Bandar raya bergantung pada LRT

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 31 Oktober 2006


APABILA melihat bagaimana gerabak kereta api transit aliran ringan (LRT) Rapid KL laluan Sentul Timur terjulur keluar dari landasan, maka sewajarnya banyak pihak yang menuntut supaya langkah diambil bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Keyakinan orang ramai di Malaysia terhadap pengangkutan awam bukan saja wajar dipulihkan, tetapi terdapat dua perkara berhubungan isu ini perlu diambil berat oleh rakyat negara ini.

Pertama, keyakinan hanya boleh benar-benar dipulihkan dengan bukti bahawa kemudahan pengangkutan awam berada dalam tahap lancar dan bertambah baik.

Kedua, hakikatnya bahawa pada masa depan kelangsungan fungsi sesebuah bandar raya amat bergantung pada pengangkutan awam, khususnya menggunakan kereta api laju ringan.

Tanpa penggunaan pengangkutan awam, khususnya LRT, bandar raya boleh lumpuh dengan kesesakan lalu lintas dan akhirnya gagal berfungsi secara cekap dan berkesan.

Dalam hal ini, terdapat tiga langkah besar yang perlu dilakukan. Pertama, melakukan penyeliaan bertaraf tinggi bagi memastikan mutu sistem pengangkutan awam negara dapat dipertahankan.

Langkah kedua, meningkatkan mutunya supaya menjadi lebih baik sekurang-kurangnya mencapai tahap seperti apa yang dirancangkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Langkah ketiga, memperluaskan perkhidamtan awam hingga ia menjadi budaya menggantikan penggunaan kenderaan persendirian.

Malangnya, dua peristiwa kegagalan fungsi pada LRT laluan Kelana Jaya dan Sentul Timur itu memaparkan mutu sistem kereta api sudah merosot daripada sepatutnya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku bukan itu saja. Sebaliknya bagi pengguna biasa LRT, mereka pasti mengalami peristiwa-peristiwa kecil yang memberi tanda bahawa mutu perkhidmatan LRT sedang merosot.

Pun begitu, usaha Rapid KL memperkenalkan sistem baru bas yang berbeza daripada apa yang berlaku di negara ini adalah dialu-alukan. Walaupun terdapat aduan yang perlu ditangani, tetapi usaha itu adalah ke arah mewujudkan masyarakat berorientasikan pengangkutan awam.

Keseluruhannya, sistem pengangkutan awam mestilah meletakkan matlamat bahawa semua warga kota mempunyai hak dan kemudahan untuk bebas bergerak. Ia harus dilihat sebagai hak dan kemudahan, bukannya sebagai perkhidmatan komersial.

Justeru, pengangkutan awam perlu ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan sebagai perkhidmatan bagi warga kota untuk kegiatan bagi meningkatkan produktiviti, aktiviti dan kemakmuran bandar raya berkenaan.

Mentaliti sedemikian penting kerana jika tidak, menyifatkan pengangkutan awam sebagai usaha komersial boleh menghalang layanan adil kepada semua warga termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.

Keuntungan yang diperoleh daripada pengangkutan awam harus dalam bentuk produktiviti dan aktiviti sama ada berbentuk material atau budaya yang terhasil oleh warga kota. Bukannya wang ringgit daripada kutipan jualan tiket untuk tambang atau iklan pada badan gerabak.

Apabila disebut pengangkutan awam, perhatian mungkin tertumpu kepada bas, LRT dan teksi. Tetapi jika diteliti, teksi perlu dilihat sebagai perkhidmatan mewah kerana tambangnya yang mahal dan ia digerakkan secara komersial walaupun bersiap individu.

Justeru, pengangkutan awam masih wajar dirujuk kepada bas dan kereta api saja. Sebenarnya, dari segi agihan sumber, terdapat persaingan antara pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian.

Apabila sesebuah negara menumpukan perhatian kepada pembangunan kereta-kereta persendirian yang melibatkan juga pembinaan lebuh raya, maka hendak tidak hendak ia boleh menjejaskan usaha untuk penggalakan sistem pengangkutan awam.

Sejak awal tahun 1980-an, apabila Malaysia sibuk dengan projek kereta nasional, maka ia secara langsung dan tidak langsung menggalakkan rakyat negara ini memiliki dan menggunakan kenderaan persendirian.

Untuk ini juga, digalakkan rakyat menggunakan kereta dari seawal usia lewat remaja dengan kemudahan bagi pembiayaan kereta, maka bertambahlah kenderaan itu di jalan raya yang kian sesak.

Ia juga menggalakkan pembinaan lebuh raya dan jalan raya bagi penggunaan kereta persendirian sementara pembangunan yang jauh dari pusat bandar juga digalakkan.

Tentu faktor penggalakan penggunaan kereta persendirian mendatangkan kesan kepada pengangkutan awam yang dirasakan terpinggir, lebih-lebih penggunanya adalah daripada golongan yang suaranya tidak sampai ke pejabat-pejabat penggubal polisi.