Tata kejiranan dunia global

Oleh: ZIN MAHMUD (Di Davos, Switzerland)
Sumber: Utusan Malaysia 22 Januari 2007


DALAM Forum Ekonomi Dunia 2007 yang diadakan sepanjang minggu ini, satu sesi berhubung kehidupan beragama akan berlangsung Khamis ini di Dewan Kongres, Pusat Kongres Davos.

Dengan tajuk Tata Kejiranan Global dalam Dunia Pelbagai Budaya, sesi ini akan cuba membahaskan dua persoalan iaitu: Adakah kepelbagaian budaya akan menentukan politik kebangsaan dan global bagi generasi-generasi akan datang?

Kedua, apakah isu-isu utama yang menjadi ciri kepada dialog Barat-Islam yang berlaku sekarang? Persoalan kedua ini disertakan dengan pertanyaan adakah tindakan konkrit diambil bagi menyelesaikan perbezaan antara keduanya.

Menurut penganjur Forum Ekonomi Dunia ini, dua persoalan itu dibawa atas kesedaran bahawa dalam zaman ini yang merupakan era perubahan besar, agama dan kerohanian dapat memberikan kekuatan dan panduan.

‘‘Bagaimanapun, adalah penting untuk menguatkan dialog di kalangan agama dan budaya yang berbeza untuk menyemai persefahaman bersama. Dalam hal Barat dan Islam, komunikasi antaranya telah runtuh hingga kepada peringkat mencabar secara serius tata global,’’ demikian menurut penganjur forum itu.

Bagi sesi itu dijadualkan, kata-kata pembukaan akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan dipengerusikan oleh kolumnis Hal Ehwal Luar akhbar The New York Times, Thomas L. Friedman.

Para peserta terdiri daripada Presiden Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS), John J. DeGiola, bekas Presiden Republik Islam Iran, Mohammad Khatami, Ketua Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif majalah Sojourners (AS) dan Profesor Kajian Kemanusiaan Universiti Boston, AS.

Sememangnya apabila timbul krisis seperti kontroversi berhubung tudung di Eropah, atau kartun menghina Rasulullah s.a.w, maka akan dilihat bahawa ia merupakan pertembungan budaya dan agama yang memerlukan dialog untuk mewujudkan satu tata kejiranan antara pelbagai budaya.

Tetapi ancaman keselamatan dalam bentuk keganasan tidak boleh dikatakan berpunca daripada soal keruntuhan komunikasi antara budaya. Keganasan yang dilihat muncul dari kalangan orang Islam adalah berpunca daripada politik. Ada pihak di Barat yang melihat bahawa terorisme mempunyai akar daripada terorisme Islam untuk menakluki dunia Barat.

Apa yang mereka gagal melihat ialah hakikat bahawa Barat telah menakluki dan menguasai dunia Islam sejak era penjelajahan Portugis pada abad ke-16. Barat bukan saja mengancam Islam tetapi sudah menakluki dunia islam. Penaklukan ini berterusan bukan saja di Palestin tetapi juga Afghanistan dan Iraq .

Sememangnya Portugis yang pernah menjajah wilayah Islam mempunyai serampang tiga mata: Glory, Gold and Gospel (Kegemilangan, emas dan Injil) yang boleh ditakrifkan sebagai politik, ekonomi dan agama. Maknanya selain daripada bertujuan meluaskan empayar, Portugis juga mahu mengangkut kekayaan dari tanah-tanah jajahan dan di atas segalanya ialah penyebaran agama Kristian.

Maka sudah tentu reaksi dan rentetan daripada perjalanan sejarah adalah usaha dunia Islam untuk membebaskan diri daripada penjajahan politik, ekonomi dan budaya. Budaya di sini merangkumi agama.

Kemudian Portugis dan Sepanyol digantikan dengan Inggeris, Perancis dan Belanda. Mereka tetap memiliki agenda politik dan ekonomi. Walaupun dari segi agama, mereka tidak menyebarkan Katholik secara langsung seperti yang dilakukan oleh Portugis dan Sepanyol, tetapi misionari Protestan turut bersama mencari tapak baru di tanah-tanah jajahan mereka.

Sudah tentu penjajahan mereka ini ditentang oleh umat Islam, dan pada satu masa ia meledak menjadi gerakan nasionalisme yang bersifat global dan berakhirnya era penjajahan. Dalam memperjuangkan kemerdekaan, ia bukan saja meliputi soal politik tetapi juga ekonomi dan agama.

Kini adalah zaman pasca nasionalisme yang telah pun menggantikan pasca kolonialisme. Dunia berada pada era globalisasi tetapi penjajahan yang muncul adalah dalam bentuk berbeza. Ditandai dengan kedudukan hegemoni AS, ia melibatkan penjajahan politik, ekonomi dan budaya, termasuk agama.

Tetapi hegemoni ini tidak dibiarkan menguasai dunia. Ia dicabar bukan saja oleh umat Islam, tetapi lain-lain golongan, daripada China dan Amerika Latin. Dari segi ideologi, sosialisme pasca Perang Dingin merupakan aliran yang menentang penjajahan berbentuk hegemonistik ini.

Justeru, keganasan yang berasal dari Islam dan fahaman ekstremisme hanyalah sebahagian daripada kuasa-kuasa yang bangkit menentang hegemoni Barat. China dan Amerika Latin tidak mempunyai kaitan dengan Islam. Malah Amerika Latin mempunyai asal daripada Katholik yang merupakan satu ironi.

Ini kerana penjajah awal iaitu Portugis berasal dari agama Katholik tetapi kini mereka menjadi penentang kepada hegemoni AS. Tidak hairanlah Presiden Venezuela, Hugo Chavez bersahabat dengan Presiden Iran, Mahmud Ahmedinejad.

Sememangnya apa yang dilakukan oleh pengganas berasal Islam perlu ditentang kerana kezalimannya, tetapi ia wajar dilihat dalam konteks lain. Baik dari segi kezaliman yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin dan Lebanon mahupun perbuatan tentera AS di Iraq dan Somalia .

Justeru, untuk membicarakan agama dalam hubungan kejiranan global, ia tidak terlepas daripada soal politik dan ekonomi. Tiga perkara ini tetap berangkai.

Maka kenyataan bahawa komunikasi antara dunia Barat dan Islam sudah runtuh hingga menjadi ancaman serius kepada tata hubungan sejagat mengundang kepada persoalan terhadap perspektif yang tidak adil. Apakah yang dimaksudkan dengan tata hubungan global?

Adakah penguasaan Barat itu merupakan tata hubungan global yang diterima dunia dan wajar dipertahankan? Sedangkan jelas ia hanya bertujuan memenuhi kepentingan mereka. Jika tata hubungan dunia memihak kepada Barat, maka sudah tentu ia dicabar oleh pihak-pihak lain, dan secara ekstremnya ialah menerusi keganasan.

Bagaimanapun jika diteliti, komunikasi yang runtuh bukanlah sangat dalam bidang budaya dan agama, tetapi lebih kepada politik dan ekonomi iaitu rebutan untuk mendapatkan kuasa dan memupuk kekayaan.

Maka wajar Forum Ekonomi Dunia ini tidak hanya membicarakan soal ekonomi. Ia turut membicarakan mengenai politik dan budaya. Maka dialog antara budaya atau antara agama wajar dibuat dalam konteks dialog antara kepentingan politik dan ekonomi.

Sebagai contoh, pertembungan antara Israel dan Palestin bukanlah kegagalan dialog antara Yahudi dan Islam. Tetapi ia adalah kegagalan dialog politik antara nasionalisme Arab dan Zionisme. Sementara pertembungan politik juga timbul kerana kekecewaan rakyat Palestin terhadap sekatan peluang ekonomi dan rampasan hak ekonomi oleh rejim Tel Aviv.

Malah kontroversi tudung di Perancis dan kartun menghina Nabi di Belanda bukan semata-mata soal agama dan budaya. Ia ada kaitan dengan politik dan ekonomi. Penghijrahan orang Islam ke Perancis dan Belanda ada kaitannya dengan politik dan ekonomi. Wilayah mereka pernah dijajah dan dalam kedudukan ekonomi dunia yang dikuasai Barat sekarang, maka tidak ada jalan lain bagi rakyat Afrika Utara dan di wilayah-wilayah bekas tanah jajahan untuk berhijrah bagi memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.

Sementara penafian mereka untuk mengamalkan budaya sendiri di Barat serta penghinaan yang dilakukan melalui kartun yang disebarluaskan adalah juga ada kaitan dengan soal politik dan ekonomi. Mereka mahu penduduk Islam di Eropah tunduk di bawah kekuasaan Barat. Hegemoni politik dan budaya akan mengundang pemberontakan.