Merangka agenda masa depan IT

Oleh: ZIN MAHMUD (Di Davos, Switzerland)
Sumber: Utusan Malaysia 26 Januari 2007


SEBANYAK 226 sesi dalam masa lima hari Forum Ekonomi Dunia (WEF) mulai Rabu lalu merangkumi pelbagai isu yang dapat dianggap meliputi keseluruhan masalah, cabaran dan aspirasi manusia untuk masa depan. Tentunya kejayaan manusia untuk terus berkembang maju akan dikira dari segi keampuhan mindanya memahami dunia, dan di situlah peranan besar teknologi.

Ini kerana minda manusia yang mencipta teknologi dan selanjutnya teknologi membentuk semula minda manusia. Dalam sesi ketujuh hari pertama satu sesi teknologi bertajuk Melangkaui Web 2.0 – Dari Kandungan ke Pengetahuan Kolektif. Sementara sesi ke-23 pula bertajuk Zaman Avatar dan Identiti Pelbagai.

Konsep teknologi sudah jauh berkembang tetapi kemunculan teknologi maklumat (IT) pada tahun 70-an memberi kesan yang sehingga ini bercambah di luar imaginasi kebanyakan manusia. Maka dalam banyak-banyak bidang teknologi, dapat dilihat dari tajuk-tajuk sesi itu, IT terus memberi dimensi baru terhadap kehidupan manusia.

Umpamanya dalam sesi mengenai Web 2.0 itu, persoalan yang dikemukakan ialah bagaimana dalam masa lima tahun akan datang pengetahuan yang ada pada manusia menjadi lebih kolektif dan dikongsi. Apa yang disebut sebagai Web 2.0 ialah rangkaian sosial serta tapak-tapak interaktif berorientasi komuniti. Tetapi ketika mana Web 2.0 ini terus berkembang pesat, gagasan Web 3.0 sedang menampilkan diri.

Ahli-ahli panel dalam sesi ini membincangkan bagaimana apa yang diistilahkan sebagai Web semantik yang diperkasa oleh teknologi merupakan ciri asas dengan dipacu oleh keperibadian bertahap hiper digandingkan dengan kemajuan dalam usaha pencarian maklumat dan penandaan, yang akan keseluruhannya mengubah cara pengetahuan dikongsi.

Membaca perkataan-perkataan dalam paragraf atas itu sudah tentu sedikit sebanyak membuat pembaca pening kepala untuk memahami apa yang dimaksudkannya. Tetapi itulah fenomena yang harus dihadapi oleh manusia pada masa akan datang.

Walaupun ditulis dalam bahasa Inggeris seperti yang dipaparkan dalam program WEF yang menjadi sumber maklumat ini, seseorang yang tidak mengikut perkembangan IT akan berasa dirinya sesat.

Pun begitu, bahasa perkembangan IT masih boleh difahami. Perlu juga diingat bahawa kebangkitan dan peluapan penggunaan IT walaupun diasaskan oleh bahasa Inggeris tetapi ia sudah sampai kepada hamper semua bahasa di dunia. Termasuk bahasa-bahasa suku kaum yang tidak mempunyai hubungan panjang dengan bahasa Inggeris.

Bagi bahasa Melayu, konsep-konsep IT tidaklah sukar untuk diterjemahkan dan difahamkan kerana pembinaan istilah dan aliran hubungan dengan bahasa Inggeris sudah kian lama terbina.

Namun, apa yang penting ialah kefahaman mengenai konsep dan gagasan baru dalam bidang IT.

Dalam banyak-banyak perkara IT yang berhubung langsung dengan perkongsian maklumat dan pengetahuan ialah soal enjin pencari seperti yang paling terkenal ialah Google. Kemajuan teknologi dalam bidang pencarian dan penandaan pengetahuan dalam ruang siber membangun Web 3.0 ini Apa yang umum mengetahui kebanyakannya ialah Web 1.0. Rangkaian komuniti interaktif yang disebut Web 2.0 masih belum benar-benar berkembang tetapi sesi WEF ini telah mula membincangkan mengenai Web 3.0.

Dengan dunia yang semakin berangkai dan pengetahuan yang bertambah dan lebih banyak dikongsi, maka sudah tentu ia memberi kesan kepada identiti manusia itu sendiri. Ini membawa kepada sesi yang bertajuk Zaman Avatar dan identiti Pelbagai. Bagi generasi komputer, istilah avatar sudah bukan luar biasa.

Ia bermaksud sesuatu identity seseorang yang dibentuk untuk beroperasi dalam ruang siber. Buat masa ini avatar lebih banyak digunakan oleh pemain-pemain permainan komputer (GC) untuk bergerak, berlawan serta bersaing dalam permainan atas talian.

Generasi GC yang muncul di kalangan remaja pada tahun 90-an kini sudah menjadi komuniti tersendiri dan apabila mereka kian mendewasa, ia sudah tentu memberi impak kepada dunia.

Maka pada satu hari kelak avatar akan digunakan oleh sesiapa dalam ruang siber. Kini blogger dan pengguna kedai eBay umpamanya sudah mula mewujudkan avatar. Apabila laman-laman web muncul bagi memberi khidmat kepada avatar ini, yang boleh muncul dalam pelbagai bentuk, maka batas antara nyata dan maya semakin kabur.