Rusia tidak mampu tandingi Amerika Syarikat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006


ANOUSHEH Ansari dijangka menjadi angkasawan pelancong wanita pertama dunia apabila beliau diterima menjadi penumpang kepada kapal angkasa Soyuz-TMA-9 dijadualkan dilancar bulan depan.

Dalam sejarah penerokaan angkasa, nama beliau akan diabadikan seperti mana Valentina Tereshkova, angkasawan wanita pertama dunia yang pergi ke angkasa menggunakan Vostok-6 pada tahun 1963.

Pastinya juga Anousheh akan menjadi selebriti bukan saja kerana kejelitaannya yang mampu menarik perhatian media tetapi kedudukan beliau sebagai seorang berbangsa Iran walaupun merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS).

Justeru, walaupun Anousheh pergi dengan bendera AS dijahit pada bajunya tetapi beliau akan dianggap sebagai orang Iran pertama yang menjadi angkasawan.

Tetapi pemergian Anousheh ke angkasa ini adalah menarik dan penuh paradoks. Beliau, seorang berbangsa dan kelahiran Iran pergi sebagai warganegara AS dengan menggunakan kapal angkasa Rusia tetapi dibiayai melalui wang sendiri kerana kejayaannya menjadi usahawan berjaya.

Kejayaannya sebagai usahawan pula adalah melalui syarikat yang ditubuhkan bersama suami dan abangnya iaitu Hamid dan Amir iaitu Telecom Technologies Inc (TTI) di mana beliau adalah ketua eksekutifnya.

Oleh kerana ketiga-tiganya merupakan orang Iran yang berhijrah ke AS, maka TTI boleh disifatkan sebagai sebuah syarikat Iran di bumi kapitalis.

Anousheh lahir pada tahun 1967, iaitu pada zaman Shah Iran di mana negara itu merupakan sekutu AS. Ketika berusia 13 tahun, beliau menyaksikan Revolusi Islam Iran di mana peranan wanita berubah dan sistem ekonomi negara itu terputus dengan AS.

Beliau berhijrah ke AS bersama abangnya, Hamid pada tahun 1984 dan memperoleh Ijazah Sains dalam Kejuruteraan Elektrik dan Sains Komputer dari Universiti George Mason. Kemudian Annousheh memperoleh ijazah sarjananya dari Universiti George Washington.

Tentunya ini merupakan kejayaan besar bagi beliau, lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita dari Iran pula.

Dengan kejayaan ini, beliau memperoleh tapak untuk menubuhkan syarikat komputer. Era revolusi komputer dan sistem demokrasi serta kapitalisme di AS membolehkan beliau meraih kejayaan dan kekayaan.

Apa yang dicapai beliau mungkin tidak dapat diraih jika Anouseh masih berada di Iran dan tidak berhijrah. Sistem politik, ekonomi dan politik di Iran tidak memungkinkan kejayaan seperti itu. Maka pastinya kejayaan beliau menjadi idaman bagi banyak warga Iran yang terperangkap dengan suasana di situ.

Masyarakat AS pula boleh menerima beliau lebih-lebih lagi apabila Anousheh menjadi penyumbang besar bernilai berjuta-juta dolar kepada Yayasan X-Prize pada tahun 2004 hinggakan dana itu dinamakan Ansari X-Prize.

Yayasan X-Prize merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang diwujudkan untuk menggalakkan usaha melancarkan kapal angkasa swasta berharga rendah. Dari situ dapat dilihat bahawa Anousheh amat berminat dalam soal-soal penerbangan angkasa.

Kejayaan beliau sebagai usahawan juga diiktiraf melalui majalah bisnes terkemuka AS, Fortune yang menyenaraikan beliau dalam “40 di bawah 40'' pada tahun 2001 iaitu menjadi salah seorang daripada 40 orang di bawah umur 40 yang paling berjaya dalam dunia keusahawanan.

Majalah Working Women di AS juga menamakannya sebagai pemenang Anugerah Kecemerlangan Keusahawanan Kebangsaan AS pada tahun 2000. Dengan menjadi usahawan yang mempunyai kemampuan harta yang besar, barulah beliau dapat membiayai cita-citanya untuk menjadi angkasawan pelancong wanita pertama.

Tetapi cita-cita itu mungkin tidak tercapai jika tidak berlaku dua perkara. Pertama tentang konsep pelancongan angkasa, kedua, jika sistem komunis di Rusia tidak tumbang.

Walaupun sejak awal penubuhannya mengamalkan sistem kapitalis, tetapi program angkasanya masih dikendalikan kerajaan dan tidak sampai kepada mewujudkan industri penerbangan angkasa berbentuk pelancongan komersial. Konsep pelancongan angkasa ini walaupun sudah lama digagaskan dalam bentuk fiksyen sains tetapi hanya benar-benar berlaku setelah kejatuhan sistem komunis di Rusia.

Tumbang

Sebagai negara yang mengamalkan sistem komunis, Rusia ketika menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet meletakkan semua program angkasanya atas usaha kerajaan, iaitu seperti yang berlaku di AS.

Tetapi sebaik saja sistem komunis tumbang, institusi angkasa Rusia menemui jalan buntu kerana Moscow tidak lagi mampu membiayai penerokaan mereka. Oleh kerana kehausan dana untuk program angkasa tidak timbul di AS, maka konsep pelancongan angkasa juga tidak muncul di negara itu. Sebaliknya ia berlaku di Rusia di mana dibentuk kerjasama antara Prodea, Space Adventures Ltd dan Agensi Angkasa persekutuan Rusia (FSA).

Maka Rusia muncul sebagai negara pertama di dunia yang menganjurkan pelancongan angkasa. Ia menambahkan lagi pencapaian Rusia dalam bidang penerokaan angkasa di mana ia merupakan negara pertama dunia melancarkan kapal angkasa, menghantar angkasawan pertama dunia, sama ada angkasawan haiwan, manusia dan juga wanita.

Apa yang lebih menarik tentang Anousheh ialah juga mengenai sifat kuat beliau untuk mencapai sesuatu yang cemerlang. Kalau dalam program angkasa biasa, para angkasawan dipilih oleh agensi kerajaan dan kemudian dilatih untuk tugas-tugas tertentu.

Tetapi dalam program angkasawan pelancongan ini, seseorang itu mempunyai dorongan sendiri untuk berada dalam kedudukan itu dengan menggunakan kekayaan. Maknanya pelancong ini mestilah sudah mencapai satu tahap kejayaan dalam hidupnya untuk memiliki kemampuan bagi membiayai hasratnya untuk ke angkasa.

Tetapi konsep angkasawan pelancongan ini juga membawa erti yang besar kepada manusia. Pertamanya, dana yang disumbangkan oleh mereka termasuk Anousheh membolehkan industri serta kemajuan yang dirintis oleh agensi angkasa Rusia terus dikembangkan.

Tetapi dalam jangka panjang, wawasan program angkasawan pelancongan adalah untuk membawa lebih banyak manusia ke angkasa lepas. Mungkin satu hari hasrat pelancong untuk ke bulan akan tercapai.

Usaha ke peringkat angkasa ini boleh dianggap sebagai langkah pertama kepada usaha lebih jauh. Selepas bulan, penerokaan akan damai juga ke Marikh dan seterusnya ke bahagian-bahagian lain dalam alam semesta. Dari segi politik, kejayaan Anousheh ini membawa makna tersendiri dalam persaingan antara AS, Iran dan Rusia.

AS kini sedang bertembung dengan Iran mengenai soal usaha bidang nuklear. Washington tidak mahu Iran memiliki senjata nuklear. Sementara Teheran melihat AS menghalang kemajuan dan pencapaian sains olehnya. Ini kerana kehebatan Iran dianggap boleh menjejaskan kepentingannya di Asia Barat khususnya berhubung dengan Israel.

Tetapi Rusia melihat pertembungan antara AS dan Iran sebagai satu perkembangan yang boleh menjadi imbangan kepada percaturan geopolitik serantau. Di satu segi, Rusia menyebelahi Iran sebagai kaedah imbangan kepada AS.

Tetapi Washington melihat Iran bukan saja mengancam kepentingannya pada Israel dan sumber minyak di negara-negara Teluk. Lebih pada itu, Iran mewakili satu ideologi yang dianggap sebagai mencabar fahaman AS.

Di sinilah soal Barat lawan Islam, di mana AS mewakili Barat dan Iran mewakili Islam. Apabila disebut Barat, maka rujukan bagi Washington ialah satu sistem politik demokrasi dan ekonomi kapitalis. Sementara Iran sebagai Republik Islam dilihat mengamalkan sistem teokrasi dan ekonomi dikawal kerajaan.

Gambaran ini sebenarnya tidak tepat. Islam tidak ada masalah dengan demokrasi atau sistem kapitalis. Apa yang menyebabkan banyak orang Islam menentang AS adalah kerana sifat hegemoni negara itu yang mendukung Israel, menyerang Afghanistan dan menduduki Iraq.

Bagi pandangan umum di Washington, semua musuh AS dianggap serupa lebih-lebih lagi berkaitan Islam. Maka bagi Washington, Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan Al-Qaeda adalah serupa saja, sedangkan hakikatnya Iran, Syria, Hizbullah dan Hamas tidak pernah bersetuju dengan Al-Qaeda. Di Afghanistan, Iran menyebelahi Pakatan Utara dan bekas Mujahidin menentang Taliban dan Al-Qaeda. Di Iraq pula, Iran menyebelahi kerajaan Iraq yang didukung AS menentang Al-Qaeda.

Bagi Washington, antara cara untuk menundukkan Iran dan Syria adalah melalui demokrasi dan kapitalisme. Sedangkan ternyata usaha AS di Afghanistan dan Iraq belum menampakkan hasil akan kemunculan negaranegara demokrasi yang boleh menjadi model untuk dicontohi oleh negara-negara Islam.

Sememangnya adalah hakikat bahawa umumnya di seluruh dunia membangun dan mundur kagum terhadap kejayaan dan kekayaan AS. Mereka juga mahukan sistem yang memberikan kebebasan dan peluang untuk kaya seperti mana yang ditawarkan oleh sistem AS. Namun begitu, dalam soal dasar luar dan hegemoni AS, khususnya berkaitan dengan Israel, mereka menentangnya terutama di kalangan negaranegara Islam.

Di sinilah timbul kekeliruan di Barat khususnya AS. Apabila ada orang Islam menyetujui demokrasi dan sistem kapitalisme, itu tidak bermakna mereka menyokong dasar luar AS khususnya berhubung dengan Israel.

Rakyat Iraq umpamanya. Umumnya mereka menyambut baik pencerobohan AS yang membebaskan diri mereka daripada kediktatoran Saddam Hussein. Mereka mengalu-alukan penjajahan AS dengan harapan kehidupan mereka dapat berubah dan menikmati demokrasi serta kejayaan ekonomi seperti AS.

Malangnya perkara itu tidak berlaku. Mereka kini bukan saja tidak dapat menikmati seperti apa yang ada di AS tetapi lebih malang lagi keadaan di Iraq tidak selamat. Maknanya, AS hanya mampu membebaskan Iraq dari Saddam tetapi gagal menjadi penjajah yang baik. Begitu juga sikap rakyat Syria dan Iran. Umumnya mereka juga mahukan kesenangan seperti yang dinikmati oleh rakyat AS.

Kalau diberi ruang, pastinya mereka berduyun-duyun mahu berhijrah ke AS. Atas kesedaran ini, AS mendukung gerakan pro-demokrasi di Iran. malah tidak hairan juga AS akan mengggunakan Anousheh sebagai alat propaganda menunjukkan bahawa rakyat negara Parsi itu juga mempunyai kebolehan untuk berjaya. Apa yang menghalang mereka daripada kejayaan adalah sistem Republik Islam dan kepimpinan ulama Iran.

Mungkin golongan pro-demokrasi di Iran bersetuju dengan tanggapan ini. Tetapi layanan keras AS terhadap Iran dan sikap negatif kuasa besar itu terhadap Islam, dan sokongan kuatnya pada Israel menyebabkan rakyat Iran umumnya menyokong kerajaan mereka.

Semangat patriotisme dan nasionalisme di kalangan mereka akan membawa mereka turut menentang AS.

dalam hal ini, pengalaman Rusia wajar menjadi contoh. Mereka meninggalkan sistem komunis dan rakyatnya mengharapkan akan dapat hidup senang seperti orang AS. Tetapi AS hanya menyokong kejatuhan sistem komunis bukan kerana prinsip tetapi untuk menundukkan Moscow.

Kini Moscow tidak lagi berupaya mencabar AS tetapi rakyat kebanyakannya masih hidup susah, malah lebih banyak antaranya lebih susah daripada zaman komunis dahulu.

Read more!

Berfikiran multilateralisme

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 24 Ogos 2006


ADA cadangan supaya negara ini melihat model pendidikan Jerman dan Jepun untuk mencari kaedah yang baik berbanding ikutan kepada sistem Britain-Amerika selama ini.

Sememangnya sebagai sebuah negara bekas tanah jajahan Britain, Malaysia mempunyai kecenderungan untuk menjadikannya sebagai sumber idea dalam membangunkan negara. Pengaruh fahaman Komanwel tentulah menebal.

Tetapi bukan itu saja, dunia hari ini didominasi oleh kuasa besar Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai akar umbi dari Britain juga.

Maka sudah tentu pengaruh pemikiran Amerika-Britain amat kuat bukan saja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Gabungan kekuatan politik, ekonomi dan budaya Amerika-Britain ini pasti menguasai dunia. Dengan adanya negara-negara besar berbahasa Inggeris seperti Australia dan Kanada mengukuhkan lagi gabungan ini.

Kagum, terikat serta tertumpu kepada Amerika-Britain ini merupakan suatu cara pemikiran unilateralisme yang tidak sempit dan merugikan bukan saja kepada negara, tetapi juga dunia.

Sesungguhnya kemajuan dan perkembangan tamadun dunia amat berdasarkan kepada kepelbagaian dan pemikiran multilateralisme adalah terbaik untuk mencari penyelesaian masalah serta mencambahkan pemikiran-pemikiran baru.

Maka antara cara untuk berfikiran multilateralisme ialah dengan memecahkan tumpuan kepada Amerika-Britain.

Pertimbangan mesti diberikan kepada negara-negara maju lain untuk mendapatkan ilham. Maka negara-negara perindustrian lain yang wajar diberi perhatian ialah Jerman, Perancis, Itali dan Jepun.

Justeru dari segi budaya filem umpamanya, rakyat negara ini tidak wajar hanya terdedah kepada Hollywood. Mereka juga harus didedahkan tentang filem dari Jerman, Perancis, Itali dan Jepun.

Tetapi lebih penting ialah sistem pendidikan Jerman, Perancis dan Jepun juga perlu diperhatikan. Kecemerlangan Jerman dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, serta kemajuan intelektual dan kesedian Perancis juga wajar dijadikan rujukan.

Minda wajar menjadi multilateral juga. Kunci paling baik untuknya ialah mempelajari bahasa lain daripada Inggeris. Bahasa Jerman, Perancis dan Jepun akan mendedahkan rakyat negara ini kepada cara pemikiran berbeza daripada apa yang ditawarkan oleh bahasa Inggeris.

Namun begitu, melalui berbahasa Inggeris juga pun sesorang masih boleh berfikiran multilateralisme. Membaca karya Jerman dan Perancis umpamanya serta membincangkan pemikiran mereka boleh membuka ruang baru dalam minda supaya pemikiran tidak terlalu berorientasikan Amerika-Britain.

Lebih baik lagi jika diusahakan lebih banyak pelajar Malaysia dihantar ke Jerman dan Jepun dan membina institut pendidikan tinggi (IPT) berasaskan sistem kedua-dua negara itu.

Read more!

Penyusunan semula Asia Barat

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 20 Ogos 2006


TENTERA Lebanon dikirim ke Lebanon Selatan dan bergabung dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika askar Israel berundur selepas 34 hari berperang dengan Hizbullah.

Mereka memasuki kawasan-kawasan yang dianggap oleh Israel sebagai kubu Hizbullah dan pasukan gerila itu menyelinap keluar bagi menyertai kembali ke dalam masyarakat Lebanon.

Politik Lebanon secara tidak langsung sedang disusun semula selepas gencatan senjata itu. Perdebatan akan berlaku untuk menentukan siapakah yang menang dalam perang 34 hari itu.

Hizbullah mengisytiharkan kemenangan atas alasan bahawa kumpulan itu terus wujud walaupun Israel pernah mengisytiharkan bahawa matlamatnya adalah untuk menghapuskan pasukan gerila Syiah itu.

Tetapi di pihak Israel pula, mereka pada satu peringkat telah berjaya mengosongkan beberapa kawasan di Lebanon Selatan dari Hizbullah untuk diisi dengan tentera Lebanon dan pasukan pengaman PBB.

Tidakkah itu merupakan matlamat rejim Tel Aviv sejak awal lagi, iaitu untuk membersihkan Lebanon Selatan dari Hizbullah? Sejak ia berundur dahulu, mereka sering kali menekan Beirut supaya menghantar tentera ke Lebanon Selatan dan sekali gus menghalang serangan Hizbullah ke atas Israel.

Tetapi Beirut enggan menghantar tentera ke situ kerana tindakan itu disifatkan hanya merupakan suatu usaha untuk melindungi keselamatan Israel. Mengapa perlu Israel dilindungi sedangkan rejim Tel Aviv sudah banyak melakukan keganasan ke atas rakyat Lebanon?

Semasa pendudukan tentera rejim Tel Aviv ke atas Lebanon Selatan itu, mereka menubuhkan suatu pasukan bernama Tentera Lebanon Selatan (SLA) yang terdiri daripada rakyat Lebanon dari kalangan Druze. SLA menjadi pasukan tentera upahan bagi melindungi Israel daripada serangan Hizbullah.

Maka dengan pengunduran tentera Israel dari kawasan Lebanon Selatan dahulu, SLA ini dibubarkan dengan harapan bahawa tentera Lebanon akan ditempatkan di situ.

Tetapi politik Lebanon tidak membenarkan perkara itu kerana Lebanon Selatan seperti juga Lembah Bekaa adalah kawasan Hizbullah yang keselamatannya tanggungjawab mereka sendiri.

Maka serangan ganas Israel selama 34 hari ke atas Lebanon yang meliputi banyak wilayah di luar kawasan Hizbullah telah mengheret kumpulan-kumpulan agama lain seperti Kristian Maronit, Sunah dan Syiah yang bukan Hizbullah.

Inilah tujuan rejim Tel Aviv iaitu untuk menghukum Kristian Maronit dan Sunah kerana tidak menghalang Hizbullah daripada menyerang Israel.

Sememangnya rakyat Lebanon yang bukan penyokong Hizbullah marah terhadap kumpulan itu kerana telah mengheret mereka ke dalam kancah peperangan. Mereka secara umumnya mempersoalkan mengapa Hizbullah melancarkan perang bagi pihak Lebanon tanpa merujuk kepada mereka.

Bukan saja golongan yang tidak menyokong Hizbullah ini marah kepada kumpulan itu, malah sentimen yang sama disuarakan oleh Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

Maknanya segala kemusnahan yang ditanggung oleh Lebanon akibat serangan Israel itu disalahkan kepada Hizbullah dan bukan rejim Tel Aviv. Malah diungkit-ungkitkan bahawa pelaburan dan pembiayaan terhadap pembangunan Lebanon selama ini datangnya dari Arab Saudi. Sememangnya apa yang dimusnahkan itu dilakukan oleh Israel, tetapi anggapan jika Hizbullah tidak menahan tentera rejim Tel Aviv, maka segala kerosakan itu tidak dilakukan.

Tetapi mungkin Hizbullah tidak menyangka bahawa serangan Israel sebegitu luas. Mereka dan penduduk di kawasan pentadbirannya sentiasa bersedia diserang oleh Israel. Bagi mereka, ini adalah perang antara Israel dan Hizbullah; dan bukan antara Israel dan Lebanon.

Itulah yang sepatutnya berlaku. Tetapi Israel meluaskannya dengan mengheret sama keseluruhan Lebanon. Ia menganggap bahawa Hizbullah adalah sebahagian dari Lebanon; malah ia juga sebahagian daripada kerajaan Beirut dengan memiliki ahli-ahli Parlimen di situ.

Jadi, daripada kaca mata rejim Tel Aviv; Hizbullah menyerang Israel sebagai mewakili Lebanon, maka wajar baginya membalas balik dengan melibatkan keseluruhan negara itu.

Dari segi negara lawan negara; begitulah rupanya. Malah Hizbullah sering dianggap dan malah menganggap diri mereka sebagai negara dalam negara. Walaupun ia merupakan sebahagian dari Lebanon, tetapi ia beroperasi sebagai sebuah pentadbiran autonomi yang diiktiraf.

Justeru kehadiran tentera Lebanon di Lebanon Selatan bukan dianggap sebagai kehadiran sebuah angkatan nasional; malah boleh dipandang dari sudut seolah-olah mereka merupakan tentera pengaman asing. Iaitu seperti tentera pengaman PBB atau Liga Arab.

Bagaimanapun Lebanon walaupun sebuah negara bangsa yang utuh dan berdaulat tetapi sosoknya tidak boleh disamakan dengan negara-negara lain. Adalah suatu yang tidak wajar untuk menyamakan semua negara bangsa di dunia.

Oleh kerana kebanyakan negara mempunyai sebuah angkatan tentera, maka Lebanon juga dipandang melalui kaca mata yang sama.

Tetapi lihat saja struktur negara Lebanon. Ia hanyalah satu-satunya negara di dunia yang mana Presiden, Perdana Menteri dan Speaker Parlimen diperuntukkan pada satu-satu kumpulan agama.

Maka Presidennya mesti dijawat oleh seorang Kristian Maronit, Perdana Menteri oleh Islam Sunah dan Speaker Parlimen diperuntukkan pada Syiah.

Setiap kumpulan agama mempunyai kumpulan bersenjatanya sendiri. Syiah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Amal Syiah yang mana pemimpinnya menjadi speaker dan Hizbullah mempunyai ahli-ahli Parlimen dan mentadbir sendiri wilayah-wilayah yang di bawah penguasaannya. Ia menubuhkan sekolah, hospital dan sudah tentu angkatan bersenjatanya sendiri.

Sememangnya Lebanon memiliki negara dalam negara, dan Hizbullah adalah salah sebuah negara di dalamnya.

Tetapi Israel juga bukan sebuah negara seperti lain-lain negara di dunia. Kebanyakan negara di dunia tidak menganggap Israel sebagai sebuah negara, ia hanya dirujuk sebagai rejim Tel Aviv. Iaitu kerajaan yang berpusat di Tel Aviv dan memerintah secara haram ke atas satu wilayah hak orang lain yang diduduki.

Sedangkan pada hakikatnya sekarang kerajaan Israel tidak lagi beroperasi di Tel Aviv, tetapi mereka telah pun berpindah ke Baitulmaqdis yang dianggap sebagai ibu negara Israel. Langkah ini tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia. Yang sentiasa menyokong kuat rejim Tel Aviv termasuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Maka bagi banyak pihak, Israel bukan sebuah negara. Ia hanyalah sebuah rejim pengganas yang berfungsi seolah-olah menjadi negara.

Maka dari sudut pandangan ini, Hizbullah bukannya berperang melawan sebuah negara, tetapi hanyalah sebuah rejim pengganas. Walaupun Hizbullah bukan sebuah negara, tetapi ia merupakan parti politik yang diiktiraf kekuasaannya oleh Beirut sebagai mendapat mandat bagi mentadbir Lebanon Selatan dan Lembah Bekaa. Malah Beirut mengiktiraf kumpulan bersenjata Hizbullah.

Tambahan pula kedudukan Hizbullah di Parlimen dan kerajaan Lebanon adalah atas mandat yang diterima melalui pilihan raya demokratik yang dijalankan di Lebanon Selatan dan Lembah Bekaa.

Tetapi tidak rejim Tel Aviv. Walaupun ia mempunyai negara dan pentadbiran dan kerajaannya dipilih melalui pilihan raya secara demokratik termasuk jawatan Presiden dipilih secara langsung oleh pengundi, tetapi ia bukan negara yang mendapat mandat daripada rakyat sebenar.

Ini kerana rakyat sebenar wilayah yang terwujudnya Israel itu ialah Palestin. Mereka telah dipinggirkan dan dinafikan hak bernegaranya.

Palestin sebenar meliputi negara yang kini dikenali sebagai Israel, Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Jordan.

Maka pada tahun 1948 ketika Israel diisytiharkan oleh gerakan Zionis, ia menduduki sebahagian dari Palestin. Maka pada hakikatnya Palestin ketika itu dibahagi dua iaitu Israel yang diperintah oleh rejim Tel Aviv dan Jordan.

Jordan ketika itu turut meliputi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis, di samping Tebing Timur. Tebing ini merujuk kepada Sungai Jordan.

Bagi Israel, Palestin tidak wujud lagi dengan pengunduran British dan pemansuhan mandat Palestin yang dipegang bagi pihak rakyat Palestin ekoran daripada kejatuhan Khalifah Uthmaniah selaras dengan keputusan Liga Bangsa-Bangsa.

Rakyat Palestin berbangsa Arab yang tinggal dalam wilayah pemerintahan rejim Tel Aviv yang menerima kewarganegaraan Israel dipanggil orang Arab Israel. Tetapi kebanyakan rakyat Palestin dihalau ke Jordan kerana bagi rejim Tel Aviv, Jordan adalah merupakan negara Palestin berbangsa Arab.

Sudah tentu keadaan ini tidak diterima oleh rakyat Palestin. Negara dan bangsa Palestin tidak boleh dilenyapkan begitu saja.

Maka negara-negara Arab iaitu Mesir, Jordan dan Syria dibantu oleh negara-negara lain seperti Iraq dan Arab Saudi berperang untuk membebaskan Palestin daripada rejim Tel Aviv pada tahun 1967. Negara-negara Arab kalah di mana rejim Tel Aviv menduduki wilayah-wilayah Mesir, Jordan dan Syria.

Pengiktirafan Mesir terhadap Israel selepas perang tahun 1973 mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Kaherah. Syria tidak mengiktiraf rejim Tel Aviv dan Israel mengisytiharkan Golan sebagai miliknya.

Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis terus didudukinya. Selepas intifada tahun 1987, Israel bersedia menganggap Tebing Barat dan Gaza sebagai wilayah Palestin.

Untuk itu Jordan mengisytiharkan pelepasan wilayah Tebing Barat dan Gaza. Hakikatnya apa yang dirancang untuk dijadikan negara Palestin ialah wilayah-wilayah pada asalnya di bawah Jordan. Israel tidak kehilangan sebarang wilayah.

Maka Israel bukan sebuah negara sebenar. Begitu juga dengan Palestin yang diwujudkan di Tebing Barat dan Gaza.

Rejim Tel Aviv melakukan dua penyelewengan kenegaraan. Satu merampas wilayah Palestin untuk dijadikan Israel, dan kedua merampas wilayah Jordan dan menjadikannya negara Palestin yang dicadangkan.

Israel bukan merupakan negara sebenar kerana mendapat mandat bukan daripada rakyat sebenar. Warganegara Israel bukan rakyat sebenar. Rakyat sebenar adalah orang Palestin. Warganegara Israel terdiri daripada pendatang-pendatang daripada pelbagai negara di Eropah, Afrika dan Asia untuk dijadikan rakyat Israel.

Tetapi rakyat Israel dalam erti kata sebenar tidak wujud kerana negara itu diada-adakan tanpa pengiktirafan rakyat.

Sebaliknya rakyat Palestin itu wujud walaupun tidak bernegara. Setelah kehilangan tanah mereka kepada Israel kini mereka hanya mempertahankan Tebing Barat dan Gaza yang pada awalnya merupakan sebahagian dari Jordan.

Maka kepada bangsa Palestin inilah yang Hizbullah hendak bantu. Palestin adalah jiran mereka. Sebangsa walaupun tidak semazhab. Hizbullah adalah Syiah. Palestin adalah Sunah. Kristian daripada pelbagai mazhab dan juga Yahudi; walaupun kebanyakan Yahudi sudah beralih menyebelahi rejim Tel Aviv.

Tetapi rakyat Palestin telah memilih Hamas sebagai parti pemerintahan mereka. Hamas mempunyai persaudaraan fahaman dengan Hizbullah. Walaupun tidak semazhab tetapi sama-sama berpegang kepada fundamental Islam.

Dalam peperangan dengan Israel, kejayaan Hizbullah adalah membantu Hamas, dan secara tidak langsung kepada Palestin.

Read more!

Kegagalan suatu impian

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 16 Ogos 2006


MENURUT pihak berkuasa Britain, para pengganas yang merancang meletupkan 10 kapal terbang penumpang menetapkan hari ini, 16 Ogos sebagai tarikh tindakan kejam itu.

Andai kata pengganas-pengganas itu berjaya, maka tarikh 16 Ogos akan menjadi lebih besar daripada 11 September; lebih-lebih lagi jika kapal terbang itu dihalakan pada sasaran-sasaran simbolik yang lebih hebat daripada Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.

Kebanyakan pengganas itu dikatakan berketurunan Pakistan, walaupun menjadi warganegara Britain. Sasaran kemarahan pengganas daripada rangkaian Al-Qaeda itu adalah AS dan Britain yang bekerjasama dalam perang Afghanistan, Iraq dan membenarkan tindak-tanduk Israel ke atas Lebanon.

Tetapi kejayaan London menghalang tindakan keganasan itu adalah dengan kerjasama Islamabad. Pakistan yang menyambut Hari Kemerdekaannya ke-49 Isnin lalu, 14 Ogos merupakan sekutu kuat AS.

Kedua-dua Pakistan dan Britain membenarkan dwikewarganegaraan. Maka terdapat warganegara Pakistan yang serentak merupakan warganegara Britain.

Pakistan mencapai kemerdekaan satu hari lebih awal daripada India, yang menyambutnya semalam, 15 Ogos. Pemisahan Pakistan daripada India tidak dilakukan dengan baik dan sehingga ke hari ini kedua-dua negara itu masih berperang, berebut Kashmir. Akibatnya India juga diancam pengganas yang muncul daripada serpihan gerakan pembebasan Kashmir.

Tidak seperti Pakistan, dari awal kemerdekaan India tidak menjadi sekutu AS atau Britain. Tetapi kini yang mengancam AS dan Britain bukannya pengganas dari India, tetapi dari Pakistan.

Namun begitu, perjuangan nasionalisme pada asalnya meliputi Pakistan. Pakistan dan Bangladesh yang pada awalnya merupakan Pakistan Timur adalah sebahagian daripada India.

Setelah dijajah begitu lama oleh Britain, nasionalis India bercita-cita untuk mewujudkan sebuah negara moden, maju, demokratik, sekular, progresif dan sosialis yang dapat mewujudkan peradaban baru mengalahkan apa yang ditampilkan oleh Barat.

Impian itu gagal; segagal impian Britain sebelum Perang Dunia Kedua yang mempunyai wawasan untuk mewujudkan satu empayar British yang makmur dan bertamadun baru bernama Komanwel - bererti kemakmuran yang dikongsi bersama. Andai kata empayar Britain itu kekal serta berjaya, mungkin ia lebih gagah daripada AS. Pusatnya mungkin berpindah dari London ke New Delhi kerana India lebih dinamik daripada Britain sebagai pusat Komanwel.

Impian itu musnah; semusnah impian Pakistan yang pada awal penubuhannya bercita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Islam moden, demokratik dan berjaya. Republik Islam Pakistan adalah negara Islam moden pertama dalam sejarah.

Read more!

Keganasan: Kegagalan dalam kejayaan

Oleh: ZIN MAHMUD
Sumber: Mingguan Malaysia 13 Ogos 2006


POLIS Britain dan Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu mengumumkan kejayaan menghalang tindakan keganasan meletupkan beberapa kapal terbang penumpang yang kalau berjaya dilakukan akan menjadi lebih besar daripada peristiwa 11 September 2001.

Tuduhan dilemparkan pada Al-Qaeda dan beberapa orang yang disyaki akan melakukannya ditangkap. Mereka umumnya adalah rakyat Britain keturunan Pakistan.

Pihak berkuasa AS-Britain menganggap bahawa kenyataan Al-Qaeda baru-baru ini untuk membalas dendam terhadap apa yang dilakukan oleh tentera mereka di Iraq dan Afghanistan.

Jadi, tindakan Al-Qaeda itu tidak ada kena-mengena dengan keganasan Israel menyerang Lebanon yang mengakibatkan banyak orang awam terkorban.

Tetapi sekali imbas, perhatian dunia khususnya barat mengalih tumpuan kepada ancaman Al-Qaeda ini. Kalau untuk sebelum in, dunia memberi perhatian kepada keganasan Israel ke atas Lebanon, maka peristiwa ini mengalih perhatian dan menyemai perasaan untuk memusuhi umat Islam.

Al-Qaeda merupakan pertubuhan pelik, misteri dan turut dibenci oleh umat Islam sendiri kerana ia bukan saja sesat dari segi fahaman dan kaedah perjuangannya tetapi menyusahkan orang Islam sendiri untuk hidup dan maju.

Mengapakah ia merancang untuk melakukan keganasan pada saat ini di mana AS dan Britain yang dijadikan sasaran, dan bukannya Israel sendiri? Mengapakah ia mengungkitkan tentang Afghanistan dan Iraq sedangkan ancaman masa kini yang dihadapi oleh umat Islam adalah soal Lebanon dan Palestin?

Sememangnya Al-Qaeda memusuhi Syiah; sebab itu ia amat membenci Iran dan juga Hizbullah. Mereka bertempur membunuh Syiah di Afghanistan, dan juga di Iraq kini. Tetapi akibatnya, militia Syiah membalas dan meningkatkan pembunuhan ke atas Sunni.

Justeru, walaupun seminggu Lebanon diserang, Al-Qaeda tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Akhirnya barulah ia keluarkan kenyataan untuk membela Hizbullah.

Tetapi dunia juga dipaparkan dengan kenyataan-kenyataan ulama di Arab Saudi yang sealiran fahaman agama dengan Al-Qaeda yang menganggap Hizbullah sebagai syaitan, atau disebutnya Hizbussyaitan.

Umumnya, banyak kalangan di Arab Saudi yang menyalahkan Hizbullah dan dianggap sebagai bertanggungjawab kepada kerosakan akibat serangan Israel.

Akhbar Israel juga menganggap Hizbullah sebagai syaitan kecil. Syaitan besar ditujukan kepada Iran. Ini adalah tindak balas mereka kepada tuduhan Iran yang menamakan AS sebagai syaitan besar dan Israel syaitan kecil. Masing-masing syaitan-mensyaitani.

Tetapi apa yang jelas Al-Qaeda, kalau betul menurut laporan bahawa mereka bertanggungjawab terhadap tindakan- tindakan ganas seluruh dunia adalah syaitan bukan saja bagi dunia Arab, tetapi dunia Islam sendiri.

Mana tidaknya, akibat ancaman Al- Qaeda itu, ia menyusahkan penumpang-penumpang di seluruh dunia. Orang Barat mungkin rasa takut untuk naik kapal terbang. Tetapi penumpang yang beragama Islam lagi takut. Sudahlah untuk naik kapal terbang itu mereka takut akan ancaman keganasan, ditambah pula kebimbangan mereka disyaki dan dituduh sebagai pengganas.

Maka tidak hairanlah komuniti Islam di Britain khususnya keturunan Pakistan wajar berasa sinis dan bimbang terhadap tekanan yang mungkin mereka terima.

Mereka tidak akan lupa betapa polis Britain pernah menembak orang yang tidak bersalah, malah bukan pun keturunan Islam.

Keganasan adalah satu penyakit psikologi. Ia mengukuhkan sikap ganas di antara satu sama lain. Keganasan Al-Qaeda dikukuhkan dengan keganasan Israel. Tetapi adakah halangan ke atas rancangan keganasan itu merupakan kejayaan AS-Britain?

Ia kejayaan dari satu segi iaitu menghalang daripada terbunuhnya banyak penumpang dan sasaran yang dijangka boleh berlaku. Tetapi lihatlah kosnya. Pastinya ia menjejaskan pengangkutan udara. Banyak penumpang menjadi susah. Dalam peperangan ini, tidak ada yang menang, semua kalah.

Mungkin penumpang-penumpang itu berasa tidak selesa. Tetapi cuba bayangkan betapa terseksanya penduduk Lebanon yang menjadi sasaran bom Israel? Apatah lagi penduduk Palestin yang mana kerajaan mereka dilumpuhkan oleh Israel.

Al-Qaeda memang boleh dianggap sebagai pengganas. Tetapi bukan Hamas yang merupakan parti pemerintah Palestin. Begitu juga Hizbullah yang mempunyai kerusi di Parlimen Lebanon diperoleh melalui proses demokrasi.

Kedua-dua Hamas dan Hizbullah dipilih oleh rakyat masing-masing secara proses demokrasi. Begitu juga dengan Israel, Britain dan AS.

Rakyat AS, Britain dan dunia bertamadun mungkin marah dengan orang Islam yang daripadanya muncul Al-Qaeda, Hizbullah dan Hamas yang kesemuanya dianggap pengganas dan menyusahkan kehidupan mereka.

Tetapi betapa AS dan Britain telah lama menyusahkan kehidupan umat Islam, dari Palestin, Lebanon, Iraq hinggalah ke Afghanistan.

Umumnya, kehendak orang Islam di negara-negara ini hanyalah untuk hidup damai dan dapat menjalani kehidupan berkeluarga dengan cukup makan dan membesarkan anak-anak.

AS dan Britain sejak dari awal mampu menyelamatkan rakyat Palestin tetapi mereka tidak melakukannya. Banyak pihak di samping menyalahkan Israel kerana merampas tanah Palestin tetapi juga menyifatkan sikap perpecahan orang Arab mengakibatkan keadaan seperti ini.

Di mana bumi Palestin dibahagi antara Jordan dan Israel hingga Palestin lenyap di muka bumi. Tetapi ia berlaku di bawah naungan Britain.

Usaha negara-negara Arab hendak membebaskan bumi Palestin memberi peluang pada AS menyelesaikan masalah ini. Tetapi tidak secara berterusan, rakyat Palestin dinafikan haknya. Keadaan ini juga merebak hingga ke Lebanon, Iraq dan juga Iran.

Paling akhir apabila Lebanon yang menggelupur dibom Israel meminta gencatan senjata serta-merta, Presiden George W. Bush dan Perdana Menteri Tony Blair bertemu di Washington dan mengisytiharkan sokongan mereka terhadap rejim Tel Aviv.

Perkara mudah seperti membebaskan sebuah negara kecil Palestin dapat mengelak dunia daripada bencana. Tetapi ia dibiarkan berlarutan kerana Israel serta minyak menjadi kunci dasar luar AS-Britain; di samping pemeliharaan kepentingan komuniti Kristian Maronit di Lebanon yang mempunyai kaitan dengan Perancis.

Masalah Israel membawa kepada aktiviti Fatah, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan kemudiannya Hamas. Masalah Kristian Maronit di Lebanon yang juga dikaitkan dengan Israel membawa kepada kemunculan Amal, Hizbullah dan pembabitan Syria dan Iran.

Kepentingan minyak menyebabkan pertimbangan khusus AS kepada negara-negara Teluk, dari Arab Saudi hingga masalah Kuwait. Maka ia mengheret sama Iraq dan Iran. Tetapi sistem yang sebegitu rupa mencambahkan Al-Qaeda.

Kerana hendak menghalang pengaruh Rusia dan Iran, AS dan Arab Saudi memberi sokongan pada Taliban melalui Pakistan. Taliban memberi ruang pada Al-Qaeda dan kemudian yang dilihat ialah Peristiwa 11 September dan bayang-bayangnya yang terus menghantui dunia, bukan saja dunia Barat, tetapi juga dunia Islam.

Read more!

Antara meritokrasi, matrikulasi, manipulasi dan mediokrasi

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 12 Ogos 2006


BERCAKAP tentang meritokrasi, matrikulasi dan mediokrasi sememangnya sensitif kerana ia mempunyai unsur-unsur perkauman yang tidak disenangi oleh rakyat Malaysia.

Tetapi apakah itu mediokrasi? Mediokrasi daripada perkataan mediocracy yang merujuk kepada istilah mediocre, bermaksud kesederhanaan dari segi tahap pencapaian. Ia adalah berlawanan dengan kecemerlangan. Sederhana, lemah, mundur dan di bawah piawaian, atau substandard dalam pemerintahan, pentadbiran dan politik negara boleh disebut sebagai mediokrasi.

Maka mediokrasi adalah bertentangan dengan meritokrasi. Bagaimanapun, tidaklah boleh disebut bahawa semua keadaan atau amalan yang bukan meritokrasi adalah mediokrasi.

Ada masa, sesuatu sistem itu tidak mengamalkan meritokrasi atas sebab untuk memberi peluang dan ruang kepada mereka yang kurang bernasib baik melalui dasar-dasar diskriminasi positif dan tindakan afirmatif, tetapi ia tidak semestinya menghasilkan mediokrasi jika dilakukan dengan betul.

Dalam zaman ini di mana politik kerakyatan menjadi asas negara bangsa moden, meritokrasi merupakan amalan baku di seluruh dunia.

Jadi dengan mengikut merit, siapa pandai dan cekap akan menerima habuan dalam masyarakat. Tetapi adakah itu adil? Sudah tentu anggota-anggota masyarakat yang mempunyai landasan awal lebih baik akan pasti mendapat manfaat daripada meritokrasi.

Senang cerita, jika meritokrasi tulen dimalkan, sudah tentu majoriti yang dapat memasuki universiti di Malaysia pastinya daripada kalangan bukan bumiputera, khususnya keturunan Cina.

Jika dasar ini dilaksanakan, sudah tentu golongan minoriti yang bernasib baik dan maju dalam serba-serbi, baik ekonomi mahupun pendidikan akan mendominasi negara, dengan meminggirkan majoriti, iaitu bumiputera.

Bukanlah pelajar-pelajar bumiputera tidak mampu untuk mencapai kecemerlangan tetapi tempat amat terhad. Justeru, pelajar-pelajar yang cemerlang akan menguasai tempat-tempat itu. Sementara yang lain, walaupun mampu akan terpinggir dengan natijah yang berbahaya.

Maka dalam suasana inilah negara ini mengamalkan dasar-dasar tindakan afirmatif yang memberi peluang dan ruang kepada pelajar-pelajar bumiputera yang layak dan mampu untuk mencapai kecemerlangan. Tetapi kebanyakan mereka ini tidak akan berupaya mendapat tempat jika mengikut cara meritokrasi tulen.

Jika pelajar-pelajar bumiputera ini mendapat tempat melalui kuota Dasar Ekonomi Baru (DEB) selama ini turut mencapai kecemerlangan, maka negara tidaklah terjerumus kepada mediokrasi walaupun meritokrasi tidak dilaksanakan.

Malangnya sejak hampir 49 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, tanda-tanda bahawa negara ini sedang bergerak ke kancah mediokrasi sudah ada. Sekurang-kurangnya dari segi persepsi. Siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendapat tempat melalui dasar tindakan afirmatif itu dilihat tidak mencapai kecemerlangan.

Pencapaian mereka secara umum adalah sederhana, dan ini kemudian merebak ke sektor awam di mana siswazah-siswazah ini bertugas kelak. Mereka juga kemudian memimpin syarikat-syarikat milik kerajaan. Umumnya mereka adalah bumiputera dan persepsinya ialah mereka tidak cemerlang. Maka negara dilihat terjerumus dalam keadaan mediokrasi. Mungkin perkara ini tidak benar, ia hanya persepsi. Tetapi persepsi diambil kira dalam politik.

Jadi apabila berlaku amalan ini di sektor awam, IPTA dan dikaitkan dengan bumiputera, rujukannya sebenar ialah Melayu, maka persepsinya adalah mediokrasi.

Maka pihak bukan bumiputera lihat keadaan ini bukan saja tidak adil tetapi menumpulkan usaha daya saing negara. Mereka menuntut meritokrasi.

Hujah mereka kelihatan ada alasannya iaitu untuk melahirkan generasi yang terbaik untuk memimpin negara dalam semua sektor. Tetapi bagi bumiputera, seruan kepada meritokrasi adalah berunsur perkauman, ia boleh merujuk kepada dominasi bukan bumiputera melalui kemampuan pencapaian mereka.

Di sinilah timbul soal matrikulasi sebagai saluran bagi memasuki IPTA. Sebelum saluran matrikulasi diwujudkan pada tahun-tahun 80-an dahulu, untuk memasuki universiti harus melalui Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Jelas banyak pelajar bumiputera walaupun mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi gagal dalam STPM. Mengapakah pelajar-pelajar yang cemerlang di peringkat SPM gagal di STPM sedangkan mereka mempunyai potensi dan mampu untuk berjaya?

Maka melalui STPM, lulusannya didominasi oleh pelajar bukan bumiputera. Tetapi apabila kerajaan memperkenalkan matrikulasi yang mengamalkan sistem semester, banyak pelajar bumiputera berjaya dan mampu memasuki IPTA dan ternyata akhirnya berjaya menjadi siswazah.

Maka di sinilah kalangan pihak bukan bumiputera menganggapnya sebagai tidak adil kerana matrikulasi disyaki terdedah kepada manipulasi dan akhirnya mewujudkan mediokrasi.

Sedangkan pada hakikatnya walaupun sistemnya berbeza daripada STPM, tetapi strandardnya juga tinggi dan ketat. Tidak berlaku manipulasi tetapi sistemnya dikemaskan bagi mengurangkan kadar keciciran pelajar-pelajar yang berpotensi. Ternyata sistem matrikulasi berjaya memberi persediaan yang sewajarnya untuk mereka balajar di peringkat ijazah di IPTA. Kejayaan lulusan matrikulasi memperoleh ijazah adalah bukti tahap pencapaian lulusannya.

Justeru seruan supaya matrikulasi dimansuhkan dianggap sebagai unsur-unsur perkauman untuk menafikan peluang dan ruang bagi pelajar bumiputera.

Pun begitu kebimbangan berlakunya mediokrasi tidak boleh dipandang sepi. Kolej-kolej matrikulasi dan IPTA sendiri mesti proaktif dan mengetatkan standard pengajian mereka supaya tidak berlaku sebarang manipulasi yang boleh membawa kepada mediokrasi.

Read more!

Beza antara graduan, siswazah

Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 9 Ogos 2006


ADA suatu istilah yang sudah menjadi perkataan Melayu tetapi membawa maksud berbeza daripada makna asalnya. Perkataan itu ialah graduan. Umumnya apabila disebut graduan, orang memahaminya sebagai lulusan universiti. Tetapi makna asal graduan tidak demikian.

Perkataan asal graduan daripada bahasa Inggeris ialah graduand. Asalnya pula daripada bahasa Latin, graduandus. Di Malaysia, ia dikelirukan dengan perkataan graduate. Terjemahan kepada graduate yang tepat ialah siswazah. Orang tidak menggunakan istilah graduat untuk merujuk kepada graduate. Sebaliknya orang menggunakan perkataan graduan sebagai terjemahan kepada graduate, yang pada asalnya adalah tidak tepat.

Ini kerana graduand dan graduate membawa maksud berbeza. Graduand adalah seseorang lepasan universiti yang telah lulus peperiksaan mereka tetapi belum mengambil ijazah dalam upacara konvokesyen.

Apabila seseorang lepasan universiti mendapat ijazahnya melalui upacara di konvokesyen, maka mereka graduate, atau dalam bahasa Melayunya, siswazah. Mereka tidak lagi boleh disebut sebagai graduan.

Tempoh seseorang menjadi graduan adalah pendek, iaitu beberapa bulan saja, antara ketika setelah lulus peperiksaan akhir hingga ketika mengambil ijazah semasa konvokesyen. Selepas itu, mereka dikenali sebagai siswazah semata-mata dan tidak lagi graduan.

Bagaimanpun upacara pengambilan ijazah di konvokesyen dalam tradisi universiti adalah penting. Seseorang yang tidak melalui upacara itu untuk mengambil ijazahnya atas sebab-sebab tertentu tidak boleh dipanggil siswazah, mereka hanya boleh dipanggil sebagai graduan.

Ini kerana dalam tradisi universiti, tidak semua graduan secara automatik menjadi siswazah. Graduan hanya lulus peperiksaan akhir mereka. Tetapi hanya pihak senat universiti yang mempunyai kuasa meluluskan seseorang patut diberikan ijazah atau tidak, pendeknya, hanya universiti menentukan seseorang menjadi siswazah. Lulus peperiksaan tidak secara automatik menjadikan seseorang siswazah.

Justeru ungkapan ‘‘masalah graduan menganggur” berbeza dengan kata-kata ‘‘masalah siswazah menganggur”. Sememangnya lebih banyak graduan menganggur berbanding siswazah. Ini kerana graduan baru saja lepas lulus peperiksaan dan belum memperoleh ijazah. Tetapi kebanyakan siswazah mendapat pekerjaan kerana mereka sudah memperoleh ijazah.

Dari segi lenggok bahasa Melayu, perkataan siswazah lebih enak didengar berbanding graduan atau graduat.

Siswazah merupakan gabungan dua perkataan siswa dan ijazah. Siswa berasal daripada bahasa Sanskrit dan ijazah adalah daripada Arab.

Maka siswazah bermaksud ‘‘siswa yang telah menerima ijazah’'. Sememangnya dari segi irama kata-kata, perkataan Sanskrit dan Arab begitu enak untuk diserap ke dalam bahasa Melayu, lebih mudah berbanding bahasa Inggeris, Belanda atau Portugis.

Read more!

Bagaimana hendak jadi kuat macam Amerika

Oleh: ZIN MAHMUD (Wartawan Utusan)
Sumber: Utusan Malaysia 5 Ogos 2006


"SEMUA negara ada kekuatan dan kelemahannya tetapi Amerika jelas mempunyai kekuatan yang boleh diteladani,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di jamuan makan malam bersama masyarakat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) Khamis lalu.

Kekuatan AS di belakang Israel menyebabkan rejim Zionis bermaharajalela membunuh rakyat Palestin dan Lebanon tanpa sebarang halangan.

Apabila disebut dengan kekuatan, maka gambaran yang terpapar ialah kemampuan tentera AS mengatasi mana-mana pasukan di dunia.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kekuatan sesebuah negara, daripada politik, ekonomi hinggalah kepada ketenteraan. Tetapi ketenteraan merupakan manifestasi terbesar untuk menunjukkan kekuatan sesebuah negara.

Begitu juga dengan kekuatan ketenteraan, banyak faktor yang menyumbang kepada keadaannya, tetapi teknologi merupakan ciri besar pada zaman ini. Justeru, teknologi ketenteraan merupakan kunci kepada kekuatan AS.

Lihatlah bagaimana tentera Israel memasuki Lebanon dengan mudah, hanya dengan menggerakkan kereta-kereta kebal. Bagaimana ia dapat masuk tanpa tentangan adalah kerana wilayah Lebanon telah dihancurkan melalui bom yang digugurkan oleh jet pejuang. Kereta kebal, bom dan jet pejuang adalah peralatan teknologi yang dibangunkan di AS.

Tetapi teknologi yang dimiliki tentera AS amat luas dan juga banyak menyumbang kepada perubahan dunia, termasuklah Internet, yang pada asalnya adalah sistem perhubungan mereka.

Persoalannya bagaimanakah AS memperoleh kecanggihan teknologi tentera yang begitu besar? Banyak faktor yang menyumbang kepada kecanggihan teknologi tentera, antaranya termasuklah kekuatan ekonomi AS, sistem kapitalisme, keupayaan sains, keunggulan pendidikan, dorongan reka cipta, azam politik dan tidak kurang penting ialah mentaliti ketenteraan yang ada pada negara itu sendiri.

Tetapi dalam banyak-banyak faktor itu, ada suatu nilai yang memungkinkan pembangunan teknologi tentera iaitu keupayaan penciptaan dan inovasi alat teknologi.

Dalam hal ini, orang Amerika mencipta sendiri peralatan dan bukannya hanya berusaha untuk membeli daripada pihak luar.

Kita bagaimanapun perlu ingat bahawa kecanggihan teknologi tentera AS bukanlah wujud sejak dari dahulu. Ia melalui pelbagai perkembangan menyebabkan ia memiliki kecanggihan teknologi tentera.

Sebelum Perang Dunia Kedua, teknologi tentera AS bukan paling unggul. Negara yang memiliki keunggulan ialah Britain dan Jerman. Malah pihak Jerman memiliki kecanggihan ketenteraan tentang roket dan hampir dapat membangun bom atom.

Tetapi akibat tekanan daripada Nazi, banyak saintisnya termasuk Albert Einstein, berhijrah ke AS. Saintis Jerman memberi sumbangan besar kepada membangunkan bom atom yang kemudian digugurkan ke atas Jepun.

Selepas kejatuhan Nazi Jerman, sebahagian daripada teknologi tenteranya, termasuk roket diangkut ke Rusia.

Pada tahun 60-an, teknologi ketenteraan AS bukan juga terunggul. Kesatuan Soviet mempunyai kecanggihan yang kalau tidak mengatasi AS, adalah setara dengan kuasa besar itu.

Senapang Kalashnikov, umpamanya merupakan ciptaan Rusia yang masih unggul. Tetapi apa yang mengejutkan AS ialah keupayaan Soviet melancarkan roket dan menjadi negara pertama berjaya sampai ke angkasa melalui kapal Sputnik.

Maknanya pada masa itu Soviet telah mengatasi AS. Sejak itu AS melancarkan program pendidikan sains secara besar-besaran hinggalah berjaya meletakkan manusia di bulan pada tahun 1969 melalui kapal angkasa Apollo.

Teknologi Rusia berbeza daripada AS. Masing-masing membangun sistem teknologi ketenteraan secara rahsia kerena kepentingan keselamatan masing-masing. Rusia tidaklah membeli peralatan tentera daripada AS. Mereka membangun dan mencipta peralatan sendiri.

Maka begitu jugalah angkatan tentera negara-negara lain di dunia. Jika mereka mahu mengatasi kekuatan tentera negara-negara lain, mereka mesti membangun teknologi sendiri, secara rahsia dan menurut keperluan sendiri.

Kalau usaha mencipta peralatan tentera ini boleh dilakukan oleh negara-negara besar seperti AS, Rusia, Perancis dan China, adakah ia dapat dilakukan oleh negara-negara kecil seperti Malaysia?

Keperluan negara kecil dan negara besar adalah berbeza. Keperluan Britain, umpamanya berbeza daripada AS. Tetapi Britain yang walaupun merupakan sebuah negara kecil mempunyai kekuatan dan pernah mengalahkan Argentina dalam peperangan.

Maka Malaysia juga mesti mampu membangunkan teknologi ketenteraannya sendiri yang sepadan dengan keperluannya sebagai sebuah negara sebegini besar.

Begitu juga Israel. Mereka juga sebuah negara kecil tetapi teknologi ketenteraan yang dimiliki mampu menangkis semua kekuatan tentera Arab. Israel sememangnya mendapat bantuan AS tetapi secara bersendirian, ia tetap mampu membangun teknologi ketenteraannya sendiri mengikut keperluannya.

Dalam menghadapi Israel, hanya Hizbullah yang berusaha menentangnya melalui peperangan. Hamas tidak berupaya menghadapi Israel.

Tetapi Hizbullah memerlukan sokongan termasuk peralatan teknologi ketenteraan canggih. Ia hanya dapat mengharapkan daripada Syria dan Iran.

Maka Syria dan Iran mempunyai keperluan besar membangunkan kecanggihan teknologi ketenteraannya supaya mereka dapat membantu Hizbullah.

Di sinilah terletaknya peranan saintis-saintis dalam angkatan tentera Syria dan Iran bagi membangun peralatan teknologi. Mungkin Rusia dan China patut membantu mereka demi keselamatan dunia di mana kuncinya terletak kepada pembebasan Palestin dan Lebanon daripada ancaman Israel.

Read more!