Di sebalik pemulauan pilihan raya Batu Talam

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 13 Januari 2007


“TAKUT kalah,” ‘‘Tidak ada duit.” Itulah antara reaksi apabila mengetahui bahawa pihak pembangkang memulau pilihan raya Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam. Reaksi itu berbentuk sinis.

Banyak orang akan melihat dalih-dalih yang dikemukakan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah atas sebab rasa tidak puas hati mereka terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau suatu taktik politik canggih.

Apa yang orang lihat terhadap tindakan Pas dan PKR adalah kerana mereka tidak mahu membazirkan wang untuk pilihan raya itu.

Senang kata, tindakan mereka itu adalah kerana ‘‘tidak ada duit.” Bukanlah bermakna mereka langsung tidak mempunyai sumber atau wang, tetapi hakikatnya ialah mereka mahu menjimatkan sumber yang dimiliki untuk pilihan raya umum akan datang - yang sebenarnya lebih penting daripada DUN Batu Talam, dan pilihan raya umum pun dianggap akan berlangsung "tidak lama lagi.”

Tentulah satu pembaziran bagi pembangkang untuk bertanding di Batu Talam itu kerana peluang untuk menang boleh dikatakan tidak ada.

Sebab itulah sejak dari awal lagi, sebelum mereka mengumumkan memboikot pilihan raya itu, ada dikatakan bahawa matlamat mereka bukanlah untuk menang, tetapi sekadar mengurangkan majoriti undi Barisan Nasional (BN).

Penyokong

Pada awalnya soal proses pilihan raya SPR tidak kemas langsung tidak timbul. Sebaliknya penyokong-penyokong Pas khususnya di Pahang, dan lebih-lebih lagi di Batu Talam yang bersemangat untuk berkempen, bukanlah untuk menang sangat tetapi untuk berseronok dalam menghadapi pilihan raya. Itulah hiburan bagi penyokong-penyokong parti politik, khususnya pembangkang.

Bagaimanapun, keinginan Pas Pahang musnah apabila pucuk pimpinan parti mengikut langkah yang diambil oleh PKR yang menerima nasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memboikot pilihan raya itu.

Memanglah mudah untuk memboikot bagi PKR kerana mereka langsung tidak berpeluang untuk berperanan di Batu Talam. PKR tidak relevan di Batu Talam, malah di banyak tempat di Malaysia.

DAP yang mempunyai tapak pun tahu menilai kedudukannya di Batu Talam dan mengisytiharkan mereka tidak berminat.

Hanya Pas walaupun sukar menang dalam pilihan raya tetapi mempunyai ahli dan jentera bagi menggerakkan kempen.

Tempat-tempat seperti ini menarik bagi penyokong-penyokong Pas untuk aktif dalam bentuk berkempen bagi pilihan raya kecil. Ini kerana dalam konteks pilihan raya kecil, mereka boleh menumpukan perhatian terhadap satu kawasan kecil. Maknanya jentera parti Pas di seluruh negara boleh bergerak di Batu talam. Maka bandar ini akan menjadi meriah dengan kehadiran tukang-tukang kempen dari seluruh Malaysia.

Lebih-lebih lagi sekarang apabila pembangkang berasa banyak isu untuk diperkatakan dan boleh menarik minat. Sekurang-kurangnya Pas mampu menang sorak kerana tidak berpeluang untuk menang kerusi.

Dengan beranggapan bahawa jentera BN akan turut tertumpu di situ, maka pertembungan UMNO-Pas dalam kempen di Batu Talam akan menjadi menarik.

Boikot

Tetapi Pas juga mengambil keputusan memboikot pilihan raya itu. Hakikatnya Pas mahu melihat penasihat PKR sebagai pemimpin utama pembangkang sedangkan parti itu terlalu kecil berbanding dengannya. Ia juga menunjukkan walaupun Pas parti yang lebih besar, mereka tidak mempunyai kepimpinan yang kemas menandingi penasihat PKR.

Kononnya dikatakan bahawa Pas mengikut jejak Hamas yang memboikot pilihan raya di Palestin pada zaman ada Yasser Arafat dahulu. Tetapi persamaan ini tidak tepat. Pas hanya berani memboikot pilihan raya pada kawasan yang ia tidak boleh menang.

Tetapi persoalannya adakah tuduhan yang mereka lemparkan kepada SPR itu ada asas?

Masalah yang dikemukakan mereka itu bukanlah perkara baru, ia lebih berbentuk teknikal yang mana SPR dapat menyelesaikan setiap aduan.

Tetapi masalah SPR bukanlah perkara ini. Yang penting adalah imej kewibawaannya supaya walau apa pun pembangkang kata, rakyat tahu bahawa suruhanjaya itu melaksanakan proses pilihan raya secara jujur.

Satu perkara yang boleh dipersoalkan ialah mengapa hanya PKR dan Pas yang menimbulkan masalah kebersihan proses pilihan raya ini tetapi tidak DAP. Sedangkan DAP dikenali rajin dalam soal penyelidikan dan tegas menimbulkan isu-isu demokratik.

Kalaulah tuduhannya itu ada konspirasi untuk memenangkan calon BN di Batu Talam, maka boleh dipersoalkan ialah untuk apa? Batu Talam adalah kawasan selamat bagi BN dan tidak memerlukan kerja-kerja pelik untuk memenanginya.

Sebaliknya bagi kawasan-kawasan yang pembangkang ada peluang untuk menang pula, Pas tidak akan memboikotnya. Walaupun ada kalanya mereka mempersoalkan proses pilihan raya di situ, umpamanya di Kelantan, tetapi mereka tidak akan memboikotnya.

Jadi akhirnya rakyat tidak berpeluang mendengar isu-isu yang sepatutnya mereka kemukakan. Oleh kerana mereka meletakkan apa yang difikirkan sebagai kepentingan parti, soal penglibatan rakyat dalam pilihan raya diketepikan.