Dalam kedinginan, membincangkan kehangatan dunia

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Utusan Malaysia 24 Januari 2007


HUJAN renyai-renyai dan angin musim dingin menyambut para pengunjung yang tiba di lapangan terbang antarabangsa Zurich, Switzerland. Zurich terletak di bahagian timur laut Switzerland dalam wilayah bahasa Jerman. Maka semua papan tanda dan papan iklan bertulisan bahasa Jerman, hanya sekali sekala kelihatan bahasa Inggeris.

Jerman adalah satu daripada tiga bahasa rasmi Switzerland. Dua bahasa rasmi lain ialah Perancis dan Itali. Maka negara ini terbahagi kepada tiga wilayah menurut kejiranannya dengan tiga negara besar Eropah itu.

Zurich ialah antara tiga kota Swiss yang terkenal di dunia. Ibu negara Switzerland ialah Berne tetapi Geneva dan Zurich lebih terkenal. Geneva pernah menjadi kota menempatkan ibu pejabat Liga Bangsa-Bangsa, iaitu pertubuhan dunia sebelum diwujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kini ia menempatkan banyak pertubuhan antarabangsa dan agensi PBB sendiri.

Oleh kerana Zurich terletak di persekitaran pergunungan, maka ia menjadi kota gerbang kepada pusat-pusat peranginan ski, antaranya ialah Davos. Maka kelihatanlah banyak peminat ski dari seluruh dunia yang bertumpu ke Zurich untuk sampai ke pusat-pusat peranginan itu.

Gambaran bagaimana pemandangan pergunungan Switzerland serta permainan ski sudah amat terkenal di seluruh dunia. Umpamanya poster-poster foto yang menunjukkan keindahan pergunungan Swiss baik semasa musim panas mahupun sejuk menjadi penghias dinding kepada banyak rumah, pejabat dan kedai makan seluruh dunia. Imej negara indah sudah lama terpahat dalam minda sejagat. Sementara gambaran permainan ski juga sudah dipaparkan dalam pelbagai filem sejak manusia mengetahui menggunakan media itu.

Perjalanan dari Zurich ke Davos mengambil masa tiga jam dengan menggunakan kereta api atau kereta. Pemandangan bandar raya Zurich di subuh Ahad yang dingin tidaklah menarik, seperti mana kota Eropah Barat yang lain. Apabila masuk ke luar bandar, cuaca yang gelap dan pohon-pohon tanpa daun hanya memuramkan pemandangan. Lebih-lebih lagi apabila salji yang sudah cair hanya menghitamkan tanah-tanah yang sudah kehilangan rumputnya.

Tetapi apabila sampai ke Tasik Zurich, maka terserlah keindahan Swiss walaupun dalam kesuraman musim dingin. Salji yang belum cair kelihatan di sana sini dan pemandangan yang menjadi Switzerland terkenal iaitu lembah yang diapit gunung-gunung berlitup salji mula muncul. Rumah-rumah kampung Swiss yang klasik di tengah-tengah lembah rumput terbentang luas berbukit-bukau. Kelihatan lembu-lembu meragut rumput.

Puncak gunung yang putih hilang dari pemandangan kerana langit juga putih dipenuhi kabus. Diketahui ada puncak gunung di situ hanya kerana terdapat batu-batu gunung yang tidak diliputi salji.

Untuk sampai ke Davos, banyak jambatan dan terowong dilalui dan akhirnya gunung, lembah, tasik Swiss adalah kesemuanya menyediakan pemandangan poskad terunggul di dunia.

Sesampai di Davos, kelihatan pemain ski lengkap berpakaian ski dan memikul alat ski menuju ke stesen kereta kabel yang akan membawa mereka ke puncak gunung untuk berlepas menggelongsor ke bawah. Itulah dia keseronokan dan menjadi puncak rekreasi orang Barat.

Dalam kawasan bandar, terdapat gelanggang untuk bermain gelongsor ais dan hoki ais. Bagaimanapun, pada penghujung setiap Januari, Davos bukan saja menjadi tumpuan mereka yang bercuti. Ia juga menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi, sosial, akademik, korporat dan akhbar berhimpun untuk membincangkan isu-isu hangat dunia dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Forum ini telah menempatkan Davos sebagai membicarakan masalah-masalah dunia dan berusaha untuk menyelesaikannya. Ia menyumbangkan kepada sosok Switzerland sebagai sebuah negara pencinta perdamaian dan kemajuan kemanusiaan berkualiti.

Switzerland dianggap sebagai salah sebuah daripada negara Barat yang ‘lembut’. Lembut di sini bermaksud mereka tidak mempunyai imej ‘keras’ seperti Amerika Syarikat (AS), Britain, Australia atau Itali.

Sukar untuk ditakrifkan bagaimana yang disebut keras atau lembut tetapi penampilan negara-negara ini dapat dirasakan kedudukannya. Selain mereka mempunyai masyarakat yang liberal dan demokratik, dasar luar negara-negara ‘lembut’ tidak agresif dan memusuhi pihak lain.

Selain Switzerland, lapan negara Barat yang ‘lembut’ ini meliputi lima negara Scandinavia iaitu Iceland, Denmark, Norway, Sweden dan Finland. Sementara tiga negara Barat bukan Scandinavia ialah Switzerland, Austria dan New Zealand. Hanya New Zealand bukan negara Eropah.

Kebanyakan negara-negara ini adalah kecil, dikuasai oleh parti Sosial Demokrat dengan fahaman tradisional Demokrasi Sosialisme. Negara-negara besar dalam kumpulan ini seperti Norway, Sweden dan Finland mempunyai bilangan penduduk yang kecil.

Tetapi ciri umum semua negara itu adalah mereka mempunyai iklim dingin. Adakah kedinginan itu menyebabkan mereka stabil dan ‘lembut’? Bagaimanapun, ternyata Barat bukanlah monolitik, iaitu berciri tunggal. Di dalamnya terdapat spektrum pelbagai ciri. AS tidak wajar diajukan wajah utama Barat.

Tetapi Austria dan Switzerland merupakan sebahagian daripada rumpun Jerman yang dalam sejarahnya terkenal sebagai bangsa ‘keras’. Bagaimanapun, Switzerland merupakan satu-satunya negara di dunia yang memegang polisi berkecuali yang tegas hingga berjaya mengelakkan dirinya daripada terjerumus dalam dua peperangan dunia.

Malah ia hanya menjadi anggota PBB beberapa tahun lalu kerana mempertahankan polisi berkecualinya yang tegas. Switzerland muncul sebagai sebuah negara berbilang etnik dan bahasa yang membasmi peperangan. Ia tidak pernah menjajah bangsa lain dan mengelak dirinya daripada dijajah. Maka antara sumbangannya kepada dunia ialah Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang lambangnya pada asalnya adalah kebalikan warna kepada bendera nasional Switzerland.