Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 4 Januari 2007
SELAIN daripada Tahun Melawat Malaysia dan perayaan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50, rakyat negara ini berpeluang untuk menikmati satu lagi acara yang tidak kurang penting untuk tahun 2007.
Ia adalah Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam yang bermula pada 14 Januari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sesungguhnya pameran ini amat penting bagi rakyat Malaysia daripada semua kaum dan agama. Malah bukan saja bagi Malaysia tetapi juga untuk umat Islam dan manusia sendiri.
Lagipun manfaat daripada Islam adalah untuk manusia, dan bukan sekadar bagi umat Islam semata-mata.
Begitu juga dengan sains itu sendiri. Ia bukan sekadar muncul dalam tamadun Islam; lain-lain tamadun seperti China dan India turut menyumbang kegemilangan sains mereka.
Apa yang disebut sebagai sains Islam adalah lebih tepat difrasakan sains dalam tamadun Islam seperti yang menjadi nama pameran ini.
Rakyat Malaysia mesti mengambil peluang menikmati pameran ini dan menjadikannya acara penting dalam kalendar 2007.
Namun begitu, minat yang tersemai daripada kunjungan ke pameran itu hendaklah tidak terhenti setakat itu. Bertitik mula kepada kegemilangan sains dalam tamadun Islam, ia harus menjadi penggalak kegemilangan sains yang baru di kalangan umat Islam.
Hakikatnya kini umat Islam amat ketinggalan dalam bidang sains. Berbanding dengan bilangannya yang banyak, kini hanya dua saintis Islam yang berjaya meraih Hadiah Nobel iaitu Dr. Abdus Salam dari Pakistan dan Dr. Ahmad Zuwail dari Mesir. Sedangkan bilangan saintis Yahudi adalah jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah penganutnya.
Tetapi sains tidak wajar dikaitkan dengan agama tertentu tetapi harus dilihat sebagai usaha manusia membongkar misteri kewujudan tanpa mengira kepercayaan masing-masing.
Dalam tamadun Islam juga, saintis-saintisnya terdiri daripada pelbagai agama, bukan saja Islam tetapi juga Yahudi dan Kristian.
Sememangnya sains dalam tamadun Islam menjadi asas kepada sains zaman ini, yang bertunjangkan tamadun Barat. Tetapi sains dalam tamadun Islam juga mewarisi penemuan dan pemikiran sebelumnya meliputi jangkauan intelektual tamadun terdahulu iaitu Rom, Yunani, Mesir, Sumeria, Parsi dan Hindi.
Lagipun konsep ‘sains’ yang diketahui hari ini boleh dikatakan bermula seiring dengan penubuhan Royal Society di Britain di tengah-tengah Revolusi Sains dan Revolusi Industri ekoran daripada zaman Enlightenment.
Sayangnya apabila minat terhadap sains mula bercambah di Barat, kerancakan pemikiran dalam tamadun Islam menjadi layu. Kalau Barat boleh meletakkan kemajuan sainsnya berasaskan tamadun Islam, maka tidakkah wajar sekarang bahawa kemajuan sains di kalangan umat Islam berdiri di atas kegemilangan sains Barat?