Lihat penarafan THES sebagai cabaran positif pada IPTA

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 7 Oktober 2006


THE Times Higher Education Supplement (THES) telah pun mengeluarkan senarai penarafannya tahun ini. Sesuatu yang amat mengerikan untuk dinantikan oleh universiti-universiti Malaysia.

Setelah mengalami tamparan terhadap kemerosotan Universiti Malaya (UM) tahun lalu, maka penarafan THES kali ini dinanti-nantikan dengan penuh keberatan bukan saja oleh akademia UM, tetapi juga komuniti pendidikan negara, juga orang Melayu keseluruhannya.

Manakan tidak, universiti awam Malaysia ditadbir secara umumnya oleh orang Melayu di bawah kuasa kementerian yang menterinya Melayu dalam kerajaan pimpinan Melayu.

Maka universiti awam sudah menjadi wajah akademik Melayu. Memandangkan bahawa universiti merupakan tempat berhimpunnya orang cerdik pandai, maka akademia tempatan memikul beban maruah Melayu.

Sepatutnya tidak berlaku demikian. Ilmu tidak mengenal batas bangsa dan negara. Tetapi dalam negara yang politiknya begitu berkait dengan kaum, maka keadaan beginilah yang berlaku.

Sebarang kritikan terhadap akademia tempatan akan menjadi cemuhan terhadap orang Melayu sendiri. Bagi pihak yang hendak menjatuhkan maruah Melayu, maka jalan mudah adalah mempertikaikan kewibawaan institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Maka penarafan THES ini merupakan satu peluang untuk melancarkan serangan ke atas kewibawaan akademia Melayu dan seterusnya kemampuan orang Melayu.

Sedangkan THES walaupun merupakan penerbitan yang terkemuka di dunia, tetapi ia hanyalah sisipan pendidikan tinggi yang dikeluarkan oleh akhbar The Times.

Kaedah penarafan THES dijelaskan oleh Pengurus Korporat Lembaga Akreditasi Negara (LAN), Muhammad Muammar Gaddafi Omar (lihat rencananya di bawah) yang menunjukkan bahawa ia bukanlah cara terbaik.

Namun kita wajar melihatnya secara positif dan menjadikannya sebagai pendorong bagi pembaikan IPTA itu sendiri. Kritikan diterima dengan baik dan dalam perspektif yang adil.

Maka Khamis lalu THES pun mengumumkan bahawa universiti terbaik dunia ialah Havard, diikuti Cambridge dan Oxford.

Universiti terbaik Asia ialah Universiti Beijing yang menduduki tempat ke-15 sementara Universiti Nasional Singapura menduduki tempat ke-19. Universiti Hong Kong menduduki tempat ke-33. Ucapan tahniah kepada universiti yang ditadbir keturunan Cina.

Sementara universiti yang ditadbir Melayu, hanya dua yang berjaya masuk ke senarai 300 THES. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tahun lalu menduduki tempat ke-289 berjaya memperbaiki tarafnya dengan kali ini menduduki di tempat 185.

Sementara Universiti Malaya (UM) yang pernah menduduki dalam kumpulan 100 dua tahun lalu terus merosot, daripada 169 tahun lalu ke-192 bagi tahun lalu.

Sedangkan dari segi sejarahnya, Universiti Malaya dan Universiti Nasional Singapura adalah hasil daripada perpecahan Universiti Malaya di Singapura.

Pada hemat saya, ahli akademik Melayu khususnya yang ditugaskan untuk mentadbir universiti-universiti di negara ini wajar tabah dalam menghadapi kritikan dan cemuhan daripada pelbagai pihak. Anggaplah ia sebagai cabaran besar dan dorongan untuk memperbaiki universiti masing-masing khususnya bagi pensyarah-pensyarah muda yang akan mencorak akademia negara pada masa depan.

Tidak lama lagi universiti Kelantan akan beroperasi dan hakikatnya ialah bahawa banyak universiti baru di negara ini juga menyebabkan tenaga akademik terpaksa diagih-agihkan dan ia menipiskan kualiti sesebuah universiti. Bayangkan jika semua pentadbir dan tenaga akademik terbaik dikumpukan dalam satu saja universiti terbaik di negara ini, pastinya kedudukannya akan melonjak.

Pada masa akan datang cabaran akan bertambah. Saya berasa gerun kalau-kalau pada satu hari nanti, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) mengatasi mana-mana IPTA dalam senarai THES itu.

Namun begitu, dalam usaha yang berterusan, jangan pula ahli-ahli akademik dan pentadbir universiti terlalu obses dengan penarafan THES. Sudahlah dunia pendidikan kita begitu berorientasikan peperiksaan, jangan pula universiti dijadikan alat untuk kebanggaan semata-mata dan bukan sebenarnya komited pada nilai ilmu itu sendiri.

Saya sentiasa berpendirian bahawa tumpuan universiti kita mestilah pada pengisian (substance) daripada perkara kulit (form).

Universiti kita hendaklah menghentikan mentaliti yang sibuk kepada soal-soal fizikal, upacara dan perkara-perkara aksesori.

Majlis konvokesyen dan lambang-lambang universiti seperti cokmar dalam budaya universiti kita sememangnya gah. Tetapi akhirnya apa yang menjadi perkiraan ialah buku di universiti.

Bukan saja koleksi buku di perpustakaan universiti tetapi lebih penting lagi ialah penerbitan ilmiah oleh ahli-ahli akademik yang berupa hasil daripada penyelidikan.

Maka manusia dalam universiti itu penting. Daripada ahli akademik kepada pelajarnya. Serta pencapaian pelajarnya apabila keluar daripada universiti.

Nampaknya dunia ilmiah masih didominasi oleh universiti Amerika Syarikat (AS) dan Britain. Jalan bagi negara-negara lain untuk menyainginya masih jauh.