Oleh: ZIN MAHMUD (WARTAWAN UTUSAN)
Sumber: Utusan Malaysia 16 Ogos 2006
MENURUT pihak berkuasa Britain, para pengganas yang merancang meletupkan 10 kapal terbang penumpang menetapkan hari ini, 16 Ogos sebagai tarikh tindakan kejam itu.
Andai kata pengganas-pengganas itu berjaya, maka tarikh 16 Ogos akan menjadi lebih besar daripada 11 September; lebih-lebih lagi jika kapal terbang itu dihalakan pada sasaran-sasaran simbolik yang lebih hebat daripada Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.
Kebanyakan pengganas itu dikatakan berketurunan Pakistan, walaupun menjadi warganegara Britain. Sasaran kemarahan pengganas daripada rangkaian Al-Qaeda itu adalah AS dan Britain yang bekerjasama dalam perang Afghanistan, Iraq dan membenarkan tindak-tanduk Israel ke atas Lebanon.
Tetapi kejayaan London menghalang tindakan keganasan itu adalah dengan kerjasama Islamabad. Pakistan yang menyambut Hari Kemerdekaannya ke-49 Isnin lalu, 14 Ogos merupakan sekutu kuat AS.
Kedua-dua Pakistan dan Britain membenarkan dwikewarganegaraan. Maka terdapat warganegara Pakistan yang serentak merupakan warganegara Britain.
Pakistan mencapai kemerdekaan satu hari lebih awal daripada India, yang menyambutnya semalam, 15 Ogos. Pemisahan Pakistan daripada India tidak dilakukan dengan baik dan sehingga ke hari ini kedua-dua negara itu masih berperang, berebut Kashmir. Akibatnya India juga diancam pengganas yang muncul daripada serpihan gerakan pembebasan Kashmir.
Tidak seperti Pakistan, dari awal kemerdekaan India tidak menjadi sekutu AS atau Britain. Tetapi kini yang mengancam AS dan Britain bukannya pengganas dari India, tetapi dari Pakistan.
Namun begitu, perjuangan nasionalisme pada asalnya meliputi Pakistan. Pakistan dan Bangladesh yang pada awalnya merupakan Pakistan Timur adalah sebahagian daripada India.
Setelah dijajah begitu lama oleh Britain, nasionalis India bercita-cita untuk mewujudkan sebuah negara moden, maju, demokratik, sekular, progresif dan sosialis yang dapat mewujudkan peradaban baru mengalahkan apa yang ditampilkan oleh Barat.
Impian itu gagal; segagal impian Britain sebelum Perang Dunia Kedua yang mempunyai wawasan untuk mewujudkan satu empayar British yang makmur dan bertamadun baru bernama Komanwel - bererti kemakmuran yang dikongsi bersama. Andai kata empayar Britain itu kekal serta berjaya, mungkin ia lebih gagah daripada AS. Pusatnya mungkin berpindah dari London ke New Delhi kerana India lebih dinamik daripada Britain sebagai pusat Komanwel.
Impian itu musnah; semusnah impian Pakistan yang pada awal penubuhannya bercita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Islam moden, demokratik dan berjaya. Republik Islam Pakistan adalah negara Islam moden pertama dalam sejarah.