Oleh: ZIN MAHMUD (Di Davos, Switzerland)
Sumber: Utusan Malaysia 25 Januari 2007
FORUM Ekonomi Dunia (WEF) mempunyai cogan katanya yang berbunyi Komited untuk Memperbaiki Keadaan Dunia. Maka itulah tujuannya apabila ia menghimpunkan pemimpin-pemimpin dunia baik dalam bidang politik, ekonomi, sosial, korporat, akhbar dan masyarakat sivil bagi membincangkan isu-isu memperbaiki keadaan demikian.
Maka WEF sudah menjadi institusi global yang diiktiraf dan menarik perhatian dunia apabila forum kali ini menyaksikan penyertaan paling ramai iaitu lebih 2,000 peserta sejak penubuhannya.
WEF kini menyertai institusi-institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Hadiah Nobel, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Bank Dunia, Sukan Olimpik dan seumpamanya yang mencorak kehidupan antarabangsa manusia sejagat.
Forum ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang meletakkannya pada kedudukan lebih baik daripada PBB dalam usaha memperbaiki keadaan dunia. Ini kerana ia merupakan forum tidak formal yang membolehkan penglibatan mana-mana pemimpin dunia, dalam erti kata yang luas bertemu, berbincang dan mewujudkan rangkaian mereka sendiri.
Walaupun WEF tidak mempunyai sebarang kuasa atau program bagi melaksanakan tindakan susulan yang lahir daripada pertemuan-pertemuan ini tetapi ia lebih kepada tempat pencetusan idea dan menggalakkan percambahan pemikiran baru timbul daripada reaksi antara pemimpin-pemimpin itu.
Lebih jelas lagi, ia bukan terhad kepada pemimpin-pemimpin politik dan awam semata-mata tetapi membabitkan semua bentuk pembuat dasar dan program daripada kalangan dunia bisnes dan kumpulan masyarakat sivil. Sememangnya pengaruh di dunia hari ini sedang berpindah daripada tangan pemimpin-pemimpin politik semata-mata kepada tokoh-tokoh bidang lain.
Rangkaian antara politik dan bisnes serta sosial menyebabkan WEF menjadi lebih penting melangkaui namanya yang merujuk kepada ekonomi semata-mata. Sudah tentu isu-isu yang dihadapi oleh manusia bukan sekadar berkisar kepada ekonomi tetapi tentunya pada akhirnya ia menyentuh perkara-perkara lain daripada politik, sosial malah alam sekitar dan agama.
Bagi Switzerland sendiri, WEF menjadi sumbangannya kepada dunia selain daripada banyak institusi global lain termasuk Pergerakan Palang Merah Antarabangsa. Tetapi WEF bukan sekadar pergerakan untuk memperjuangkan kemakmuran dunia, ia sendiri merupakan idea dan institusi yang menguntungkan pengasas dan pemiliknya.
Ia mendatangkan pendapatan kepada bandar peranginan Davos dan Switzerland sendiri. WEF diadakan setiap Januari dan organisasi penganjurnya membuat pelbagai program sepanjang tahun tetapi kemuncaknya ialah forum yang diadakan pada bulan ini.
Januari adalah musim sejuk dan Davos menjadi tempat tumpuan kepada permainan ski tetapi ada masanya pendapatan bandar ini terjejas jika salji turun terlalu lebat hingga menghalang permainan ski menyebabkan kurangnya pengunjung. Namun begitu, dalam apa jua keadaan cuaca, WEF tetap diadakan dan banyaklah pengunjung datang dan persiapan untuknya memakan setahun lebih awal menyebabkan harga keperluan di Davos meningkat kerana permintaan yang tinggi, baik daripada kalangan peserta WEF mahupun mereka yang bercuti untuk bermain ski.
Walaupun kedudukan yang demikian, prestij WEF semakin meningkat dan penyertaan di dalamnya menjadi suatu perkara yang eksklusif. Terdapat lebih 300 sesi yang merangkumi pelbagai tema apabila forum ini bermula Rabu ini hingga Ahad ini. Antaranya seperti yang disertai Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Tata Kejiranan Global dalam Dunia Pelbagai Budaya dan Perhimpunan Tidak Formal Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Dunia (IGWEL).
Dalam IGWEL itu pula, tajuk-tajuk yang menjadi tema ialah persoalan Apakah Perkembangan Selanjutnya bagi Pusingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) Doha?, Agenda Diplomatik ASEAN, Arah Tuju Polisi Amerika Syarikat (AS) Ekoran Pilihan Raya Separuh Penggal Kongres? serta Agenda G20 dan Selanjutnya,
Sementara Jamuan Tahunan WEF yang dipanggil Soiree ini dianjur dan ditaja oleh Petronas yang merupakan gilirannya sebagai rakan strategik forum itu.
Tetapi tema umum WEF kali ini ialah Perkiraan Anjakan Kuasa yang merujuk kepada perubahan imbangan kuasa dunia daripada pasak besar yang sedikit kepada banyak pusat kecil kuasa ini.
Perkara ini dapat difahami melalui wawancara Pengarah Urusan Pusat bagi Pemikiran Dalaman Strategik WEF, Ged Davis dengan majalah niaga bahasa Inggeris utama di Switzerland, Business Guide keluaran sulung.
Menurutnya, tema Perkiraan Anjakan Kuasa dapat difahami melalui pelbagai perspektif.
“Terhadap kedua-dua sudut ekonomi dan geopolitik, kita sedang memerhatikan suatu anjakan di mana semakin meningkatnya penampilan China dan India .
“ Terdapat anjakan kuasa dari institusi-institusi ke individu-individu dan kumpulan-kumpulan kecil melalui kebangkitan rangkaian-rangkaian komuniti baru.
“Kita sedang melihat satu dunia di mana rangkaian-rangkaian menjadi bertambah penting, bukan saja sebagai cara komunikasi tetapi juga cara menawarkan peluang dan penyelesaian baru, bukan saja kepada perniagaan tetapi juga sesiapa yang mahu menjadi sebahagian daripada mereka.
“Secara ringkas boleh disebut bahawa kita mempunyai dunia di mana terdapat keperluan untuk membawa pelbagai pemilik kepentingan ke titik pertemuan seperti pemimpin-pemimpin kerajaan, ketua-ketua badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin agama dan orang bisnes, adalah suatu perkara penting kerana masalah global tidak akan dapat diselesaikan oleh satu kumpulan saja.
“ Adalah menjadi tujuan kita, Perhimpunan Agung Tahunan itu membawa mereka bersama membentuk dan memajukan agenda global, ‘’ jelas Davis.
Apa yang dimaksudkan dengan agenda global ialah memperbaiki dunia. Satu aspek anjakan yang dimaksudkan ialah penggunaan ruang siber yang lebih meningkat. Istilah avatar digunakan bagi merujuk kepada individu yang diperkasakan dalam ruang siber. Ini termasuklah soal sfera blog dan peningkatan peranan individu. Perkara ini dapat lebih difahami apabila majalah Time baru-baru ini memilih you atau anda iaitu orang perseorangan sebagai tokoh tahun ini.
Maknanya seseorang boleh bernilai tinggi berbanding syarikat. Di sinilah antara anjakan yang berlaku di dunia. Daripada kuasa besar kepada rangkaian kumpulan kecil hinggalah kepada orang perseorangan. Kekayaan selebriti atau tokoh sukan, serta individu yang berjaya untuk kaya lebih daripada syarikat memaparkan fenomena ini.
Perubahan inilah yang disebut anjakan kuasa di dunia. Bagaimanapun, konsep ini tidak terlepas daripada kritikan yang melihat sebagai penguasaan pihak atau individu yang sudah mapan dengan kekayaan ke atas kebanyakan manusia di dunia yang hanya menjadi pengguna dan pekerja biasa. Kelas menengah mungkin menikmati sesuatu tahap kehidupan tetapi lebih banyak lagi iaitu kebanyakan manusia hidup dalam kemiskinan dan terpinggir daripada kemakmuran dunia.
Maka para pengkritik WEF menyifatkan forum ini sebagai perhimpunan dan pakatan mereka yang mempunyai kuasa untuk membuat polisi yang menguntungkan mereka berbanding kebanyakan orang. Agenda global yang dimaksudkan ialah memenuhi kepentingan mereka yang berjaya dan berkuasa. Kebanyakan orang dapat turut menikmati kesenangan hanya kerana secara kebetulan mereka membantu menambah kekayaan golongan yang sudah berada.
Tetapi terhadap pengkritik ini, Davis menyatakan bahawa debat abad ke-20 yang berkisar mengenai perbezaan antara sosialisme dan kapitalisme sudah tidak relevan sekarang. Debat abad ke-21 adalah membuka peluang kepada semua pihak untuk menikmati kemakmuran dunia dengan usaha dan idea baru masing-masing.