kerajaannya. Abdul Qadir kini berada dalam pemerhatian kerajaan di negaranya, setelah dipecat, membuat pengakuan dan diampunkan.

Jadi Pakistan sebagai sebuah negara sekutu AS mendapati saintisnya membantu Iran, Libya dan Korea Utara yang merupakan musuh AS.

Senjata nuklear yang dibangunkan Pakistan pada tahun 1998 dikenali oleh setengah kalangan Barat sebagai ‘bom Islam'. Dan apa yang mereka mahu menghalang sekarang ialah munculnya ‘bom Islam' kedua iaitu oleh Iran.

Tetapi mengapakah senjata nuklear yang dibangunkan oleh sebuah negara Islam dipanggil ‘bom Islam'. Sedangkan tidak pula timbul istilah bom Kristian, bom Yahudi dan bom ateis?

Jika mereka mahu menyebut apa yang dibangunkan oleh Pakistan dan Iran itu sebagai bom Islam, maka AS merupakan negara pertama yang membangunkan bom Kristian pada tahun 1945. Ini diikuti oleh dua lagi bom Kristian yang dibangunkan oleh Britain pada tahun 1952 dan Perancis pada tahun 1960. Kesemuanya dengan bantuan kepakaran AS.

Rentetan program ini dibalas dengan bom ateis yang dibangunkan oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1949, diikuti oleh China pada tahun 1964. Korea Utara ini boleh dianggap sebagai bom ateis ketiga.

Senjata nuklear yang dibangunkan oleh India pada tahun 1974 boleh dipanggil sebagai bom Hindu. Lebih-lebih lagi ia dibangunkan ketika New Delhi diperintah oleh parti nasionalis Hindu, Parti Bharatia Janata (BJP). Ia bertujuan menakutkan Pakistan.

Bagaimanapun, saintis yang mengusahakan bom India ialah seorang Islam yang kini menjadi Presiden India atas sokongan BJP iaitu Dr. ABJ Abdul Kalam. Tetapi bom India itu juga dikenali sebagai “Buddha tersenyum.”

Maka adakah bom India itu boleh dikatakan gabungan bom Hindu-Islam-Buddha?

Bagaimanapun bom paling istimewa ialah bom Yahudi. Israel adalah satu-satunya negara yang diketahui umum sebagai memiliki 200 bom nuklear seperti yang diakui oleh Persatuan Kawalan Senjata dan Insiatif Ancaman Nuklear. Masalah rejim Tel Aviv itu tidak pernah mengesahkannya dan AS tidak pernah mempersoalkannya.

Kehadiran bom Yahudi inilah yang mendorong Iran, Libya dan Iraq zaman Saddam Hussein mahu membangunkan bom tandingan. Tetapi Libya yang pernah berusaha ke arah itu telah mengisytiharkan pembatalan program itu apabila ia kini dianggap sudah tidak memusuhi AS.

Bagaimanapun, seorang saintis paling terkemuka abad ke-20 yang berbangsa Yahudi merupakan pembuka jalan secara teori kepada kemampuan manusia untuk membangunkan senjata nuklear. Saintis itu ialah Albert Einstein yang menemui Teori Relativiti.

Tetapi beliau penentang pembangunan bom nuklear. Beliau yang menyokong Zionisme dan penubuhan Israel pernah ditawarkan oleh pengasas-pengasas Israel sebagai presiden pertama negara itu.

Perkauman

Bagaimanapun, beliau menolak kerana mahu menumpukan pada kerja-kerja sains. Namun begitu, gagasan negara Israel bagi beliau bukanlah berbentuk perkauman atau keagamaan seperti yang ada hari ini. Einstein mahukan Israel yang demokratik serta bercirikan berbilang kaum dan agama, dengan bererti memberi tempat kepada hak orang Arab di kampung halaman mereka sendiri.

Pembangunan senjata nuklear pastinya datang dari AS. Sementara bapa bom atom yang asalnya membangunkan senjata itu di AS ialah Robert Oppenheimer.

Walaupun Oppenheimer lahir di New York, seperti Einstein, beliau adalah seorang keturunan Yahudi yang turun-temurun menjadi warga Jerman. Dari segi cara hidup keluarganya, beliau menghalalkan Yahudi sekular. Maknanya mengambil Yahudi hanya sebagai budaya serta identiti tetapi bukan kepercayaannya seperti banyak orang Yahudi di AS hari ini.

Walaupun AS membangunkan bom atom ekoran kebimbangan bahawa Jerman Nazi akan menemuinya, sejarah senjata nuklear boleh dikatakan bermula di Jerman.

Sebelum Perang Dunia Kedua, akibat tekanan, banyak saintis Yahudi berhijrah dari Jerman ke AS. Dengan kekosongan yang berlaku di Jerman, seorang saintis Werner Karl Heisenberg diberi tanggungjawab memulihkan sains Jerman.

Beliau menemui kaedah fusi nuklear yang menjadi asas kepada pembangunan bom nuklear kelak. Walaupun seorang nasionalis Jerman, tetapi beliau menentang rejim Nazi.

Heisenberg dikatakan menjadi pelopor kepada program bom atom di Jerman dan hampir membangunkannya. Bagaimanapun beliau dikatakan bertanggungjawab menggagalkan program Nazi itu dan membocorkan rahsia program itu kepada AS.

Ini menyebabkan AS melancarkan Projek Manhattan yang melahirkan ujian bom atom pertama di Los Alamos di New Mexico. Seorang lagi ahli fizik AS terkenal dan turut memainkan peranan dalam projek ini ialah Richard Feynman, juga seorang Yahudi. Umumnya, ahli-ahli fizik abad ke-20 didominasi oleh keturunan Yahudi.

Kebimbangan

Bagaimanapun, kebimbangan AS terhadap bom atom Jerman tidak berasas. Jerman tumbang sebelum dapat memiliki bom itu.

Akhirnya bom atom itu digugurkan ke atas Jepun. Suatu tindakan yang ditentang oleh ramai saintis AS.

Ada pandangan bahawa antara sebab AS menggunakan bom atom ke atas Jepun adalah kerana bimbang terhadap kemaraan Soviet ke negara itu.

Jepun boleh dikalahkan tanpa penggunaan bom atom. Tetapi sebarang kelambatan akan membawa tentera Soviet mara dan masuk ke Jepun seperti yang berlaku di Jerman.

Jika tidak menggunakan bom atom, mungkin bukan saja keseluruhan Korea iaitu termasuk Korea Selatan, malah Jepun akan terbahagi dua. Jepun Utara menjadi komunis dan Jepun Selatan pula menjadi demokrasi seperti Jerman Barat.

Tetapi ternyata perkembangan bom atom tidak terhenti di Hiroshima dan Nagasaki. Sepatutnya setelah menang, AS menghapuskan saja bom atom dan menghalang mana-mana negara membangunkannya.

Program nuklear Soviet banyak berkisar usaha Stalin meniru dan mencuri maklumat dari AS selepas pengguguran bom di Jepun itu. Bagaimanapun, apa yang membolehkan ujian pada tahun 1949 itu adalah sisa projek bom atom Jerman yang tidak berjaya.

Maka akhirnya dapat dilihat kedua-dua AS dan Soviet mempunyai susur galur senjata nuklearnya dari Jerman dan Yahudi.

Maka dari AS, senjata nuklear berkembang ke Britain (1952) dan Perancis (1960). Dari Soviet, ia pergi ke China pada tahun 1964. Dari Soviet dan China, ia sampai ke Korea Utara.

Tetapi apabila India dan Pakistan menyertai kelab negara-negara bersenjata nuklear, ternyata pengetahuan dan kemahiran membangun senjata nuklear sudah bersifat terbuka.

Ini yang menjadi kebimbangan kepada AS dan dunia amnya. Mimpi ngeri ialah apabila ia jatuh ke tangan pengganas. Al-Qaeda yang berpusat di sempadan Afghanistan dan Pakistan berada di sisi senjata nuklear Islamabad. Bagaimanapun, penglibatan Korea Utara dan Iran dalam pembangunan senjata nuklear serta dikaitkan dengan Al-Qaeda boleh mengancam AS dan dunia.

Terdapat dua peluang bagi penghapusan keseluruhan senjata nuklear. Pertama semasa tamat Perang Dunia Kedua. Kedua, selepas Perang Dingin. Bagaimanapun peluang itu sudah terlepas.

Kalaulah AS dan Israel menghapuskan senjata nuklearnya, maka tidak ada sebab bagi Korea Utara dan Iran membangunkannya.