China tangani Korea Utara

0leh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 8 Oktober 2006


CHINA merayu Korea Utara supaya menghentikan rancangannya untuk menjalankan ujian nuklear. Tetapi Korea Utara tetap bertegas.

Jelas Pyongyang tidak mahu mendengar rayuan Beijing. China pula berasa malu kerana pengaruhnya ternyata luntur terhadap Korea Utara.

Ini kerana China merupakan negara paling rapat dengan Korea Utara. dari segi latar belakang, China adalah kuasa yang membawa kepada penubuhan Korea Utara.

Adalah menjadi kepentingan China untuk menghalang aktiviti senjata nuklear di Korea Utara. Sebarang peningkatan aktiviti sedemikian akan meningkatkan suhu rasa ancaman kepada Korea Selatan dan Jepun.

Akhirnya ia boleh mendorong Jepun untuk turut mahukan senjata nuklear dan ia merupakan suatu keadaan yang tidak dikehendaki oleh China.

Justeru tiga persoalan timbul. Mengapakah Korea Utara mahu melakukan aktiviti berkaitan senjata nuklear itu? Kedua, mengapakah Korea Utara tidak mengendahkan rayuan China? Ketiga, apakah yang boleh China lakukan?

Menjadi tanda tanya bagi semua pihak sebab Korea Utara hendak melakukan aktiviti berkaitan senjata nuklear.

Negara itu adalah jelas tidak diancam oleh mana-mana negara. Baik Jepun, Korea Selatan bahkan Amerika Syarikat (AS) tidak menimbulkan sebarang tanda-tanda mengancam mereka.

Kalau adapun ialah sikap Presiden George W. Bush yang tidak selembut Bill Clinton. Lebih-lebih lagi doktrin presiden itu yang menekan Korea Utara bersama Iran sebagai antara komponen paksi kejahatan. Tetapi AS tidak mengancam Korea Utara secara langsung.

Atau mungkinkah Korea Utara sengaja melakukannya supaya memperoleh apa yang dikehendaki, iaitu berupa bantuan? Tetapi buat masa ini, Korea Utara tidak mengalami kekurangan besar yang memaksa mereka untuk mendapatkan bantuan luar.

Sebab Korea Utara tidak mengendahkan China adalah berkemungkinan kerana keyakinan mereka boleh berdikari dan berdaulat untuk melakukan apa saja tanpa sokongan serta tidak bimbang dihalangi oleh Beijing.

Sikap rasa merdeka dan bebas ini lebih membimbangkan Korea Selatan, Jepun dan AS kerana tidak ada lagi pihak yang boleh diharap dapat menangani negara degil ini.

Bagaimanapun hubungan China dan Korea Utara ini adalah saling guna-mengguna. Di satu pihak Korea Utara menggunakan China sebagai pelindung kepada sebarang tekanan pihak AS dan sekutunya. Pada satu pihak yang lain, China menggunakan Korea Utara sebagai pelindungnya daripada AS. Malah boleh dianggap bahawa Korea Utara adalah satu-satunya sekutu China yang tinggal, walaupun tidak benar-benar setia padanya.

Semasa zaman Mao Zedong dahulu, negara yang menjadi sekutu China dalam dunia komunis adalah Albania. Ini diikuti dengan Kemboja semasa ia diperintah oleh Khmer Rouge. Kedua-dua negara ini kini sudah ditadbir secara demokratik.

Korea Utara pada masa itu lebih merupakan sekutu Soviet daripada China, walaupun Beijing memainkan peranan penting dalam awal penubuhannya.

Semasa Stalin memerintah Soviet, kedua-dua, Republik Rakyat China dan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) berada di bawah payung Moscow.

Setelah haluan Moscow berubah di bawah Nikita Khruschev, dunia komunis berpecah dua; antara Soviet dengan China. Semua negara komunis kecuali Yugoslavia dan Albania mengikut Soviet.

Yugoslavia mengambil jalan bebas daripada kedua-duanya. Korea Utara di bawah Kim Il-Sung yang walaupun mengekalkan sistem Stalinis tetapi mengambil jalan tengah antara Soviet dan China tanpa meninggalkan kedua-duanya.

Apabila Soviet tumbang dan dunia komunis hanya tinggal lima iaitu China, Korea Utara, Vietnam, Laos dan Cuba; Pyongyang mendapati hanya Beijing yang dapat melindunginya.

Sememangnya apabila Soviet tumbang dan lebih-lebih lagi selepas kematian Kim Il-Sung, dunia mengharapkan sistem komunis Korea Utara turut tumbang.

Impian dunia mengalu-alukan Korea Utara mengikuti jejak langkah Jerman Timur dengan meninggalkan komunisme dan menyatu dengan Korea Selatan, menjadi Korea bersatu.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Korea Utara bukannya negara-negara satelit Soviet seperti Eropah Timur dan Mongolia yang turut meninggalkan komunisme apabila Moscow tumbang.

Ia juga bukan seperti sekutu China iaitu Albania dan Kemboja di bawah Khmer Rouge yang turut mengikut jejak langkah negara-negara satelit Soviet dengan meninggalkan komunisme.

Tumbang

Korea Utara juga tidak seperti Yugoslavia yang pemerintahan komunismenya tumbang apabila pengasasnya, Broz Tito meninggal dunia.

Dari satu segi ia seperti Vietnam. Walaupun pengasasnya, Ho Chi-Minh, Vietnam terus kuat. Vietnam dianggap sekutu Soviet berbanding China, ia terus mengamalkan sistem komunismenya walaupun Soviet tumbang.

Tetapi Vietnam mempunyai sekutunya sendiri iaitu Laos dan Kemboja di bawah Hun Sen. Kemboja dilepaskan untuk menjadi negara demokratik sementara Laos terus menjadi sekutunya. Tetapi Vietnam, Kemboja dan Laos kini berfungsi dalam kerangka ASEAN.

Berbeza dengan Vietnam, Korea Utara mempunyai hubungan baik dengan China. Vietnam dan China yang walaupun sama-sama komunis tetapi pernah berperang sesama sendiri.

Bagaimanapun kini, sistem komunis yang mengamalkan pasaran terbuka di China turut dipakai di Vietnam dan Laos. Tetapi ia tidak dilaksanakan di Korea Utara.

Kejatuhan komunis di Korea Utara dan penyatuan Korea tidak berlaku. Pemerintahan komunis terus kekal di Korea Utara di bawah Kim Jong-il yang menggantikan bapanya.

Beijing mempunyai kepentingan supaya sistem komunis terus kekal di Korea Utara. Jika sistem politik komunis di situ tumbang, maka ia pasti bergabung dengan Korea Selatan. Kemunculan Korea bersatu dianggap sebagai ancaman kepada China. Ini kerana Korea yang besar menandakan kemenangan Barat di Semenanjung itu. Pengaruh AS dan Jepun yang ada di Korea Selatan akan melebar ke Korea Utara dan imbangan strategik dianggap menekan China.

Maka Beijing mempertahankan sistem politik komunis di Korea Utara. Kalaupun cita-cita penyatuan antara Korea Utara dan Korea Selatan akhirnya tidak dapat dielakkan, apa yang China mahu ialah persamaan kekuatan antara utara dan selatan, baik dari segi politik mahupun ekonomi.

Ini supaya sebelah selatan tidak mendominasi. Korea bersatu mestilah berkecuali dan tidak condong kepada AS dan Jepun seperti yang ada pada Korea Selatan sekarang ini.

Bagaimanapun, kecenderungan Koea Selatan kepada Washington dan Tokyo adalah kerana ancaman Pyongyang yang jelas.

Maka Beijing mungkin mengharapkan Korea Utara akan mengikut jejaknya dalam pembangunan ekonomi. iaitu walaupun mengekalkan sistem politik komunis tetapi mengamalkan ekonomi terbuka.

Malah China berusaha membantunya di wilayah sempadan sekitar Sungai Yalu. Bagaimanapun Pyongyang menghalang sebarang pengaruh kuat China terhadap perubahan ekonominya. Ia terus mengamalkan sistem Stalinis. maka DPRK muncul sebagai satu-satunya negara komunis ortodoks yang masih tinggal. Cuba di bawah Fidel Castro juga lebih bersikap terbuka.

Maka mungkin dunia melihat bahawa China merupakan negara paling hampir dengan Korea Utara. Malah China juga menyifatkan Korea Utara sebagai sekutunya walaupun dalam keadaan longgar. Bagi Korea Utara, mereka merupakan negara komunis yang bebas, tunggal dan satu-satunya yang tinggal.

Ujian senjata nuklear itu hanya pernyataannya kepada Barat dan China bahawa ia adalah bebas daripada mana-mana negara.

Bagaimanapun terdapat telahan bahawa ujian senjata nuklear Korea Utara bukan untuk dunia luar, tetapi adalah langkah politik dalaman. Mungkin terdapat persaingan kuasa dalaman di kalangan pemuka Korea Utara.

Dari satu segi, dunia melihat Korea Utara merupakan negara diktator yang berada di bawah telunjuk Kim Jong-il. Tetapi ia tidak semestinya demikian. Mungkin Kim Jong-il hanya digunakan oleh pelbagai pihak dalam negaranya. Sama ada Parti Pekerja yang memerintah atau tentera.

Tetapi senjata nuklear adalah perkara serius. China wajar memberikan fokus kepada senjata nuklear Korea Utara itu dan bagaimana ia harus dibubarkan. Semua negara mempunyai kepentingan tetapi apa yang patut diambil kira bukannya pertimbangan politik strategik tetapi adalah kebajikan rakyat Korea Utara sendiri.

Republik Demokratik Rakyat Korea ditubuhkan atas nama rakyat dengan idealisme demokrasi sosial.

Ketika kumpulan politik yang mengasaskan republik itu berjuang menentang imperialisme Jepun dan kemudian AS, ia menjanjikan negara yang memberikan kebajikan kepada rakyat di samping menebus maruah bangsa.

Mereka pula mendapat sokongan dari China dan Soviet yang juga negara masing-masing ditubuhkan atas nama rakyat. Malah Perang Korea yang membawa penubuhan DPRK itu menyaksikan peristiwa di mana terdapat tentera AS yang berpaling dan menyokong Korea Utara kerana percaya pada idealisme negara untuk rakyat itu.

Rejim

Tetapi seperti kumpulan komunis lain, apabila mendapat kuasa, kepentingan rakyat dikhianati dan sebaliknya perkiraan dibuat untuk memastikan rejim mereka terus berkuasa.

Sebaliknya Korea Selatan yang nama rasminya ialah Korea Selatan terus makmur dan rakyatnya hidup terbela walaupun ia disifatkan oleh pihak utara sebagai negara di bawah naungan imperialisme AS-Jepun.

Penyelesaian jangka panjang ialah perubahan rejim Pyongyang dan mengembalikan Korea sebagai sebuah negara bersatu.

Kunci penyelesaiannya berada di tangan China. Ia mesti menerima bahawa keadaan sekarang dengan rejim yang tidak menerima norma antarabangsa adalah lebih berbahaya berbanding dengan kewujudan sebuah Korea bersatu.

Di pihak yang satu lagi, Washington, Tokyo dan Seoul mesti meyakinkan Beijing bahawa sebuah Korea bersatu tidak akan menjadi ancaman kepadanya.

Dalam hal ini, Seoul wajar menjauhkan diri daripada Tokyo dan Washington, malah peningkatan hubungannya dengan Beijing boleh menyumbangkan keyakinan China untuk menerima Korea bersatu.

Dengan kepesatan pembangunan ekonomi China, banyak pihak menyimpan rasa bimbang terhadapnya. Di peringkat global adalah AS sementara di tahap serantau adalah Jepun.

Pada masa ini Korea Utara jadi penampan bagi China menghalang kelebihan pengaruh daripada Jepun dan AS.

Jadi ketika kuasa-kuasa besar memikirkan strategi bagi kepentingan masing-masing, ditambah pula dengan rejim Pyongyang yang fokusnya adalah survival mereka, pihak tersepit adalah rakyat biasa yang dari semasa ke semasa menghadapi ancaman kebuluran.

Untuk survival rejim ini, senjata nuklear menjadi senjata akhir. Ketika mana seluruh rantau Asia Timur sedang rancak membangun ekonomi, Korea Utara merupakan negara penghalang kepada keamanan. Ironinya kunci bagi penyelesaian ini adalah negara yang memimpin penjana ekonomi serantau, iaitu China.