Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 22 Oktober 2006
SEPANJANG bulan Ramadan ini, sudah tentu umat Islam di seluruh dunia, sama ada majoriti atau minoriti di negara masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadat puasa.
Maka oleh kerana umat Islam sudah wujud hampir di seluruh dunia, dengan kedudukan bumi yang bulat, maka ada saja umat Islam pada setiap masa berbuka, bersolat tarawih, bersahur dan meneruskan berpuasa. Ia seperti gelombang umat yang secara bergiliran melakukan ibadat puasa.
Umpamanya oleh kerana Nusantara berada di timur dan menerima cahaya pagi paling awal, maka umat Islam di sinilah yang mula berpuasa, berbuka, sembahyang tarawih dan bersahur.
Sementara umat Islam di Hawaii umpamanya yang terakhir melakukan ibadat itu.
Bagaimanakah malam lailatulqadar berlaku dari sudut melihat bumi berbentuk bulat? Tentunya malam lailatulqadar tidak serentak dirasakan oleh umat Islam. Ia dinikmati secara bergiliran mengikut peralihan siang dan malam menurut pusingan bumi. Hakikatnya lailatulqadar merupakan malam yang berkait rapat dengan jiwa dan kerohanian individu.
Bagaimanapun, paksi dan fokus umat Islam adalah kiblat iaitu Masjidilharam di Mekah al-Mukarammah. Walau di mana di muka bumi, hala solat adalah pada Mekah.
Dalam zaman di mana televisyen satelit sudah sampai ke merata pelosok dunia, ditambah pula dengan kemudahan televisyen Internet, maka umat Islam dapat menyaksikan dan mengikuti sembahyang tarawih yang berlangsung di Masjidilharam.
Di Malaysia, sembahyang tarawih itu disaksikan sebelum bersahur. Dengan alunan bacaan yang merdu, keadaan Masjidilharam pada hari ini boleh dianggap paling cantik, bersih dan efisien dalam sejarahnya.
Kerajaan Arab Saudi yang bertanggungjawab terhadap Masjidilharam dan Masjid Nabawi telah membangunkan suasana yang paling selesa dan damai pernah berlaku dalam sejarah. Terbaru, dirancangkan Masjidilharam itu akan menikmati kemudahan hawa dingin secara keseluruhannya.
Bilangan umat Islam yang begitu ramai, mungkin paling banyak dalam sejarah juga sudah ramai yang mampu bukan saja pergi menunaikan haji tetapi umrah. Sementara umrah pada bulan Ramadan amat diingini.
Pembangunan menakjubkan dalam sejarah ini bukan saja berlaku di Arab Saudi tetapi juga di negara-negara Teluk lain dan Dubai sedang muncul sebagai kota metropolitan baru yang mungkin satu hari boleh menyaingi New York.
Tapak-tapak di padang pasir didirikan kemudahan infrastruktur serta menjadi hartanah yang dijual ke seluruh dunia untuk muncul sebagai kota moden mengalahkan bandar-bandar Islam lama seperti Damsyik, Baghdad, Kaherah dan Istanbul.
Kemakmuran ini bukan saja berlaku di negara-negara Teluk, tetapi turut dinikmati jauh di Timur iaitu di Malaysia. Kuala Lumpur muncul sebagai bandar umat Islam yang turut boleh dibanggakan.
Pada Hari Raya Aidilfitri, warga-warga kota ini yang sudah tentu hidup selesa akan berasa bertuah dan mampu untuk bersyukur kerana nikmat pembangunan dan rezeki yang melimpah ruah.
Kalau minyak yang mendatangkan kemakmuran kepada negara-negara Teluk, minyak juga yang membolehkan Malaysia mendirikan bangunan tertinggi di dunia dan membangunkan pusat pentadbiran dengan menghidupkan balik seni bina yang pernah didirikan di Damsyik, Baghdad, Kaherah, Istanbul, Kordoba, Isfahan, Samarkand dan Delhi.
Tetapi pada waktu sama, berjuta-juta umat Islam sedang kelaparan dan kesusahan, serta berada di ambang keganasan dan pembunuhan.
Paling teruk ialah di Darfur, Sudan. Umat Islam di kawasan malang itu tersepit antara dua pihak yang kedua-duanya beragama Islam. Kerajaan Khartoum yang komited mendirikan Islam di Sudan memiliki rakyatnya yang daif diancam peperangan, kemusnahan dan kelaparan.
Banyak agensi bantuan berpusu ke Darfur. Kontinjen dari kalangan Kristian dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah juga sudah berada di sana.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga sedang berusaha untuk menyelamatkan penduduk Darfur. Ia merupakan kawasan krisis dan konflik yang serius.
Tetapi kedaifan orang Islam bukan saja di Sudan. Di banyak tempat di Afrika, umat Islam dirundung kemiskinan, kelaparan dan kematian. Mereka terperangkap dalam peperangan.
Begitu juga di Iraq, Afghanistan dan Palestin. Penduduk Kashmir juga masih jauh daripada keselamatan. Sementara orang Islam yang miskin tetapi hidup di negara yang aman terlalu ramai untuk dibantu. Bukan saja di Afrika, tetapi juga Iran, Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia.
Sementara di negara-negara bekas Kesatuan Soviet termasuklah masalah Chechnya memerlukan perhatian dan pembelaan.
Baru-baru ini, Bank Grameen yang diasaskan oleh Dr. Muhammad Yunus dianugerahkan Hadiah Nobel kerana kejayaannya membantu orang susah dan miskin melalui skim kredit mikro.
Kini model beliau menjadi ikutan di banyak negara sebagai usaha membasmi kemiskinan.
Soal sosioekonomi dan usaha untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang antara golongan berbeza pendapatan merupakan salah satu prinsip penting dalam ajaran Rasulullah s.a.w. Maka prinsip ini terserlah dalam amal ibadat umat Islam di mana membayar zakat merupakan salah satu Rukun Islam.
Zakat itu wajib supaya orang yang susah turut menerima bantuan daripada orang yang senang. Malah kewajipan zakat ini menjadi tonggak kepada negara Islam Madinah baik semasa Rasulullah, mahupun Khalifah Rasyidin.
Satu-satunya institusi yang ditubuhkan oleh Rasulullah bagi kerajaannya ialah Baitulmal yang bertanggungjawab mengutip dan mengagihkannya kepada orang yang memerlukan.
Tahap keseriusan zakat ini dapat dilihat apabila Saidina Abu Bakar melancarkan peperangan menentang mereka yang enggan membayar zakat selepas Rasulullah. Sesungguhnya zakat dan Baitulmal merupakan institusi asas kepada kerajaan Islam.
Bagi umat Islam, kisah hebat Khalifah Omar Abdul Aziz akan sentiasa dikenang di mana beliau sentiasa mahu memastikan Baitulmal kosong dengan semua kutipan diagih-agihkan dengan segera kepada fakir miskin. Bagaimanapun didapati tidak ada orang fakir dan miskin lagi di kota Damsyik kerana semuanya telah terbela.
Zakat sememangnya untuk memastikan golongan miskin juga terbela. Tetapi zakat fitrah yang diarahkan supaya dikutip sebelum sembahyang Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan supaya fakir miskin dapat turut merayakan hari raya. Maka agihannya juga perlu dibuat pada pagi hari raya itu juga.
Zaman kini memerlukan cara lain bagi pengagihan. Di peringkat tempatan, kutipan dan agihan mungkin boleh dilakukan dengan cepat. Tetapi bagaimana pula di peringkat nasional, serantau dan sejagat?
Rangkaian Internet yang turut sampai di banyak negara Islam wajar digunakan untuk memindahkan zakat, sedekah dan sumbangan.
Selama ini pun banyak orang senang di dunia Islam memberi sumbangan dan sedekah melalui pelbagai pertubuhan dan agensi kebajikan. Ada antaranya bukan saja disalurkan untuk kebajikan tetapi kepada perjuangan jihad, baik di Afghanistan semasa pendudukan komunis, atau perjuangan Palestin dan Bosnia-Herzegovina.
Tetapi ada segelintir disalahgunakan dan menjadi bahan biaya untuk apa yang kini dikenali sebagai rangkaian pengganas. Akibatnya semua sumbangan dan agensi kebajikan disyaki sebagai terlibat dengan keganasan yang akhirnya membawa kepada tindakan pihak berkuasa Barat.
Sementara golongan yang betul-betul memerlukan bantuan terjejas.
Tetapi satu lagi dimensi yang secara serius perlu diperhatikan adalah cara membasmi kemiskinan. Kaedah biasa dan lama iaitu dalam bentuk pemberian sekali habis tidak lagi sesuai. Perhatian wajar diberikan kepada bantuan yang mendatangkan kesan berpanjangan, seumur hidup dan mendatangkan manfaat bergenerasi.
Justeru, Bank Grameen berjaya kerana mengambil pendekatan membantu usaha niaga. Iaitu bantuan membasmi kemiskinan adalah dalam bentuk memberi modal bagi tujuan mereka berusaha mencari rezeki.
Di peringkat negara, Pertubuhan persidangan Islam (OIC) mempunyai instrumen kewangan dalam bentuk Bank Pembangunan Islam (IDB) yang ternyata berjaya dalam membantu negara-negara Islam bagi menjayakan projek-projek khusus pembangunan.
Bagaimanapun, apa yang diperlukan adalah kaedah yang lebih langsung, mendalam dan sampai kepada orang perseorangan. Satu kaedah yang asasnya daripada Islam, dan lebih baik dari Bank Grameen.
Di sinilah peranan Pertubuhan Zakat Antarabangsa yang sedang dirancangkan dan telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu.
Malaysia menyatakan kesediaan menjadi tuan rumah dan operasi pusat berkenaan.
Dalam hal ini, katanya, jika hanya mengambil pendekatan menyampaikan bantuan setiap tahun tentunya ia akan habis tanpa membawa sebarang perubahan kepada kedudukan kemiskinan golongan terbabit.
Tentu mekanisme pelaksanaan memerlukan pertimbangan terperinci supaya ia tidak tinggal nama tanpa keberkesananya seperti banyak program dan angan-angan orang Islam yang pernah difikirkan.
Apa yang nyata ia merupakan zakat dan tertakluk kepada kaedah dan cara yang disepakati oleh ulama. Maknanya, siapakah yang akan menyumbang dan bagaimana agihan dibuat mengikut asnaf.
Sudah dilihat betapa kini bukan saja individu yang membayar zakat tetapi juga syarikat-syarikat perniagaan. Maka adakah negara boleh dikenakan bayaran zakat mengikut pendapatan masing-masing untuk diagihkan kepada negara-negara miskin?
Perkara ini sudah beberapa kali dibincang dalam sidang-sidang berkaitan dengan OIC. Ia perlu dilaksanakan seberapa segera.
Negara-negara Islam mesti membantu Darfur. Bukan saja kerana mereka beragama Islam, tetapi ia tanggungjawab kemanusiaan seperti yang diajar oleh Rasulullah.
Pada masa akan datang, bukan saja negara-negara Islam membantu orang Islam tetapi bagi yang memerlukan tanpa mengira agama. Islam adalah rahmat untuk manusia dan perjalanan bagi umat Islam dan negara Islam untuk menaikkan kewibawaan agama ini adalah masih jauh.
Imej sebagai agama kekerasan mesti diubah kepada sifat sebenar iaitu menjadi pembela dan pelindung kepada golongan susah, terpinggir dan teraniaya di seluruh dunia.
Ingatlah bagaimana Saidina Omar ibn Khattab mudah menawan wilayah Rom di Baitulmaqdis dan Palestin. Begitu juga dengan Amru ibn As ke atas wilayah Rom di Mesir. Mereka tidak menggunakan pedang. Penduduk kota Baitulmaqdis dan Fustat itu menyambut baik tentera Islam kerana mereka sudah mendengar bahawa orang Islam membela golongan susah dan mewujudkan keadilan dan kesamarataan.
Di sinilah konsep Islam Hadhari kena pada tempatnya. Islam sebagai agama yang membawa peradaban dan pembelaan.
Kuncinya pada pelaksanaan zakat sepenuhnya, baik di peringkat tempatan, nasional mahupun sejagat.
Di antara rukun-rukun Islam, hanya zakat dapat membuktikan sama ada masyarakat dan negara Islam berjaya melaksanakan program sosioekonominya, dan itulah sebenarnya asas tamadun: pembasmian kemiskinan.